75 anak yatim, miskin mangsa penipuan
Suleiman Salleh (kanan) bertanyakan
sesuatu kepada anak yatim dari Gombak, Selangor yang menjadi mangsa
penipuan seorang lelaki di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru, Johor,
semalam.
JOHOR BAHRU 24 Julai - Hasrat 75 anak yatim dan miskin dari Gombak,
Selangor untuk berbuka puasa dan menginap di Hotel Berjaya Waterfront di
sini tidak kesampaian apabila mereka menjadi mangsa penipuan seorang
lelaki semalam.
Kesemua mangsa berusia dua hingga 18 tahun bersama lapan penjaga dari
Surau Silaturahim itu mendakwa dijemput oleh seorang lelaki dikenali
sebagai Faiz yang mengaku sebagai penganjur untuk majlis berbuka puasa
di hotel berkenaan.
Penjaga anak yatim tersebut, Normala Baharim, 27, mendakwa, pihaknya
menerima panggilan daripada lelaki berkenaan yang memperkenalkan diri
sebagai kakitangan hotel itu, Ahad lalu.
"Menerusi perbualan telefon, lelaki terbabit memberitahu, hotel
berkenaan bukan sahaja menjemput mereka untuk majlis berbuka puasa,
malah menyediakan penginapan untuk mereka.
"Isnin lalu, lelaki itu sekali lagi menghubungi salah seorang
daripada penjaga supaya anak yatim bersiap sedia untuk datang ke Johor
Bahru, malah kos sewa bas akan ditanggung oleh pihak hotel," dakwanya
ketika ditemui di hotel berkenaan di sini hari ini.
Dakwa Normala, pihaknya ada menghubungi Faiz untuk memaklumkan mereka
sedang dalam perjalanan menggunakan dua bas yang disewa khas menuju ke
hotel tersebut.
Bagaimanapun, dakwanya, sebaik tiba di hotel tersebut, lelaki terbabit gagal dihubungi dan talian telefonnya turut dimatikan.
"Kami terus pergi ke kaunter pertanyaan, namun kakitangan hotel itu
memberitahu, mereka tidak pernah menganjurkan sebarang majlis untuk anak
yatim.
"Saya sedih kerana lelaki terbabit sanggup menipu kami apatah lagi
kesemua anak yatim dan miskin ini sangat gembira untuk berbuka dan
menginap di hotel ini," katanya yang telah membuat laporan di Balai
Polis Sentral di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Berjaya Waterfront, Zaharuddin
Abd. Jalil berkata, pihaknya tidak pernah menjemput atau menganjurkan
sebarang acara untuk kumpulan anak yatim terbabit.
"Meskipun demikian, pihak hotel bersama rakan korporat lain mengambil
inisiatif menyediakan 30 bilik penginapan dan menyediakan juadah
berbuka puasa untuk mereka. Kami serahkan kes ini kepada pihak polis
untuk menjalankan siasatan," katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman
Salleh mengesahkan menerima laporan tersebut dan pihaknya akan
menjalankan siasatan menyeluruh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
kerana menipu.