Monday, January 3, 2011

Wanita Suka Berbohong

Perempuan kini lebih suka menipu


LONDON: Satu kaji selidik mendedahkan bahawa perempuan kini lebih suka berbohong daripada lelaki.

Seorang daripada lima peserta kaji selidik berkata, dia pasti akan menjalin hubungan dengan lelaki lain jika jatuh cinta dengannya.


Secara perbandingan hanya sembilan peratus yakin mereka akan berlaku curang terhadap pasangan masing-masing.

Kaji selidik yang dilakukan ke atas 3,000 orang itu buat kali pertama mendedahkan perempuan bukan kekasih yang setia. Kaji selidik itu juga mendapati perempuan berusia 35 hingga 40 yang lebih banyak menipu. Kebanyakan mereka tidak mempunyai anak dan akan berlaku curang semata-mata untuk hamil.


Bagaimanapun, hanya 15 peratus lelaki akan memaafkan isteri ataupun teman wanita yang menipu berbanding dengan 12 peratus saja wanita yang akan menerima kembali pasangan yang curang. Hampir suku daripada perempuan bujang berkata, mereka akan menimbangkan untuk menjalin hubungan dengan lelaki yang berkahwin atau sudah mempunyai hubungan istimewa. - Agensi

Mau Tiket Murah

Kaji semula harga tiket untuk naiki Menara Kuala Lumpur

SAYA telah membaca keluhan Mat Tarzan di dalam ruangan ini baru-baru mengenai harga tiket untuk menaiki Menara Kuala Lumpur yang terlalu tinggi. Orang dewasa dikenakan bayaran RM38 dan kanak-kanak RM28.

Saya juga telah membaca jawapan pihak Menara Kuala Lumpur yang menjelaskan itulah harga sebenar tiket yang dikenakan untuk menaiki Kuala Lumpur. Mereka juga menjelaskan tidak ada keistimewaan separuh harga diberikan kepada rakyat tempatan.

Jika begini keadaannya, pada padangan saya memanglah harga tiket ini terlalu tinggi. Siapakah yang menetapkan harga ini, kerajaan atau pihak Menara Kuala Lumpur sendiri?

Saya percaya ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menimbulkan idea membina menara berkenaan, ia adalah untuk menjadi simbol kebanggaan negara dan rakyat. Pada masa sama ia untuk tujuan pelancongan bagi menarik pelancong tempatan dan luar negara.

Justeru saya fikir pihak Menara Kuala Lumpur seharusnya meneliti harga tiket yang dikenakan. Harga tiket ini terlalu tinggi walau untuk seorang individu. Bayangkan jika ia melibatkan individu yang mempunyai jumlah anggota keluarga yang ramai dan ingin menaiki Menara Kuala Lumpur.

Peritnya tentu lebih dirasai oleh golongan kurang berkemampuan. Tentunya golongan ini juga berkeinginan untuk menaiki menara berkenaan.

Saya bertanya kepada saudara saya yang pernah menaiki menara berkenaan, apakah yang ada di atas puncak menara itu? Menurut beliau, kita naik lif, sampai di puncak boleh melihat pemandangan di sekeliling Kuala Lumpur. Selain itu ada juga gerai cenderamata selain ambil gambar.

Jika itu sahaja tarikannya, saya cadangkan pihak menara Kuala Lumpur mengkaji semula harga tiket untuk menaiki menara itu. Turunkan harga bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menaiki menara yang menjadi kebanggan negara.

MAT ROKET

Seremban, Negeri Sembilan

Sunday, January 2, 2011

Peralat Anak



Peralat anak buat maksiat
Oleh SURAYA ROSLAN


TAHAN... antara pasangan yang ditangkap khalwat dalam operasi di hotel sekitar Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Tembelang seorang wanita memperalatkan anak kecilnya berusia dua tahun sebagai penyelamat untuk menutup perbuatan sumbang terbongkar apabila dia ditahan pihak berkuasa ketika melampiaskan nafsu bersama kekasih hatinya, seorang warga asing, dalam bilik hotel di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, perbuatan maksiat wanita berusia 40-an itu terbongkar selepas dia dan teman lelakinya warga Bangladesh dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika menjalankan operasi cegah maksiat sempena sambutan tahun baru.
Sumber berkata, pasangan terbabit menggunakan pelbagai alasan dan berkeras menafikan mereka berkhalwat dan mengaku berkahwin beberapa tahun lalu.

Katanya, wanita itu mendakwa mereka tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan kepenatan selepas bersiar- siar di Dataran Merdeka.


“Pada mulanya wanita itu mendakwa bayi terbabit adalah hasil perkahwinan mereka kira-kira setahun lalu. Bagaimanapun, tembelang wanita terbabit pecah apabila mengaku baru mengenali lelaki itu beberapa jam sebelum tahun baru sebelum dibawa ke hotel berkenaan,” katanya.



Berikutan itu, Jawi mengeluarkan saman mengikut Seksyen 27 Akta 559 (a) (b) Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 kerana disyaki berkhalwat.

Dalam serbuan berasingan di hotel sama, dua remaja terkejut dan menangis teresak-esak selepas tergamam bilik ‘asmara’ mereka diserbu penguat kuasa.

Kedua-dua remaja, masing-masing berusia 18 dan 19 tahun, merayu dilepaskan dan mendakwa tidak berbuat apa-apa, sebaliknya hanya mendaftar di hotel untuk tidur selepas kepenatan menyambut tahun baru.

Difahamkan, mereka yang baru tiba dari Sabah ingin bermalam di hotel hanya sehari sebelum ke Johor untuk berjumpa ahli keluarga remaja wanita terbabit.

“Remaja itu mendakwa akan bertunang beberapa hari lagi, namun kita akan panggil ibu bapa mereka untuk soal siasat lanjut bagaimana mereka boleh sampai ke ibu kota,” katanya.

Mereka antara 20 orang membabitkan 11 pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 40 tahun yang ditahan dalam operasi mencegah maksiat sempena sambutan tahun baru, membabitkan kira-kira 30 pegawai penguat kuasa Jawi.

Operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi semalam itu antara usaha berterusan Jawi bagi ‘membersihkan’ ibu kota daripada dicemari gejala maksiat, malah membendung budaya pembuangan bayi.

Kongsi artikel ini menerusi medi

Kelapa Kurang

Pengguna turut rasai kesan kekurangan bekalan kelapa

KUANTAN 31 Dis. - Situasi kesukaran mendapatkan bekalan santan dan kelapa yang dilihat semakin meruncing kini amat membimbangkan pengguna lebih-lebih lagi kepada peniaga makanan.

Kegunaan santan dan kelapa parut dalam penyediaan makanan atau kuih muih sangat diperlukan.

Justeru dengan kesukaran mendapatkan bekalan bahan tersebut dan kenaikan harga santan membuatkan peniaga makanan berasa tertekan.

Sebilangan mereka mengakui terpaksa menaikkan harga makanan dan kuih muih kerana kos santan terlalu tinggi.

Seorang peniaga kuih, Sidek Ali, 65, berkata, kesukaran mendapatkan santan dan kelapa parut sangat dirasai.

Tambahnya, jika ada pun harganya mahal sedangkan keperluan untuk menyediakan sesuatu kuih atau masakan itu sama sahaja.

"Sebagai peniaga, tentulah kita fikirkan soal keuntungan. Namun dalam masa yang sama tetap memikirkan kepentingan pelanggan.

"Berkemungkinan harga kuih terpaksa dinaikkan dari empat biji RM1 kepada tiga," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi seorang lagi peniaga, Fatihah Zulkifli, 18, dia yang membantu datuknya berniaga kuih muih juga berkata, jika keadaan itu berlarutan pasti sukar peniaga sepertinya meneruskan sumber perniagaan.

"Saya mohon kepada pihak yang bertanggungjawab memantau harga kelapa supaya pembekal tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya atau tetapkan harga siling kelapa supaya perniagaan kami tidak terjejas," katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan awam, Latib Hashim, 49, berkata, pengguna sepertinya turut terasa dengan kenaikan harga santan dan kelapa parut.

"Santan yang biasanya dijual RM4 sekilogram kini menjadi RM6. Begitu juga dengan kelapa parut serta kerisik. Mungkin harga bahan itu akan naik lagi dalam waktu terdekat," katanya.

Kata Latib, pihak yang berkaitan harus memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Pokok-pokok kelapa juga sukar dilihat ditanam di sini, ladang-ladang kelapa juga sudah ditukar menjadi ladang kelapa sawit. Mungkin beberapa tahun akan datang anak-anak kita tidak kenal pokok kelapa lagi.

"Buah kelapa yang ada sekarang ini semuanya diimport. Sektor pertanian juga lebih mengutamakan tanaman getah, kelapa sawit dan padi. Mungkin tanaman kelapa tidak berapa menguntungkan berbanding getah," katanya.

Katanya, kerajaan wajar berbuat sesuatu sebelum masalah tersebut semakin kritikal dan berharap bekalan bahan itu kembali seperti biasa di pasaran.

TAJUK-TAJUK BERITA

Saturday, January 1, 2011

Seperti Anak Patung


Budak 2 tahun seperti anak patung

ABBIE KING (kiri) yang memiliki tubuh seperti anak patung bergambar bersama ibunya.

KEPULAUAN SHEPPEY - Seorang budak perempuan berusia dua tahun di Britain, Abbie King kelihatan seperti anak patung dan bayi berusia enam bulan, lapor sebuah akhbar semalam.

Abbie menghidap penyakit genetik dinamakan sindrom Russell-Silver yang menyerang seorang bagi setiap 100,000 bayi dan menyebabkan tumbesarannya terhenti.

Walaupun tingginya 0.6 meter dan beratnya tidak sampai 6.3 kilogram, Abbie boleh berjalan, ketawa, bermain dan meragam seperti kanak-kanak biasa.

"Apabila saya mengetahui bahawa tumbesaran Abbie terbantut, saya bimbang dia tidak akan dapat menjalani kehidupan normal," kata ibunya, Emma Smith, 29, seorang bekas pengasuh dari Kent dekat sini.

"Namun, saya kini lega selepas mendapati dia suka bergaul dan nakal seperti kanak-kanak lain," tambahnya. - Agensi

Kalau sudah Cinta


Ikat cinta di depot
Oleh Mohd Zaidi Ya’acob
am@hmetro.com.my


AKHIRNYA...Siti Jawari (kiri) bersama Muhammad Nurhisham diarak pegawai imigresen selepas majlis pernikahan, semalam.
ALOR GAJAH: Biarpun bakal isterinya ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini, ia tidak menjadi penghalang buat seorang pengusaha restoran apabila nekad menikahi pasangannya dalam majlis sederhana di Surau Al-Taiyibah di pusat tahanan itu, semalam.

Ibarat cinta tidak mengenal sempadan, Muhammad Nurhisham Gan Abdullah, 53, duda anak satu dengan sekali lafaz selamat diijabkabulkan dengan janda anak satu, Siti Jawari, 39, yang berasal dari Surabaya, Jawa Timur, Indonesia kira-kira jam 11.50 pagi dengan mas kahwin RM40.


Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Nikah Cerai Negeri Melaka, Abdul Halim Tawil, 43, dengan kehadiran kira-kira 50 kakitangan Jabatan Imigresen diketuai Komanden pusat tahanan itu, Abu Bakar Sidek Hasan termasuk ibu dan adik perempuan pengantin lelaki.

Muhammad Nurhisham dari Jalan Bendahara, Bandar Hilir, yang mengusahakan restoran di Jalan Hang Tuah berkata, dia berkenalan dengan isterinya itu selama dua tahun sebelum merancang berkahwin pada hari ini (semalam), tetapi tempat pernikahan terpaksa diubah apabila isterinya itu ditahan imigresen 22 Disember lalu.


Menurutnya, pengalaman melangsungkan majlis pernikahan di depot tahanan adalah sesuatu yang tidak dijangka, asalkan menepati ajaran Islam.


“Alhamdullillah, akhirnya semua dapat diselesaikan hari ini (semalam). Kami tidak mahu menunggu lama sebab itu majlis pernikahan ini diadakan juga walaupun di dalam depoh.

“Kami hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t. menentukan dan saya berharap selepas ini apabila isteri dibebaskan, dia akan menetap di negara ini bersama saya dan anak perempuannya (daripada perkahwinan terdahulu).


“Pada mulanya saya amat risau dengan perkahwinan kami mungkin akan tertangguh, namun saya berjumpa dengan pegawai imigresen di depoh berkenaan untuk memohon pernikahan dijalankan dan mereka bersetuju memberi kebenaran,” katanya.


Siti pula berkata, hatinya gembira bercampur sedih kerana tidak menduga akan melangsungkan pernikahan di depoh tahanan bersama suaminya.


“Saya datang semula ke Malaysia pada 6 November lalu bagi menguruskan majlis pernikahan, sebelum itu ditahan pihak imigresen di sebuah pusat beli-belah kerana disyaki bekerja tanpa permit di negara ini.


“Bagaimanapun, saya tetap gembira dan mungkin ada hikmah. Kami ucapkan terima kasih kepada imigresen terutama Abu Bakar kerana membenarkan melangsungkan majlis pernikahan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat,” katanya yang mempunyai anak lelaki berusia 24 tahun, hasil perkahwinan pertama di Indonesia.


Sebaik selesai majlis, Muhammad Nurhisham terpaksa meninggalkan isterinya di depoh itu untuk sementara kesnya selesai.


Sementara itu, Abu Bakar berkata, upacara pernikahan itu adalah yang pertama kali diadakan di pusat tahanan berkenaan.


“Pernikahan ini dilangsungkan atas dasar kebajikan terhadap tahanan kerana mereka juga adalah manusia dan perlu dilayan dengan baik.


“Selain itu, kami juga mengadakan majlis kenduri secara bergotong-royong dan saya mendoakan pasangan ini akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya.

Cara Baru


Perbuatan buang bayi cara baru?


Qurratnaini Amni Jamaludin memangku bayi yang diserahkan kepadanya oleh seorang wanita di KL Sentral ketika ditemui di pejabat Bernama di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

SEREMBAN 31 Dis. – Qurratnaini Amni Jamaludin, 20, sedang menunggu rakannya di Stesen KL Sentral bila tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.

Beliau lantas menoleh dan terlihat seorang wanita Melayu dalam lingkungan 20-an mendukung bayi lelaki dipercayai baru berusia seminggu.

Wanita bertudung serta berseluar jean dan berbaju warna hijau lumut itu meminta beliau menjaga bayinya seketika kerana katanya dia hendak ke tandas.

Qurratnaini menunggu seketika untuk wanita itu mengambil semula bayinya.

“Kemudian, saya tunggu, dan tunggu...hingga kira-kira dua jam!, namun wanita itu tidak juga muncul.

“Saya mula panik, curiga dan bimbang... Saya hubungi ibu bapa saya di Rantau (Negeri Sembilan). Mereka datang dengan kereta untuk mengambil saya dan membawa bayi itu ke Seremban,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Qurratnaini berkata, atas nasihat ibu bapanya, bayi seberat 3.5 kilogram dan berkulit sawo matang itu diserah kepada Hospital Tuanku Ja”afar di sini, sebelum mereka membuat laporan polis.

Sebelum itu, Qurratnaini, pelajar jurusan kejururawatan bersama seorang rakannya menaiki komuter dari stesen kereta api Seremban pada kira-kira pukul 9.15 pagi untuk ke KL Sentral. – BERNAMA