Pasar jual anak dara
MENCARI jodoh merupakan salah satu proses asas sebelum perkahwinan. Pelbagai medium digunakan untuk si uda dan dara mengenali hati budi masing-masing. Ada yang selesa diperkenalkan saudara-mara, laman sosial ataupun agensi mencari jodoh.
Namun, di sebuah kampung terpencil Prohorovo, Bulgaria, penduduk kampung tersebut yang terdiri daripada kaum Gipsi mempunyai cara unik untuk menemui jodoh sejak ratusan tahun lagi.
Wanita atau gadis yang masih bujang akan berkumpul di sebuah pasar 'Bridal Market' di kampung berkenaan dengan memakai pakaian yang seksi serta menggiurkan bakal suami.
Cuma individu berumur 15 hingga 30 tahun yang ditemani ibu bapa dibenarkan menyertai acara itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Sesi tawar-menawar berlaku seperti pasar awam tetapi syarat utama gadis atau wanita itu mestilah masih bujang selain paling utama masih, dara.
Sekiranya terbukti anak perempuan tidak lagi perawan, ibu bapa gadis perlu memulangkan semula wang tawaran yang diberikan.
Selain itu, ibu bapa tidak dibenarkan menyertai acara sama pada masa hadapan.
Kebiasaannya, ibu bapa yang membawa anak gadis masing-masing datang daripada keluarga miskin yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka.
Semakin cantik gadis yang dilelong semakin tinggi harga bidaan yang akan diperoleh.
Beli dara
Situasi itu dialami Hristos Georgiev, 18, yang bersandar di bahagian hadapan but kereta sambil menikmati pemandangan sekelilingnya.
Dia berdiri bersebelahan ayahnya sambil berbincang dengan Donka Dimitrova yang akan dikahwininya tidak lama lagi.
Proses rundingan selama hampir empat jam itu selesai hingga melibatkan bayaran RM20,000. Hristos harus rasa bangga kerana bakal suaminya sanggup meletakkan harga tinggi memandangkan pendapatan purata rakyat Bulgaria hanyalah sekitar RM8,000 setahun.
Menurut Dimitrova, dia menyimpan wang tersebut hasil pekerjaan sebagai buruh binaan di Cyprus.
Bagi seorang ahli etnografi Akademi Sains Bulgaria, Velcho Krustev, setiap lelaki yang memilih pasangan di 'Bridal Market' bukannya membeli isteri tetapi 'dara' mereka.
"Pembayaran itu lebih bersifat situasi menang-menang kerana kedua-dua belah pihak mendapat manfaatnya. Lelaki juga tidak berasa tertipu kerana bakal isteri masih dara.
"Jika tidak, wang itu akan dikembalikan dan keluarga terbabit akan disenarai hitam daripada memasuki pasar itu pada masa hadapan," katanya.
Perceraian selepas perkahwinan jarang berlaku.
Terang Krustev, kecantikan juga menjadi salah satu elemen utama kerana harga bagi bakal isteri boleh mencecah RM50,000.
Pendidikan bukanlah satu keutamaan bagi mereka kerana kajian pada 2004 mendapati 25 peratus wanita kampung tersebut buta huruf dan hanya 10 peratus yang menamatkan pendidikan peringkat menengah.
|
Namun, Krustev memberitahu, tradisi 'Bridal Market' semakin pupus dan wanita di perkampungan itu tidak seperti dahulu dan sama seperti wanita moden lain.
"Ramai yang sudah berhijrah ke bandar besar dan menjalani kehidupan moden sebelum berkahwin.
"Walaupun dahulu dianggap satu larangan berkahwin dengan orang luar tetapi kini tidak lagi," katanya.
Kahwin menara
Lain pula ceritanya di Menara Eiffel di Perancis. Seorang wanita, Erika La Tour Eiffel, 42, membuat keputusan untuk 'berkahwin' dengan menara telekomunikasi itu pada 2007.
Dia yang merupakan seorang bekas tentera yang berasal dari San Francisco, Amerika Syarikat juga menukar namanya kepada menara itu sebagai tanda cintanya kepada menara itu.
Erika turut mendakwa, dia mempunyai hubungan fizikal dengan kipas yang wajib diletakkan bersebelahannya setiap kali ingin tidur.
Tetapi, Menara Eiffel merupakan satu-satunya objek yang dia cintai sehingga mengambil keputusan untuk 'berkahwin' dengan bangunan ikonik itu.
"Saya hairan mengapa manusia tidak boleh mencintai sesuatu benda atau bangunan.
"Menyayangi benda serta bangunan seperti manusia kerana 'mereka' juga ingin dibelai dan mendapat perhatian sewajarnya,' ujarnya.
Wanita ini mendakwa, sifat peliknya itu bermula kerana diabaikan sejak kecil oleh keluarga.
No comments:
Post a Comment