Tuesday, November 30, 2010

Ditinju

Ditinju sebelum bersalin
Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali
am@hmetro.com.my

MUAR: Penderitaan seorang wanita yang hampir melahirkan anak bertambah parah apabila perutnya ditumbuk berkali-kali oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berumur 26 tahun dihantar suaminya ke hospital itu selepas mengadu sakit perut mahu melahirkan anak.


Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dipercayai ditumbuk suspek di dalam lif pusat perubatan berkenaan.

“Ketika kejadian, suami mangsa meletakkan kenderaan di petak parkir, manakala suspek membantu menolak mangsa menggunakan kerusi roda ke wad bersalin.


“Ketika berada di dalam lif, mangsa ditumbuk di perut beberapa kali, sebelum dia dihantar ke wad bersalin,” katanya.


Mangsa yang terkejut dan berada dalam kesakitan akibat tindakan tidak berperikemanusiaan pengawal keselamatan itu kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang berumur 33 tahun, sebelum suami mangsa membuat laporan polis berkaitan insiden terbabit.


Menurut beliau, polis kemudiannya menahan pengawal keselamatan terbabit untuk membantu siasatan.


“Kami merujuk suspek ke Wad Psikiatri HPSF dan dia dipercayai mempunyai masalah mental.

“Siasatan awal mendapati suspek baru dua bulan bekerja di syarikat kawalan keselamatan di HPSF,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Jurucakap HPSF pula memaklumkan bahawa mangsa selamat melahirkan bayinya tidak lama selepas kejadian dan kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat.

Jangan Xbayar Keta

Dikeroyok geng penarik kereta
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang wanita mengalami detik ngeri apabila terpaksa bergelut dengan beberapa lelaki yang juga penarik kereta yang menceroboh kawasan rumahnya di Taman Petani Jaya, di sini, Sabtu lalu untuk merampas kereta miliknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Norlieza Mohd Isa, 24, cedera di lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau serta cedera di beberapa bahagian badan akibat dipukul kumpulan lelaki terbabit.


Menceritakan semula kejadian itu, Norlieza berkata, ketika kejadian dia berseorangan di rumah sewanya manakala rakannya keluar sebelum melihat dua kereta dinaiki enam lelaki berhenti di depan rumah.

“Empat daripada mereka kemudian bertindak membuka pintu pagar yang tidak berkunci sebelum menceroboh ke kawasan rumah serta membuka pintu kereta Proton Wiranya dengan mengumpil menggunakan peralatan tajam.


“Saya cuba menghalang mereka daripada merosakkan kereta sebelum seorang meminta kunci kereta. “Saya enggan memberinya kerana mereka tidak menunjukkan notis penarikan kereta daripada bank,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit turut bertindak kurang ajar apabila menyatakan mahu merampas kereta itu untuk kegunaan mereka dan mahu menjual peralatan kereta itu bagi mendapatkan wang. Malah, mereka turut mencabarnya menghubungi polis apabila dia cuba menghalang perbuatan itu.


Katanya, cubaannya untuk menghalang menyebabkan berlaku pergelutan hingga dia dipukul dan dicederakan sebelum ditolak hingga terjatuh.


“Saya bernasib baik apabila teman serumah tiba-tiba pulang dan segera menghubungi polis menyebabkan kumpulan lelaki itu beredar dan tidak sempat merampas kereta saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

Menurutnya, dia menghubungi bank berkenaan dan mereka mengakui mengeluarkan notis berkenaan tetapi tidak mengarahkan kumpulan lelaki itu merampas kereta berkenaan dan memintanya membuat laporan polis.


Katanya, kejadian itu kali kedua berlaku apabila kumpulan sama menahannya di Jalan Ibrahim, di sini, pada 9 November lalu.


“Kereta saya tiba-tiba dihalang Proton Waja dinaiki dua lelaki sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam kereta dan mengugut menyerahkan wang jika tidak mahu kereta dirampas. Saya yang ketakutan memberikannya RM100 sebelum mereka beredar.


“Bagaimanapun, setengah jam kemudian ketika di kawasan Kampung Penghulu Him, di sini, dua lagi lelaki dipercayai rakan mereka menghalang kereta saya dan meminta RM2,000. Norlieza berkata, dia yang ketakutan memberikan RM1,500 sebelum baki RM500 diberikan malamnya.


Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan membuka kertas siasatan.

CMT

CMK nafi cium Anwar

KUANTAN 29 Nov. – Penulis blog Cucu Mat Kilau (CMK) menafikan bahawa gambar individu yang mencium pipi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dirinya.

Penulis blog tersebut, Mohd. Shukri Mohd. Ramli menjelaskan, gambar yang tersebar di Internet itu bukan dirinya sebaliknya orang lain.

Menurutnya, ketika Anwar dibebaskan di mahkamah di Kuala Lumpur sekitar 2004 itu, beliau berada di situ bagi menyatakan sokongan kepada pemimpin PKR yang didakwa dengan pelbagai kesalahan.

Katanya, ketika itu beliau hanya memeluk dan menepuk bahu Anwar untuk memberi semangat kepadanya yang didakwa dengan pelbagai kesalahan.

“Gambar itu bukan superimpose (tampalan) tetapi ada individu lain yang wajahnya seakan-akan sama dengan saya.

“Saya menafikan menciumnya kerana gambar tersebut bukan diri saya seperti yang tersebar dalam Internet,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan tentang tindakan ‘berani mati’ CMK mencium penasihat parti itu di khalayak ramai yang pada masa itu memakai penyokong leher.

Selain itu, sejarah individu itu sebagai penyokong tegar Anwar kini tinggal sejarah apabila akhirnya beliau memutuskan untuk meninggalkan parti itu.

Harta

Suri rumah berjaya beku harta suami RM98.5 juta

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Seorang suri rumah hari ini berjaya memperoleh perintah pembekuan sementara (mareva order) dari Mahkamah Tinggi di sini ke atas harta suaminya yang dianggarkan berjumlah lebih RM98.5 juta.

Dengan adanya perintah sebelah pihak itu, suami kepada Fatimah Abdul Aziz, 61, tidak boleh mengeluarkan, melupuskan atau mengurangkan nilai asetnya yang berada di bawah namanya sendiri atau bersama sehingga pendengaran kes antara kedua-dua belah pihak (inter-parte) pada 9 Disember ini.

Antara aset-aset yang didakwa dimiliki oleh ahli perniagaan, Sannusi Ngah, 52, adalah saham-saham di tujuh buah syarikat termasuk di Budi Tenggara Sdn. Bhd. (Budi Tenggara) yang turut memiliki sebanyak 561,503 unit saham di Hartalega Holdings Bhd. (HHB) dan Hartalega Industries Sdn. Bhd. (HISB).

Lelaki itu turut didakwa memiliki kira-kira 10 akaun simpanan di beberapa buah bank termasuk di Lembaga Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Turut disenaraikan adalah akaun simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan keahlian kelab golf, sebuah kediaman dan polisi insurans.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan permohonan tersebut selepas berpuas hati dengan hujah peguam, K. Shanmuga bahawa kes itu mempunyai merit untuk dihujahkan dan wujudnya risiko saham-saham tersebut akan dilupuskan.

Selain Shanmuga, Fatimah turut diwakili peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay.

Fatimah yang pernah bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat perdagangan komoditi memfailkan writ saman itu pada 22 November lalu dengan menamakan suaminya sebagai defendan pertama.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah abang iparnya, Md. Jais Ngah, 65, dan syarikat pelaburan, Budi Tenggara selaku defendan kedua dan ketiga.

Dalam saman tersebut, Fatimah mendakwa, suami dan abang iparnya secara bersama atau bersendirian telah menyebabkan Budi Tenggara melupuskan saham-saham dalam HHB iaitu di antara April 2009 dan Julai lalu.

Wanita itu mendakwa separuh daripada aset yang diletakkan di bawah nama Sannusi merupakan miliknya yang dipegang oleh suaminya selaku pemegang amanah.

Fatimah yang merupakan ibu kepada seorang anak perempuan berusia 16 tahun, juga kini dalam proses memfailkan fasakh terhadap suaminya di Mahkamah Syariah di sini selepas mendakwa hubungan mereka menjadi keruh.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif menyatakan, sepanjang perkahwinan mereka dan sebelum berhenti kerja selepas memperoleh cahaya mata pada 1994, beliau telah membuat pelaburan bersama Sannusi termasuk membeli sebuah rumah di Taman Tun Dr. Ismail, di sini.

Oleh yang demikian, Fatimah mendakwa, beliau merupakan pemilik bersama atau pemilik benefisial kepada aset-aset tersebut.

Sehubungan itu, beliau antara lain memohon satu deklarasi bahawa sejumlah saham dalam HHB dan HISB yang didaftarkan di bawah nama Budi Tenggara merupakan miliknya serta perlu dipindahkan ke atas namanya.

Fatimah turut memohon perintah agar defendan pertama hingga ketiga mendedahkan mengenai jumlah wang, keuntungan termasuk dividen dan bonus yang diterima oleh kesemua defendan atas saham-saham yang dimiliki serta jumlah yang sama hendaklah dibayar kepada plaintif.

Selain itu, beliau memohon ganti rugi am dan teladan serta faedah sebanyak lapan peratus ke atas sebarang jumlah wang yang ditetapkan oleh mahkamah.

Turut dituntut adalah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Namewere

Namewee akan jadi lebih besar kepala...

Kita merasa amat terkejut, kecewa dan amat marah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyatakan kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Namewee kerana tidak melakukan sebarang kesalahan kepada kerajaan!

Sudah berbulan-bulan dan desakan demi desakan dibuat oleh pelbagai pihak untuk tindakan ke atas pemuda ini yang celupar dan beraksi 'kurang ajar' menjatuhkan maruah seorang pengetua sekolah dan juga memperlekehkan Kementerian Pelajaran!

Setelah menunggu sejak sekian lama, ini sahaja jawapan 'terbaik' yang boleh diberi oleh seorang menteri kanan. Amat mengecewakan.

Kita ingin bertanya menteri berkenaan, apakah memperlekehkan Kementerian Pelajaran dan sebelum ini mempermainkan lagu Negaraku, mempersendakan azan Subuh dan sebagainya itu tidak melibatkan kerajaan dan sensitiviti perkauman?

Dengan keputusan kerajaan ini telah menjadikan Namewee dan yang serupa dengannya bertambah besar kepala! Bagi pemuda lulusan Taiwan ini adalah satu kemenangan dan siapa yang berani menyekat kreavitinya?

Adakah generasi muda yang 'kurang ajar' dan tidak menghormati perasaan kaum lain sebegini yang kita mahu tonjolkan dan pupuk dalam wawasan 1 Malaysia? Apakah keistimewaan pemuda dari Muar ini? Kita berpandangan sebarang keputusan yang dibuat seharusnya berlandaskan fakta kes.

Kita juga kadang-kadang tertanya-tanya jika sekiranya kesalahan ini dilakukan oleh pemuda Melayu, adakah tindakan yang sama akan diambil? Atau pendakwaan akan terus dibuat tanpa memberi peluang memohon ampun dan maaf?

Kita tidak mahu pendakwaan dibuat secara terpilih seperti beberapa isu sebelum ini seperti isu 'kepala lembu' dan berpuluh-puluh laporan polis yang telah dibuat berkenaan mempersendakan Perlembagaan Persekutuan.

Apakah isu yang melibatkan orang Melayu dianggap tidak penting, remeh dan boleh ditangguhkan? Tindakan segera pula perlu diambil jika melibatkan kaum Cina dan India? Kita juga amat menyokong tindakan PERKASA yang membawa isu -isu ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Dengan keputusan kerajaan ini, kita juga tidak mahu akan ada berpuluh-puluh lagi Namewee selepas ini dengan aksi dan kata-kata lucah sesuka mereka sahaja kerana tiada tindakan. Orang Melayu pula akan merasa kecewa dan seolah-olah dipinggirkan.

SHARIAL OMAR AL-MUNSYI,

RAWANG, SELANGOR.

Bicara

Bunuh isteri: Tertuduh lakukan seks berhampiran mayat

SHAH ALAM 29 Nov. - Seorang saksi dalam kes pembunuhan eksekutif wanita, Fazlina Ahmad mengaku mengadakan hubungan seks dengan tertuduh, Mohafri Mohamed ketika mayat mangsa masih berada di dalam almari berhampiran, pada hari kejadian.

Nazratul Annis Zainal Abidin, 23, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, mereka melakukan hubungan intim di atas katil di bilik tidur utama di rumah kekasihnya itu kira-kira pukul 5.30 petang, 30 Disember 2009.

Kata saksi pendakwaan kelima itu, kejadian tersebut berlaku beberapa jam sebelum mereka berdua menaiki kereta api di KL Sentral menuju ke Perlis untuk berkahwin lari di Thailand.

''Selepas keluar dari bilik air, Mohafri masuk ke bilik air. Dia kemudian mengajak saya melakukan hubungan seks. Mulanya saya tidak mahu tetapi dia kata sekejap sahaja.

''Dia tolak saya ke atas katil dalam keadaan mengadap ke bilik air. Kami ada menggunakan kondom pada masa itu,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Dalam kes ini, bekas pengurus syarikat katering, Mohafri, 38, didakwa membunuh isterinya, Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Dia dibicara mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurut Nazatul Annis, dia berkenalan dengan Mohafri yang mengaku sudah bercerai semasa sama-sama bekerja di Pusat Perubatan Tropicana pada tahun lalu dan merancang untuk berkahwin di Thailand apabila hubungan mereka tidak direstui ibu bapanya.

Pada hari kejadian, wanita itu mendakwa menaiki bas dari Parit Buntar, Perak pada pukul 1 tengah hari dan tiba di Perhentian Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 5 petang sebelum dijemput Mohafri dan dibawa ke rumahnya di Pinggiran Ukay, Ampang.

''Saya tanya kereta Toyota Vios siapa ada di hadapan rumah. Mohafri kata ia kepunyaan sepupunya yang pergi ke Kuantan. Saya juga tanya di mana anak-anak dan pembantu rumah. Dia kata Fazlina bawa mereka ke Pulau Pinang.

''Semasa saya di ruang tamu, dia kerap berulang-alik naik turun tangga dari tingkat atas rumah. Ketika di bilik tidur utama, dia sentiasa berada di laluan sebelah kiri saya seolah-olah cuba menghalang saya daripada melihat sesuatu. Saya juga tidak nampak jelas kerana tidak memakai cermin mata,'' jelasnya.

Menurut saksi, selepas mengadakan hubungan seks, dia terdengar bunyi loceng rumah dan diberitahu oleh Mohafri ada seorang polis wanita datang untuk berjumpa pembantu rumahnya, Yayok.

Mohafri bagaimanapun enggan membuka pintu rumah kerana Yayok didakwa tidak memiliki pasport dan tidak lama selepas itu, lelaki tersebut menyuruh kekasihnya itu menaiki kereta bersama abangnya, Hanafi.

Mereka kemudian menuju ke KL Sentral dan menaiki kereta api ke Perlis pada pukul 8.15 malam sebelum turun di Rawang kira-kira 45 minit kemudian.

''Mohafri beritahu dia perlu buat laporan polis tentang kehilangan Fazlina dan menyuruh saya balik semula ke Kuala Lumpur seorang diri. Saya naik komuter dan menunggu kawan saya, Wan dari Sungai Buloh datang menjemput.

''Pada malam itu, Wan bawa saya ke rumah Mohafri untuk mengambil beg pakaian saya. Apabila sampai, rumah telah dikelilingi pihak polis. Wan keluar dari kereta untuk bertanya dan diberitahu ada kes suami bunuh isteri,'' katanya lagi.

Sementara itu, kakak mangsa, Faizah Ahmad, 47, pula berkata, Fazlina pernah mengadu menghadapi masalah rumah tangga kerana suaminya menjalinkan hubungan dengan orang ketiga dan berhasrat untuk bercerai.

Dia yang bekerja sebagai pembantu jururawat bercakap dengan mangsa untuk kali terakhir pada pukul 5 pagi hari kejadian apabila Fazlina menghubunginya dan meminta mengambil cuti kecemasan bagi menghantar bapa mereka ke hospital.

''Sebelum keluar ke tempat kerja pada pagi itu, saya ada cuba menghubungi Fazlina untuk memberitahu saya tidak dapat hantar bapa, tetapi adik saya akan berbuat demikian. Tetapi dia tidak dapat dihubungi,'' jelasnya.

Ketika diminta mengecam gambar-gambar Fazlina, saksi tidak dapat menahan kesedihan. Dia dilihat mengesat air mata menggunakan tisu yang diberikan oleh jurubahasa mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung pada 13 Januari ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, November 29, 2010

Hooray Musim Sunat


Teruja sertai khatan beramai-ramai



BASAH...peserta program berkhatan beramai-ramai dipancut air.
SUNGAI BULOH: “Sejak ibu memberitahu saya dan adik akan dikhatankan beramai-ramai, saya sangat teruja. Paling seronok bila kami diarak dengan paluan kompang dan disembur air pancut oleh bomba,” kata Mohd Faiz Mohd Rozi, 9, seorang daripada 28 peserta kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun yang mengikuti Program Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Cawangan Taman Sri Buloh, di sini, semalam.

Program itu anjuran bersama Umno Sungai Buloh dan Kumpulan Muslimah Sri Buloh dan satu jentera Bomba dan Penyelamat dari Sungai Buloh hadir memeriahkan suasana.


Mohd Faiz berkata, dia teruja selepas terpilih, malah perasaan takut hilang selepas melihat rakan-rakan seusianya gembira.

Malah, kembarnya, Mohd Fariz, 9, dan adik Mohd Ferhad Azwan, 8, turut melalui pengalaman baru itu.


“Pada mulanya takut, terutama selepas abang mengusik saya dengan pelbagai cerita menggerunkan.


“Tapi, semua itu hilang selepas saya lihat kawan-kawan senyum seolah-olah tak ada apa-apa.


“Apabila sudah berkhatan, rasa macam sudah dewasa. Pengalaman ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Keldai


Keldai dadah RM1 juta
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


PERIKSA...kastam Indonesia memeriksa beg dibawa Anthony, Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR: Seperti tidak pernah serik apabila seorang lagi lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai diupah menjadi keldai dadah untuk menyeludup syabu ke negara berkenaan bernilai lebih RM1 juta.

Suspek yang dikenali sebagai Anthony, 24, mendakwa diupah lebih RM5,000 untuk menjalankan tugas maut terbabit dengan menyeludup dadah yang disembunyikan di dalam beg.


Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, berkata suspek warga Malaysia berkenaan ditahan pihak berkuasa lapangan terbang bandar Udara Juanda Surabaya, jam 11.45 malam Sabtu lalu.

Menurutnya, pihak keselamatan lapangan terbang Surabaya bagaimanapun mengesyaki tindak-tanduk suspek yang mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.


“Lebih menghairankan petugas lapangan terbang apabila mendapati suspek tidak membawa beg pakaian besar sebaliknya mengepit beg tangan kecil dan menemui satu bungkusan aluminium yang disembunyikan di dalamnya. “Hasil pemeriksaan menemui serbuk dipercayai syabu seberat satu kilogram,” katanya.


Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku diarah sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup dadah berkenaan ke Surabaya dengan upah lumayan.


“Difahamkan, suspek diarah menyerahkan dadah terbabit kepada seorang wanita bernama Devi di Jakarta, Indonesia sebelum diberikan upah dijanjikan. Susulan penahan itu, suspek berdepan hukuman mati atau dipenjarakan 20 tahun di negara terbabit,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah 1, JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata pihaknya sentiasa memandang serius apa juga bentuk jenayah dan cubaan oleh sindiket tempatan mahupun antarabangsa yang cuba menjadikan negara ini sebagai transit pengedaran dadah.

Menurutnya, walaupun nilai rampasan dadah dan tangkapan meningkat sejak dua tahun lalu, namun sindiket terbabit sentiasa mengubah modus operandi dengan menggunakan lelaki atau gadis warga asing sebagai keldai dadah.

Isteri


Marah benar suami curang
Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

SABAK BERNAM: Seorang isteri diceraikan dengan talak tiga melalui SMS selepas mengadu kepada ketua kampung mengenai tingkah laku suaminya yang membawa pulang wanita lain ke rumah untuk melakukan maksiat.

Lebih malang, ketika membawa pulang teman wanita itu, isteri berkenaan bersama tiga anaknya berada di rumah dan melihat tingkah laku lelaki terbabit.


Isteri berkenaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 29, berkata bukan sekali, malah banyak kali suaminya berkelakuan sedemikian dan jika ditegur, suaminya itu akan memukulnya dan anak-anak dan lapan laporan polis dibuat berhubung kejadian dera itu.

Berikutan tidak tahan dengan perilaku suaminya, dia membuat aduan kepada ketua kampung meminta menasihati suaminya itu.


Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan suaminya berang dan tidak lama kemudian dia menerima SMS daripada suami yang menceraikannya dengan talak tiga.


“Kejadian berlaku sebulan lalu, kira-kira jam 10.30 malam, suami saya yang juga seorang anggota tentera membawa pulang seorang wanita berusia 21 tahun yang didakwa adik angkatnya.


“Saya sudah tidak sedap hati apabila melihat perilaku suami yang berpelukan dengan ‘adik angkat’ itu di depan mata dan percaya mereka ada hubungan sulit.


“Isteri mana yang sanggup melihat suami melakukan maksiat di depan mata. Ketika itu hancur luluh hati saya.

“Malah, anak saya turut melihat perbuatan ayah mereka itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.


Kes cerai itu katanya dirujuk ke Mahkamah Rendah Sungai Besar, di sini, dan mereka disahkan bercerai pada 10 November lalu.


Menurutnya, pernah sebelum ini dia menegur tindakan suaminya yang gemar bertukar wanita dan akibatnya dia diterajang tanpa belas kasihan.


“Saya akan disepak terajang, diketuk seluruh badan dengan tukul besi setiap kali menegur perbuatan terkutuknya yang gemar membawa kekasih ke rumah kami.


“Bukan saya saja menjadi mangsa, malah dua anak kami yang masih kecil menerima nasib sama,” katanya menceritakan nasibnya yang mendakwa sering dipukul suami jika menegur perbuatan suaminya membawa pulang wanita ke rumah sejak berkahwin 11 tahun lalu.


Menurutnya, disebabkan itu, kedua-dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun kini trauma.


“Kerana tidak tahan dengan pukulan dan hinaan suami yang memukul kami anak beranak, saya membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar dan lebih lapan laporan sudah dibuat, tetapi tiada tindakan diambil ke atas bekas suami saya itu,” katanya.


Hasil perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun yang kini menghidap penyakit paru-paru berair.


Katanya, walaupun baru berstatus janda, tetapi dia reda kerana terselamat daripada menjadi mangsa belasahan suami.


“Walaupun suami sudah keluar dari rumah, tetapi dia meninggalkan hutang along berjumlah RM15,000 menyebabkan saya kini ketakutan jika samseng datang ke rumah mencari suami saya. Dulu, kami pernah berpindah rumah kerana tidak tahan menjadi buruan along. Kini tak tahu apa pula yang akan berlaku,” katanya.


Siti berkata, kini hidupnya cuma untuk tiga anaknya dan akan cuba membesarkan mereka menjadi insan yang berguna.


Selain itu, anak sulung Siti Aishah terpaksa berhenti sekolah kerana ingin membantunya menjaga dua adiknya. “Anak bongsu saya yang berusia dua tahun terpaksa dijaga rapi kerana menghidap penyakit paru-paru berair dan perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani rawatan setiap bulan,” katanya.


Beliau yang tidak bekerja kini buntu dan berharap sumbangan orang ramai yang simpati terhadap nasibnya. Mereka yang bersimpati boleh menghubunginya di talian 012-9433226.

Resit


sanggup pungut tiket

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN

Muhammad Zamir Ahmad Termizi

TAG harga baju, resit pembelian, kad nama, slip bank, tiket wayang, tiket taman tema, tiket bas atau apa sahaja kertas yang bertanda jenama tertentu memenuhi balang khas milik anak muda itu.

Biar pun beratus kali Muhammad Zamir Ahmad Termizi dimarahi ibu, Noor Azhikien Ismail agar membuang semua sampah sarap itu, namun Muhammad Zamir Ahmad Termizi enggan berbuat demikian.

Bagi anak muda yang dikenali sebagai Amir Jeff atau AJ, helaian kertas yang mengisi beberapa balang dan juga laci di biliknya adalah ‘harta karun’ yang tidak ternilai biar pun bagi ibunya semak mata memandang. benar-benar menyemakkan mata ibu tatkala mengemas ruangan tidur anak ketiga dari lapan beradik itu.

Macam-macam helah anak ketiga daripada lapan beradik itu supaya himpunan kertas kesayangannya itu tidak diungkit oleh ibunya.

‘‘Saya akan membingkaikan resit atau tag yang cantik, mahal dan benar-benar mempunyai sentimen. Ada juga yang saya tampal di dinding bilik untuk memudahkan sesiapa saja melihatnya,’’ kata anak muda itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Seri Manjung, Perak pada tahun 2007 itu memberitahu dia paling banyak mengumpul tiket bas Transnasional kerana kerap berulang-alik dari kampung halamannya di Lumut ke Kuala Lumpur.

Sehingga hari ini, terdapat lebih kurang 66 keping tiket bas berkenaan dalam simpanannya selain puluhan tiket bas ‘hijau’ yang dinaiki semasa menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Manjung, Perak sekitar 2005.

Bas itu satu-satunya pengangkutan awam paling murah dan diminati pelajar sepertinya.

Dorongan minat menyebabkan AJ sanggup mengutip tiket yang ditinggalkan oleh penumpang di dalam bas. Begitu juga dengan tiket wayang atau invois pembelian, pasti dia akan mengambilnya secara senyap-senyap.

Mengulas tentang kepuasan AJ menjadi ‘pengutip sampah’, lelaki yang tidak lekang dengan senyuman itu berkata, setiap kertas mempunyai peristiwa tersendiri. Ia juga dijadikan sebagai bahan bukti bahawa dia pernah melawat ke satu-satu tempat.

Bahkan, masa lapang AJ sering diisi dengan membelek khazanah miliknya sambil mengimbas kembali kenangan di sebalik setiap kepingan kertas tersebut.

Suami Hanyut

Hanyut kerana ayat cinta

WALAUPUN saya sudah berkahwin lebih 20 tahun, tetapi hingga kini saya masih tak faham perangai orang lelaki terutama suami saya. Dari muda hinggalah tua dekat nak bersara ni masih suka layan ayat-ayat cinta berasmaradana.

“Masa muda gila dok bercinta dengan kawan-kawan sepejabat, bila dah tua langkah semakin jauh, dok main SMS dan catting asmara entah dengan siapa-siapa. Semua dia layan.” Demikian cerita Norsara dalam e-melnya.

“Bab tangkap dia tengah layan SMS dah banyak kali, masa muda lagi teruk, sanggup ambil cuti bawa kekasih makan angin hingga ke Melaka, Kuantan dan ke Ipoh. Kalau di PD tak usah nak cakaplah. Banyak kali. Bila kita suruh dia ambil cuti masa raya atau cuti tahun memanjang cuti dah habis.

“Sejak muda lagi, ketika kami berusia 30-an anak baru dua orang saya dah beri kata dua kepada suami saya, Zabry kalau teringin sangat nak kahwin lagi, saya tak akan sekat saya izinkan. Tapi dengan syarat ceraikan saya, sebab saya tak mahu banyak tanggung dosa bergaduh dengan suami atau dengan madu. Sebab saya tak boleh kawal perasaan saya, jadi daripada buat dosa lebih baik berpisah cara baik.

“Tapi dia mati-mati menafikan tak akan kahwin lain, dia saja suka berkawan. Kawan apa? Kalau bawa kekasih pergi bercuti. Saya tak mahu tanggung dosa dia buat maksiat. Dia nafikan juga, katanya dia tahu dosa pahala takkan nak rosakkan anak dara orang atau isteri orang. Kalau bukan muhrim buat apa berdua-duaan ke hulu ke hilir? Itukan berdosa namanya. Sekali rahsia terbongkar setahun dia baik, lepas itu bila kita terlupa dia buat hal lagi hinggalah kawan-kawan beritahu aktivitinya.

“Terbaru, dua tahun lepas dia berasmara dengan seorang wanita, fikirkan anak dara rupanya isteri orang. Bila terbongkar dia mati-mati menafikan. Saya tak larang kalau dia nak kahwin lagi, sebab saya tak mahu dia buat dosa. Tapi dia nafikan.

“Kerana dah lama hidup dengan Zabry saya dah masak dengan perubahan kelakuannya kalau tengah bercinta, khayal memanjang, telefon tak lepas di tangan, tapi sepandai-pandai tupai melompat jatuh juga ke tanah. Bila rahsia terbongkar, saya telefon wanita tersebut, terus terang saya katakan saya dah meluat dengan Zabry, saya suka kalau dia cepat kahwin dengan Zabry, jadi suruhlah Zabry masuk meminang.

Perempuan

“Terkejut perempuan tu, katanya dia hanya berkawan saja, tak ada niat nak kahwin. Kalau tak ada niat apa pasal SMS kata, ‘‘I rindu, I sayang kat u! , I miss u!, I tak boleh tidur tanpa u!’’ Itu maknanya hubungan anda dah erat jadi eloklah cepat-cepat kahwin. Tapi dia kata baru kenal enam bulan takkan nak kahwin. Lebih terperanjat bila diberitahu dia isteri orang, dia selalu hubungi Zabry kerana nak minta nasihat.

“Saya katakan minta nasihat pasal masalah rumah tangga jangan cari orang lelaki, lebih besar masalahnya, kan lebih baik rujuk pejabat agama, kepada ibu bapa mungkin mereka boleh tolong. Zabry hanya pandai mengayat cinta, buat perempuan jatuh cinta dan menyembah ke kakinya.

“Katanya, suaminya keras kepala dan ada kekasih lain. Nasihat siapa pun dia tak terima. Saya suruh dia bincang baik-baik minta cerai dengan suami lepas idah kahwin dengan Zabry, habis masalah. Katanya suaminya tak mahu ceraikan dia. Kenapa tak minta fasakh, bukan minta nasihat pada Zabry, dia bukan penyelesai masalah, tetapi menambah masalah. Dan dia suka ambil kesempatan atas masalah wanita. Ini bukan kali pertama dah banyak kali.

“Selepas tahu masalah wanita tersebut, saya bincang dengan Zabry, kalau dia kasihankan wanita tersebut, kahwinlah, mungkin hidupnya lebih aman. Tapi macam biasa Zabry memang tak mahu kahwin. Katanya dia cuma berkawan sahaja. Saja suka-suka. Tapi sampai bila?

“Saya nasihatkan Zabry, jangan suka mainkan hati wanita, kita ada anak perempuan yang dah remaja, apa perasaan kita kalau hati anak kita dipermainkan oleh lelaki lain dan dianiaya satu hari nanti. Ingatlah pembalasan Allah. Saya tak mau anak saya menderita oleh kerana perbuatan ayahnya. Tapi Zabry buat pekak.

“Kerana tak tahan dengan perangainya, saya buat pengaduan ke mahkamah syariah. Saya mahu dia dinasihati. Tapi Zabry buat pekak telinga dan buta hati. Sekali pun dia tak pernah pergi. Dia anggap saya main-main. Hinggalah saya minta fasakh dan pindah tidur berasingan. Baru dia tahu saya serius.

“Peristiwa itu berlaku awal tahun lepas hingga kini dah setahun berlalu, memang nampak ada perubahan, tapi tak tahulah untuk sementara atau Zabry dah insaf. Dia mengaku cuma suka-suka, tak pernah serius dengan wanita-wanita tersebut. Dan tidak akan ceraikan saya sebab dia takut hari tuanya nanti dia menderita.

Dia tak mahu kahwin pada usia dah nak bersara, tak ada penyakit nak cari penyakit, tak ada beban kayu digalas. Kini dia nampak dah berubah, tapi tak tahulah setahun dua lagi. Namun perasaan sayang saya padanya dah tinggal 30 peratus. Kalau dia buat hal lagi, saya akan ucapkan padanya sayonara!”

Demikian cerita Norsarah panjang lebar. Katanya, buat apa sayang pada suami yang kita dah pasti dia tak sayangkan kita, lebih baik hidup sendiri lebih tenang.

Sunday, November 28, 2010

Khatan



Khatan wanita masih popular
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
afzan.kasiman@kosmo.com.my

SEORANG kanak-kanak perempuan meronta ketika mudim wanita melakukan prosedur khatan. - Gambar hiasan

BAGI sebahagian besar masyarakat Islam di negara ini, mengkhatankan bayi perempuan dianggap sebagai satu tuntutan agama walaupun secara dasarnya ia bukan amalan yang wajib dilaksanakan.
Rata-ratanya percaya, bersunat boleh mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat sama ada untuk lelaki mahupun wanita.

“Bersunat bagi wanita bertujuan untuk menjaga kebersihan selain daripada mengawasi kesihatan batin.

“Menurut petua orang-orang lama juga, berkhatan dapat memelihara diri daripada mendapat pelbagai penyakit.

“Ia juga merupakan satu cara untuk mendoakan zuriat menjadi perempuan yang baik dan solehah apabila dewasa nanti,” jelas pengamal perbidanan tradisional, Nikmah Suhaidi, 49, ketika ditemui Jurnal di rumahnya di pekan Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Amalan dituntut

Mewarisi kepakaran turun-temurun daripada keluarga sebelah ibunya, wanita berketurunan Melayu Boyan ini sudah 18 tahun menyunatkan kaum Hawa.

“Selain bayi, saya juga menyunatkan wanita dewasa, sama ada wanita Melayu yang tidak pernah bersunat mahupun wanita yang baru memeluk Islam. Ada yang masih muda, ada juga yang sudah beranak-pinak,” ujarnya.

Menurut Nikmah, wanita mualaf memilih untuk berkhatan kerana mereka menganggap ia sebagai ritual pembersihan selain membuktikan kesediaan mereka untuk menjalani kehidupan sebagai wanita Islam.

“Ia bukan paksaan, tetapi amalan yang dituntut. Selain itu, saya juga percaya, berkhatan mampu memelihara gelora nafsu dan mengurangkan rangsangan berlebihan terhadap kaum Adam.

“Saya tidak pasti sama ada terdapat kajian yang jelas tentang sunat mampu mengawal nafsu berahi wanita.

“Namun, menurut pengalaman saya, sudah beberapa kali wanita dewasa yang dikhatankan mengakui lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka,” katanya yang pernah mengkhatankan beberapa orang pekerja seks sebelum ini.

Mengupas lebih lanjut kaedah berkhatan bagi perempuan, Nikmah memberitahu, lazimnya bayi perempuan disunatkan ketika masih kecil, seeloknya beberapa hari selepas dilahirkan.

Namun, ada juga ibu bapa yang memilih untuk menunggu hingga setahun sebelum mengkhatankan anak masing-masing.

Kerat 1.3 sentimeter

“Bersunat bagi perempuan ialah dengan memotong sebahagian muncung daging yang tersembul berdekatan saluran kemaluan wanita. Ia terletak di sebelah atas faraj yang kelihatan seakan-akan bonjolan.


SEORANG wanita menenangkan anaknya dalam satu prosedur berkhatan khusus untuk wanita di Indonesia. - Gambar hiasan

“Bagi wanita dewasa, daging yang dipotong kira-kira setengah inci (1.3 sentimeter).

“Alat yang digunakan untuk memotong ialah mata pisau cukur yang dipotong empat untuk bayi dan gunting kecil untuk wanita dewasa,” ujarnya.

Selain itu, kelengkapan lain yang diperlukan dalam adat berkhatan ialah kain putih yang bersih, minyak gamat, kain kapas dan duit syiling lima sen.

“Kain putih biasanya akan disediakan sendiri oleh pihak yang ingin dikhatankan. Bagi bayi perempuan, kain yang diperlukan ialah sepanjang satu meter dan dua meter bagi wanita dewasa.

“Kain tersebut akan digunakan sebagai alas punggung selain untuk membungkus duit syiling sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata pisau menoreh tangan.

“Bagi wanita dewasa pula, selain dijadikan alas, kain putih juga digunakan untuk membungkus daging yang digunting sebelum ditanam,” tambahnya.

Sungguhpun masih mengekalkan berkhatan cara lama, Nikmah tidak pernah berkompromi tentang kebersihan. Setiap peralatan seperti kain, mata pisau dan gunting, akan dicuci bersih sebelum digunakan.

Malah, bekas bidan di klinik swasta ini juga tidak akan menggunakan peralatan yang sama untuk pelanggan berbeza.

“Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja. Ia akan dibungkus dan ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Ini untuk mengelakkan jangkitan kuman dan komplikasi lain.

Tambah Nikmah, untuk memudahkan proses berkhatan, seelok-eloknya kita memulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

Tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali, Nikmah melakukan tugasnya dengan berbekalkan ayat suci al-Quran selain selawat.

“Selesai berkhatan, saya akan memandikan mereka dengan air limau sambil membaca selawat, ia bertujuan untuk membersihkan diri dan menjauhi perkara tidak baik daripada berlaku,” ujarnya yang pernah mengkhatankan bayi yang baru lahir hinggalah wanita dewasa berusia 50 tahun.

Mengiurkan



Pelacur merah padam
Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED


BANTERAS...antara wanita warga asing yang ditahan dalam operasi, kelmarin.

CEKUP...seorang pelacur menutup muka kerana tidak dapat menahan malu.
SEREMBAN: Bagaikan babak drama apabila dua wanita warga Indonesia disyaki pelacur menangis teresak-esak sambil berpelukan sejurus dicekup pihak berkuasa yang menyerbu dua hotel bajet berasingan di sekitar Jalan Dato Bandar Tunggal, di sini, kelmarin.

Operasi khas hasil maklumat awam serta risikan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman bermula kira-kira jam 6.30 petang.
Difahamkan, dalam serbuan itu seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20-an yang tersentak dengan kehadiran pihak berkuasa didapati cuba menahan kesedihan dengan wajahnya merah padam kerana dipercayai mahu menahan malu.

Bagaimanapun, sejurus dibawa menaiki trak polis, wanita berkenaan terus menangis teresak-esak sambil ditenangkan seorang rakan senegaranya yang turut memberikan reaksi sama sambil berpelukan.



Selain itu, ketika serbuan, seorang pelanggan berusia 20-an dikatakan tidak sempat melampias nafsunya apabila dicekup ketika melakukan hubungan ranjang dengan wanita asing di dalam sebuah bilik premis berkenaan.


Jurucakap polis berkata, pihaknya menahan 12 wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 30-an disyaki pelacur dalam serbuan di dua premis berasingan itu.

“Dalam serbuan pertama di sebuah hotel bajet, kami (polis) menahan tujuh wanita asing serta dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50-an iaitu penjaga premis berkenaan dan empat pelanggan berusia 20-an.

“Kami kemudian menyerbu sebuah lagi hotel berdekatan dan menahan lima wanita warga negara sama. Selain dua pelanggan berusia 20-an, seorang lelaki dan wanita berusia 30 hingga 50-an turut ditahan kerana disyaki menjadi penjaga kepada wanita asing terbabit,’’ katanya.

Menurut jurucakap itu, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati 11 wanita warga asing berkenaan memiliki dokumen perjalanan sah, namun menyalahgunakannya untuk kegiatan pelacuran, manakala seorang lagi langsung tidak mempunyai permit.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan beroperasi bermula kira-kira jam 12 tengah hari hingga jam 8 malam pada setiap hari dan sering menjadi tumpuan pelanggan berhidung belang sejak setahun lalu.

“Bayaran dikenakan untuk sekali perkhidmatan iaitu RM30 hingga RM40,” katanya yang turut merampas puluhan kondom untuk aktiviti tidak bermoral itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372 A Kanun Keseksaan dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.

Buta Tol Cemburu



Tekan pisau di leher
Oleh MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD, SHAMRAN SARAHAN dan MOHD ZAIDI YA’AACOB


CEDERA...Siti menunjukkan kesan luka kecil di leher dan lebam bahagian kepalanya.
MELAKA: Luluh hati seorang isteri apabila suami yang diharapkan menjadi pelindungnya tergamak memukul dan mengugut membunuhnya akibat cemburu buta, awal bulan ini.

Dalam kejadian jam 11.35 malam pada 4 November lalu, Siti, 29, mendakwa suaminya yang berusia 35 tahun menamparnya sejurus mengejutkannya daripada tidur di ruang tamu rumah mereka di Tanjung Keling, dekat sini.

“Suami menampar pipi kiri dan kanan serta memukul kepala saya bertalu-talu sambil bertanya mengapa saya curang. Saya terpinga-pinga dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut. Saya hanya mampu mengalirkan air mata menahan kesakitan.

“Kemudian dia ke dapur sebelum menghampiri saya semula dengan tangan kirinya memegang pisau. Dia mengacukan pisau ke leher saya dan tangan kanannya menarik rambut saya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.



Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku pada Ogos 2009 iaitu selepas enam bulan pasangan terbabit bernikah, namun ketika itu mangsa tidak membuat laporan polis.


Siti yang bertubuh kecil molek berkata, suaminya menekan pisau berkenaan agak kuat hingga lehernya luka.

“Dia mengugut membunuh saya jika meneruskan niat untuk bercerai. Dia juga mengugut mencederakan anak saya iaitu anak tirinya berusia tujuh dan lima tahun. Ini kali kedua suami memukul saya sejak berkahwin dua tahun lalu,” katanya.

Dia membuat laporan di Balai Polis Tanjung Keling pada 18 November lalu dan laporan kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah (IPD) keesokannya.

Menurut Siti, mulanya dia menyangka perkahwinan keduanya akan bahagia biarpun menjadi isteri kedua.

Ini kerana madunya datang meminang selepas perkenalan singkat dengan suami, sekali gus menguatkan keyakinan itu walaupun ahli keluarganya tidak bersetuju.

“Hanya enam bulan saya bahagia. Kami tidak pernah bergaduh dan suami melayan saya dan anak dengan baik, namun keadaan bertukar apabila isteri pertama tiba-tiba berubah sikap dan memberi bermacam tekanan hingga akhirnya saya diharamkan berkunjung ke rumah mentua.

“Sebelum itu hubungan kami baik dan saling kunjung mengunjung, malah saya sering membawa empat anaknya bermalam di rumah.

“Hubungan saya dengan suami mulai keruh apabila saya mengadu hal itu (berkenaan madu) kepadanya. Saya jadi takut kerana suami mula menunjukkan sikap sebenarnya yang panas baran dan kerap memarahi saya,” katanya.

Siti tidak pasti punca sebenarnya dia dipukul dan mengesyaki ia mungkin disebabkan suaminya terlihat gambarnya dengan seorang lelaki lain yang kebetulan dihantar oleh rakan menerusi ruangan sembang.

“Malam kejadian, selepas balik daripada makan malam di Ayer Molek, kami sekeluarga duduk di ruang tamu. Saya dan anak menonton televisyen hingga terlena manakala suami pula sebelum itu menggunakan komputer riba.

“Saya syak mungkin sebab itu dia marah apabila terlihat gambar saya bersama seorang kenalan lelaki ketika menghadiri satu kursus setahun lalu. Saya tidak pernah memuat turun gambar itu dan menyimpannya di dalam komputer,” katanya.

Disebabkan pelbagai masalah itu, mereka pernah berbincang dan dia meminta cerai, namun suami enggan dan memarahinya.

Dia berkata, mereka juga pernah menghadiri dua sesi kaunseling di Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

“Oleh kerana tiada penyelesaian, kami kini menumpang di rumah keluarga kerana saya bimbang keselamatan diri dan anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah berkata, pihaknya bersama peguam pembela akan mengambil tindakan berhubung permohonan proses perceraian selain bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberi perlindungan sementara kepada wanita terbabit.

“Isu keganasan rumah tangga banyak dilaporkan akhir-akhir ini dan pihak kami ada beberapa kes seumpamanya. Peguam kami yang mengendalikan dan kes seperti ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Mengenai kes Siti, kami syorkan dia diberi perlindungan di tempat sesuai di rumah ibunya. Daripada segi perundangan, peguam akan uruskan secepat mungkin,” katanya.

12 Tahun

Keluhan seorang remaja 12 tahun

Untung Sabut Timbul
Baru-baru ini saya berbual dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun. Dia menyatakan kebosanannya berada di rumah sepanjang cuti sekolah.

Menurutnya kawan-kawan yang sebaya dengannya juga menyatakan perkara yang sama. Mereka tidak dapat bertemu semasa cuti sekolah kerana rumah jauh di antara satu sama lain. Jika mahu bertandang sudah tentu memerlukan ibu bapa mereka yang menghantar.

Untuk pergi sendiri tentulah ibu bapa melarang kerana kata mereka "sekarang kat luar tu bahaya bagi budak-budak perempuan, banyak orang jahat.''

Jadi saya bertanya, apa yang dia ingin lakukan masa cuti sekolah. Adakah dia mahu bercuti ke tempat-tempat lain.

Sudah tentu, katanya. Tapi dia faham bahawa kemampuan ibu bapanya untuk membawanya berjalan adalah terhad. Bukan saja dari segi kemampuan kewangan tetapi dari segi mendapat cuti daripada majikan mereka.

Kalau dapat berjalan baguslah, katanya. Dekat-dekat pun tidak mengapa. Tapi apa yang amat diinginkan untuk dilakukan masa cuti ialah membaca buku cerita.

"Membaca buku cerita?" Saya terkejut. Kenapa buku cerita? Tidakkah di rumah sudah ada komputer, laptop, notebook, smartphone dan televisyen yang memiliki saluran untuk kanak-kanak dan remaja? Tidakkah alat-alat teknologi ini jauh lebih menarik untuk kanak-kanak menggunakannya daripada buku cerita?

Tidak, katanya. Dia dan kawan-kawannya walaupun memiliki alat-alat itu di rumah dan sering menggunakannya, tetapi ia cepat menjemukan. Menurutnyalah. Buku cerita lebih menarik.

Ini berita menarik bagi saya. Walaupun dia aktif dalam facebook tapi baginya buku cerita tetap minat paling utama.

Kalau begitu mudah saja. Belilah buku-buku cerita, kata saya. Itu masalahnya, kata dia.

Kedai buku tak banyak. Yang ada jauh-jauh belaka, Untuk pergi ke sana, perlulah ibu bapa mereka yang membawanya. Di kedai buku yang kecil pula, hanya banyak buku ulang kaji sekolah. Untuk pergi ke kedai buku besar, tentulah di pusat-pusat membeli-belah yang jauh-jauh.

Tambahan pula, buku cerita pun bukanlah murah. Ibu bapa hanya dapat membelikan buku-buku cerita sekali sekala. Buku itu dalam masa dua tiga hari habis dibacanya.

Kawan-kawannya yang dari keluarga lebih susah ingin meminjam buku-buku ceritanya. Dia sayang buku-bukunya kerana takut tidak dikembalikan.

Katanya, apabila beri pinjam pada kawan selalunya pasti tidak dikembalikan. Dia bercadang hendak fotostat buku cerita itu dan beri pada kawannya. Tetapi dia kata mahal juga untuk fotostat.

Meminjam

Saya mencadangkan padanya dan kawan-kawan dia, pergilah ke perpustakaan dan meminjam buku.

Katanya, perpustakaan jauh. Untuk ke situ ia perlukan ibu bapa menghantarnya. Lagipun katanya, perpustakaan hanya ada buku cerita lama. Buku-buku baru tidak ada.

Lagipun meminjam buku dari perpustakaan selalu kena denda. Ini kerana untuk ke situ, dia terpaksa bergantung pada ibu bapanya menghantar. Walaupun buku yang dipinjam sudah habis dibaca tetapi bila tidak ada sesiapa menghantarnya, buku itu jadi lewat. Maka kena dendalah. Akhirnya ibu bapanya melarang meminjam buku dari perpustakaan.

Dia juga kata alangkah baik jika sekolah-sekolah ada perpustakaan dan dibuka pada masa cuti sekolah. Ini kerana sekolah tidak jauh dari rumah, berbanding dengan perpustakaan awam.

Saya kata padanya, tidakkah sekolah-sekolah ada perpustakaan? Katanya di sekolah perpustakaan dinamakan pusat sumber. Di dalamnya buku sudah tidak banyak. Yang ada ialah komputer.

Buku-buku yang ada pun buku lama. Buku cerita tidak banyak. Yang ada pun sedikit. Itupun dia dan kawan-kawannya berebut hendak meminjam hingga buku-buku cerita itu menjadi lusuh.

Semasa sekolah pun, tidak ada peluang sangat untuk pergi ke perpustakaan. Waktu rehat pendek. Waktu lepas sekolah dia perlu pergi ke sekolah agama. Pada hari Sabtu pula ada aktiviti kokurikulum.

Lagipun, katanya perpustakaan sekolah jarang-jarang dibuka dan guru-guru tidak begitu menggalakkan murid-murid membaca buku atau menggunakan perpustakaan.

Semasa menjelang cuti sekolah selepas peperiksaan dan tidak ada aktiviti hendak dilakukan, guru-guru hanya menggalakkan murid-murid menghabiskan masa dengan permainan seperti catur dan sebagainya.

Dia bertanya saya mengapa sekolah tidak mampu membeli buku-buku cerita untuk murid-murid sekolah.

Sekolah menghabiskan beribu-ribu ringgit beli komputer yang dikurung dalam sangkar besi kerana takut dicuri tetapi tidak mampu membeli buku cerita yang harganya jauh lebih murah, tanya dia.

Komputer-komputer di sekolah pun jarang digunakan, selalu rosak. Yang ada pun menjadi rebutan. Tetapi katanya dia tidak boleh membaca buku cerita dari komputer. Budak-budak hanya menggunakan komputer untuk bermain game. Memang komputer berguna untuk mendapatkan maklumat tetapi tidak ada buku cerita di dalamnya.

Akhirnya budak-budak hanya menggunakan komputer untuk menonton YouTube, tulis di facebook dan hantar e-mel, katanya.

Dia menceritakan lagi bagaimana semasa guru-guru mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dahulu. Guru-guru dibekalkan dengan alat-alat teknologi. Dari laptop hinggalah kepada paparan skrin yang disambung pada projektor dari komputer.

Menurutnya, seringkali alat-alat itu rosak dan memakan masa waktu belajar. Kini banyak alat-alat itu tersadai.

Kalaulah duit yang banyak itu digunakan untuk beli buku-buku cerita bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, katanya, alangkah baik.

Friday, November 26, 2010

Kes Sosilawati

Pekerja ladang dakwa dipaksa buat pengakuan


SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang dihukum penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain memfailkan notis usul bagi mengemukakan bukti baru berhubung dakwaan berlaku paksaan terhadapnya supaya dia mengaku salah atas pertuduhan itu.

K Sarawanan, 19, yang memfailkan notis usul itu Rabu lalu melalui peguam, AS Dhaliwal, memohon mahkamah memanggil dan memeriksa rekod prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, di sini, bagi tujuan memastikan kebenaran, kesahan dan ketepatan apa-apa dapatan, hukuman atau perintah yang direkodkan atau dijatuhkan dan juga atas kepatuhan arahan prosiding dalam kes itu.


Dia juga memohon mahkamah meminda dan membetulkan fakta yang dikemukakan sebelum ini kerana fakta yang tidak benar menyebabkan dia menjadi pihak yang terkilan dan tidak mendapat keadilan.

Dalam notis usul itu, Sarawanan antara lain mendakwa dia diperdaya dan didorong untuk membuat pengakuan bersalah tanpa kerelaannya. Sarawanan juga mendakwa dia disepak di kemaluannya menyebabkan dia mereka cerita dan berbohong yang dia sudah melakukan kesalahan, semata-mata untuk melepaskan diri daripada didera polis. Selain itu, Sarawanan mendakwa ketika direman, dia diberi akujanji oleh seorang detektif dengan dia akan dilepas dan dibebaskan jika memilih peguam polis iaitu Roslie dari Tetuan Sulle & Co serta dia mendakwa dipaksa menandatangani satu borang yang tidak diketahui isi kandungnya. Sementara itu dalam prosiding semalam, peguam, Amer Hamzah Arshad yang bertindak sebagai peguam pemerhati tertuduh utama pembunuhan itu, N Pathmanathan, turut memberitahu, pihaknya sudah memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran bagi mencelah dan berhujah dalam pendengaran semakan dan rayuan oleh Sarawanan.


Amer Hamzah berkata, antara sebab permohonan itu dikemukakan kerana anak guamnya dan tiga lagi tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih belum dibicarakan.


Hakim Datuk Wira Mohtarudin menangguhkan prosiding semakan kehakiman dan rayuan Sarawanan kepada 10 Januari depan bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan membalas afidavit yang difailkan Sarawanan serta mendengar permohonan peguam pemerhati.

Buatan Tempatan


Kagum kapal buatan tempatan

Oleh IRMAN HASHIM
utusanterengganu@utusan.com.my

Cristoph Swoboda (dua dari kanan) sebelum memulakan pelayaran di Pulau Duyong, Terengganu, baru-baru ini. - utusan/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 25 Nov. - Dia terpaksa menunggu selama tujuh tahun, namun bagi Cristoph Swoboda, 57, warganegara Jerman, ia bukan suatu persoalan besar dalam memenuhi impiannya.

Mengagumi kaedah pembuatan tukang tempatan, reka bentuk dan ketahanan kapal layar tradisional Terengganu, penantiannya dianggap berbaloi.

Kelmarin, hasil kerja tangan tukang yang mewarisi kemahiran silam itu akhirnya diluncurkan dan belayar meninggalkan Pulau Duyong di sini.

Kapal layar jenis Pinis sepanjang 28.4 meter tersebut yang dibina oleh Hassan Che Ali, 56, itu dinamakan Naga Pelangi II akan dibawa belayar ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.

Bagi Christoph Swoboda, ini kapal kedua selepas Naga Pelangi yang ditempahnya di pulau kecil pinggir muara di bandar raya ini tiga dekad lalu iaitu jenis Bedar.

Pinis dan Bedar yang dikenali sebagai perahu besar asli Terengganu pada masa silamnya adalah alat pengangkutan dagangan dan penghubung rakyat negeri ini dalam lingkaran wilayah serantau.

Namun ia tidak lagi ada di perairan negeri ini dan simbol kegemilangan tamadun itu hanya kekal kaku di Muzium Negeri Terengganu dan Christoph adalah antara pelayar yang berusaha menghidupkannya semula.

Kapal layar pertama milik Christoph itu menjadi rumah kepada keluarganya sepanjang menggenapkan pelayaran mengelilingi dunia apabila kembali ke tempat pembinaannya pada 1997 dan menurunkan sauh di luar Pulau Duyong Kuala Terengganu.

Pelayar itu berhasrat menjadikan kapal baru bernilai RM2 juta yang ditempahnya pada 2003 sebagai sebuah kapal bagi kegiatan pelancongan.

Katanya, dia bersama enam rakan akan belayar ke Langkawi, Kedah terlebih dahulu bagi mempromosikan perkhidmatan pelancongan tersebut.

Christoph berkata, mereka kemudian mungkin belayar ke Phuket, Thailand untuk memperkenalkan bot berkenaan.

''Saya menempah kapal tradisional ini kerana keunikan dan cara pembuatannya. Sebelum ini, saya pernah menempah sebuah kapal jenis Bedar dan menggunakannya untuk mengelilingi dunia,'' katanya.

Kapal itu telah dijualnya pada tahun 2000 dan kini masih digunakan.

''Saya sangat berpuas hati dengan pembuatan kapal oleh tukang di sini yang pernah menjadi tempat pembuatan kapal tradisional terkemuka di rantau ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Christoph ingin menjadikan kapal tersebut sebagai sebuah kapal pelancongan bukan hanya sekadar tarikan pelancong tetapi juga memelihara salah satu warisan Melayu yang semakin pupus.

''Apabila masyarakat pelayaran dunia melihat kapal ini, mereka pastinya mengagumi kerja tangan di samping keupayaannya belayar dengan begitu sempurna.

''Saya berharap mereka juga akan menempahnya. Ia secara tidak langsung membantu mengembangkan kembali industri kapal tradisional di sini,'' katanya.

Menurutnya, kapal itu mempunyai empat bilik selain kemudahan asas termasuk tandas dan sebagainya. Ia menggunakan sistem tenaga solar untuk menjana elektrik.

''Ia mampu membawa 30 pelanggan untuk perjalanan harian dan enam orang untuk mereka yang berhasrat menginap di atas kapal ini,'' katanya.

Thursday, November 25, 2010

Rancang Keluarga

Cara rancang keluarga lelaki


AGAMA Islam memang menggalakkan penganutnya berkeluarga dan diharamkan bagi mereka yang sengaja tidak mahu berkahwin.

Pada masa sama, Islam mengambil berat aspek kesihatan wanita dan keluarga kerana jika tahap kesihatan seseorang wanita bermasalah, pasti kesihatan keluarga secara keseluruhan akan terjejas.
Di sinilah pentingnya amalan perancangan keluarga. Namun, perlu diingatkan yang lelaki juga memainkan fungsi penting dalam perkara ini. Ia kerana tanpa izin suami, isteri tidak boleh mengamalkan perancangan keluarga.

Bagaimanapun, perlu diingatkan juga kaedah perancangan keluarga bukan terhad kepada wanita, tetapi turut membabitkan pihak lelaki kerana ia memerlukan persetujuan bersama.



Kaedah yang boleh diamalkan lelaki ialah ‘Al Azal’, di mana lelaki melucutkan alat kelaminnya sebelum ejakulasi ketika bersama, manakala kaedah lain ialah menggunakan kondom.


Selain itu, kaedah ‘kasi’ atau pembuangan buah zakar boleh dilakukan. Bagaimanapun, ia bukan kaedah merancang keluarga, tetapi lebih kepada penyeksaan kepada lelaki apabila bukan saja kilang benih dibuang, tetapi juga kilang menghasilkan hormon kelelakian yang penting untuk kehidupan sebagai lelaki.

Kaedah seterusnya ialah mengikat salur sperma atau ‘vasectomi’ atau ‘sterilisasi lelaki’. Ia membabitkan prosedur mengikat kedua-dua salur sperma, sekali gus tiada sperma dalam air mani ketika ejakulasi.

Walaupun kaedah itu bunyinya menakutkan, kaedah berkenaan mudah dan tidak dibebankan dengan peralatan yang banyak. Lebih penting ialah apabila tidak diperlukan, kaedah sedemikian boleh dipulihkan dengan menyambung salur yang diikat.

Selain kaedah merancang keluarga dinyatakan tadi, tiada kaedah moden lain yang lelaki boleh amalkan.

Kajian mengenai kaedah moden seperti ‘pil perancang lelaki’ untuk mencegah persenyawaan sperma dengan telur seperti menghalang pemprosesan sperma pada waktu tertentu atau membantutkan penghasilan sperma tidak berjaya menghasilkan penemuan diharapkan.

Kebanyakan kajian mengenai ekstrak biji kapas dan beberapa biji palmaria yang didapati mengandungi kimia yang mengganggu pemerosesan sperma seperti ‘kontrsperm’ dan ‘gossipol’ didapati tidak berkesan secara purata dalam menghalang pembiakan sperma.

Malah, ‘gossipol’ dalam tahap tinggi boleh mengakibatkan tekanan kepada fungsi jantung dan menjadi punca kematian. Pil untuk lelaki berbentuk suntikan hormon diperkenalkan baru-baru ini sebagai kaedah dalam kajian.

Hormon dimaksudkan ialah hormon ‘progesterone’ dan ‘testosterone’ kerana didapati hormon berkenaan dapat menghalang pembiakan sperma dalam masa terdekat, antara empat hingga lapan minggu.

Bagaimanapun, kajian yang diselenggarakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai kaedah hormon masih peringkat permulaan.

Rentung Curi Kabel



Rentung genggam kabel
Oleh Junaidi Ladjana dan Fardy Bungga


HAMPIR PUTUS...sebahagian penebat kabel elektrik terkoyak dipercayai dipotong mangsa.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang cuba mencuri kabel elektrik berhampiran Kondominium Marina Court di sini, ditemui rentung dalam keadaan terlentang dengan tangannya masih menggenggam kabel yang hampir terputus, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun itu mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa 11,000 volt (kV) beberapa hari lalu sebelum ditemui pengawal keselamatan yang terhidu bau busuk di sekitar kawasan itu, kira-kira jam 7.30 pagi.
Sebelum itu, pengawal terbabit memeriksa kawasan berkenaan selepas dimaklumkan mengenai bau busuk oleh orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.

Ketika memeriksa di satu kawasan parit, pengawal itu terkejut melihat tubuh manusia terlentang dengan berpakaian gelap dipercayai terbakar sebelum memaklumkannya kepada polis.



Polis yang tiba beberapa minit kemudian terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mayat berikutan keadaan parit yang menyalurkan paip air bawah tanah itu agak sempit.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, polis yang menerima panggilan orang ramai bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba, polis menemui satu mayat rentung dalam keadaan terlentang.

"Oleh kerana kabel elektrik masih berfungsi, polis terpaksa meminta bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mematikan bekalan bagi membolehkan anggota bomba membawa keluar mayat terbabit,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan polis menolak sebarang unsur jenayah.

“Mangsa mati akibat terkena renjatan elektrik berdasarkan keadaan mangsa yang memegang kabel yang hampir terputus.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke di Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat," katanya.

Duduk Dengan Kambing


Serumah bersama 24 kambing
Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali


SERONOK...Wahid melihat kambing yang dipelihara di rumahnya sejak 10 tahun lalu.
LEDANG: Walaupun tinggal sebumbung dengan 24 kambing milik mereka di Pekan Rawang di sini, sejak 10 tahun lalu, Wahid Husin, 58, dan isteri, Ijah Jaafar, 40, tidak menganggap bau serta kesesakan di dalam rumah kerana kehadiran ternakan berkenaan mengganggu mereka sebaliknya menambahkan lagi keceriaan.

Mereka yang mendakwa sudah biasa hidup sebumbung dengan haiwan terbabit malah tidak sanggup membiarkan ternakan itu tinggal di luar.
“Ada rakan serta jiran mengesyorkan kami melepaskan kambing itu ke luar rumah tetapi kami bimbang hilang dicuri atau mengganggu ketenteraman penduduk,” katanya, semalam.

Wahid yang mendakwa tidak cukup modal membina kandang kambing berkata, sudah lama dia merancang membina kandang berkenaan tetapi hasrat sering terbantut kerana ada lagi perkara penting perlu dilakukan dengan wang yang ada.



Bagaimanapun, Wahid tetap berharap impiannya untuk mempunyai kandang kambing terlaksana.


Menurut Wahid, pada mulanya dia hanya membela dua kambing sebagai haiwan peliharaan tetapi lama-kelamaan membiak hingga mencecah 24 ekor.

“Semua ini bermula selepas saya mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah kilang perabot berhampiran dan membela kambing bagi mengisi masa lapang.

“Tidak pula saya jangka kambing dulunya hanya dua ekor kini membiak sebanyak sekarang menyebabkan rumah kami sesak,” katanya.

Pasangan yang masih tiada cahaya mata itu amat menyayangi kambing berkenaan sehingga tidak sanggup menjualnya kepada orang ramai.

Kapal


Kapal perang induk AS tiba


KAPAL perang induk USS George Washington dihantar ke perairan Korea berikutan ketegangan antara Korea Utara dan Korea Selatan, semalam. - AGENSI

SEOUL 24 Nov. - Sebuah kapal perang induk Amerika Syarikat (AS) hari ini memulakan pelayaran ke perairan Korea hari ini, sehari selepas Korea Utara membedil sebuah pulau Korea Selatan.

USS George Washington yang berkuasa nuklear dan mampu membawa 75 jet pejuang dengan krew seramai lebih 6,000 orang, meninggalkan pangkalan tentera laut selatan Tokyo dan akan menyertai latihan ketenteraan dengan Korea Selatan bermula Ahad ini hingga Rabu depan.

"Latihan ini adalah bersifat pertahanan. Ia dirancang sebelum serangan tanpa provokasi yang berlaku semalam dan membuktikan kekuatan perikatan ROK (Korea Selatan)-AS serta komitmen AS dalam kestabilan serantau secara pencegahan," kata kenyataan Pasukan Tentera AS Korea.

White House berkata, Presiden Barack Obama menelefon Presiden Myung-bak untuk memberitahu AS akan terus 'berada di sisi' sebagai sekutu Korea Selatan, yang menempatkan 28,500 anggota tentera AS.

China pula kini semakin menghadapi tekanan disebabkan tindakan sekutunya itu tetapi hanya meluahkan kebimbangan tanpa mengutuk tindakan Korea Utara, malah medianya bersimpati dengan cerita serangan versi Pyongyang yang menuduh Korea Selatan melepaskan bedilan terlebih dulu.

Korea Selatan yang mengutuk 'kekejaman tanpa rasa kemanusiaan' ke atas orang awam, menegaskan yang bantuan banjir kepada Korea Utara dihentikan serta-merta.

Sebelum ini Seoul turut bertindak menamatkan rundingan menyatukan semula keluarga yang terpisah akibat Perang Korea 1950-1953.

Bedilan artileri ke atas Pulau Yeonpyeong dekat sempadan yang menjadi pertikaian di Laut Kuning, menyebabkan 700 penduduk awamnya melarikan diri dan memberi kesan negatif kepada pasaran kewangan seluruh dunia.

Ia mencetuskan kebimbangan mengenai niat Korea Utara, beberapa hari selepas berita program nuklear terbaru negara komunis itu didedahkan.

Dua anggota marin Korea Selatan terbunuh manakala dua lagi mayat orang awam dilaporkan sudah ditemui hari ini, lapor televisyen YTN.

Akhbar-akhbar utama Seoul mendesak kerajaan bertindak balas dengan sebuah daripadanya menegaskan 'kayu pemukul adalah satu-satunya ubat untuk anjing gila'.

Korea Selatan menyatakan akan menghantar lebih banyak kelengkapan artileri di Pulau Yeonpyeong selepas pegawai mengesahkan Korea Utara telah melepaskan 170 bedilan dengan 80 daripadanya mengenai pulau itu dan menyebabkan 19 buah rumah terbakar.

Myung-bak turut mengarahkan kekuatan tentera di lima pulau barisan depan diperkukuhkan dan meminta pihak tentera mengkaji perubahan yang boleh dibuat dalam undang-undang perhubungan, membenarkan Seoul bertindak balas lebih aktif terhadap provokasi. - AFP

Terperangkap Dalam Bilik Air

Wanita tua terperangkap 3 minggu dalam bilik mandi

PARIS 24 Nov. - Pasukan bomba Perancis menyelamatkan seorang wanita warga emas yang terperangkap di dalam bilik mandi rumahnya selama tiga minggu selepas ketukan paip meminta pertolongan gagal mendapat perhatian jiran-jirannya.

Wanita berusia 69 tahun itu dalam keadaan yang sangat lemah ketika bomba tiba di rumah mangsa di bandar kecil Epinay-sous-Senart di Paris, selepas jiran menghubungi pihak berkuasa kerana bimbang dia tidak kelihatan dalam tempoh tersebut.

Dia yang terkunci akibat kerosakan tombol pintu bilik mandi, terpaksa meminum air dari singki dan mengetuk paip pada waktu malam untuk meminta pertolongan.

Namun jiran di blok apartmen itu menyangka ia adalah kerja-kerja pembaikan dan mengadakan petisyen untuk mencari pemilik rumah itu supaya bunyi tersebut dihentikan. - AFP

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Harga Tanah

Harga tanah tidak masuk akal

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

AHMAD Said bersalaman dengan anggota keselamatan yang hadir selepas menyampaikan ucapan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 24 Nov. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said terkejut dengan kadar nilai bagi pengambilan balik tanah di sekitar kawasan bandar raya ini yang disifatkannya sangat tinggi dan tidak masuk akal.

Beliau memberitahu, perkembangan itu boleh merencatkan usaha membangun dan menyusun semula kawasan bagi merancakkan kemajuan dan mencorakkan persekitaran kehidupan lebih selesa.

Katanya, berdasarkan laporan penilaian, nilai untuk sekeping lot tanah telah mencecah RM1.5 juta dan ia mencapai sehingga kira-kira RM4 juta jika lot itu terdapat premis bertingkat.

Malah beliau dimaklumkan, nilai yang perlu dibayar balik kerajaan untuk sebuah rumah yang sudah usang dan hampir roboh mencecah RM31,000 selain nilai bagi reban ternakan sebanyak RM4,000.

Ahmad berkata, sekiranya senario itu berterusan, bermakna sekitar kawasan bandar raya ini terutama di kawasan berhampiran tidak akan berubah wajah walaupun untuk tempoh 50 tahun akan datang.

“Jika terlalu mahal (penilaian tanah) kita tak akan maju. Nilai yang bukan-bukan ini boleh merosakkan pembangunan di negeri ini.

‘‘Kalau macam inilah, 50 tahun lagi pun, macam inilah wajah Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perjumpaan Bersama Anggota Keselamatan di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za‘abar Mohd. Adib dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Ahmad mengakui kerajaan negeri tidak mampu untuk menyediakan peruntukan bagi bayaran pengambilan balik tanah sekiranya nilai yang ditetapkan terlalu tinggi.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta negeri bagi mendapatkan penjelasan berhubung kadar nilai sebenar.

“Contohnya, ada reban ayam nilainya RM4,000 (sebuah), kabinet dalam rumah sampai RM10,000. Ini baru kabinet, bagaimana pula dengan rumah,” katanya.

Julai lalu, Ahmad berkata, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk membina lebih 13,000 unit rumah mampu milik di sekitar bandar raya ini menjelang 2013 untuk menyediakan kediaman lebih selesa kepada penduduk.

Katanya, kesemua rumah kediaman di bawah peruntukan kerajaan negeri itu membabitkan kos hampir RM800 juta dengan kerja pembinaan dilakukan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.

Doktor Belasah Perompak

Doktor gagalkan cubaan samun, belasah suspek

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Seorang doktor boleh dianggap berani apabila bukan sahaja berjaya menyelamatkan diri daripada diserang dan disamun dua lelaki bersenjatakan pisau malah membelasah salah seorang daripada mereka.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Dr. Harriszamani Abu Bakar, 32, sedang bertugas bersama seorang jururawat di sebuah klinik swasta di Danau Kota, Setapak, pukul 8.45 malam semalam.

Turut berada di klinik itu ialah dua pesakit.

Insiden itu juga mungkin membuatkan kedua-dua suspek tidak 'senang duduk' apabila mangsa berjaya merampas beg sandang salah seorang suspek mengandungi dokumen peribadi miliknya.

Dokumen itu adalah penyata kewangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), borang nikah bertarikh pada minggu depan, dua MyKad iaitu milik suspek dan seorang wanita disyaki tunangnya.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Dr. Haris berkata, semasa bertugas, klinik tersebut tiba-tiba dikunjungi oleh dua lelaki yang salah seorang daripadanya berpura-pura sebagai pesakit dan mengadu mengalami sakit perut dan cirit-birit.

Katanya, beliau kemudian memeriksa 'pesakit' berkenaan sebelum memberinya resit untuk mengambil ubat di bahagian kaunter.

"Ketika saya memeriksa pesakit lain, suspek yang berpura-pura sakit itu meluru masuk semula bersama rakannya ke dalam bilik saya.

"Mereka yang bersenjatakan pisau Rambo dan pemotong daging terus mengacukan senjata itu di leher dan perut saya serta meminta barangan berharga," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Harriszamani, kejadian itu disaksikan oleh jururawat yang berada di luar bilik itu melalui cermin kecil lalu keluar untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, berikutan itu, salah seorang suspek bertindak keluar dan cuba mengejar jururawat terbabit.

"Ketika suspek berada seorang diri, saya cuba merampas pisau pemotong daging yang dihunus di leher saya dan berjaya membelasah suspek.

"Dalam pergelutan itu, saya berjaya merampas beg sandang miliknya sebelum dia melarikan diri," katanya.

Harriszamani yang mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak sejurus selepas kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu kedua-dua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba merompak.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, November 24, 2010

RM200 Punya Pasal

Padah tuntut RM200


KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki mahu menuntut hutang bertukar tragedi apabila dibelasah sekumpulan lelaki yang mendakwa merosakkan tanaman mereka di Kampung Kemensah, di sini, Ahad lalu.

Mangsa yang berusia 40-an itu pada mulanya pergi ke kampung berkenaan untuk berjumpa dan mengambil wang daripada seorang wanita yang berhutang dengannya berjumlah RM200.


Menurut sumber polis, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa bagaimanapun diejek dan ditertawakan wanita terbabit sebelum dia melarikan diri untuk mengelak daripada membayar hutang itu.

“Mangsa yang berang dengan tindakan itu yang dianggap seolah-olah cuba memperbodohkannya mengejar wanita terbabit, namun gagal.


“Kecewa kerana gagal mendapatkan wanita itu, mangsa berpatah balik dan menuju ke keretanya untuk pulang, namun ketika itu dia ditahan beberapa penduduk kampung,” katanya.


Menurutnya, beberapa penduduk mengepung sebelum membelasahnya kerana mereka mendakwa mangsa merosakkan tanaman mereka ketika mengejar wanita terbabit.


“Mangsa ditumbuk hingga menyebabkan kepalanya cedera dan terpaksa menerima tiga jahitan selain cedera di kaki.


“Ketika kejadian, rakannya yang mengikut hanya memerhatikan dia dibelasah kerana khuatir turut menjadi mangsa sekumpulan penduduk berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan polis masih menjalankan siasatan kes itu.

Warga Asing


588 pelajar wanita hidup ketakutan

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

Inilah kawasan kolej kediaman pelajar perempuan UTeM di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA 23 Nov. - Seramai 588 pelajar perempuan di Kolej Kediaman Pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini mendakwa hidup dalam ketakutan kerana sering diganggu pekerja warga asing yang semakin ramai mendiami kawasan pangsapuri itu.

Rata-rata pelajar tahun pertama dan kedua universiti itu mendakwa mereka sering diganggu oleh sekumpulan antara 10 hingga 15 warga asing dipercayai dari Vietnam, Bangladesh dan Indonesia khususnya pada waktu petang.

Menurut mereka, kebiasaannya kumpulan warga asing itu akan berkumpul di sebuah jambatan tidak jauh dari pangsapuri itu bermula dari pukul 5 petang sehingga 7 malam.

Mereka mendakwa sering diganggu dengan siulan dan kata-kata manja untuk menarik perhatian pelajar perempuan yang melalui jambatan tersebut.

Salah seorang pelajar, Nadrah Mohamad Bakri, 24, berkata, tindakan warga asing itu membuatkan dia merasa tidak selesa selain bimbang keselamatan diri sekiranya berlaku sesuatu yang lebih buruk.

"Setiap kali saya dan rakan-rakan melintasi jambatan itu, mereka akan melihat dengan pandangan yang lain.

''Kami tidak ada laluan lain untuk pergi ke kedai berdekatan kerana perlu melalui jambatan itu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Seorang lagi pelajar, Tengku Norariana Tengku Azam, 18, berkata, para pelajar bukan sahaja diganggu dalam perjalanan ke kedai tetapi sewaktu menjalankan aktiviti riadah di sebuah padang berhampiran pangsapuri yang mereka diami.

"Dari petang sampai ke malam, kumpulan warga asing ini akan melepak di padang membuatkan para pelajar tidak berani untuk beriadah.

"Kami amat berharap, pihak berkuasa dapat membuat operasi di sini kerana dikhuatiri ada di kalangan mereka yang memasuki negara ini secara tidak sah," kata pelajar tahun pertama Diploma Kejuruteraan Elektrik itu.

Bagi Noradlina Dzulkifli, 22, berkata, kejadian sebuah keluarga yang diserang lima lelaki warga Vietnam pada Rabu lalu membuatkan dia berasa takut selain lebih berhati-hati.

"Saya harap, pihak polis dapat sentiasa melakukan rondaan di sini untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku," katanya.

Hospital Jawap

Hospital Putrajaya jawab dakwaan gagal urus pesakit

PUTRAJAYA 23 Nov. - Hospital Putrajaya hari ini menolak dakwaan bahawa pihaknya gagal mengesan serangan strok yang dihadapi seorang pesakitnya yang dimasukkan ke Wad 4B sejak 7 November lalu.

Pengarahnya, Dr. Nora'i Mohd. Said berkata, pesakit berkenaan dimasukkan ke hospital itu kerana mengalami kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik akibat komplikasi penyakit diabetes.

"Pesakit berasa lemah akibat kehilangan kandungan air dalam badan dan berasa letih ekoran kesan sampingan biasa daripada bius 'diuretics' yang diberikan kepadanya.

"Namun hampir dua minggu di wad, keadaannya beransur pulih. Justeru dakwaan mengatakan doktor tidak mengetahui bahawa pesakit baru diserang strok adalah tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Dr. Nora'i, pada 19 November lalu, pesakit mengadu lemah tetapi pemeriksaan klinikal sistem saraf dan musculoskeletal adalah normal.

Bagaimanapun, semasa rondaan pada pagi 20 November, barulah disahkan pesakit mengalami strok melalui tanda-tanda klinikal.

"Seperti yang diketahui, penyakit strok berlaku secara tiba-tiba dan diagnosis hanya boleh dibuat dengan sokongan pemeriksaan klinikal oleh doktor menerusi kaedah imbasan otak.

"Serangan boleh berlaku walaupun pesakit dirawat di hospital disebabkan oleh faktor risiko kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang yang kronik," jelas beliau.

Beliau bagaimanapun meminta maaf di atas kesulitan yang dialami pesakit serta berterima kasih kepada pengadu kerana membangkitkan perkara itu demi meningkatkan prestasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Hospital Putrajaya.

Dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini, seorang anak yang menamakan dirinya Siti Harayani mendakwa doktor gagal mengesan ibunya mengalami strok selepas tempoh 24 jam.

Dakwanya, doktor yang datang merawat setiap hari tidak mengetahui ibunya diserang strok kerana bertanyakan kepadanya sejak bila ibunya mengalami penyakit itu.

Pengadu kemudiannya mengambil keputusan memindahkan ibunya ke hospital swasta kerana beranggapan nasib pemegang jawatan tinggi dalam Wanita UMNO itu tidak terbela di hospital kerajaan.

Tuesday, November 23, 2010

Hobi Lempar Taik

Hobi pelik lontar najis


KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berperangai pelik dikesan melempar najisnya ke beberapa rumah jiran di sebuah kondominium di Pandan Indah, di sini, sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan, puluhan aduan sudah dilakukan mangsa kepada pihak pengurusan kondominium berkenaan mengenai insiden itu, namun sehingga kini tiada tindakan.


Berang dengan itu, seorang daripada mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin, suspek melontarkan najis yang dibungkus dalam plastik ke rumah jiran.


Difahamkan, suspek melakukan perbuatan itu dua kali setiap hari.


“Mereka (mangsa) terpaksa mencuci najis terbabit yang melekat di dinding dan lantai rumah masing-masing. “Walaupun pelbagai aduan dan cadangan diajukan kepada pihak pengurusan kondominium itu bagi mengatasi masalah berkenaan, namun tiada tindakan diambil,” katanya.


Difahamkan, beberapa penduduk yang terserempak remaja terbabit ketika melakukan perbuatan itu mengadukan perkara itu kepada keluarga suspek, namun hampa selepas aduan mereka tidak diendahkan.


“Malah, ada antara mereka (penduduk) mendakwa remaja terbabit mengamalkan ilmu aneh yang bertentangan ajaran Islam dan tindakannya itu memenuhi syarat ilmu yang diamalkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua PolisAmpang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Tuah


Umpan RM3, bawa pulang RM10,000


Juara Pertandingan Joran Bagus, Mohd. Fadhil Rashid (tengah), tempat kedua, Sumardi Damiri (kanan) dan ketiga, Afzulizan Samsu pada Karnival Rakyat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor di Setulang Laut, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 22 Nov. - Dengan hanya bermodalkan umpan udang berharga RM3, seorang pekerja swasta, Mohd. Fadhil Rashid, 28, berjaya membawa pulang hadiah utama wang RM10,000 pertandingan memancing pada Karnival Rakyat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor di The Zone, Stulang Laut, di sini hari ini.

Selain hadiah wang tunai, Mohd. Fadhil yang merupakan pendaftar terawal turut memenangi satu set teater rumah bernilai RM3,800, piala dan hamper setelah berjaya menangkap ikan bandang susu seberat 0.650 kilogram (kg).

"Saya tidak pernah terfikir untuk menang hadiah utama kerana sudah banyak kali masuk pertandingan memancing tetapi tidak pernah bernasib baik.

"Saya tidak sangka pula, dengan hanya bermodalkan umpan udang yang dibeli dengan harga RM3, bawa pulang hadiah utama," katanya semasa ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu.

Tempat kedua dimenangi pekerja swasta, Sumardi Damiri, 51, yang berjaya menaikkan ikan siakap seberat 0.640 kg dan membawa pulang wang RM4,000, sijil dan hamper.

Pekerja kilang, Afzulizan Samsu, 24, pula muncul tempat ketiga selepas menaikkan ikan kitang seberat 0.300 kg dan membawa pulang hadiah wang RM1,500, sijil, hamper dan satu set teater rumah bernilai RM3,300 kerana menjadi pendaftar terawal.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd. Jaafar Awang. Turut hadir, Pengarah Urusan Joran Bagus, Azmi Nan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Fadzlina Abd. Malik yang juga penyelaras program berkata, seramai 623 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan memancing anjuran Joran Bagus bermula pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari itu.

Selain pertandingan memancing, pelbagai acara lain turut dijalankan, antaranya pertandingan menangkap itik, pakaian beragam, memasak dan mewarna.

"Sambutan orang ramai amat menggalakkan dan dianggarkan seramai 3,000 pengunjung datang ke Karnival Rakyat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor hari ini," katanya.

Kerana Nak Kurus

Tertipu janji 'pasti kurus' syarikat kuruskan badan

SEREMBAN 22 Nov. - Gara-gara tertawan dengan iklan pusat menguruskan badan daripada sebuah katalog, seorang wanita sanggup menghabiskan wang sebanyak RM999 bagi mendapatkan rawatan di situ.

Malang sekali selepas tiga bulan menjalani rawatan dengan menghadiri sepenuhnya 61 sesi rawatan yang ditawarkan syarikat terbabit, wanita tersebut, S. Jaya, 37, mendakwa masih gagal menurunkan berat badannya iaitu 9 kilogram (kg) seperti dijanjikan.

Merasa tertipu dengan syarikat tersebut, Jaya membawa kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Seremban di sini pada 25 Oktober lepas.

Hari ini wanita tersebut dapat menarik nafas lega apabila Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Seremban memerintahkan syarikat terbabit, My Debeauty & Bodycare Slimming di Senawang mengembalikan semula wang sejumlah RM999 kepada Jaya.

Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Mohd. Nasrim Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas mendapati syarikat berkenaan gagal dalam memberikan perkhidmatan dijanjikan selain menipu pelanggannya dari segi iklan yang ditawarkan.

"Jelas sekali rawatan yang diberikan syarikat anda gagal menguruskan penuntut (Jaya) walaupun sebanyak 9 kg yang dijanjikan walaupun selepas dia membayar RM999 dengan jaminan gerenti kurus sebanyak 9 kg," kata Mohd. Nasrim dalam penghakimannya.

Sebelum itu, Mohd. Nasrim turut mengingatkan pemilik pusat tersebut supaya bersikap jujur dalam menjalankan perniagaan selepas mahkamah diberitahu oleh wakil syarikat yang hadir sebagai penentang bahawa jaminan gerenti kurus 9 kg itu hanya dalam pusat tersebut sahaja.

"Jadi maksud anda jaminan gerenti kurus ini hanya 'dalam' pusat sahaja tetapi di luar tidak ada gerenti. Jelas sekali syarikat anda cuba memperdaya pelanggan termasuk dengan iklan yang disiarkan dalam katalog ini," katanya.

Sementara itu, Jaya yang ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa lega setelah berjaya mendapatkan semula wangnya.

"Ini bukan semata-mata kerana wang tetapi saya harap wanita di luar sana mengambil iktibar daripada kes saya ini supaya jangan mudah terpedaya," katanya.

Dalam pada itu, mahkamah yang sama turut mengarahkan sebuah syarikat, SmartSaver Technology untuk mengembalikan wang kepada seorang petugas kerajaan, K. Eeswary, 42, yang berasa tertipu dengan alat penjimatan elektrik keluaran syarikat itu.

Mohd. Nasrim mengarahkan syarikat tersebut memulangkan semula wang berjumlah RM200 kepada Eeswary dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan daripada mahkamah itu dihantar ke pejabat syarikat itu di Shah Alam.

Dalam perbicaraan hari ini, SmartSaver Technology dan wakil jualannya di Pagoh, Rosdi Abdul Rahman tidak hadir ke mahkamah.

Mohd. Nasrim juga mengingatkan Eeswary supaya tidak lagi tertipu kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri tidak pernah mengiktiraf alat itu dan jurujual terbabit tidak menunjukkan surat kebenaran dari TNB.

Sementara itu, Eeswary memberitahu, dia membeli alat itu pada Februari tahun ini di Pagoh setelah diyakinkan oleh Rosdi bahawa bil elektrik rumahnya yang terpaksa ditanggung RM200 setiap bulan dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus dengan alat penjimatan elektrik keluaran SmartSaver Technology.

"Tetapi selepas menerima alat itu dan menggunakan selama tiga bulan, tidak ada apa-apa perubahan pun dalam bil elektrik saya lantas ingin menuntut semula wang saya seperti dijanjikan tetapi syarikat lepas tangan," katanya.

Kisah Duka

Kisah sedih anak mengenai ibunya di hospital...

SAYA mencoretkan surat ini kerana teringatkan emak yang sedang sakit di hospital Putrajaya dan ditemani seorang adik (seorang pekerja kerajaan) yang bercuti hujung minggu.

Hati ini gusar mengenangkan emak yang sudah dua minggu terlantar di sana.

Dia dimasukkan ke hospital pada pukul 3 pagi, 6 November lepas kerana mengalami bengkak dari pinggang hingga hujung kaki ditambah lagi dengan masalah sesak nafas.

Seminggu di sana, tidak banyak perubahan yang berlaku cuma bengkak dari pinggang ke lutut sudah surut tetapi dari lutut hingga ke bahagian bawah masih lagi bengkak.

Tiub saluran kencing dimasukkan untuk memantau keluar masuk air di dalam badan emak saya. Emak tidak kuat untuk bangun kerana kakinya masih bengkak.

Masuk dua minggu, keadaan emak masih sama tetapi dia kelihatan gembira lantaran ramai datang menjenguk bertanyakan khabar termasuk adik-beradik, sahabat-handai, AJK tertinggi sebuah parti politik merangkap bos.

Hari Khamis lalu saya ke sana seperti biasa, emak ceria sahaja nampaknya. Bertanyakan jajan buatnya tetapi tiada saya bawakan, pesan saya makan sahaja apa yang disediakan oleh pihak hospital takut jajan yang dibawa itu nanti memudaratkan.

Emak sedikit merajuk tetapi dalam masa yang sama menghabiskan juadah makan malam yang disediakan. Sebelum waktu melawat habis emak berpesan kepada saya untuk membawakan syampu dan sabun esok, memintakan saya untuk memandikannya kerana dua minggu terlantar emak tidak mampu untuk pergi ke bilik air.

Pada pendapat saya keadaannya sudah beransur pulih kerana sudah mampu untuk bangkit ke tandas.

Pada keesokan harinya (Jumaat (9/11/10) waktu tengah hari, saya kembali ke hospital (emak tidak mahu mandi pagi-pagi, sejuk katanya).

Sambil menjinjing syampu dan sabun mandi saya terus menuju ke katil emak. Emak sedang tidur pada firasat saya, matanya tertutup rapat, mungkin emak penat kerana doktor dan jururawat baru selesai melakukan pemeriksaan.

Tiba-tiba, tidak sampai beberapa minit kemudian emak membuka matanya, emak menyatakan sesuatu yang saya tidak faham atau mungkin tidak dengar.

Mengucap dua kalimah syahadah saya dibuatnya, rupanya emak saya diserang strok!

Saya hampir menangis tetapi saya tahankan kerana tidak mahu emak semakin sedih. Emak meminta maaf kerana padanya dia menyusahkan sahaja (padahal sampai mati pun jasanya takkan pernah terbalas oleh saya).

Makan pun emak tak mampu lantaran separuh badannya sudah lumpuh. Saya suapkan bubur buat emak, mak lapar katanya.

Keesokan paginya adik saya memberitahu sesuatu yang sangat mengejutkan!

Doktor yang datang merawat emak saya saban hari tidak mengetahui yang emak saya diserang strok!

Sudahlah 24 jam terlantar kesakitan tambah menyakitkan lagi apabila doktor yang datang bertanyakan sejak bila emak berkeadaan sedemikian padahal mereka yang bekerja di sana untuk memantau kondisi pesakit, masakan tiada seorang pun tahu apa yang berlaku pada emak saya.

Saya terkilan, sangat terkilan dengan doktor dan jururawat yang bertugas.

Ini menguatkan lagi skeptikal masyarakat tentang kekurangan mutu khidmat hospital kerajaan. Saya bukan berat sebelah kerana saya juga penyokong kerajaan, menikmati segala kemudahan yang disediakan, alhamdulillah syukur ucap saya.

Bukan menidakkan usaha kerajaan untuk memperkasakan hospital mereka tetapi bagi saya nyawa emak lebih penting.

Setelah berbincang dengan ayah dan abang yang sentiasa risau dengan keadaan emak, pagi ini kami nekad untuk memindahkan emak ke hospital swasta.

Kami bukan daripada golongan berada cuma tahap biasa sahaja, sekadar cukup makan cukup pakai, tetapi duit kami boleh cari, emak hanya ada satu!

Untuk pengetahuan semua emak saya memiliki 'tiket emas' untuk memasuki hospital kerana bapa seorang pesara kerajaan, sampai waktu ini emak saya masih antara pemegang jawatan tertinggi dalam Wanita UMNO, penggerak jentera parti yang sanggup berkorban apa sahaja untuk parti itu, kami sudah terbiasa ditinggalkan lantaran emak amat aktif melengkapkan wadah perjuangan politik beliau.

Tetapi pada saat ini kami dalam perjalanan untuk memindahkan emak ke hospital bukan kerajaan kerana pada pendapat saya nasib emak tidak terbela di sana.

Sungguh ironik bukan?

SITI HARAYANI

creepy_orchid84@yahoo.com

Monday, November 22, 2010

Murtad


Derita batin sampai murtad
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Disebabkan tidak sanggup terus menderita akibat digantung tidak bertali’ selama 10 tahun, ada wanita Islam yang bukan saja berhijrah ke luar negara, malah menjadi murtad selepas berkahwin dengan lelaki bukan Islam.

Mendedahkan kes berkenaan, Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih Sungai Besi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman, berkata wanita terbabit yang berusia 40-an bertindak sedemikian selepas tertekan tindakan suami asalnya yang berkahwin lain dan mengabaikan nafkah zahir serta batin.


Menurutnya, wanita itu yang berkerjaya profesional mendakwa fobia dengan ‘kata dua’ suami yang mahu melihat dia menderita sehingga mati dan membiarkannya digantung tidak bertali. “Kes ini antara puluhan, malah ratusan masalah yang dihadapi ibu tunggal digantung tidak bertali yang tewas dalam perjuangan mendapatkan hak mereka mengikut yang terkandung dalam al-Quran.

“Sepatutnya golongan seperti ini dibantu. Malangnya, pada masa ini kesukaran mereka terus tidak dibela sewajarnya sehingga ada yang nekad mengambil keputusan yang salah,” katanya.


Beliau berkata, kes wanita tertekan berkenaan yang berhijrah ke luar negara dan meninggalkan Islam, amat menyedihkan, tapi ia bukan sesuatu yang aneh kerana mereka juga memiliki naluri untuk menjalani kehidupan lebih baik.


“Tetapi, mereka digantung tidak bertali dan tidak diberikan bantuan apabila diperlukan. Keadaan itu menyebabkan harapan mereka hancur terutama apabila proses di mahkamah juga tidak memihak kepada mereka,” katanya. Wan Abdul Halim berkata, kemelut yang dihadapi ibu tunggal dan wanita digantung tidak bertali ini boleh ditangani dengan baik jika pelbagai pihak memberi tumpuan terhadap permasalahan yang dihadapi golongan berkenaan sejajar apa yang terkandung dalam al-Quran.


Beliau berkata, wanita yang sudah nekad menukar agama itu individu berpendidikan yang arif mengenai hak wanita seperti terkandung dalam al-Quran dan mereka berharap undang-undang itu digunakan.


Bagaimanapun, katanya, apa yang diharapkan mereka tidak menjadi kenyataan, malah proses ‘melepaskan diri’ terlalu sukar walaupun suami sudah berkahwin baru dan sengaja mahu melihat isteri digantung tidak bertali sehingga mati.

Menurutnya, mahkamah syariah mempunyai tanggungjawab dan amanah cukup berat bagi mendaulatkan hak wanita seperti terkandung dalam al-Quran bagi memastikan golongan itu termasuk ibu tunggal dan mereka yang digantung tidak bertali diberikan keadilan sewajarnya.


“Keadilan penting bagi memastikan golongan berkenaan dibantu bagi membina kehidupan baru selain menyelamatkan mereka daripada sikap suami atau pihak tertentu yang hanya mementingkan diri sendiri.


“Kita tidak mahu ada sesetengah wanita sepatutnya mampu menjalani kehidupan sempurna, tetapi akibat dihalang pihak yang tidak bertanggungjawab, kehidupan mereka berubah ke kancah yang tidak sihat dan merosakkan masa depan mereka,” katanya.


Tanpa berselindung, beliau tidak menafikan ada ibu tunggal yang terbabit kes yang tidak sihat, tetapi jika dikaji secara terperinci ia boleh dikaitkan dengan punca yang tidak sepatutnya terjadi, termasuk tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki pilihan mereka.


Katanya, banyak masalah yang menyebabkan ibu tunggal itu tertekan termasuk anak yang tamak harta sehingga tidak membenarkan ibunya berkahwin lain kerana bimbang harta itu akan dimiliki pasangan baru ibu mereka.


“Sepatutnya, masalah yang membelenggu ibu tunggal dan mereka yang digantung tidak bertali boleh diselesaikan dengan baik jika lunas Islam dijadikan asas utama kerana ia sudah pasti akan memberikan satu keputusan yang adil dan saksama.


“Bukan itu saja, ia sudah pasti menyelamatkan golongan berkenaan supaya tidak melakukan tindakan tidak bijak, termasuk berfikir untuk meninggalkan agama dianuti,” katanya.