Friday, July 25, 2014

tipu anak yatim


75 anak yatim, miskin mangsa penipuan


Suleiman Salleh (kanan) bertanyakan sesuatu kepada anak yatim dari Gombak, Selangor yang menjadi mangsa penipuan seorang lelaki di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru, Johor, semalam.
JOHOR BAHRU 24 Julai - Hasrat 75 anak yatim dan miskin dari Gombak, Selangor untuk berbuka puasa dan menginap di Hotel Berjaya Waterfront di sini tidak kesampaian apabila mereka menjadi mangsa penipuan seorang lelaki semalam.
Kesemua mangsa berusia dua hingga 18 tahun bersama lapan penjaga dari Surau Silaturahim itu mendakwa dijemput oleh seorang lelaki dikenali sebagai Faiz yang mengaku sebagai penganjur untuk majlis berbuka puasa di hotel berkenaan.
Penjaga anak yatim tersebut, Normala Baharim, 27, mendakwa, pihaknya menerima panggilan daripada lelaki berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan hotel itu, Ahad lalu.
"Menerusi perbualan telefon, lelaki terbabit memberitahu, hotel berkenaan bukan sahaja menjemput mereka untuk majlis berbuka puasa, malah menyediakan penginapan untuk mereka.
"Isnin lalu, lelaki itu sekali lagi menghubungi salah seorang daripada penjaga supaya anak yatim bersiap sedia untuk datang ke Johor Bahru, malah kos sewa bas akan ditanggung oleh pihak hotel," dakwanya ketika ditemui di hotel berkenaan di sini hari ini.
Dakwa Normala, pihaknya ada menghubungi Faiz untuk memaklumkan mereka sedang dalam perjalanan menggunakan dua bas yang disewa khas menuju ke hotel tersebut.
Bagaimanapun, dakwanya, sebaik tiba di hotel tersebut, lelaki terbabit gagal dihubungi dan talian telefonnya turut dimatikan.
"Kami terus pergi ke kaunter pertanyaan, namun kakitangan hotel itu memberitahu, mereka tidak pernah menganjurkan sebarang majlis untuk anak yatim.
"Saya sedih kerana lelaki terbabit sanggup menipu kami apatah lagi kesemua anak yatim dan miskin ini sangat gembira untuk berbuka dan menginap di hotel ini," katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Berjaya Waterfront, Zaharuddin Abd. Jalil berkata, pihaknya tidak pernah menjemput atau menganjurkan sebarang acara untuk kumpulan anak yatim terbabit.
"Meskipun demikian, pihak hotel bersama rakan korporat lain mengambil inisiatif menyediakan 30 bilik penginapan dan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka. Kami serahkan kes ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan menerima laporan tersebut dan pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Kongsi Konten di :

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140725/je_01/75-anak-yatim-miskin-mangsa-penipuan#ixzz38Tble7ih
© Utusan Melayu (M) Bhd