Saturday, October 30, 2010

Sijil Nikal Punya Hal


Anak tiada sijil lahir
Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my

MAHAMUD bersama isteri dan anak-anaknya, dari kiri Normazlin, Norazlina dan Mohamad Afiq menunjukkan rekod kesihatan mereka di Pasir Gudang semalam.

JOHOR BAHRU – “Kedua-dua anak saya teringin untuk ke sekolah. Malangnya mereka tiada surat beranak untuk diterima belajar.”

Itulah keluhan seorang mekanik, Mahamud Kadir, 46, memikirkan masa depan dua anaknya, Norazlina, 10, dan Normazlin, 9, yang tidak memiliki sijil lahir sejak mereka dilahirkan.

Menurut Mahamud, kegagalan mendapatkan sijil lahir itu disebabkan dia dan isterinya, Raihanah Lahakim, 44, tidak memiliki sijil nikah seperti yang diminta pihak Jabatan Pendaftaran Negara.

“Saya dan isteri berkahwin di Kampung Titingan, Tawau, Sabah pada 2 Oktober 1999 dan sewaktu kembali ke Semenanjung, saya terlupa membawa bersama sijil nikah asal, cuma terambil dokumen fotokopi.

“Malangnya, salinan sijil nikah itu pun hilang sewaktu banjir besar pada 2006 manakala sijil asal sudah hilang berikutan keluarga telah berpindah,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Pasir Gudang di sini semalam.

Mahamud berkata, ekoran tidak dapat menunjukkan sijil nikah, proses permohonan sijil lahir kedua-dua anaknya tidak dapat dilakukan.

Pelajar UiTM koma dibelasah
Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

HABERI sedih ketika melawat Hizreen di Unit Rawatan Rapi Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang yang bakal menamatkan pengajian Disember ini koma selepas dipercayai dibelasah oleh teman lelakinya pada 22 Oktober lalu.

Mangsa, Hizreen Ieraqueen Haberi, 21, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Perbankan tidak sedarkan diri sejak hari kejadian akibat luka dalaman yang teruk di bahagian kepala.

Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Bapa mangsa, Haberi Hamzah, 49, yang merupakan seorang juruteknik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi berkata, dia menerima panggilan daripada teman serumah anaknya itu pada pukul 1.30 pagi 22 Oktober lalu di rumahnya di Semenyih, Selangor.

"Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan Hizreen, dia dikejarkan ke Hospital Machang kerana cedera dipukul oleh kawan lelaki yang dikenalinya.

"Keadaannya tenat dan saya diberitahu Hizreen dipindahkan ke HUSM.

"Daripada cerita rakan anak saya itu, kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 10 malam pada 22 Oktober lalu di hadapan rumah sewa Hizreen berhampiran kampus UiTM Machang selepas mereka bergaduh," katanya.

Rakan anaknya itu mendakwa sebelum kejadian Hizreen dilihat bertemu dengan teman lelaki yang datang ke rumah sewa mereka dan berlaku sedikit pertengkaran.

Penoreh korban cinta terhalang
Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my

MUDA yang bertarung nyawa meninggal dunia di HSNZ semalam.

KUALA TERENGGANU - Selepas 10 hari menanggung derita akibat dipaksa meminum racun oleh ahli keluarga teman wanitanya yang berusia 16 tahun, seorang penoreh getah akhirnya menemui ajal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, Muda Mohd., 27, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi selepas menunjukkan komplikasi teruk lewat malam kelmarin sebelum disahkan koma beberapa jam kemudian.

Bagaimanapun, katanya, polis sempat mendapatkan keterangan daripada mangsa.

"Sehubungan itu, kita telah mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya yang memberitahu polis telah menahan tiga suspek bagi membantu siasatan kes itu.

Tinggal Dalam Kandang Lembu


Bersesak dalam kandang lembu
Oleh Ramli Hussin


DAIF...Salma bersama empat daripada lapan anaknya.
BACHOK: Akibat kesempitan hidup, 12 beranak terpaksa bersesak dalam kandang lembu diubah suai menjadi bangsal mereka di Kampung Pak Mali, Bakong dekat sini, sejak setahun lalu.

Walaupun hidup dalam keadaan sukar dan serba kekurangan, itu hakikat terpaksa dilalui keluarga Salma Mamat, 36, dan Zakaria Abdullah, 42, selepas dihalau pemilik rumah sewa mereka di Pekan Gunong sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.


Salma berkata, suaminya yang bekerja sebagai buruh hanya mampu menyediakan makan minum ala kadar untuk keluarga.


“Kami tiada pilihan selain tinggal di dalam bekas kandang lembu ini sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas. Jika hujan lebat, tanah yang menjadi lantai rumah kami akan becak menyebabkan kami bertambah tidak selesa,” katanya sayu.


Dalam menjalani kehidupan seharian, pasangan itu terpaksa bersesak-sesak dengan lapan anak berusia antara setahun setengah hingga 22 tahun selain dua menantu iaitu isteri kepada anak sulung dan kedua mereka.


Biarpun sejumlah 12 orang tinggal di dalam bangsal yang serba daif itu, keluarga Salma hanya mempunyai satu katil buruk sebagai tempat tidur paling selesa.

Lapan anak Salma dan Zakaria ialah Mohd Badrul Hisham, 22; Mohd Badrul Azizi, 21; Sri Dalila, 18; Mohd Badrul Fauzi, 16; Mohd Badrul Hakimi, 15; Mohd Badrul Aminuddin, 13; Sri Mas Ayu, 6, dan Sri Dahlia Natasya, setahun setengah.


Menurut Salma, hanya dua daripada anaknya iaitu Mohd Badrul Fauzi dan Sri Mas Ayu bersekolah kerana mereka tidak mampu menanggung persekolahan anak yang lain.


Katanya, biarpun anak sulung dan keduanya sudah berkahwin serta bekerja, namun mereka terlalu miskin untuk membantu keluarga.


“Malah, isteri mereka turut tinggal bersama kami, menjadikan keadaan bangsal kami bertambah sesak. Dua anak lelaki saya hanya bekerja sebagai buruh dan mereka juga tidak mampu memiliki rumah sendiri.


“Memang sukar bagi kami meneruskan kehidupan setiap hari dan hanya mampu menikmati nasi berlauk kangkung dan budu. Jika teringin sangat makan lauk ikan, anak saya akan mencarinya di sekitar bendang dan sungai berdekatan,” katanya.


Salma berkata, dia sekeluarga amat mengimpikan sebuah rumah yang lebih sempurna bagi membesarkan anak.


“Rumah adalah keutamaan saya ketika ini, tambahan pula musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi.


“Jika kami masih tinggal di bangsal ini bermakna sepanjang malam kami akan tidur beralaskan tanah yang basah selain menghadapi masalah bumbung bocor,” katanya.

20 Tahun Tunggu Pembangunan

Belia Orang Asli 20 tahun tunggu kemudahan infrastrktur


GUA MUSANG: Golongan belia Orang Asli di pedalaman sudah 20 tahun menanti kemudahan infrastruktur antaranya termasuk gelanggang bersukan, sistem jalan tar yang elok dan pengangkutan ke sekolah untuk anak mereka.

Bagi Jahri Along, 30 dari Pos Hendrop berkata, kemudahan seperti gelanggang sukan perlu untuk golongan muda Orang Asli bersukan dalam meluangkan masa bersosial bersama secara sihat.


"Seperti di tempat saya, kami mahukan gelanggang sepaktakraw dan badminton, jadi jika dibina elok juga. Kami boleh habiskan masa petang untuk bersukan. Kami juga mahukan sistem jalan tar yang elok ke kawasan kami," katanya kepada Bernama.


Katanya, sudah 20 tahun beliau menanti kemudahan itu daripada kerajaan Pas Kelantan namun kebajikan mereka tidak dijaga.


Jahri daripada suku kaum Temiar berkata, bantuan yang mereka nikmati sekarang termasuk klinik kesihatan dan elektrik dan air diperoleh daripada kerajaan pusat.


Beliau berkata, selama dua tahun memegang kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, tidak pernah ada wakil kerajaan PAS Kelantan yang turun padang untuk bertanyakan khabar mereka, jauh sekali untuk memberikan bantuan.


Sementara itu, bagi Kamal a/l Alak, 25 dari Pos Balar, golongan Orang Asli juga perlukan pembangunan dan pembelaan sama seperti rakyat yang lain.


"Jadi kami minta pihak yang berkenaan prihatinlah dengan nasib kami. Kami juga rakyat di negara ini. Masih banyak bantuan yang kami perlukan termasuk bantuan pengangkutan untuk anak-anak sekolah yang terpaksa berjalan berpuluh kilometer setiap minggu untuk pulang ke rumah," katanya.


Beliau yang mempunyai kelulusan sehingga darjah enam berkata, mereka kecewa dengan kerajaan negeri yang selama ini banyak mengabaikan kebajikannya termasuk dalam soal tanah menyebabkan kawasan yang menjadi tempat memburu dan bertani kini diceroboh pihak luar.


"Kami harap BN akan membela nasib kami, kami tidak mahu janji kosong seperti kerajaan PAS Kelantan lakukan. Apabila masa mengundi cari kami, apabila tiba masa tunai janji lupa kami" katanya.


DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar dengan 1,889 daripadanya merupakan pengundi orang Asli.-Bernama

Friday, October 29, 2010

Kampung PATI



Mahligai pendatang
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my


BERDERET...rumah setinggan yang dibina pendatang di tepi Sungai Puchong.

ITU DIA...seorang penghuni menunjukkan rumah setinggan pendatang di sebalik pokok besar.
PUCHONG: Mencemarkan pandangan mata apabila puluhan rumah setinggan didirikan dipercayai didiami pendatang Indonesia yang bekerja sebagai buruh binaan dan kilang industri di tebing Sungai Puchong dekat Pangsapuri Angsana Hilir, di sini, sejak empat bulan lalu.

Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati lebih 10 unit rumah setinggan setingkat dan dua tingkat diperbuat daripada kayu didirikan yang terlindung di sebalik pokok besar.


Penduduk, Rozita Abd Razak, 38, berkata, pendatang berani mendirikan rumah setinggan itu kerana ia tersorok di sebalik pokok besar hingga tidak kelihatan penduduk sekitar.


Katanya, penempatan haram itu boleh mendatangkan pelbagai masalah sekiranya tidak dibendung kerana mereka mungkin akan menambah lagi bilangan rumah serta mengajak masyarakat mereka mendiami kawasan itu.


“Kita bukan tidak suka dengan pendatang asing tetapi kedatangan mereka yang sesuka hati mendirikan rumah boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk kecurian dan rompakan kerana pada masa ini pelbagai masalah jenayah berlaku di sini.


“Kami bukan mahu menuduh mereka melakukan jenayah, tetapi eloklah kita berjaga sebelum kena,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Angsana Hilir,.


Menurutnya, penambahan warga asing di kawasan itu membimbangkan kerana menyebabkan jenayah kecil seperti kecurian berlaku hingga menakutkan penduduk terutama wanita.


Peniaga, Nasir Mohamad, 45, berkata, walaupun kedatangan setinggan tidak mengancam penduduk, ia memberi kesan pada masa akan datang kerana mereka berani mendirikan rumah dua tingkat diperbuat daripada kayu.


Katanya, kawasan tebing sungai diteroka boleh merosakkan ekosistem air kerana mungkin mereka menggunakan sungai sebagai punca air dan melakukan kegiatan harian.


“Kita tidak mahu kehadiran mereka memberi kesan kepada pelbagai pihak dan meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi melegakan hati masyarakat,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya akan membuat siasatan perumahan setinggan sebelum tindakan sewajarnya diambil.


Katanya, perumahan itu mungkin baru kerana Subang Jaya bersih daripada setinggan apabila semua penduduk dipindahkan ke perumahan yang disediakan.


“Pada masa ini tidak sepatutnya ada setinggan kerana dasar inflasi sifar sudah menghapuskan semuanya dan mungkin ia dibina oleh pendatang asing,” katanya.

Along


Satu panggilan hutang berganda
Oleh Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


BUKTI...Hanim menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas along di Balai Polis Wangsa Maju.
KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu panggilan telefon, mereka yang meminjam wang dari ceti haram atau along menanggung hutang 15 kali ganda daripada jumlah asal.

Itulah taktik terbaru digunakan satu rangkaian dipercayai along untuk memaksa peminjam membayar kembali hutang dan pada masa sama menyebabkan kadar pinjaman meningkat kepada jumlah yang tidak munasabah.


Taktik itu tambahan daripada prosedur sebelum ini yang memaksa peminjam membayar kadar bunga tertentu setiap kali lewat membuat bayaran.


Lebih mengejutkan apabila ada peminjam tidak menyedari mereka berurusan dengan 31 along serentak yang terdiri daripada satu rangkaian sama.


Mangsa dikenali Hanim berusia 40-an berkata, pada awalnya dia meminjam RM6,000 daripada along selepas mengalami masalah kewangan pertengahan tahun lalu.


Katanya, along berkenaan menetapkan syarat dia perlu membayar 10 peratus sebagai bunga sekiranya gagal melunaskan bayaran pada masa ditetapkan.


“Disebabkan masalah kewangan, saya lewat membayar pinjaman selama beberapa bulan. Tidak lama selepas itu, saya dihubungi seorang lelaki menawarkan pinjaman mudah.


“Tanpa memikirkan risiko, saya menerima tawaran pinjaman itu dengan niat mahu melangsaikan hutang terdahulu. Sekali lagi saya gagal membayar hutang dan kali ini seorang lagi lelaki menghubungi saya menawarkan pinjaman serupa,” katanya.


Katanya, selepas beberapa bulan, dia membayar RM13,000 menerusi dua transaksi, namun apa yang mengejutkannya, dia dimaklumkan jumlah perlu dibayar kepada along berkenaan mencecah RM85,000.


Tidak tahan diperlakukan sedemikian, mangsa membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).


Hasil pertemuan yang diaturkan bersama PPIM minggu lalu, mangsa dimaklumkan bahawa perlu membayar RM77,000, namun berubah menjadi RM85,000 beberapa hari kemudian.


Tidak cukup dengan itu, dia menerima ugutan gambarnya ditampal di seluruh kawasan rumahnya dengan niat memalukannya.


“Mereka juga datang ke rumah sambil membuat bising menuntut saya membayar baki wang yang masih tertunggak sedangkan saya sudah melangsaikan semua hutang saya,” katanya.


Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, dia membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.


Sementara itu, Pegawai Tindakan Khas PPIM, Saharuddin Abu Bakar, berkata pihaknya bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah wanita itu.


Katanya, PPIM juga berusaha membantu setiap mangsa along mendapatkan nilai ansuran yang minimum dan mampu dibayar kepada along berkenaan.

Ejen Model Tipu

Gadis dicabul 'ejen pembekal' model

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Niat seorang gadis warga Thailand untuk menjadi seorang model berkecai apabila dia bukan sahaja dicabul malah disamun seorang lelaki yang menyamar sebagai ejen agensi membekalkan model.

Jurucakap polis berkata, gadis berusia 22 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijemput lelaki berkenaan untuk dihantar ke sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang di sini.

"Suspek berusia 35 tahun itu kemudian pulang namun muncul semula di bilik mangsa pukul 9 malam, kononnya untuk berbincang mengenai surat perjanjian," katanya.

Menurutnya, ketika berbincang mangsa telah ke tandas dan semasa keluar, dia mendapati telefon bimbit dan pasport miliknya yang diletakkan di atas meja telah hilang.

"Gadis tersebut meminta untuk memeriksa beg sandang lelaki terbabit namun permintaan itu ditolak hingga berlaku pergelutan,"

"Semasa kejadian tersebut, suspek turut mengambil kesempatan dengan mencabul gadis tersebut," katanya.

Sejurus selepas kejadian, mangsa membuat laporan polis di balai berdekatan sebelum kes itu dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Rugi Terputus Elektrik

Derita elektrik terputus

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Sudah seminggu penghuni 20 buah rumah di Blok 1, pangsapuri Pandan Jaya di sini hidup dalam kepayahan berikutan bekalan elektrik ke rumah mereka terputus.

Apa yang lebih mendukacitakan penduduk ialah masih belum ada tindakan diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut mereka, bekalan elektrik di situ terputus setelah peti suis utama di blok itu meletup pada hari Khamis lalu.

Seorang penduduk, Mohd. Fairos Ibrahim, 24, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian yang tinggi akibat ketiadaan bekalan elektrik.

Dia yang menjalankan perniagaan secara dalam talian di rumahnya kini tidak boleh melakukan kerja berikutan tiada bekalan elektrik.

Katanya, dalam tempoh seminggu itu, dia kerugian kira-kira RM2,000 dan jika keadaan itu masih tidak dapat diatasi, kerugiannya pasti bertambah.

"Kita mengadu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB menyuruh memanjangkan perkara ini kepada badan penyelenggara yang menguruskan blok tersebut.

"Perkara ini juga ada diadukan kepada wakil rakyat kawasan ini, namun masih tiada tindakan diambil," katanya.

Dia berharap masalah itu dapat diselesaikan segera kerana sudah banyak perkara yang perlu dilakukannya tergendala.

Seorang lagi penduduk, Kartini Mohd. Rasat, 55, berkata, selain bergantung pada cahaya lilin pada waktu malam, ketiadaan bekalan elektrik juga menyebabkan banyak perkara lain tidak dapat dilakukan.

Ujarnya, keadaan itu juga menyusahkan dia untuk memasak kerana semua barangan di dalam peti sejuk seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran semuanya rosak," katanya.

A. Vivian, 30, pula berkata, dia mempunyai tiga anak yang masih kecil dan terpaksa sabar melihat mereka menangis terutama pada waktu malam akibat panas.

"Mengapa masih tiada tindakan dibuat sedangkan sudah berpuluh-puluh kali saya menelefon pelbagai pihak untuk membantu menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Meor Rithuan Mohamed Said berkata, beliau akan cuba mencari jalan bagi menyelesaikan masalah itu.

"Walaupun perkara ini adalah di bawah bidang kuasa badan penyelenggara blok tetapi disebabkan badan tersebut tidak mengambil tindakan, kita akan cuba jalan lain untuk mengatasinya.

"Sepatutnya penduduk di sini menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) supaya jika berlaku masalah seperti ini, lebih mudah mencari jalan penyelesaian.

Maharaja Motor

Motosikal besar bermaharajalela di lebuh raya

SEBAGAI pengguna lebuh raya yang prihatin, saya ingin menegur sikap segelintir penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi secara berkumpulan untuk ke destinasi yang mereka ingin tuju.

Pada 27 Oktober 2010 sekitar pukul 3 petang, saya telah berjuang dengan konvoi motosikal yang menuju ke arah utara selepas rehat dan rawat Sungai Perak. Mereka ini diiringi anggota polis yang mengarahkan pengguna lebuh raya supaya ke bahu jalan bagi memberi laluan kepada konvoi tersebut.

Apa yang saya dapat lihat dari jauh, satu kemalangan nyaris berlaku kerana kenderaan yang memandu laju di laluan kanan menghimpit kenderaan yang berada di sebelah kiri kerana ingin ke bahu jalan dengan segera tanpa memandang ke belakang disebabkan panik dengan siren polis.

Kenderaan polis juga dilihat memandu laju dan secara melulu tanpa menghiraukan pengguna lebuh raya yang lain.

Setelah semua motosikal beredar, saya meneruskan perjalanan dalam keadaan trafik yang penuh sesak kerana semua kenderaan mula bergerak pada masa yang sama.

Selepas lebih kurang 20 minit memandu, saya dipintas dari tengah oleh sebuah motosikal yang penunggangnya memakai jaket bertulis "Marshall" ketika saya sedang memotong sebuah kereta di sebelah kiri saya.

Ketika inilah saya nyaris melanggar motosikal tersebut kerana dengan tiba-tiba penunggang tersebut memperlahankan motosikalnya betul-betul di depan kenderaan saya kerana ingin membantu rakannya yang sedang berhenti di bahu lebuh raya.

Saya ingin menasihati semua penunggang motosikal yang sering berkonvoi supaya sentiasa mematuhi undang-undang ketika memandu dan ingatlah bahawa ada pengguna lain di lebuh raya dan mereka ini membayar tol sedangkan motosikal tidak dikenakan sebarang bayaran tol.

Perlu diingatkan bahawa jalan raya bukan hanya milik mereka dan kepada pihak polis saya menyeru agar sentiasa memikirkan pemandu lain dan tidak "menghalau" mereka dengan siren yang ada.

Othman Zakaria

Alor Setar

Skim Kaya

Skim cepat kaya tawar pulangan RM100,000 sebulan diserbu

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Hanya selepas tiga bulan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menumpaskan satu skim cepat kaya di Lembah Klang pada 28 Julai lalu, satu skim sama ditumpaskan di sini malam tadi.

Kejayaan itu hasil serbuan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Taman Equine Park di Seri Kembangan dekat sini.

Ketika serbuan pukul 10.30 malam itu, kira-kira 30 orang sedang asyik mendengar seminar dan pratonton yang dianjurkan dua lelaki berusia 30-an termasuk seorang daripadanya dipanggil mentor.

Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasanya, Shahrudin Hamzah berkata, hasil maklumat awam, pihaknya membuat serbuan ke atas premis itu yang dipercayai menganjurkan skim cepat kaya.

"Seminar dihadiri kira-kira 30 orang termasuk 20 daripadanya ahli skim terbabit. Semua mereka diperiksa dan diambil keterangan sebelum dibebaskan pukul 5 pagi ini.

"Kita turut menyita beberapa komputer riba, berpuluh-puluh kepingan cakera padat video (VCD) dan risalah mengenai skim itu untuk edaran orang ramai.

"Kita masih di peringkat awal siasatan dan sedang mengesan dalang skim itu serta bilangan yang menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas serbuan, di sini malam tadi.

Sebelum ini, polis menumpaskan satu skim cepat kaya di Lembah Klang yang memperdaya orang ramai agar melabur dalam skim terbabit dengan jumlah minimum RM10,000 sehingga RM41,000.

Menurut Shahrudin, siasatan mendapati penganjur yang menggunakan lesen sebuah syarikat jualan langsung itu, menjual barangan produk kosmetik dan kesihatan di peringkat permulaan.

Katanya, bagaimanapun, mereka mula mengambil pendekatan mencari ahli bagi memperolehi hasil keuntungan segera.

"Modus operandi daripada hasil risikan, kita percaya kumpulan itu mengajak orang ramai untuk menyertai perniagaan dengan mencari orang yang menjurus kepada skim piramid.

"Mereka kemudian dipengaruhi supaya melabur mengikut empat pakej yang ditawarkan iaitu serendah RM3,000 yang menjanjikan pulangan sehingga RM100,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, penganjur turut merangka strategi menarik lebih ramai penyertaan melalui taklimat kejayaan ahli yang memperolehi kemewahan segera hasil skim tersebut selain turut memiliki sebuah laman web rasmi.

Katanya, antara dipaparkan ialah kejayaan ahli skim terbabit terdiri daripada kakitangan awam, guru dan pelajar institusi pengajian tinggi yang memiliki kereta mewah, Mercedes-Benz dan BMW.

"Mereka juga mengadakan beberapa siri seminar ke negeri lain seperti di Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, setiap ahli diberi bimbingan menguasai teknik menjawab segala persoalan atau keraguan yang timbul bagi mempengaruhi orang awam supaya menyertai skim tersebut.

"Siasatan akan dilakukan ke atas syarikat tersebut dan sekiranya didapati melanggar peraturan Akta Jualan Langsung, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu.

"Kami juga akan mempergiatkan usaha bagi menggempur sebarang aktiviti perniagaan berasaskan skim cepat kaya," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa singkat.

Katanya, individu yang melanggar peraturan perniagaan jualan langsung boleh didenda hingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993.

"Orang awam yang mendengar sebarang taklimat berkaitan skim piramid dikehendaki melaporkan kepada bahagian penguat kuasa berhampiran atau melayari laman web kementerian itu," katanya.

Thursday, October 28, 2010

Padah Tolak Cinta


Disimbah asid cinta ditolak
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin dan Mohamad Danial Mohamad Saad
am@hmetro.com.my


DERITA...Ain cedera parah akibat melecur disimbah asid oleh bekas rakan sekerja ketika ditemui di HPP, semalam.
GEORGETOWN: “Pada malam kejadian, lelaki itu datang dengan menunggang motosikal dan secara tiba-tiba dia menyimbah ‘air’ ke muka saya sambil mengejek, ‘padan muka hang’ sebelum beredar.

“Saya tersentak dan terkejut apabila muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas, selain seluruh kulit bertukar menjadi hitam seakan-akan terbakar dan membengkak,” kata seorang gadis yang parah akibat disimbah cuka getah di Taman Cenderawasih, Seberang Prai Selatan (SPS), 17 Oktober lalu.


Gadis berusia 21 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, mendakwa menjadi mangsa balas dendam selepas menolak cinta lelaki terbabit.


Berikutan kejadian itu, hasratnya untuk mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini mungkin tidak kesampaian apabila hampir 70 peratus muka, tangan dan badannya melecur teruk.


Ain berkata, sebelum kejadian, dia bersama ibunya berada di rumah neneknya.


Ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya tidak jauh dari situ, kira-kira jam 11 malam, dia terdengar bunyi deruman enjin motosikal yang tiba-tiba berhenti berhampirannya sebelum seorang lelaki tiba-tiba menyimbah cuka getah ke arahnya.


Katanya, dia mengenali lelaki itu kerana sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk berkenalan tetapi ditolaknya secara baik.


“Sudah beberapa kali saya beritahu mempunyai teman lelaki, namun dia tidak dapat menerimanya. Malah, dia pernah mengekori saya setiap kali pergi dan balik kerja sehinggalah saya berhenti bekerja di kilang, Julai lalu.


“Saya ketika itu menjadi kerani mengenali lelaki berusia 26 tahun berkenaan yang menjadi operator di kilang sama di Nibong Tebal, April lalu. Dia pernah meluahkan perasaan cinta serta sayang kepada saya, tapi saya tak dapat menerimanya kerana bakal bertunang, bulan depan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.


Ain berkata, pada malam sebelum kejadian, lelaki itu ada menelefon kerana mahu menemuinya tetapi dia menolak dengan baik dan tidak menyangka lelaki berkenaan sanggup bertindak sekejam itu, sekali gus memusnahkan masa depannya.


“Sejurus disimbah cuka getah, saya berlari ke rumah ibu tidak jauh dari rumah nenek untuk meminta bantuan lalu dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut,” katanya.


Berikutan itu, dia berharap lelaki terbabit dikenakan tindakan sewajarnya berikutan kesengsaraan dialaminya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis.


Keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana tidak menyangka lelaki terbabit akan bertindak sekejam itu.


Sementara itu, Ketua Polis Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata, pihaknya menahan suspek yang bekerja sebagai kelindan lori di rumahnya pada 20 Oktober lalu.


Beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa tidak membalas cinta suspek. Lelaki itu dipercayai menggunakan cuka getah yang diisi dalam kole untuk menyimbah ke muka dan badan mangsa.


“Mangsa cedera teruk akibat melecur pada bahagian mata putih dan muka sebelah kiri, kedua-dua lengan tangan serta bahagian belakang badan,” katanya.


Katanya, siasatan lanjut polis mendapati suspek positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau, dua membabitkan dadah serta satu kes jenayah.


Shafien berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan cedera parah dengan senjata yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.


Shafien berkata, suspek didakwa di Mahkamah Seksyen Butterworth hari ini.

Main Kutu Lagi

Duit ‘kutu’ lebur
Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dikesan menganjurkan permainan kutu dengan mensasarkan pekerja berpendapatan rendah sebagai mangsa sebelum menghilangkan diri bersama wang yang dilaburkan itu.

Bagi meyakinkan mangsa, wanita berusia 48 tahun itu menjanjikan pulangan 100 peratus dalam tempoh seminggu selepas wang mangsa dilaburkan.


Yang menghairankan, wanita itu membayar keuntungan dijanjikan kepada pelabur untuk tempoh tertentu sebelum pelabur sama melaburkan semula wang dengan jumlah lebih banyak dan ketika itu mangsa menghilangkan diri.


Malah, wanita itu juga hanya berurusan dari dalam kereta. Alasannya bagi mengelak dicekup polis.


Setakat ini, 11 kakitangan sebuah hotel di Chow Kit mengadu diperdaya wanita berkenaan hingga mengakibatkan kerugian puluhan ringgit dan barangan kemas sejak mereka bermain kutu anjuran wanita terbabit tiga bulan lalu.


Wanita itu menggunakan alasan mahu menolong mereka berpendapatan rendah menyebabkan ramai kakitangan tertarik menyertainya. Bukan itu saja, dia juga memberi pilihan kepada kakitangan berkenaan melabur dalam bentuk emas sekiranya tiada wang.


Mangsa yang dikenali sebagai Siti Khadijah, 46, berkata dia tidak menyangka janji manis wanita itu hanya bertahan tiga minggu sebelum semua wang pelaburannya lesap begitu saja.


Katanya, wanita itu diperkenalkan rakan sekerjanya di sebuah hotel menyebabkan dia bersama 11 rakan lain turut menyertainya.


“Pada mulanya pelaburan yang dibuat nampak mudah dan meyakinkan apabila diberitahu pulangan diperoleh genap seminggu bergantung kepada jumlah pelaburan yang dilakukan.


“Dia juga memberi jaminan pelaburan dilakukan membawa pulangan sehingga 100 peratus dan keuntungan itu halal kerana wang pelaburan berkenaan digunakan bagi membiayai perniagaan mereka yang daif dan miskin,” katanya.


Katanya, tertarik dengan keuntungan dijanjikan memberi barangan kemas miliknya bernilai RM5,000 dan wang RM1 000 kepada wanita terbabit Julai lalu.


“Saya tidak menerima resit rasmi bagi menunjukkan bayaran yang dibuat tetapi nama saya direkodkan dalam buku nota yang sering dibawa wanita itu bersama-sama beberapa nama pelabur lain di dalamnya,” katanya.


Katanya, wanita itu dikenali sebagai Hajar Bee Bee Tajudin, 48, berasal dari Perak dan dipercayai berkahwin dengan warga asing.


Susulan kejadian itu, menurutnya, dia dan rakan lain membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi minggu lalu kerana wanita itu gagal membayar keuntungan seperti dijanjikan.


Berikutan itu, polis sedang mengesan wanita berkenaan.

Nak Kaya Saja

Skim cepat kaya, seorang lelaki ditahan


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Putrajaya bagi membantu siasatan ke atas sebuah syarikat skim cepat kaya di Taman Equine Park di Seri Kembangan, dekat sini awal pagi ini.

Pengarah Kanannya, Shahrudin Hamzah berkata, dalam serbuan ke atas premis itu pada jam 10.30 malam tadi, seramai 30 ahli syarikat turut diperiksa dan diambil keterangan, sebelum mereka dibebaskan.


"Serbuan itu dibuat atas hasil maklumat dan aduan dari orang ramai. Lelaki yang ditahan itu dipercayai orang kuat skim itu. Kita turut menyita beberapa laptop dan berpuluh kepingan risalah mengenai skim ini yang dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita dilokasi kejadian awal pagi ini setelah menamatkan operasi itu.


Beliau berkata, skim itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menjanjikan pulangan hampir mencecah RM100,000 dalam tempoh sebulan kepada pelabur yang membuat pelaburan minimum RM3,000 seorang.


"Sebelum mengajak ahli melabur, syarikat itu menarik orang ramai dengan menjual pelbagai produk, termasuk produk kosmetik dan kesihatan, dan selepas itu memujuk mereka melabur dalam skim cepat kayanya," kata Shahrudin. Shahrudin berkata, anggota skim ini turut ke negeri-negeri lain termasuk di Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan.


Katanya, siasatan awal mendapati skim yang berasaskan sistem piramid itu beroperasi menggunakan lesen sebuah syarikat lain.


"Kita akan siasat perkara ini dan jika itu berlaku, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu," katanya.


Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa yang singkat.


Katanya, individu yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993.-Bernama

Wednesday, October 27, 2010

Siti Lagi


Siti Balqis disorok di Gunung Jerai
Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my
2010/10/27


KELUARGA percaya Siti Balqis (gambar kecil) berada di Gunung Jerai
Sepupu dakwa lihat gadis dighaibkan jin bersama orang tidak dikenali

JERTIH: Keluarga Siti Balqis Mohd Noor, 22, yakin gadis itu dighaibkan jin dan disorokkan di Gunung Jerai, Kedah sejak Ahad lalu, selepas seorang sepupunya melihat kelibat gadis itu bersama beberapa orang tidak dikenali di depan rumahnya di Sungai Petani.

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata beliau menerima panggilan daripada anak saudaranya, Noraini Ghani, 25, dari Sungai Petani tengah hari semalam, mendakwa terkejut selepas ternampak kelibat Siti Balqis dan cuba memanggil gadis misteri itu beberapa kali, tetapi beliau terus ghaib.
“Noraini mengetahui Siti Balqis dighaibkan lagi dan dikatakan berada di Gunung Jerai selepas membaca Berita Harian tengah hari ini (semalam), lalu menghubungi saya memaklumkan apa dilihatnya itu (kelibat Siti Balqis).

“Saya sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mengesan Siti Balqis yang ghaib tetapi kali ini saya lebih risau kerana kehilangannya agak lama berbanding sebelum ini. Saya percaya Siti Balqis memang berada di Gunung Jerai berdasarkan SMS dikirim selepas dighaibkan, malah beberapa bomoh turut menyatakan perkara yang sama (Siti Balqis disorok di Gunung Jerai),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Nangka, di sini, semalam.

Norizan berkata, sebelum Siti Balqis dighaibkan semula kira-kira jam 9 malam Ahad lalu, keluarganya berdepan beberapa kejadian aneh termasuk seutas gelang besi tiba-tiba jatuh di ruang tamu rumahnya yang turut disaksikan beberapa bomoh yang berada di rumahnya ketika itu.

Katanya, selepas itu sebiji bola besi berwarna hijau pula jatuh di ruang tamu dan ramai ahli keluarga merebut mahu melihat bola berkenaan dan serentak itu Siti Balqis dighaibkan tanpa disedari ahli keluarga yang sebelum itu mengawal ketat gadis berkenaan.
Sementara itu, usaha Berita Harian menghubungi Siti Balqis menerusi nombor yang diberikan oleh ibunya beberapa kali gagal, malah, Norizan sendiri sudah menghantar beratus SMS kepada Siti Balqis untuk mengetahui lokasi sebenarnya namun tiada jawapan sehingga jam 8 malam semalam.

Norizan berkata, keluarganya juga mengundang pelajar tahfiz al-Quran Bukit Kenak, dekat sini, untuk mengadakan bacaan ayat suci al-Quran malam semalam bagi memohon keberkatan Allah supaya Siti Balqis dikembalikan semula kepada keluarganya.

Siti Balqis sekali lagi menggemparkan ahli keluarganya apabila kembali ghaib kira-kira jam 9 malam Ahad lalu dan belum ditemui hingga malam semalam.

Malah, kehilangan gadis terbabit kali ini lebih membingungkan apabila buat kali pertama dikatakan berada di lokasi agak jauh dari rumahnya di Gunung Jerai, selepas tidak hilang dalam tempoh 15 hari sebelum itu selepas mendapat rawatan perubatan Islam.

Ekasih

Hanya murid daftar eKasih dapat bantuan
Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/10/27

Pemilihan KWAPM ikut data pelajar mulai tahun depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memutuskan hanya murid yang berdaftar dengan eKasih akan menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), mulai tahun depan.

Keputusan itu dijelaskan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2009 mengenai penyata kewangan dan aktiviti kementerian, jabatan serta pengurusan syarikat kerajaan 2009.
Berikutan keputusan baru itu, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan tidak lagi perlu membuat pemilihan kerana data murid akan diambil daripada eKasih yang dibangunkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian Pelajaran sudah menghantar surat peringatan kepada semua sekolah mengenainya April lalu, supaya mematuhi syarat berikutan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara,” kata laporan itu.

Semalam, akhbar ini melaporkan pendedahan Audit mengenai penyelewengan dalam pengagihan bantuan KWAPM kepada murid tidak layak.

Mengikut laporan maklum balas itu, daripada lapan sekolah yang dipantau Audit, sebuah sekolah di Dengkil mengambil tindakan menukar guru yang menguruskan bantuan KWAPM ke sekolah lain.
Mengenai sandwich tanpa sardin, tomato, timun dan salad yang disajikan kepada murid melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kementerian Pelajaran menjelaskan Surat Pekeliling Kewangan RMT ke sekolah rendah sudah dikeluarkan Julai lalu menetapkan Jawatankuasa RMT perlu memantau pelaksanaannya.

“Pemantauan setiap hari itu memastikan pelaksanaan RMT mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Berkaitan kelewatan agihan peruntukan RMT, kementerian memutuskan peruntukan disalurkan terus ke akaun bank sekolah mulai tahun depan.

Dalam pada itu, berkaitan kes pengurangan kompaun ditawarkan kepada pendatang tanpa izin (PATI) yang ditangkap dalam operasi Jabatan Imigresen dan diluluskan pegawai atasan tanpa melalui Jawatankuasa Rayuan Imigresen, jabatan itu menjelaskan pengurangan kompaun bagi kesalahan yang boleh dikompaun adalah mengikut kuasa Ketua Pengarah Imigresen, jika menerima rayuan pengurangan.

“Pertimbangan keputusan kompaun adalah berasaskan kepada pengurangan kesesakan di penjara, ketiadaan bukti kukuh untuk mendakwa, menjadi PATI bukan atas kehendak sendiri dan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Jabatan Imigresen bagaimanapun mengakui ketiadaan sistem pengurusan fail kes yang lengkap dan teratur menyebabkan fail kes yang selesai diambil tindakan tidak ditemui kerana ia tidak disimpan secara berpusat.

PTTN

PTPTN boleh guna dokumen perjanjian


2010/10/27

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan pemberian wang pinjaman pendahuluan (WPP) yang diagihkan kepada pelajar menggunakan dokumen perjanjian boleh digunakan bagi tujuan perundangan untuk menuntut bayaran balik pinjaman.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata dokumen berkenaan mengandungi semua syarat termasuk membayar balik WPP sebelum pelajar boleh menunaikan pinjaman itu di CIMB Bank.

“Pemberian WPP bertujuan membantu pelajar keluarga miskin atau pendapatan kurang RM3,000 sebulan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ia diberi berasaskan data permohonan kemasukan ke IPTA yang diperoleh daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bagi kemasukan Julai dan Disember setiap tahun.
“Walaupun pemberian WPP tidak menggunakan perjanjian, pelajar disyaratkan menandatangani surat setuju terima ketika menunaikan waran WPP,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang mendedahkan pinjaman berjumlah RM4.9 juta diluluskan PTPTN tanpa permohonan pelajar. Selain isu WPP, Audit mendapati 187,540 set dokumen perjanjian PTPTN 2008 dan 2009 belum diproses atau ditandatangani pegawai perbadanan itu.

Ismail berkata, selaras cadangan Audit, PTPTN akan berbincang dengan IPTA untuk memasukkan kenyataan pelajar mahu memohon WPP ketika mengisi borang permohonan ke universiti.

Berhubung kelewatan memproses dokumen perjanjian PTPTN, beliau berkata, ia tidak dapat diproses berikutan sistem pengurusan dokumen mengalami masalah teknikal.
Katanya, menerusi penubuhan pasukan khas pada 27 September lalu, urusan tandatangan kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk dokumen perjanjian itu dapat disiapkan.

“Usaha sedang dilakukan untuk membolehkan tandatangan saksi kumpulan Sokongan 1 disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan dari sekarang. Apabila urusan tandatangan selesai, satu salinan dokumen perjanjian akan dihantar kepada pelajar untuk simpanan,” katanya.

Beliau juga berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan prestasi kutipan balik pinjaman PTPTN dan sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah RM1.9 bilion atau 48 peratus daripada RM4 bilion berjaya dikutip.

Banyaknya Denda

Bekas setiausaha Persatuan Rifel Kebangsaan didenda RM2.2 juta, penjara 3 bulan


2010/10/27

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha Persatuan Rifel Kebangsaan Malaysia, Ismail Zainuddin, didenda RM2.2 juta dan dihukum penjara tiga bulan bermula hari ini oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah mengemukakan dua dokumen palsu berbentuk invois berjumlah RM441,000 kepada Majlis Sukan Negara, lima tahun lalu.

Mbah

Jenazah mirip Mbah Maridjan sedang sujud ditemui


2010/10/27

YOGYAKARTA: Mbah Maridjan, Jurukunci Merapi yang berkeras enggan meninggalkan gunung berapi berusia 400,000 tahun itu, dipercayai meninggal dunia dalam kejadian letusan gunung itu petang semalam.

Pihak berkuasa termasuk doktor percaya satu jenazah melecur yang ditemui dalam keadaan bersujud ke arah kiblat dalam bilik tidur di rumahnya di kaki gunung itu di Cangkringan daerah Sleman, adalah Mbah Maridjan yang berusia 83 tahun.

Mereka, bagaimanapun, enggan mengesahkan perkara itu sehingga hasil ujian DNA diperolehi.
Dr Kresno Heru Nugroho dari Hospital Sardjito di sini berkata, mayat berkenaan mempunyai ciri-ciri fizikal Mbah Maridjan, termasuk satu ibu jari tangannya yang bengkok, serta warna dan pakaian terakhir yang dikenakannya sebelum bencana itu petang semalam.

Beberapa hari sebelum ini, Mbah Maridjan dilaporkan memberitahu saudara maranya bahawa beliau tidak akan meninggalkan gunung Merapi kerana memikul amanah sebagai Abdi Dalem Kraton Jogja (menghamba diri kepada Sultan Jogja) sebagai penjaga gunung itu.

Pasukan penyelamat malam tadi menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah beliau yang melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu dalam kejadian letusan Merapi petang semalam.

Satu daripada empat jenazah itu, yang ditemui dalam rumah Mbah Maridjan dikenalpasti sebagai wartawan portal berita vivanews.com berdasarkan dokumen pengenalan diri di mayat itu.
Mayat selebihnya ditemui bergelimpangan di halaman rumah jurukunci Merapi itu turut melecur.

Selain mereka, seorang bayi juga mati akibat hujan abu panas gunung merapi itu.

Puluhan ternakan lembu penduduk kampung di lereng gunung Merapi juga ditemui mati dalam kejadian berkenaan.

Sungguhpun sudah mengambil alih sebagai Jurukunci Merapi sejak awal 1980-an, nama Mbah Maridjan hanya menjadi popular semasa bencana letusan Merapi 2006 ketika beliau enggan berpindah meninggalkan rumahnya dengan alasan belum mendapat perintah Sultan Jogja untuk meninggalkan gunung itu.

Ketika itu, katanya beliau menerima tugas sebagai Jurukunci Merapi dari Almarhum Sultan Hamengku Buwono IX dan belum ada perintah dari sultan sekarang untuk beliau pergi dari situ.

Padahal masa itu Sultan Hamengku Buwono X yang juga Gabenor Yogyakarta (anak Sultan Hamengku Buwono IX) sudah mengeluarkan perintah beliau berpindah namun Mbah Maridjan menganggap putera Sultan HB IX itu bukan raja, melainkan hanya seorang gabenor. - BERNAMA

Cekik



Ibu cekik anak hingga mati
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Shamsul Munir Safini
am@hmetro.com.my


KOMAGAL...terjun flat lepas cekik anak.
GOMBAK: “Isteri saya mula meracau seolah-olah diganggu makhluk halus, Khamis lalu dan selepas dibawa berubat, dia seperti sudah pulih. Tak sangka pula penyakitnya berulang sehingga begitu teruk sekali.”

Demikian kata Sathia Selan, 32, yang kehilangan dua orang tersayang serentak selepas isterinya, S Komagal, 30, mencekik anak perempuan mereka berusia empat tahun sehingga mati sebelum membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 flat yang mereka duduki di Batu Caves jam 10 pagi kelmarin.


Sathia yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kenderaan berkata, dia tidak sangka tragedi itu boleh berlaku berikutan isterinya ditinggalkan dalam keadaan normal sebelum dia keluar bekerja pagi kejadian.


“Kehidupan kami sekeluarga sebelum ini cukup bahagia sebelum dia diganggu makhluk halus Khamis lalu dan mula meracau dengan mengeluarkan perkataan tidak difahami. Dia juga cuba mencekik anak kami, namun berjaya dihalang.


“Jumaat lalu saya mengambil cuti dan membawanya berubat dengan sami. Selepas itu dia kembali normal. Sebab itulah semalam (kelmarin) saya keluar bekerja dan meninggalkan dia bersama tiga anak kami,” katanya.


Menurut Sathia, anaknya yang mati dicekik isterinya ialah Ukuneswaray berusia empat tahun manakala dua lagi anaknya ialah Teneswari, 6, dan Thaneswaren, setahun.


Sumber polis berkata, yang dipercayai mengalami ‘gangguan’ secara tiba-tiba bertindak mencekik anak keduanya di depan dua anak lain.


“Anak perempuannya yang berusia enam tahun yang menyaksikan kejadian itu menjerit meminta tolong hingga menarik perhatian jiran. Menyedari jiran datang, wanita itu yang tinggal di tingkat lima melarikan diri ke tingkat 11 sebelum memanjat tembok dan terjun membunuh diri,” katanya.


Menurutnya, anaknya yang dicekik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri segera dibawa ke klinik berhampiran, namun disahkan meninggal dunia kemudian.


Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Ibu cekik anak hingga mati
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Shamsul Munir Safini
am@hmetro.com.my


KOMAGAL...terjun flat lepas cekik anak.
GOMBAK: “Isteri saya mula meracau seolah-olah diganggu makhluk halus, Khamis lalu dan selepas dibawa berubat, dia seperti sudah pulih. Tak sangka pula penyakitnya berulang sehingga begitu teruk sekali.”

Demikian kata Sathia Selan, 32, yang kehilangan dua orang tersayang serentak selepas isterinya, S Komagal, 30, mencekik anak perempuan mereka berusia empat tahun sehingga mati sebelum membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 flat yang mereka duduki di Batu Caves jam 10 pagi kelmarin.


Sathia yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kenderaan berkata, dia tidak sangka tragedi itu boleh berlaku berikutan isterinya ditinggalkan dalam keadaan normal sebelum dia keluar bekerja pagi kejadian.


“Kehidupan kami sekeluarga sebelum ini cukup bahagia sebelum dia diganggu makhluk halus Khamis lalu dan mula meracau dengan mengeluarkan perkataan tidak difahami. Dia juga cuba mencekik anak kami, namun berjaya dihalang.


“Jumaat lalu saya mengambil cuti dan membawanya berubat dengan sami. Selepas itu dia kembali normal. Sebab itulah semalam (kelmarin) saya keluar bekerja dan meninggalkan dia bersama tiga anak kami,” katanya.


Menurut Sathia, anaknya yang mati dicekik isterinya ialah Ukuneswaray berusia empat tahun manakala dua lagi anaknya ialah Teneswari, 6, dan Thaneswaren, setahun.


Sumber polis berkata, yang dipercayai mengalami ‘gangguan’ secara tiba-tiba bertindak mencekik anak keduanya di depan dua anak lain.


“Anak perempuannya yang berusia enam tahun yang menyaksikan kejadian itu menjerit meminta tolong hingga menarik perhatian jiran. Menyedari jiran datang, wanita itu yang tinggal di tingkat lima melarikan diri ke tingkat 11 sebelum memanjat tembok dan terjun membunuh diri,” katanya.


Menurutnya, anaknya yang dicekik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri segera dibawa ke klinik berhampiran, namun disahkan meninggal dunia kemudian.


Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Perangkap

ARKIB : 26/10/2010

Perangkap 'pinjaman peribadi'

Saya terpanggil untuk merungkaikan masalah sebenar yang jarang dikupas oleh Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) mengenai masalah kakitangan kerajaan yang makin meruncing. Tahukah anda kenapa Presiden CEUPACS hanya mementingkan perjuangan untuk :

n Naik gaji bagi kakitangan kerajaan

n Minta bonus satu hingga dua bulan untuk kakitangan kerajaan

n Naikkan COLA untuk kakitangan kerajaan dan segala bentuk kenaikan yang diminta.

Saya amat sedih melihat situasi kakitangan kerajaan yang kesempitan dalam hidup. Ini terjadi akibat kurangnya sikap ambil berat tentang pengurusan kewangan di kalangan kebanyakan mereka. Apa yang saya lihat kadangkala sikap mereka yang tidak suka berjimat dan mengamalkan taraf hidup yang berlebihan menyebabkan situasi ini makin meruncing.

Kakitangan kerajaan merupakan individu yang paling tinggi terperangkap di dalam dilema 'pinjaman peribadi' yang ditawarkan oleh bank-bank tempatan dan pelbagai pinjaman koperasi yang lain. Saya merupakan kakitangan swasta yang bekerja dalam sektor hartanah. Ketika permohonan pinjaman untuk membeli rumah, 80 peratus kakitangan kerajaan yang berpendapatan antara RM2,000.00 hingga RM3,000.00 sebulan, telah terdedah kepada pinjaman peribadi antara RM50,000-RM100,000. Apa yang lebih merunsingkan, tempoh pinjaman ini terlalu panjang dan ada kalanya mencecah 10 hingga 20 tahun.

Pada musim perayaan, sebulan sebelum perayaan dan awal sekolah, dapat dilihat betapa ramainya kakitangan kerajaan berpusu-pusu ke bank membuat pinjaman perayaan pula. Ini agak menguntungkan pihak bank kerana jaminan potongan gaji secara terus tetapi tidak langsung dihiraukan oleh kakitangan kerajaan akan impaknya pada masa akan datang. Bagi mereka, pinjaman RM5,000 untuk hari raya adalah wajar untuk kegunaan hari raya dan awal persekolahan kerana hanya perlu membayar RM100 sebulan selama lima hingga 10 tahun.

Ibu bapa saya merupakan kakitangan kerajaan. Ibu merupakan pesara guru dan bapa saya pula pesara tentera. Namun kemudahan ini cuma pernah digunakan sekali untuk pinjaman RM10,000 sahaja kerana ketika itu empat orang anak menuntut di pengajian tinggi. Masing-masing memerlukan komputer untuk kegunaan kami belajar dan dua orang lagi masih lagi bersekolah.

Kini ibu bapa saya telah bersara dah saya benar-benar terperanjat melihat jumlah simpanan ibu bapa saya sebelum gratutiti adalah hampir 50 peratus daripada jumlah gratuiti yang diperolehi. Setelah menilai cara perbelanjaannya kini baru saya sedari bagaimana mereka boleh menyimpan wang sebanyak itu.

Kedua-dua orang tua turut menerapkan semangat untuk menyimpan wang. Ini kerana kesemua enam orang kami akan diberikan kereta second hand setelah tamat belajar dan dilarang sama sekali untuk mebeli kereta baru. Kereta tersebut dibeli secara tunai tanpa pinjaman bank. Kami cuma perlu membayar kepada mereka tanpa faedah.

Ini berbeza dengan kebanyakan kakitangan kerajaan lain yang lebih rela untuk membeli kenderaan baru demi status yang mereka perolehi. Pernah sekali saya menyuruh ibu membeli kereta baru memandangkan dia ketua kepada stafnya di sekolah, namun ibu berkeras dan berkata tidak perlu menambah hutang yang sedia ada.

Pada hari raya pula kami akan menggunakan perabot dan barangan yang ada, jarang sekali ditukar selagi barang tersebut boleh diguna pakai. Meja makan yang dibeli oleh ibu semenjak saya berumur lima tahun masih lagi dipakai meski pun terdapat kesan terbakar. Ibu cuma menutupnya dengan alas. Kini saya berumur 27 tahun dan yang bertukar cuma kerusi. Ini menunjukkan bahawa sikap jimat cermat sebegini yang membolehkan ibu dan bapa saya menyimpan wang meskipun membesarkan kami enam beradik. Stesen televisyen berbayar pula tidak pernah dilanggan. Kami hanya dapat menikmati fasiliti ini setelah lima daripada enam orang adik beradik kami bekerja.

Ibu bapa saya bijak merancang kewangan dan sikap jimat cermat ini telah menyebabkan mereka selesa sebagai kakitangan kerajaan. Menurut ibu saya, dia sedih melihat ramai orang bawahannya menggunakan kemudahan pinjaman peribadi yang akhirnya menjerat diri. Alasan untuk berkahwin, anak bersekolah, ubah suai rumah, perayaan dan sebagainya tidak patut timbul sekiranya mereka bijak berjimat.

Saya berkahwin dengan suami pada hujung 2010. Kami melaksanakan majlis yang sederhana dan kos perkahwinan kami dapat ditampung dengan hanya wang simpanan tanpa menggunakan sebarang pinjaman.

Seorang rakan saya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan membuat pinjaman RM20,000 untuk dirinya dan RM20,000 untuk suaminya yang juga kakitangan kerajaan, untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Meski pun majlis tersebut sangat meriah berbanding majlis saya, saya kerap terfikir bahawa pinjaman tersebut belum tentu habis dibayar setelah mendapat anak.

Saya benar-benar berharap agar isu ini dapat dipandang serius. CEUPACS patut melihat masalah sebenar sebelum meminta itu dan ini. Memandangkan masalah ini kian meruncing, sekiranya gaji dinaikkan 100 peratus tetapi mereka enggan menangani isu sebenar, ia hanya akan menjadi duri dalam daging.

PEKERJA SWASTA

Seremban

Tumbuk Emak

Ibu koma selepas ditumbuk anak

Oleh HAMZAH SARAH
pengarang@utusan.com.my
KEMAMAN 26 Okt. - Seorang anak yang berang kerana ibunya lambat mengatur perkahwinannya pada 6 November ini bertindak menumbuk ibunya sehingga rebah.

Tambah malang, kepala wanita berusia 45 tahun itu terhantuk ke bucu meja dan tersembam ke lantai mengakibatkannya koma.

Kejadian berlaku di rumah mereka di Kampung Mak Cili Paya dekat sini, pukul 1.15 petang Ahad lalu, semasa mereka berbincang persiapan perkahwinan pemuda berusia 25 tahun itu.

Ketua Polis daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat memberitahu, anak kandung mangsa yang bakal mendirikan rumah tangga itu bertugas sebagai Juruteknik Petronas di Kerteh.

"Anak mangsa dikatakan mempersoalkan kelewatan persiapan perkahwinannya sehingga akhirnya tercetus pertengkaran.

"Lelaki itu tiba-tiba naik angin lalu menumbuk muka ibunya menyebabkan mangsa rebah dan dahinya pula terkena bucu meja," ujarnya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, salah seorang anak saudara mangsa yang kebetulan berada di rumah itu membawa wanita itu ke Hospital Kemaman untuk mendapat rawatan.

"Pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak hospital mendapati perempuan itu mengalami patah tulang kening sebelah kiri dan keadaannya sehingga hari ini masih lagi koma," katanya.

Menurut beliau, pihak Hospital Kemaman merujuk kes itu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Kemaman semula.

Abdullah berkata, suspek yang merupakan anak ketiga dari tujuh adik beradik menumbuk ibunya selepas tidak berpuas hati dengan jawapan wanita itu mengenai persiapan perkahwinannya.

Menurutnya, pihak hospital mengemukakan laporan kes itu kepada pihak polis dan anak mangsa hari ini menyerah diri di ibu Pejabat Polis Kemaman.

"Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun," ujar beliau.

Rogol budak 4 tahun

Budak dirogol anak pengasuh

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Seorang lelaki tidak menyangka anak perempuan jirannya berusia empat tahun yang ditemui menangis kesakitan di luar rumahnya di Kampung Chubadak, Sentul, Sabtu lalu, merupakan mangsa rogol.

Lebih menyedihkan, dia dikatakan dirogol remaja berusia 15 tahun yang juga anak pengasuhnya sejak sebulan lalu.

Kanak-kanak malang itu ditinggalkan oleh ibu bapanya di rumah pengasuh berkenaan setiap kali pergi bekerja.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, jiran lelaki pengasuh berkenaan memaklumkan keadaan kanak-kanak itu yang nampak ketakutan kepada ibu mangsa semasa dia mengambil anaknya.

"Sebaik sahaja sampai di rumahnya, ibu mangsa memeriksa anaknya dan mendapati terdapat kesan darah pada seluar yang dipakai oleh kanak-kanak itu lalu dibawa ke klinik.

"Doktor mengarahkan ibu mangsa membawa anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, wanita berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada hari yang sama.

Katanya, bertindak atas maklumat pihaknya menahan pasangan suami isteri serta anak lelaki mereka berusia 15 tahun, pukul 5 petang semalam.

Jelas beliau, pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Gelap Mata

Dua pekerja bank ditahan, RM1.45 juta ditemui semula

PULAU PINANG 26 Okt. - Polis bertindak cekap menyelesaikan kes kehilangan wang RM1.5 juta milik sebuah bank di Lebuh Bishop di sini, pada 19 Oktober lalu, dengan menahan dua kakitangan bank terbabit.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, berikutan penahanan kedua-dua suspek berusia 46 tahun sehari selepas kejadian, polis menemui semula wang tunai yang hilang berjumlah RM1.45 juta.

Katanya, baki wang terbabit berjumlah RM50,000 masih belum ditemui dan sedang disiasat.

Menurutnya, wang tunai RM590,000 itu ditemui di bank tersebut, manakala RM860,000 pula di dalam sebuah beg bola boling di sebuah pusat boling di Sungai Petani, Kedah, Jumaat lalu.

"Kita percaya telah menyelesaikan kes tersebut dan kertas siasatan juga hampir siap dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.

"Kita sedang siasat motif kejadian selain mengesan baki RM50,000 yang masih hilang.

"Salah seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi ditahan reman sehingga esok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.

Mengulas kes itu, Ayub memberitahu, pihak bank menyedari kehilangan wang tunai berjumlah RM1.5 juta selepas membuat imbangan akaun untuk minggu berkenaan pada Jumaat lalu.

Katanya, hasil siasatan dalaman menemui RM500,000 di salah sebuah bilik di bangunan bank itu, manakala RM90,000 pula ditemui di tingkat bawah bangunan terbabit.

"Pihak bank kemudian membuat laporan polis dan satu pasukan penyiasat diwujudkan bagi mengesan kehilangan wang berkenaan. Hasilnya dua suspek ditahan dan polis menemui sejumlah wang.

"Kes yang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan ini kita anggap selesai," ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, October 26, 2010

Kerjaya Mencabar





Gayat di pucuk tualang
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
dan HAYAT SUEET


MOHD. SHUKRI ABDUL RAHMAN hanyalah seorang pemuda kampung yang berasal dari Kampung Baru Hilir, Gua Musang, Kelantan.

Sebaik menamatkan persekolahan, anak sulung daripada lima beradik itu tekun mencari rezeki bagi meringankan beban keluarganya.

Antara yang pernah dilakukannya ialah bekerja di kedai makan, menoreh getah, membuat kerja-kerja kampung dan memandu lori sayur.

Bermula dari pukul 12 malam, dia akan berulang-alik sejauh 400 kilometer (km) dari Gua Musang ke Kota Bharu, Kelantan untuk menghantar sayur-sayuran. Sebaik sahaja pulang ke rumah sekitar pukul 7 pagi, dia akan bergegas ke kebun bapanya untuk menoreh getah.

"Itulah kehidupan saya setiap hari, ibarat kais pagi makan pagi, pendapatan pun tidak seberapa," cerita lelaki berusia 32 tahun itu.

Bagaimanapun, tawaran bekerja sebagai kakitangan Aremas Sdn. Bhd. yang terlibat dalam pembinaan Laluan Kanopi di Taman Negara, Kuala Koh, Kelantan beberapa tahun lalu mengubah kehidupannya.

Dia mula mula belajar kaedah memanjat pokok dengan menggunakan pelbagai peralatan moden seperti harnes (abah-abah), connector, carabiners, pullery sling, topi dan kasut keselamatan seperti yang sering digunakan para pendaki.

Bukan sembarangan orang boleh melakukan tugas itu, walaupun sudah biasa mendaki batu kapur bersama rakan-rakannya di sekitar Taman Etnabotani, Gua Musang, namun cabaran di atas pokok nyata berbeza.

"Saya mengambil masa sebulan untuk sebelum benar-benar mahir menggunakan peralatan keselamatan.

"Bayangkan, semua kerja dilakukan dalam keadaan tergantung di paras 45 hingga 50 meter dari atas tanah. Nyawa kami semua hanya bergantung pada beberapa utas tali keselamatan yang dipasang," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.


JAMBATAN gantung sepanjang 530 meter di Taman Negara ini merupakan yang terpanjang di Malaysia.

Sejak September lalu, kira-kira 18 kakitangan syarikat itu telah berkampung di kawasan Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang, bagi melakukan kerja-kerja baik pulih dan membina laluan kanopi sepanjang 200 meter. Ia menghubungkan antara pokok-pokok sebagai laluan ke kawasan hutan bagi tujuan penyelidikan dan tarikan pelancongan.

Laluan kanopi mula diperkenalkan di Taman Negara pada tahun 1992. Ia merupakan laluan terpanjang di negara ini merangkumi laluan sepanjang 530 meter pada aras ketinggian 45 hingga 70 meter.

Setiap hari, Mohd. Shukri bersama kakitangan yang lain bertungkus-lumus memasang kabel, membina platform, trek dan menara yang dijangka siap sebelum penghujung tahun nanti.

"Kami akan berada dua atau tiga jam di atas pokok sebelum turun ke bawah untuk makan dan melepaskan lelah. Jika terlalu sibuk, semuanya dilakukan di atas pokok sahaja termasuk 'urusan peribadi'," selorohnya.

Orang kepercayaan

Dia yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang itu memberitahu, pada peringkat awal, pembabitannya ditentang keras oleh keluarga.

"Saya terpaksa membawa mereka ke tempat kerja dan melihat sendiri bagaimana kerja-kerja dilakukan. Akhirnya mereka merestui, biarpun agak berbahaya tetapi inilah risiko yang terpaksa ditanggung dalam kerjaya ini," ujarnya.

Selain menjalankan tugas-tugas yang diberikan, dia juga sering diberi kepercayaan menjadi individu pertama memanjat, mengukur dan melihat kesesuaian pokok yang telah dikenal pasti.

"Saya akan melakukan pemeriksaan sehingga ke bahagian pucuknya bagi memastikan ia selamat, tidak reput serta mempunyai halangan yang boleh mengganggu pembinaan laluan kanopi.

"Kemudian, barulah saya akan mengambil ukur lilit dan menentukan kedudukan platform dan trek sebelum memasang beberapa tali keselamatan untuk kemudahan kakitangan lain," katanya yang memberitahu pokok tertinggi yang pernah dipanjat setakat ini ialah pokok tualang setinggi 100 meter.


KETEKUNAN dan kemahiran penting ketika membuat kerja-kerja dan mengikat pokok balak untuk dijadikan platform kanopi tanpa menggunakan paku.

Individu yang banyak mengajar Mohd. Shukri ialah pengurus projeknya, Azmi Abdul Aziz, 46.

Selaku kakitangan paling senior, Azmi bertanggungjawab memastikan keselamatan pekerja dan memantau perjalanan projek dari awal hingga akhir mengikut mengikut tempoh yang ditetapkan.

Pengalaman selama tiga tahun melibatkan diri dalam sukan lasak dan mendaki batu kapur sebelum ini digunakan untuk mengajar kakitangan tentang penggunaan peralatan keselamatan, teknik memanjat serta bagaimana berhadapan dengan situasi kecemasan di aras tinggi.

"Ia bergantung kepada kecekalan dan keberanian individu itu sendiri, belajar teori mudah, namun mempraktikkannya agak sukar, sedikit kecuaian sahaja boleh membawa padah," katanya yang menetap di Baling, Kedah.

Sudah menjadi kelaziman, setiap kali mahu memulakan tugas dia akan memberikan taklimat ringkas bagi memastikan tahap kesihatan kakitangan dan peralatan berada dalam keadaan terbaik.

Spesies pokok

Azmi memberitahu, pada peringkat awal projek satu kajian akan dilakukan bagi menilai keadaan tanah dan bentuk muka bumi di samping mengenal pasti kesesuaian dan jenis pokok.

Spesies pokok yang sering menjadi pilihan ialah tualang, meranti, resak, keranji, kemuning, mersawa dan medang menjadi kerana lebih stabil dan ukur lilit dan diameter yang besar.

Katanya, laluan kanopi dibina dengan kabel besi yang mampu menahan berat sehingga 10 tan manakala tali yang mengikatnya berkeupayaan menahan berat sehingga lima tan dan tahan sehingga 10 hingga 15 tahun.

"Kabel besi dan tali diikat kemas pada 'kayu rak' tanpa menggunakan sebarang paku. Ini akan memastikan pokok tidak rosak dan cedera," katanya.

Azmi menjelaskan, perbincangan dan perancangan awal penting bagi mengelakkan kesilapan semasa memasang struktur binaan.


PARA pekerja menyusuri sungai Taman Negara untuk sampai ke tempat kerja membuat kanopi.

Jika rakan-rakan sebayanya bekerja di bandar, Mohd. Anas Osman, 22, lebih selesa berdamping dengan kehijauan dan alam semula jadi.

Kebetulan, jiwa anak kelahiran Kepala Batas, Kedah ini sukakan sesuatu yang lasak dan mencabar berbanding pekerjaan tukang kimpal yang dilakukannya sebelum ini.

"Tipulah, kalau kata saya tidak takut dan gayat. Kali pertama mencubanya, lutut masih terketar-ketar walaupun kaki dah jejak tanah.

"Lama-kelamaan, perasaan itu hilang dengan sendirinya, kini rasa seronok pula terutama dapat melihat kepelbagaian flora dan fauna di atasnya," katanya.

Ditanya mengenai cabaran kerjaya itu, dia memberitahu selain aspek keselamatan, terdapat juga faktor semula jadi seperti hujan, petir dan angin kencang yang menyebabkan kebanyakan aktiviti terpaksa dihentikan sementara waktu.

Katanya, pengalaman berpaut pada batang pokok ketika sedang menyiapkan laluan kanopi di Taman negara Kuala Koh, tiga tahun dahulu paling sukar dilupakannya.

Rawat Rambut


Habis RM17,000 rawat rambut
Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my

MAHATHIR menunjukkan pakej rawatan rambut yang ditawarkan oleh pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care di George Town semalam.

GEORGE TOWN – Berhabis sehingga RM17,000 bagi merawat masalah rambut, namun hasil yang diperoleh mengecewakan.

Tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care, juruteknik sebuah kilang di sini, Mahathir Taib, 24, memfailkan kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini pada bulan lepas.

Dalam perbicaraan semalam, Presiden TTPM, Datuk A. Mutalib Mohd. Razak mengarahkan pusat rawatan rambut itu membayar ganti rugi RM1,500 serta memberikan 12 rawatan rambut percuma kepada Mahathir.

Dua wakil Yun Nam Hair Care turut hadir pada perbicaraan itu.

Dalam tuntutannya, Mahathir dari Sungai Petani, Kedah mendakwa tidak berpuas hati selain berasa terpedaya kerana tidak diberi penerangan yang jelas berhubung rawatan yang diterimanya.

Mahathir memberitahu, semasa pertama kali dia berkunjung ke pusat rawatan itu di sebuah pusat beli-belah di Bukit Mertajam dekat sini pada Oktober tahun lalu, dia diberitahu masalah rambutnya boleh dirawat lalu jururunding di situ menawarkan pakej rawatan berharga RM1,500.

Untuk pakej itu, dia menerima 10 kali sesi rawatan rambut menggunakan formula herba termasuk empat botol produk berharga RM216.

Hasrat Terkabul


Syazwan hadiahkan motosikal pada keluarga


2010/10/23


MOHAMAD Syazwan bergambar dengan motosikal Modenas CT 110 yang dimenanginya.
DUNGUN: Hasrat seorang pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) mahu menghadiahkan motosikal kepada keluarganya akhirnya menjadi realiti apabila nama beliau diumumkan pemenang hadiah cabutan bertuah pada majlis penutupan pusingan akhir Karnival GP Joran 2010 di sini.

Mohamad Syazwan Shafie, 19, dari Kemaman memenangi hadiah sebuah motosikal jenis Modenas CT 110 bernilai RM3,888.

Beliau yang ditemui berkata, perasaan gemuruh dan rasa gugup tidak semena-mena terjadi sebaik saja namanya dipanggil untuk mengambil hadiah motosikal itu.

“Saya hampir melangkah kaki untuk balik rumah selepas tidak memperoleh ikan dalam pertandingan memancing itu.

“Seperti tidak percaya, rezeki memihak kepada saya dan tiada ucapan lain yang selain terima kasih tidak terhingga kepada penganjur yang tidak lupa kepada peserta tidak mendapat ikan,” katanya yang sudah memiliki motosikal yang dibeli oleh ayahnya.

Hadiah motosikal itu disampaikan pegawai Daerah Dungun, Mustofa Abd Rahman dan disaksikan Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah.

Dua cabutan seterusnya berupa sebuah motosikal mini dan bot gentian kaca dimenangi Mohd Najib Muda, 55; dan Zulkifli Jusoh, 40, yang masing-masing dari sini. Hadiah mereka adalah tajaan dari G-Motosport Sdn Bhd dan Bot Explorer Sdn Bhd.
Sebanyak 50 cabutan bertuah dibuat dalam majlis itu bagi sebagai acara wajib setiap kali tamatnya siri penganjuran GP Joran di seluruh negara dengan hadiahnya berupa peralatan elektrik dan alatan memancing dari sumbangan penganjur dan penaja.

Siti Ghaib Lagi

Gempar Siti Balqis ghaib lagi
Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my
2010/10/26


Siti Balqis Mohd Nor
SMS diterima dakwa gadis misteri dibawa lari jin ke Gunung Jerai

JERTIH: Gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini sekali lagi menggemparkan ahli keluarganya apabila dia kembali ghaib sejak malam kelmarin dan belum ditemui hingga malam tadi.

Malah, kehilangan gadis terbabit kali ini lebih membingungkan apabila buat pertama kalinya dikatakan berada di lokasi paling jauh dari rumahnya.

Siti Balqis, yang mula menunjukkan perubahan dan tidak hilang dalam tempoh 15 hari lalu selepas mendapat rawatan perubatan secara Islam daripada beberapa pengamal perubatan, ghaib semula jam 9 malam kelmarin dan dikatakan disembunyikan di Gunung Jerai, Kedah.

Kejadian ghaib itu adalah yang pertama selepas pengamal perubatan Islam termasuk penasihat agama program Alam Ilmu Ghaib TV3, Sharhan Shafie datang merawat beliau kali kedua minggu lalu.

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata apa yang ganjil sebelum Siti Balqis hilang malam kelmarin, sebiji bola batu berwarna hijau tiba-tiba terjatuh di dalam rumahnya menyebabkan ahli keluarga terkejut dan masing-masing berebut untuk melihatnya.

“Ketika mereka berebut untuk melihat bola itu, dalam sekelip mata Siti Balqis hilang. Misteri bola batu yang jatuh itu mungkin sebagai umpan oleh jin yang didakwa menjaga Siti Balqis untuk melalaikan orang ramai yang berada di dalam rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Norizan berkata, selepas kehilangan itu, gerakan mencari dilakukan penduduk termasuk di tempat yang pernah Siti Balqis ditemui seperti di atas pokok, di atas siling, atas bumbung dan di kawasan gua Bukit Keluang, tetapi gagal.

“Sehingga jam 10 malam ini (semalam) Siti Balqis masih belum ditemui dan ini adalah kehilangan (ghaib) paling lama berbanding sebelum ini yang mana dia dijumpai semula selepas beberapa jam ghaib,” katanya.

Norizan berkata, pada jam 5 pagi semalam dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Siti Balqis yang mendakwa berada di Gunung Jerai yang dibawa oleh jin berbulu lebat.

Katanya, seluruh ahli keluarga kini dalam kebingungan kerana Siti Balqis gagal dikesan di tempat biasa dan mungkin benar-benar berada di Gunung Jerai seperti diberitahunya menerusi SMS.

Norizan berkata, sudah menjadi tabiat Siti Balqis membawa telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam poket seluar dan akan mengirimkan SMS kepada ibunya apabila dighaibkan jin.

Sementara itu, Sharhan ketika mengadakan sesi rawatan sesi kedua Ahad lalu berkata, Siti Balqis akan menghadapi cabaran dalam tempoh 21 hari dan semalam genap 14 hari menerima rawatan secara Islam sebelum terus ghaib hingga sekarang.

Norizan berkata, dia juga tidak melaporkan kes kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu kepada polis kerana yakin anaknya akan dikembalikan semula oleh jin berdasarkan pengalaman dalam kejadian sebelum ini.


Lari ikut cikgu pengkid
Oleh Alias Abd Rani


CARI...Abu Kassim (kiri) dan Faridah menunjukkan gambar Khalilah yang hilang.
KUCHING: Sepasang suami isteri terpaksa ‘terbang’ ratusan kilometer dari Melaka, semalam, selepas mendapat tahu anak gadis mereka berusia 16 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak 23 hari lalu sedang bercuti di bandar raya ini bersama gurunya yang dipercayai seorang pengkid.

Abu Kassim Ismail, 58, dan isterinya, Faridah Hassan, 56, mendakwa membuat keputusan untuk datang ke Kuching sebaik mendapat tahu anaknya, Khalilah yang menghilangkan diri sejak 8 Oktober lalu, kini dipercayai berada bersama guru wanita berusia 24 tahun itu.

Abu Kassim yang bingung mengenai nasib Khalilah berkata, sebelum ini anaknya memiliki sifat baik dan tidak pernah membantah cakap ibu bapanya selain cemerlang mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.



Katanya, sebaik anaknya yang bersekolah agama di Melaka mengenali guru yang juga penyelia asrama berkenaan, pada April lalu, dia mengesyaki sesuatu pelik berlaku ke atas anaknya sehingga mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Khalilah tinggal di asrama.



“Guru itu pernah datang dan tidur di rumah, malah saya langsung tidak mengesyaki niat buruknya. Saya mula sangsi selepas mendapat tahu anak saya sudah lama tidak ke sekolah tapi berada di rumah guru terbabit,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu hanya disedari selepas Khalilah dilaporkan tidak pulang ke rumah sebaik tamat persekolahan di sebuah sekolah agama di Melaka pada 8 Oktober lalu.

“Pada hari kejadian, saya menghantarnya ke sekolah dan pada hari itu jugalah dia menduduki ujian. Namun, sehingga petang saya menunggunya, namun kelibatnya tidak muncul, sehingga saya membuat laporan di Balai Polis Jasin, Melaka,” katanya.

Abu Kassim berkata, dia hanya mengesyaki Khalilah berada di Sarawak selepas menemui keratan tempahan yang dibuat di sebuah agensi pelancong di kediaman guru terbabit di asrama sekolah anaknya.

“Kami kemudiannya ke agensi terbabit dan mengesahkan dia dan Khalilah bercuti di Sarawak,” katanya.

Katanya, kehadiran mereka ke Sarawak diperkuatkan lagi selepas guru berkenaan dikatakan memberitahu rakan kepada anaknya menerusi laman Facebook pada Jumaat lalu.

Usaha Abu Kassim menghubungi guru berkenaan bagaimanapun gagal selepas telefon bimbit dimatikan.

Campak Ibu


Marah ibu suruh taubat
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Seorang anak yang mabuk sanggup bertindak luar batasan apabila mendukung dan cuba mencampakkan ibu kandungnya sendiri dari tingkat 14, sebuah flat di sini, selepas tiba-tiba naik berang mendengar syarahan ibunya agar bertaubat, malam kelmarin.

Bagaimanapun, wanita berusia 47 tahun dan bekerja sebagai pekerja pembersihan itu terselamat daripada maut apabila sempat meronta dan melarikan diri sebelum membuat laporan polis selepas tidak tahan dengan sikap liar anak lelakinya yang berusia 22 tahun itu.

Sumber Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, kejadian berlaku jam 8.30 malam apabila suspek dalam keadaan mabuk pulang ke rumah ibunya di Flat Sri Sarawak, Jalan Kenanga, Cheras.



“Difahamkan, suspek yang tidak dapat berfikir waras mengamuk tanpa sebab di dalam rumah dengan sengaja menjerit dan membuat bising. Tidak cukup dengan itu, suspek turut merosakkan perkakas rumah.



“Walaupun diminta ibunya supaya menghentikan perbuatan itu, suspek bertambah ganas apabila mula membaling barang kaca seperti pasu hingga pecah.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut memecahkan tingkap kaca rumah menyebabkan ibunya hilang sabar dan menjerit mengarahkan anaknya berhenti daripada berkelakuan liar,” katanya.

Difahamkan, mangsa cuba menasihatkan anaknya itu supaya berubah dan menjadi anak yang baik, selain menghentikan tabiat buruknya yang gemar pulang mabuk.

Namun, nasihat ibunya itu menyebabkan suspek menjadi bertambah ganas sebelum mengugut mahu membunuh wanita berkenaan dengan mencampakkan mangsa ke bawah.

“Bagaimanapun, mangsa yang cuba ditarik suspek melarikan diri sebelum segera menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan selepas bimbang dibunuh anaknya sendiri.

“Polis yang segera datang sebaik menerima laporan kemudian memberkas suspek yang ketika itu masih berada di rumah,” katanya.

Menurutnya, polis menahan reman suspek selama tiga hari sebelum dihantar ke Balai Polis Bukit Jalil di sini, untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, suspek yang bekerja sebagai penjual tiket wayang dibebaskan pada hari sama selepas ibunya tidak sampai hati dan menarik semula laporan polis yang dibuat.

“Susulan penarikan semula laporan polis terdahulu yang dibuat mangsa, polis melepaskan suspek yang berjanji berkelakuan baik,” katanya.

Gelap Mata Dengan Wang

Ketua juruwang sebuah bank ditahan cuba larikan RM1.5 juta


GEORGETOWN: Tindakan licik seorang ketua juruwang sebuah bank di Lebuh Bishop di sini melarikan RM1.5 juta dari bilik kebal bank berkenaan akhirnya terbongkar apabila ditahan polis pada Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaacob berkata, lelaki berusia 46 tahun itu bagaimanapun hanya sempat membelanjakan RM50,000 daripada RM860,000 yang sempat dibawa keluar lelaki itu dari bank berkenaan.


Manakala baki selebihnya iaitu kira-kira RM600,000 ditemui masih disorokkan di dalam beg bola bowling di pejabatnya. Difahamkan ketua jurueang berkenaan sebelum itu tidak memasukkan wang yang dipungut bank ke dalam bilik kebal, sebalikya hanya memasukkan data dalam komputer.

Terjun Lagi Senang



Terjunan tingkat 12
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


PARAH...keadaan mayat mangsa yang ditemui, semalam. Gambar kecil, Goh.
GEORGETOWN: Akibat tekanan hidup, seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak ditemui mati selepas dipercayai terjun dari tingkat 12 Pangsapuri Taman Serena, Sungai Pinang di sini, kira-kira 12 tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Goh Choo Hwa, 36, yang menghadapi masalah mental ditemui di kawasan meletak motosikal di bawah pangsapuri berkenaan dalam keadaan berlumuran darah. Dia dikatakan terjatuh di atas motosikal diletakkan di situ.

Mangsa dipercayai terjun dari tingkat 12 pangsapuri itu selepas keluar rumah untuk membuang sampah. Sebelum itu, mangsa sempat menemui ibunya yang tinggal di tingkat empat pangsapuri sama.



Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata mangsa tinggal di tingkat 15 bersama dua anaknya berusia 12 dan 18 tahun selepas bercerai sejak 10 tahun lalu.



Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dilaporkan mengalami masalah mental dan menerima rawatan psikiatri dua tahun lalu.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

“Laporan bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan cedera pada anggota badan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan kami minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis masih lagi mencari seorang wanita berusia 49 tahun yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang di sini, malam kelmarin.

Gan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu mangsa yang berasal dari Taman Selasih, Kulim, Kedah sempat meninggalkan nota yang tertera nombor telefon anak lelakinya dan kad pengenalannya sebelum dipercayai terjun dari jambatan itu.

Menurutnya, mangsa dipercayai menunggang motosikal dari rumah selepas bertengkar dengan suaminya sebelum meninggalkan motosikalnya di Kilometer 7.5 di atas jambatan.

Katanya, pasukan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Satu dan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) giat melakukan rondaan untuk mencari mangsa dan sehingga jam 6 petang semalam mangsa masih gagal ditemui.

Ular sawa


Bunyi kucing selamatkan 2 beranak daripada ular


ANGGOTA bomba menangkap ular sawa yang cuba membaham seekor kucing di Kampung Batu Dua, Jalan Buloh Kasap, Segamat, kelmarin.

SEGAMAT 25 Okt. - Bunyi bising seekor kucing berjaya menyelamatkan dua beranak daripada dibelit ular sawa sebesar paha orang dewasa di Kampung Batu Dua, Jalan Buloh Kasap di sini awal semalam.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, Ramlah Isahak, 39, dan ibunya, Maimunah Jaafar, 78, sedang tidur dan tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising seekor kucing di pintu depan rumah.

Menurut Ramlah, apabila pintu dibuka, dia melihat kepala kucing tersebut seolah-olah sedang tersepit sambil mengiau.

"Apabila melihat dengan lebih dekat saya terkejut kerana ular tersebut sedang cuba membahamnya.

"Kedudukan ular sawa itu tidak sampai satu meter setengah dari pintu masuk rumah kami," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, dia kemudian menghubungi pihak bomba kerana tidak berani memukul ular tersebut untuk menyelamatkan kucing berkenaan.

Jelasnya, bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk datang menangkap ular itu kerana kedudukan rumahnya yang terpencil dan berdekatan paya.

Maimunah pula berkata, ketika menunggu kedatangan bomba, ular itu masih berada di depan pintu.

Bawa Pisau Bawa Padah

Nelayan bawa pisau ke stadium dijel, sebatan

KOTA BHARU 25 Okt. – Seorang nelayan dihukum penjara tiga bulan dan sekali sebatan sekali oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membawa pisau ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia antara Kelantan dan Kedah, semalam.

Majistret Nor Haslinda Che Seman turut mengenakan denda RM350 terhadap tertuduh, Mohd. Shahril Hussin, 25, atau penjara 10 hari jika gagal membayarnya atas kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan polis.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dari Kampung Pantai Suri, Palekbang, Tumpat didakwa memiliki pisau berhulu dan bersarung hitam, panjang lebih 19 sentimeter ketika badannya diperiksa di pintu masuk A Stadium Sultan Muhammad IV pada pukul 7 petang, semalam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Shahril tidak terkecuali daripada Peraturan 27 Akta Pendaftaran Negara 1959 apabila gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh pegawai polis yang menjalankan pemeriksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000

Monday, October 25, 2010


Lelaki 'pupus' di Latvia
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/24


Ketidakseimbangan jantina sukar buat wanita Latvia cari pasangan.
Kadar kematian tinggi punca ramai wanita solo

DUA dekad selepas kejatuhan pemerintahan komunis Soviet di Latvia, wanita negara itu mencapai kedudukan jauh lebih baik berbanding lelaki - mereka lebih berpendidikan dan kadar kematian pada usia muda juga semakin rendah.

Sayangnya, ia belum cukup melengkapkan kehidupan mereka sebagai wanita kerana kadar kematian tinggi di kalangan lelaki Latvia bermakna sukar mencari pasangan hidup.

Kesukaran itu dikongsi oleh Dania dan Zane yang masih bersendiri dan bertemu di sebuah kafe di Riga untuk berbual mengenai topik kegemaran mereka - kekurangan lelaki baik.

Berusia 29 tahun, kedua-duanya cantik, bergaya dan berpendidikan tinggi tetapi di Latvia, bukan mudah mencari lelaki yang layak menjadi calon pasangan mereka.

Dania bekerja di syarikat yang mana 98 peratus rakan sekerjanya ialah wanita.

“Tiada masalahnya sebenarnya tetapi sesekali anda mahukan rakan lelaki untuk berfoya-foya atau berbual. Ia lebih menarik,” katanya sambil ketawa.
Zane pula menambah: “Sebab itulah rakan saya ke luar negara dan menemui teman lelaki di sana.”

Ketika lebih ramai lelaki dilahirkan di Latvia berbanding perempuan, keseimbangan di kalangan penduduk dewasa bertukar mendadak.

Kadar kematian yang tinggi di kalangan lelaki bermakna bilangan wanita di negara itu lapan peratus lebih daripada lelaki. Malah ketidakseimbangan jantina itu jelas dapat dilihat di dewan kemasukan Universiti Latvia di Riga.

Menurut pakar sosiologi dan pensyarah Baiba Bela, lebih 50 peratus penuntut yang diterima masuk ke situ adalah wanita. Katanya, itu bermakna wanita sukar menemui pasangan yang mempunyai tahap pendidikan sama tinggi.

Lebih malang, apabila lelaki cenderung untuk mati muda dan empat kali lebih berkemungkinan membunuh diri.

“Kali pertama ketidakseimbangan jantina ini nampak ialah antara 30 dan 40 tahun. Dalam kumpulan umur itu, kadar kematian lelaki ialah tiga kali lebih tinggi berbanding wanita umur saya.

“Memandu, ketagihan alkohol dan kemalangan di tempat kerja lebih berisiko kepada lelaki berbanding wanita,” katanya.

Wanita Latvia juga secara puratanya, hidup 11 tahun lebih lama berbanding lelaki - perbezaan jangka hayat paling tinggi antara jantina di Kesatuan Eropah.

Agris Rieksts, jurutera perisian berusia 28 tahun, berkata wujudnya budaya gagah di Latvia, yang menggalakkan tindak tanduk berisiko seperti memandu laju, merokok dan mabuk.

“Ia dikaitkan dengan kelelakian, lebih banyak ambil alkohol, anda lebih nampak jantan. Semua orang tahu itu mengarut tetapi ia masih berlaku,” katanya.

Penganalisis psikologi, Ansis Stabingis, yang merawat lelaki kemurungan dan kecenderungan membunuh diri, berkata peralihan Latvia kepada negara kapitalis 20 tahun lalu tiba-tiba meletakkan tekanan berat ke atas lelaki untuk berjaya daripada segi kewangan.

Krisis ekonomi, yang menjadikan kadar pengangguran meningkat 20 peratus, menjadikan usaha untuk selesa dalam kewangan semakin sukar dicapai.

Akibatnya, menurut kerajaan Latvia, apabila krisis memuncak pada tahun 2008, kes bunuh diri yang sudah pun tercatat antara yang tertinggi di Kesatuan Eropah, meningkat kepada 16 peratus.

“Ada tuntutan mengenai bagaimana lelaki sepatutnya hidup dan jika tidak memenuhi piawaian itu, mereka berdepan masalah kemurungan. Mereka juga mula mengambil alkohol atau berjudi kerana tidak dapat menyelesaikan masalah itu,” kata Ansis.

Buat masa ini, lebih 80 peratus kematian disebabkan bunuh diri adalah lelaki. Ansis percaya wanita Latvia lebih tabah berdepan dengan masalah kemurungan dan lebih berkemungkinan meminta bantuan profesional berbanding lelaki.

Ketika Latvia mencatatkan bilangan ibu tunggal paling tinggi di Kesatuan Eropah, Ansis, berkata wanita cenderung untuk meneruskan hidup demi anak-anak.

Info
Wanita Latvia

Latvia memiliki lapan peratus lebih ramai wanita berbanding lelaki.

Dalam lingkungan usia 30 hingga 39 tahun, wanita 3,000 lebih ramai berbanding lelaki.

Jangka hayat wanita secara purata 11 tahun lebih panjang, perbezaan paling tinggi di Kesatuan Eropah.