Gara-gara RM100, juruteknik dihukum penjara 10 tahun, 5 sebatan
2 November 2012
Hakim K.M.Nithiyanantham membuat keputusan itu selepas mendapati E.Kularajah Kumar, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Mahkamah sebagai benteng terakhir mesti melindungi orang awam melalui hukuman setimpal untuk mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan sama," katanya.
Nithiyanantham mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula hari ini.
Kularajah Kumar bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai RM100 dan kad rekod kedatangan kerja sehingga mencederakan Surya Bahadur Jogi, 26, seorang pekerja kilang, di hadapan rumahnya di Jalan 8/62B, Bandar Manjalara, Sentul di sini pada 7.30 pagi 29 Okt 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Sebaik keputusan hakim, tertuduh dilihat terpinga-pinga dan berulang kali berkata dia tidak melakukan kesalahan tersebut dan ibunya yang berada di galeri awam menangis dan seterusnya secara lantang berkata kepada hakim bahawa hukuman itu terlalu berat.
"Dia akan "mati" di dalam sana (penjara), tolonglah, saya merayu kepada anda," kata wanita itu lalu keluar dari mahkamah.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 30 Julai lepas, seramai empat saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Izuddin Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
"Walaupun hanya melibatkan RM100, mungkin ia satu nilai yang sedikit tetapi bagi mangsa yang hanya memperoleh gaji RM900 sebulan, ini adalah nilai yang besar," katanya.
Mangsa yang turut hadir ke mahkamah hari ini untuk memberi keterangan mengenai impak kejadian rompakan itu terhadap dirinya, memberitahu mahkamah bahawa dia kehilangan RM100 dan kad rekod kedatangan kerja serta berdarah di bibir akibat dicederakan tertuduh. - Bernama
No comments:
Post a Comment