Dipukau selepas makan kek
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2013
Kampung Baru Bukit Gelugor.
Chai Kim Sung
JUASSEH – “Selepas makan kek yang diberi dua individu tidak dikenali,
saya seperti dipukau dan mengikut sahaja apa yang mereka cakap, tetapi
nasib baik mereka tidak berjaya melarikan sarang burung walid,” kata
mangsa pukau, Chai Kim Sung, 52, di Kampung Baru Bukit Gelugor.
Kim Sung yang juga seorang penoreh getah, berkata, kejadian itu berlaku
pada 8 Mac lalu, jam 3 petang di sebuah kedai minum berhampiran kampung
itu.
Menurutnya, dia disapa dua lelaki tidak dikenali dan berpakaian
korporat. Mereka bertanya nama tempat dan menyuarakan hasrat mahu
membeli sarang burung walid.
“Saya beritahu, saya ada seorang rakan menjual sarang burung walid dan
dua individu itu sangat teruja kerana mahu membeli 4 kilogram (kg)
sarang burung itu,” katanya.
Kim Sung berkata, dalam sibuk berbual, dua individu terbabit
memberikannya kek dan selepas itu dia seolah-olah lupa seketika apa yang
berlaku.
“Selepas makan kek itu, saya seperti dipukau. Saya hanya fokus kepada
dua individu itu sahaja. Selepas membuat perhitungan, mereka mahu ambil
4kg sarang burung dengan harga sekilogram RM4,500. Namun, mereka mahu ke
bank untuk mengeluarkan wang dan hanya menghubungi saya pada jam 5.30
petang, " katanya.
Menurutnya, dia mula sedar dirinya dipukau selepas pulang dari rumah.
"Isteri menegur saya selepas saya beritahu ada orang mahu membeli
sarang burung. Saya terus terkejut, lalu tersedar. Hati saya kuat
menyatakan dua individu itu penipu,” katanya.
Menurutnya, dia berpakat dengan rakan untuk memerangkap dua individu yang berusia 50 dan 60 an itu kerana mencurigakan.
"Lebih kurang jam 6 petang, saya bersama rakan menaiki kenderaan sekitar kampung itu.
“Dalam masa yang sama, kereta jenis Perodua Viva berwarna putih masuk
ke kampung ini. Kami berselisih, dan dua individu itu tidak berhentikan
kereta hinggalah sampai ke hujung kampung, " katanya.
Kim Sung berkata, mereka nekad menghalang kenderaan itu, tetapi
individu itu berjaya melarikan diri tanpa sempat mengambil sarang burung
walid.
Menurutnya, kejadian itu pernah berlaku di Pilah dan kerugian lebih dari RM5,000.
“Saya tidak buat laporan polis kerana tiada bukti kukuh. Saya ingin
berkongsi pengalaman saya supaya orang lain tidak mudah terpedaya dengan
dua individu yang difahamkan dari Johor Bahru,” katanya.