Monday, October 8, 2012

ubat kuat

'Ubat kuat' umpama ‘pisang panas’
DIANA SURYA ABD WAHAB
7 Oktober 2012
Isa (kanan) mendakwa menjual ubat-ubatan untuk menambah tenaga batin berasaskan akar kayu.
Isa (kanan) mendakwa menjual ubat-ubatan untuk menambah tenaga batin berasaskan akar kayu.
Pelanggan sentiasa ingin mengetahui lebih lanjut keberkesanan produk di pasaran.
Pelanggan sentiasa ingin mengetahui lebih lanjut keberkesanan produk di pasaran.
KUANTAN - Sebut sahaja ‘ubat kuat’, siapa dulu tersenyum simpul sama ada golongan lelaki mahupun wanita?

Pastinya banyak lelaki lebih tersenyum simpul kerana mereka boleh sahaja mendapatkan produk itu kerana ia semakin mudah didapati.

Bilangan dan jenisnya semakin bertambah hari demi hari menjadikan perniagaan itu boleh membawa keuntungan berlipat kali ganda, tambahan pula ia sudah mula dijual di pasaran terbuka.

Walaupun sudah beberapa kali negara dikejutkan dengan insiden buruk membabitkan penggunaan ubat atau produk yang boleh merangsang nafsu seks, tetapi masih ia tetap tidak menyedarkan banyak pihak.

Sinar Harian berpeluang meninjau ke kawasan menjadi lokasi utama untuk mereka yang memerlukan ubat atau makanan tambahan bagi meningkatkan tenaga batin.

Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Isa, 52, berkata, dia sudah lima tahun menjalankan perniagaan sepenuh masa menjual produk dan jamu untuk meningkatkan keupayaan tenaga batin.

Dia menganggap setiap lelaki perlu menitikberatkan soal tersebut kerana ia merupakan kunci kebahagiaan.

“Kebanyakan mereka datang untuk mendapatkan pertolongan tanpa mengira usia. Mereka bukan sahaja terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas, malah membabitkan remaja serta golongan muda.

“Kebanyakan mereka sememangnya mempunyai masalah tenaga batin berikutan gemar melakukan oral seks. Muda-muda lagi sudah lemah kerana terlalu kerap melakukannya. Sekiranya tidak berubat secara tradisional, perkara itu pasti memberi kesan buruk pada kehidupan mereka,” katanya.

Dia berkata, kebanyakan golongan dewasa pula mengalami masalah mati pucuk berpunca daripada pengambilan makanan.
“Orang sekarang makan macam-macam. Benda yang boleh melemahkan pun turut dimakan, tetapi tidak pula mahu makan ubat atau jamu untuk meningkatkan keupayaan batin.
“Jika hendak dibandingkan dengan orang zaman dahulu, ubat-ubatan, jamu dan akar kayu memang tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, jumlah kes penceraian amat berbeza berbanding zaman dahulu,” katanya.

Isa berkata, ubat-ubatan tradisional ditambah dengan senaman dan urutan khas untuk meningkatkan tenaga batin adalah warisan keluarganya yang dipelajari semenjak berusia 14 tahun lagi.

“Saya berniat membantu mereka yang sangat memerlukan untuk bersama orang tersayang. Jika mereka bahagia, saya tumpang gembira. Pembuatan ubat-ubatan ini dilakukan sendiri. Semua akar kayu yang mempunyai 1,001 khasiat ini diperoleh di dalam hutan tebal di Gua Musang,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak perlu khuatir untuk memperoleh ubat-ubatan tersebut memandangkan semua produk itu akan digunakannya terlebih dahulu.

“Sebelum menjual di pasaran, saya sendiri akan makan untuk beberapa kali dan melakukan pelbagai proses.

“Jadi, semua ubat sama ada untuk menyembuhkan penyakit, meningkatkan tenaga batin dan sebagainya boleh dikatakan terjamin penyembuhannya. Malah untuk merasakan kehebatan malam anda, terdapat beberapa senaman dan urutan untuk meneguhkan tenaga batin serta memantapkannya,” katanya.


Lebih tertarik tingkat tenaga batin

Sementara itu, seorang lagi penjual yang ingin dikenali sebagai Zailan, 34, lebih gemar menjual produk berasaskan alam semula jadi untuk membantu mereka yang memerlukan peningkatan tenaga batin.

“Saya lebih berminat menjual madu lebah kelulut berasaskan produk pemakanan daripada sumber alam semula jadi. Antara keunikan dan kebaikan khasiat dimilikinya adalah meningkatkan tenaga batin dan sangat sesuai buat sesiapa yang semakin hilang tenaga kelakian mereka.

“Malah, ia boleh menyembuhkan penyakit lain antaranya kencing manis, strok, hati, darah tinggi dan batu karang. Namun pelanggan lebih tertarik untuk membeli produk ini bagi meningkatkan tenaga batin,” katanya.

Zailan berkata, kira-kira 50 peratus pelanggan membeli produk itu disebabkan mereka mempunyai masalah tenaga batin.

“Kebanyakan warga emas lebih suka menggunakan kaedah pemakanan menggunakan khasiat alam semula jadi.

“Bagi golongan muda, mereka mungkin lebih gemar mendapatkan pil memandangkan ia lebih komersial untuk meningkatkan tenaga batin. Namun setakat ini, maklum balas daripada pengguna amat memuaskan,” katanya.


Tempoh seronok hanya sementara

Sementara itu, Sinar Harian sempat menemu bual seorang pengamal ubatan yang mengeluh mengenai penggunaan ubat yang boleh memberi kesan sampingan.

Katanya, dia tidak bersetuju dengan penjualan ubat kuat memandangkan terdapat kesan sampingan apabila umur semakin meningkat.

"Penggunaan tidak stabil dan sukatan tidak tepat boleh memberikan kesan buruk kepada pengguna. Ini kerana ada sesetengah pengguna yang terdesak lalu mengambil ubat kuat secara berlebihan untuk tampil hebat bersama pasangan.

“Mengikut pengalaman saya, keadaan jantung kadangkala tidak stabil pada waktu pemakanan khususnya boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Menurutnya, selepas pengambilan ubat itu, tenaga kelakian yang asalnya masih cergas akan menjadi lesu hingga memaksa dirinya mengambil ubatan secara berterusan setiap kali ingin melakukan hubungan seks walaupun sudah tahu akan berdepan risiko.
Bagaimanapun, dia mengakui ubat itu bolah menguatkan seks, tetapi bukan untuk tempoh lama, tambahan pula mereka akan kembali lemah di samping berdepan pelbagai penyakit.

“Melalui berita di media, ramai tahu keburukannya. Tetapi tidak diendahkan disebabkan perasaan ingin mencuba.

“Ubat kuat hanyalah untuk sementara berikutan ia akan membuatkan anda bertambah merana. Sekiranya ada berminat, mereka boleh menggunakan produk berasaskan sumber semula jadi,” katanya.

No comments:

Post a Comment