Tuesday, August 7, 2012

lori tempoyak bertembung

Pemandu nyaris maut, kereta bertembung lori tempoyak
Wartawan Sinar Harian
7 Ogos 2012
Pemandu nyaris maut, kereta bertembung lori tempoyak
Keadaan kereta dan lori terbabit setelah mengalami kemalangan, pagi semalam.
KOTA BHARU-Seorang pemuda nyaris maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan lori seberat dua tan yang penuh dengan muatan tempoyak di Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Mohd Irwan yang memandu kereta jenis Proton Wira, mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki.
Manakala Mohd Zamri Mad Noor, 31, yang memandu lori, bersama dengan dua kelindannya hanya mengalami cedera ringan.
Mohd Irwan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bekerja di sebuah kilang di Padang Tembak di Pengkalan Chepa di sini.
“Saya tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku, kerana apabila tersedar saya sudah berada di tepi jalan. Kemungkinan ketika itu saya terlelap seketika kerana penat bekerja pada waktu malam,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur terselamat dan hanya cedera ringan dalam kemalangan itu.
“Ketika berada di luar, saya terkejut melihat keadaan kereta yang remuk. Mujurlah saya tidak mengalami kecederaan teruk kerana kemalangan itu berlaku begitu pantas” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zamri, berkata dia bertolak dari Machang kira-kira jam 7 pagi untuk menghantar bekalan tempoyak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini.
“Sebaik tiba di tempat kejadian secara tiba-tiba kereta yang dipandu mangsa dari arah Kota Bharu memasuki laluan bertentangan sebelum kereta itu kemudian merempuh hadapan lori dan berpusing beberapa kali.
“Saya hanya mampu mengelak dengan membelok ke kanan sebelum terbalik dan terseret beberapa meter,” katanya.
Beliau berkata, dia bagaimanapun bersyukur kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepadanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmat Radi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan kekuatan empat anggota dan sebuah jentera.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa sudah berada di tepi jalan selepas dikeluarkan dengan bantuan orang ramai,” katanya.

mudahnya ditipu

Pelajar rugi RM3,000
Wartawan Sinar Harian
6 Ogos 2012

SUBANG JAYA – Seorang pelajar kerugian RM3,000 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai pekerja bank ketika ingin mendaftar sistem perbankan online di sebuah bank di SS15, di sini.

Difahamkan, mangsa berusia 18 tahun sebelum itu dikatakan menghadapi kesulitan melakukan urusan berkenaan di mesin juruwang automatik (ATM) sebelum didekati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Melihat mangsa seolah-olah menghadapi masalah di mesin itu, lelaki berpakaian kemas dan memakai tag nama seperti pekerja bank merapatinya dan menawarkan bantuan.

Lelaki berkenaan kemudian memberitahu mangsa perlu mengeluarkan wang tunai sebanyak RM3,000 dan mendepositkan semula ke dalam akaun untuk memudahkan urusan pendaftaran.

Tanpa mengetahui niat jahat suspek, mangsa menuruti arahannya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek menyuruh mangsa masuk ke satu ruang pejabat dan memintanya mengisi satu borang dan pada masa sama kononnya mendepositkan duit mangsa.

Katanya, suspek mengeluarkan semula wang itu daripada mesin ketika mangsa leka mengisi borang.

“Mangsa hanya sedar dirinya ditipu apabila wang berkenaan didapati tidak dimasukkan ke dalam akaun dan suspek menghilangkan diri serta gagal dikesan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek bukan pekerja di institusi kewangan itu. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan hari ini.

Friday, August 3, 2012

ponteng berpadah

Bala ponteng kelas


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DE terpaksa menderita  sebelum anggota bomba dapat memotong bilah pagar berkenaan dan mengejarkannya ke hospital.
DE terpaksa menderita sebelum anggota bomba dapat memotong bilah pagar berkenaan dan mengejarkannya ke hospital.
BEIJING: Seperti pepatah “buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat,” begitulah takdir menimpa seorang pelajar yang cuba ponteng sekolah semalam.
Gara-gara ingin melarikan diri dari kelas, De Fang menderita kesakitan amat sangat selepas bahunya ditembusi pagar sekolah.

De, 16, dilaporkan melarikan diri dari kelas dan memanjat pagar sekolahnya di daerah Suixi di wilayah Anhui, tengah China.
Bagaimanapun, dia tersilap langkah dan tergelincir, menyebabkan satu daripada bilah pagar itu tercucuk bahu kanannya.

Media tempatan melaporkan, De menjerit sekuat hati untuk meminta tolong.

Dia bernasib baik kerana suaranya segera didengari pelajar lain yang bertindak pantas menghubungi pihak sekolah.

Anggota bomba kemudian dikejarkan ke sekolah untuk menyelamatkan De.

Saksi berkata, anggota bomba terpaksa mengangkat tubuh De ke udara untuk beberapa ketika sebelum mereka dapat memotong pagar berkenaan. Dia kemudian dikejarkan ke hospital tempatan untuk menjalani pembedahan kecemasan. Jurucakap hospital berkata, doktor memerlukan masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan bilah besi itu sebelum dapat merawat kecederaannya. Sementara itu, De berkata, dia berasa begitu gementar ketika melompat pagar berkenaan.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan tapak tangannya basah kerana berpeluh. “Saya tersalah langkah dan tergelincir ketika memanjat pagar,” katanya. - DM

sakit kena rogol

Pembantu rumah dakwa dirogol majikan
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Pembantu rumah dakwa dirogol majikan
Mangsa membuat laporan polis mendakwa dirogol majikannya
KULIM - Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 28 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin setelah mengadu dirogol oleh majikannya.

Mangsa yang datang ke Malaysia pada 15 Mei lalu dijanjikan gaji bulanan RM500 sebulan bagaimanapun tidak menerima sebarang bayaran sehingga hari ini.

Menurut mangsa, sepanjang tinggal bersama majikannya, dia telah dirogol sebanyak tiga kali dan kejadian berlaku ketika isteri suspek dan anaknya yang sudah bersekolah tiada di rumah.

“Kejadian berlaku pada Ahad, ketika itu isteri dan anaknya tiada di rumah. Isterinya bekerja sebagai seorang guru sekolah manakala anaknya bersekolah dalam tingkatan empat. Apabila kedua-dua mereka keluar dari rumah, hanya tinggal saya dan suspek sahaja di rumah.

"Suspek kemudian menghampiri saya dan memuji saya cantik sebelum bertindak agresif terhadap saya. Suspek meminta saya melayani kehendak seksnya tetapi saya enggan berbuat demikian. Suspek naik berang dan mengugut untuk membunuh saya sekiranya tidak mahu melayani kemahuan seksnya,” katanya.

Mangsa berkata, kali terakhir dia dirogol dua minggu lalu. Bagaimanapun Ahad lalu suspek sekali lagi cuba merogolnya tetapi dia memaklumkan kepada suspek kesan luka yang terdapat pada kemaluannya masih belum sembuh dan sakit.

Katanya, perlakuan itu berlaku beberapa kali sehingga dia mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah majikannya dan meminta bantuan dari jiran berhampiran sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara itu. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek sudah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat mangsa.

ajaran sesat

Ajaran Pak Habib terpesong, anggap al-Quran kitab lama
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Kegiatan ajaran Pak Habib yang terletak di atas tanah seluas kira-kira 1.2 hektar.
Kegiatan ajaran Pak Habib yang terletak di atas tanah seluas kira-kira 1.2 hektar.
RAWANG - Nabi Muhammad SAW dianggap tuhan, al-Quran hanya sebuah salinan buku lama, solat hanya perlu pada hari Khamis dan tidak perlu berpuasa di bulan Ramadan adalah antara amalan yang jelas terpesong dilakukan sekumpulan pengikut ajaran Pak Habib yang bergiat aktif sejak beberapa tahun di Bandar Country Homes (BCH) di sini.

Demikian maklumat yang didedahkan seorang individu yang hampir terikut dengan ajaran sesat itu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi, 42, berkata, pengikut Pak Habib menganggap Nabi Muhammad yang layak dijadikan tuhan kerana dalam Islam ada menyebut ‘barang siapa memuji ke atas Muhammad maka darjat mereka diangkat’.

“Terlalu banyak yang terpesong dan menyesatkan dalam amalan Pak Habib. Mereka menganggap Khamis menjadi penghulu bagi segala hari sebab itu pada setiap Khamis malam Jumaat pengikutnya dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan berhimpun melakukan pemujaan.

“Yang peliknya, pada hari tersebut mereka akan sama-sama bermain muzik yang disifatkan wajib,” katanya.

Menurut Zaidi, amalan Pak Habib juga menghalalkan arak kerana bagi mereka minuman itu menyihatkan badan.

“Minum sedikit (arak) jatuh haram, tapi jika minum banyak menyihatkan badan (halal),” katanya.

Zaidi berkata, pengikut ajaran itu juga menolak kandungan al-Quran kerana disifatkan hanya sebuah buku biasa yang mengandungi tulisan jawi serta disalin dan dicetak kemas.

Menurutnya, Ramadan bukanlah satu bulan rahmat bagi mereka kerana bagi pengikut Pak Habib puasa bukan satu kewajipan.

Katanya, kegiatan tersebut bergerak aktif sejak berkurun lama berdasarkan pengikutnya yang lahir daripada generasi awal Pak Habib sehingga ke hari ini.

“Malah, kesemua pengikut ajaran itu mempunyai salah silah atau susur galur keluarga atau bersaudara.

“Pengikutnya adalah golongan profesional seperti doktor, jurutera, pasukan keselamatan, pensyarah dan sebagainya, termasuk seorang di barisan pimpinan tertinggi sebuah parti politik” katanya.

Katanya, ajaran itu berpusat di BCH di atas tanah seluas kira-kira 1.2 hektar, di sebalik kawasan perindustrian dan terletak kira-kira 5 kilometer dari jalan utama.

Jelasnya, pusat tersebut dipercayai pernah dikunjungi pihak berkuasa dan terdapat notis penutupan diletakkan pada pintu utama pusat itu.

Bagaimanapun, setelah lebih dua tahun notis dikeluarkan kegiatan itu masih bergiat aktif.

Justeru, dia berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya.

Wednesday, August 1, 2012

bodoh pulangkan wang

Ibu, anak pulangkan RM200,000 dianggap bodoh

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

NAKHON NAYOK: Seorang wanita dan anak perempuannya menjadi perbualan hangat penduduk selepas memulangkan dua juta baht (RM198,000) yang silap dikreditkan ke dalam akaun mereka. Penduduk, termasuk seorang pegawai bank berkata, mereka bodoh kerana bertindak jujur.

Thanaporn Chamnipong dan anak perempuannya, Yuvadee Chamnipong menghubungi Bangkok Bank dan memulangkan wang itu selepas ia berada dalam akaun Thanaporn secara misteri.


Menurut laporan, dua wanita itu bukan saja dikritik jiran tetangga kerana bertindak ‘bodoh’ memulangkan wang itu, tetapi turut dikecam oleh pegawai bank berkenaan yang menuduh mereka mencemarkan kredibiliti bank terbabit.

Thanaporn berkata, mereka tidak kecewa kerana tidak dapat menyimpan wang itu walaupun keluarga mereka mempunyai hutang. Mereka gembira dapat melakukan kebaikan kerana menyimpang wang yang bukan milik mereka adalah salah.


Bagaimanapun, terdapat berita baik apabila Inspektor Jeneral Kementerian Dalam Negeri dan bekas gabenor Nakhon Nayok, Suthipong Chulacharoen memberi ganjaran 20,000 baht (RM2,000) kepada dua wanita itu sebagai menghargai kejujuran mereka. - Bangkok Post

mohon bantuan

Lima beradik perlukan bantuan

31 Julai 2012

PENGKALAN HULU - Seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah di Kelian Intan di sini dengan pendapatan RM600 sebulan hanya mampu meraih simpati bagi membesarkan dan menyekolahkan lima anaknya.

Zaleha Ahmad, 49, sentiasa bimbangkan masa depan anak-anaknya itu selepas kematian suaminya Mohd Yusof Ali, 59, akibat kemalangan jalan raya pada hari pertama Ramadan ini.

Lebih memeritkan lagi, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan kepada allahyarham suaminya sebelum ini yang menghidap sakit jantung juga telah dihentikan.

"Setiap hari persekolahan saya memerlukan wang sekurang-kurangnya RM15 sehari, tidak termasuk belanja dapur untuk kami empat beranak makan secara ala kadar sejak arwah tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Penempatan Semula Masyarakat di Kampung Bukit Buluh di sini hari ini.

Anak sulungnya, Nur Hakimah, 15, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban di sini, Mohd Hazrul Nizam, 13, di Sekolah Menengah Pengkalan Hulu, Nurul Shakila, 12, tinggal di asrama Pengajian Agama Al Taqwa di sini, Mohd Ikhrul Ikhwan, 10, di Sekolah Kebangsaan Kelian Intan sementara anak bongsu, Mohd Ashraf berusia enam tahun.

Zaleha yang bersyukur kerana Nurul Shakila kini tinggal di asrama anak anak yatim Al Taqwa berkata:"Saya tidak mampu menyediakan pakaian hari raya untuk anak anak".

Setiap hari kerja dia akan ke lombong seawal 7 pagi dan pulang ke rumah pukul 3 petang.

Ketika ibunya bekerja, Nur Hakimah terpaksa memasak sebaik pulang dari sekolah.

Penderitaan lima beranak ini mendapat perhatian Naib Ketua Umno Bahagian Gerik, Aznil Ibrahim yang tampil menghulurkan sumbangan wang bagi meringankan beban keluarga ini.

"Saya berharap, pihak JKM daerah akan dapat menyambung bantuan bulanan kepada Zaleha dalam kadar segera memandangkan kesempitan hidup yang ditanggungnya," katanya.

Lebih menyedihkan, rumah mereka hanya mempunyai dua lampu sahaja iaitu di bahagian ruang tamu dan di bilik dapur.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, boleh menyumbang melalui Bank Islam atas nama Nur Hakimah Mohd Yusuf (Nombor Akaun: 02048020477018). - Bernama