Saturday, July 20, 2013

doktor palsu

Nyaris terperdaya janji ‘doktor’
Nyaris terperdaya janji ‘doktor’
Lina membuat pendedahan aktiviti lelaki yang dipercayai menyamar sebagai doktor memberi tawaran kerja dengan gaji lumayan.
RAUB - Tawaran gaji lumayan dengan pelbagai kemudahan bekerja di ibu kota nyaris menjerat dua wanita menjadi mangsa lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘doktor’.

Hanya mahu dikenal sebagai Cik Lina, wanita berusia 22 tahun ini hampir mengikut kata hati untuk terima pelbagai tawaran lelaki berkenaan.

Menurutnya, lelaki itu mendekatinya dan rakan dengan memperkenalkan diri sebagai Dr Haris Fernandez yang mempunyai empat cawangan klinik di Kuala Lumpur.

“Dia berperwatakan sederhana dalam usia lewat 40an atau awal 50an dan memakai cermin mata serta mempunyai raut wajah seperti kacukan atau Nasrani.

“Mendakwa ada kereta BMW tetapi ditinggalkan di Kuala Lumpur dan hanya datang ke Raub dengan menaiki Perodua Viva berwarna perak atau Proton Saga model lama,” katanya.

Cik Lina berkata, lelaki itu menawarkannya bekerja di sebuah klinik miliknya tetapi perlu menghadiri kursus terlebih dahulu selama tiga bulan.

Katanya, dia dan rakan ditawarkan elaun sebanyak RM900 sepanjang berkursus dan gaji RM1,200 sebaik memulakan kerja.

“Bagi mengukuhkan lagi kepercayaan kami kepadanya, lelaki ini mendakwa pernah bekerja sebagai Timbalan Pengarah Hospital Raub dan berhasrat untuk membina Hospital Bersalin dekat Jalan Tan Tiong di sini.

“Pada awalnya kami percaya tetapi selepas mendapatkan pandangan keluarga dan rakan lain, terus kami batalkan hasrat kerana apabila difikirkan lebih teliti kelihatan banyak perkara meragukan,” katanya.

Dia berkata, berdasarkan cerita yang didengarinya, sudah ramai wanita atau anak gadis yang pernah didekati lelaki ini dengan cara yang sama sejak Mac hingga akhir bulan lalu.

Menurutnya, terdapat juga dakwaan mengatakan lelaki ini mengeluarkan kata-kata tidak sopan berunsur lucah dalam usaha memancing mangsa.

“Lelaki yang fasih berbahasa Melayu ini mengaku duda dan mempunyai seorang anak yang kini berada di London.

“Ketika menawarkan kami kerja, dia juga berkata bahawa kami berpeluang menjadi isterinya,” katanya.

Cik Lina berkata, berdasarkan cerita orang sahaja sudah membuatkan dia ketakutan dan terus tidak jadi bekerja dengannya.

“Syukur kami selamat. Saya dan rakan kini tidak lagi bekerja dan tinggal bersama keluarga di sini,” katanya yang sebelum itu bekerja di sebuah salon ketika didatangi lelaki berkenaan.

Sinar Harian difahamkan mereka masih belum membuat laporan polis tetapi berharap agar gadis dan wanita di daerah ini supaya lebih berhati-hati dan elakkan daripada menjadi mangsa.

Thursday, July 18, 2013

pelajar kuat seks

Pelajar dicekup berkhalwat bersama tukang masak
Pasangan lelaki
Pasangan lelaki yang bekerja sebagai tukang masak ditahan kerana berkhalwat di sebuah bilik hotel, di bandar Dungun, petang kelmarin.
Pelajar tingkatan empat
Pelajar tingkatan empat dibawa ke Pejabat Agama Dungun selepas disyaki melakukan perbuatan tidak bermoral bersama teman lelakinya.
DUNGUN – Seorang pelajar tingkatan empat bersama teman lelakinya, seorang tukang masak di sebuah kedai makan ditahan Pegawai Penguat kuasa Syariah kerana berkhalwat di sebuah bilik hotel, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam serbuan itu, pegawai syariah bersama polis terpaksa memecahkan pintu bilik kerana pasangan terbabit enggan bekerjasama sebelum berjaya memasuki bilik disewa pasangan lelaki terbabit, sejak dua hari lalu.

Soal siasat mendapati, mereka tidak mempunyai hubungan muhrim dan bilik itu disewa pasangan lelaki yang berasal dari Balai Besar, dipercayai untuk melakukan hubungan seks.

Menurut pelajar terbabit, dia masuk ke bilik tersebut kira-kira jam 5 petang dan sempat melakukan seks bersama teman lelakinya yang telah berkahwin serta mempunyai seorang anak.

Pelajar terbabit yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Dungun itu juga turut mengakui pernah beberapa kali melakukan hubungan seks dengan pasangan berlainan dan menghadapi tindakan undang-undang kerana melakukan perbuatan tidak bermoral.

Lebih memeranjatkan, selepas ujian saringan air kencing dilakukan mendapati pasangan itu turut positif dadah jenis methapethamine.

Mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah atas kesalahan mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pasangan terbabit juga turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengambil dadah.

tertelan ikan puyu

Tertelan ikan puyu, empat jam tahan sakit
Tertelan ikan puyu
KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak terpaksa menanggung kesakitan hampir empat jam, selepas tertelan seekor ikan puyu hidup.

Muhammad Akhif Danish Shamsuri, 4, dikatakan melihat ikan itu dalam sebuah balang dipelihara datuknya di Kampung Pulai Condong, Machang sebelum memasukkan ke dalam mulut.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Shamsuri Shafie, 28, berkata, ketika kejadian, dia tidak berada di rumah dan bergegas pulang setelah diberitahu kejadian oleh adiknya.

“Saya mendapat panggilan­ meminta saya pulang. Dia beritahu, ikan puyu tersangkut dalam mulut anak saya dan berdarah,” katanya.

Shamsuri bagaimanapun berkata, adiknya sempat memegang ekor ikan itu bagi mengelakkan ia terus masuk ke dalam kerongkong Muhammad Akhif.

“Adik saya dengan segera membawa anak saya ke Hospital Machang. Bagaimanapun, dia dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII) untuk rawatan susulan.

“Nasib baik anak saya tidak tertelan ikan itu, jika tidak mungkin keadaannya bertambah parah,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya, doktor bercadang membelah halkum kanak-kanak itu untuk mengeluarkan ikan itu, namun keputusan itu ditarik balik dan doktor hanya membius mangsa dan mengeluarkan ikan itu tanpa perlu melakukan pembedahan.

“Ia menjadi pengajaran­ kepada saya dan juga ibu bapa lain agar menjaga anak dan memastikan mereka selamat dan tidak terdedah dengan permainan berbahaya,” katanya.

Tuesday, July 16, 2013

alahai restoran mamak

Kedai nasi kandar meloyakan
Kedai nasi kandar meloyakan
Selamba saja si tukang masak bersinglet dan berkain pelekat diikat tinggi ini menyediakan bahan masakannya di tepi tandas dengan pintu terbuka.
Kedai nasi kandar meloyakan
Sudah tumbuh akar, begitulah rupa kacang dal yang disimpan dalam peti sejuk sebuah restoran nasi kandar.v
BAYAN LEPAS - Selamba saja si tukang masak sebuah restoran nasi kandar di sini memakai singlet serta berkain pelekat yang diikat tinggi, sambil memasak lauk pauk untuk dijual kepada pelanggan.

Tepung yang digunakan untuk membuat roti canai dan pelbagai jenis roti lain pula hanya diletakkan di sebelah tandas sahaja.

Bukan itu saja, si tukang masak yang juga dipercayai pemilik restoran berkenaan mengejutkan pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika membuka peti sejuk tempat menyimpan bahan mentah.

Di dalam peti tersebut didapati kuah kari meleleh di segenap ruang dalam peti sejuk yang terdapat di dalam restoran yang terletak di kawasan Bayan Lepas itu.

Operasi mengejut yang bermula seawal jam 8.30 pagi semalam turut mendapati darah haiwan bertakung di atas lantai di bahagian dapur belakang.

Tidak basuh sebelum masak

Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan JKNPP, Ideris Mohamed kemudiannya bertanya kehairanan bagaimana telur yang dimasak untuk pelanggan dipecahkan dalam keadaan yang mengotorkan.

“Saya tahu telur-telur ini memang tidak basuh kerana lihatlah bagaimana keadaan kamu gunakannya, kamu basuh atau tidak?,” katanya.

Kemudian selamba sahaja lelaki yang penuh dengan jambang itu mengaku kepada penguat kuasa telur ayam yang dimasaknya langsung tidak dibasuh sebelum dimasak.

Ketika ditegur supaya mencuci peti sejuk, lelaki berkenaan dengan nada ceria menjawab, ‘hari-hari saya cuci encik’.

Jawapannya hanya disambut dengan senyuman daripada anggota penguat kuasa sedangkan kacang dal yang berada di dalam peti sejuk sudah mula tumbuh akar.

Pemeriksaan kebersihan itu kemudiannya beralih ke sebuah lagi restoran nasi kandar yang terletak di hadapan lokasi restoran yang sama.

Ketika melangkah ke satu ruangan yang dipenuhi bekalan tepung dan gula dalam restoran itu, didapati lipas dan pelbagai jenis serangga memenuhi kawasan tersebut.

Akibatnya, kedua-dua restoran berkenaan diarahkan tutup oleh JKNPP selama dua minggu.

Operasi setiap bulan

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,  Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, operasi hampir tujuh jam itu mengakibatkan 22 premis makanan ditutup di seluruh Pulau Pinang.

Menurutnya, sebanyak 34 premis diperiksa dan hampir 50 peratus daripadanya melibatkan kedai nasi kandar.

“Kesemua premis yang ditutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, sekiranya didapati bersalah, pemilik premis boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Sekiranya dalam tempoh dua minggu ada antara pemilik premis yang berdegil, kami tidak akan teragak-agak dan akan mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Operasi yang turut melibatkan Bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan pejabat Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu turut mengeluarkan sebanyak 57 kompaun dan enam notis amaran dari KPDNKK.

Bermula Januari 2013 hingga Julai ini, sebanyak 96 premis ditutup atas kesalahan terlalu kotor di seluruh negeri ini sementara 3,288 telahpun diperiksa. Ku Nafishah berkata, pihaknya akan menjalankan risikan selama lima hari untuk melihat premis yang mana perlu diperiksa.

“JKNPP kami akan menjalankan operasi kebersihan ini setiap bulan sehinggalah memastikan premis makanan di Pulau Pinang mencatat tahap kebersihan yang sepatutnya,” katanya.