Pukau guna besi kecil
NOR AINNA HAMZAH
8 April 2013
Rosminah menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Rembau selepas mendakwa dipukau dua lelaki.
REMBAU – Sebatang besi kecil menjadi alat yang digunakan dua penjenayah
memukau mangsa agar menuruti segala arahan termasuk menyerahkan
barangan berharga.
Itu nasib yang dialami seorang peniaga kedai makan di sini, apabila
kerugian kira-kira 5,000 selepas dipukau dua lelaki yang menunjukkan dia
sebatang besi kecil panjang dan bersaiz seperti straw minuman dan
mempunyai ukiran seolah-olah sebuah kalimah, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Rosminah Mohd
Said, 54, dikatakan selesai membeli barangan mentah di pekan Rembau,
sebelum didatangi seorang lelaki menunjukkan sebatang besi berwarna
coklat berkenaan, kononnya boleh dijadikan pelaris dalam perniagaan.
"Pada mulanya, saya tidak berminat untuk melihat besi itu. Tetapi, saya
berubah hati selepas lelaki itu menyuruh saya memegang besi tersebut
bagi melihatnya terlebih dahulu.
"Selepas itu, lelaki itu menepuk bahagian belakang bahu kanan saya
menyebabkan saya terasa seperti berada di awang-awangan," katanya.
Menurutnya, ketika itu, dia hanya sedar mengikut apa saja yang diarahkan lelaki itu termasuk menyuruh menutup sisi kedai.
“Pada masa sama, datang seorang lelaki lain yang mempunyai sebatang
besi sama, menyapa saya. Lelaki ini pun biasa dilihat dekat kedai makan
saya," katanya ketika ditemui di kedai makannya di pekan Rembau, dekat
sini, semalam.
Rosminah berkata, kedua-dua lelaki berkenaan berinteraksi dan membaca
mantera menyebabkan dia mula rasa tidak selesa, bagaimanapun tidak mampu
mengawal diri yang seolah-olah sudah dipukau.
Menurutnya, dia cuba melawan, namun salah seorang lelaki itu membuka
beg tangannya, sebelum menyuruh dia memberi wang dalam beg berkenaan.
“Saya ambil RM1,000 dalam beg. Duit ini anak saya punya untuk beli
barang majlis tunangnya. Saya cuma nampak duit itu dilipat dan
dimasukkan dalam sampul surat," katanya.
Menurutnya, dalam keadaan melawan, dia dapat lihat seorang daripada
lelaki itu menanggalkan rantai tangan dan dua cincin yang dipakainya.
"Bila selesai, mereka menunjuk dan menggoncang sampul surat yang diisi
barangan saya itu, serta memesan saya membukanya selepas waktu maghrib.
"Sebelum lelaki itu beredar, dia sempat menepuk badan saya menyebabkan
saya tersedar dan melihat sampul surat itu ada dalam beg tangan,"
katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia terus menjerit apabila mendapati dalam sampul surat berkenaan hanya berisi tisu dan batu.
Berikutan kejadian itu, Rosminah membuat laporan di Balai Polis Rembau, di sini, kelmarin.