Wednesday, February 23, 2011

Sewa Laki rm1000

GRO sewa suami RM1,000 sebulan
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Segelintir warga emas tempatan kini sanggup merancang perkahwinan palsu atau menjadi suami sewa semata-mata untuk mendapatkan ganjaran wang bulanan yang dikutip daripada isteri warga asing.

Kebanyakan lelaki yang diistilahkan sebagai suami boneka ini, berpura-pura berkahwin dan mendaftar perkahwinan terbabit dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan isteri warga asing terutama dari China tinggal lebih lama di negara ini untuk menjalankan kegiatan sebagai pelacur atau pelayan pelanggan (GRO) sepenuh masa.

Sumber Jabatan Imigresen berkata, bilangan pasangan suami isteri kahwin olok-olok terbabit dikesan bertambah selepas pihaknya menjalankan siasatan dan mendapati kebanyakan suami warga tempatan dibayar RM300 hingga RM1,000 sebulan oleh isteri dikahwini itu.

Menurutnya, kebanyakan wanita warga asing itu menjadikan perkahwinan dengan warga tempatan sebagai lesen untuk menjalankan kegiatan maksiat di negara ini tanpa bimbang diberkas pihak berkuasa atau dihantar pulang ke negara asal.


“Pelacur atau GRO yang ditahan biasanya akan memberi alasan sudah berkahwin dengan lelaki tempatan melalui prosedur sah membolehkan mereka diikat jamin suami masing-masing.



“Bagaimanapun, pasangan ini biasanya tidak tinggal serumah sebaliknya si suami akan muncul sekiranya wanita warga asing terbabit menghadapi masalah atau ingin memperbaharui pas lawatan isteri yang perlu dibuat setiap tahun dengan bayaran RM90 setahun,” katanya.

Beliau berkata, mengikut undang-undang imigresen, wanita yang berkahwin dengan lelaki tempatan dibenarkan tinggal di negara ini menggunakan pas lawatan itu. Bagaimanapun, mereka boleh memohon untuk menjadi warga negara selepas lima tahun bermastautin di Malaysia.

“Jika permohonan mereka diluluskan JPN, wanita terbabit akan diberikan kad pengenalan merah. Bagaimanapun, proses terbabit bukan mudah dan tidak semua akan dibenarkan menjadi warga negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata pihaknya menyedari taktik digunakan wanita warga asing terbabit terutama membabitkan GRO atau pelacur kelas atasan warga China.

Menurutnya, lelaki tempatan terbabit seolah-olah dijadikan hamba duit oleh wanita warga asing itu apabila dijanjikan dengan habuan wang bulanan sekiranya setuju nama mereka dipinjamkan.

Menurutnya, agak menghairankannya apabila ada antara lelaki warga emas yang datang ke pejabatnya membuat aduan mendakwa ditipu atau kehilangan isteri warga asing berusia jauh lebih muda berusia 20 hingga 30 tahun.

“Selain itu, ada wanita warga asing yang datang menemui saya dan mendakwa suami masing-masing enggan melanjutkan tempoh visa penginapan di negara ini dengan pelbagai alasan mencurigakan.

“Namun, masalah diadukan itu mempunyai agenda tersirat apabila si suami hanya mahu mencari isteri warga asing dikahwini berikutan tidak mendapat wang bulanan dijanjikan manakala si wanita pula mencari suami tempatan berikutan tempoh visanya hampir tamat,” katanya.

Katanya, pasangan suami isteri itu terbukti merancang perkahwinan palsu apabila majoriti mereka tidak mempunyai cahaya mata, malah tidak mempunyai alamat rumah yang membuktikan mereka tinggal sebumbung.

Menurutnya, perkahwinan itu biasanya diatur orang tengah yang berperanan mendapatkan suami tumpang untuk gadis asing ini yang meletakkan syarat khas berbentuk imbuhan bulan.

“Mungkin perkahwinan pasangan ini didaftarkan secara sah, namun hakikatnya ia hanya topeng untuk melindungi gadis atau wanita terbabit yang menjalankan aktiviti maksiat di negara ini,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Zafrol

Tengku Zafrul perlu mohon maaf secara terbuka kepada Isa Samad

PENJELASAN oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bahawa kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda baru-baru ini adalah merupakan pandangan peribadi beliau, tidak dapat diterima oleh penyokong kerajaan.

Penjelasan Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank tersebut bahawa kehadiran Tengku Zafrul pada forum berkenaan adalah atas kapasiti peribadi dan bukannya mewakili organisasi tersebut juga tidak boleh diterima.

Sebagai seorang yang terlalu bijak, Tengku Zafrul semestinya telah maklum bahawa penganjur forum berkenaan adalah satu organisasi media yang antikerajaan sedangkan beliau jelas membawa imej dan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional.

Kenyataan Tengku Zafrul yang seseolah-olah memperlekehkan pelantikan yang dibuat Perdana Menteri itu telah menjejaskan imej Tan Sri Mohd Isa khasnya dan ahli politik kerajaan secara amnya.

Kenyataan Tengku Zafrul jelas satu penghinaan terhadap kewibawaan ahli-ahli politik kerajaan, terutama UMNO, sedangkan hakikatnya ahli-ahli politik UMNOlah yang bertanggungjawab mewujud, mengekal dan memajukan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang unggul seperti TM, Petronas, TNB termasuklah Maybank sendiri.

Tanpa peranan dan kewibawaan ahli-ahli politik UMNO, siapalah Tengku Zafrul untuk berkhidmat di sebuah syarikat gergasi perbankan seunggul Maybank. Mahukah bank lain memberi ruang dan mengangkat Tengku Zafrul sebagai Ketua Pegawai Eksekutif?

Penghinaan oleh Tengku Zafrul bukannya adegan daripada salah satu siri rancangan realiti Raja Lawak. Justeru, beliau perlu memohon maaf daripada Tan Sri Isa secara terbuka kerana penghinaan yang berlaku juga secara terbuka.

NORHISYAM MOHAMAD

Alor Setar, Kedah

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Berlawak RM600 Ribu

Maharaja Lawak tawar hadiah RM600,000

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Program pencarian pelawak terbaik, Maharaja Lawak (MRL) yang akan memulakan siaran setiap Jumaat, pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132) mulai 1 April ini menawarkan hadiah wang tunai RM600,000 kepada pemenang.

Hadiah itu merupakan yang tertinggi dipertaruhkan berbanding dengan program Raja Lawak Astro (RLA) yang secara keseluruhan, menawarkan hadiah berjumlah RM180,000 kepada pemenang.

Daripada jumlah RM180,000, juara menerima wang tunai RM100,000, naib johan (RM50,000) dan tempat ketiga berjumlah RM30,000 serta hadiah-hadiah iringan lain.

MRL yang akan dikemudikan oleh pelakon merangkap pengacara, AC Mizal itu menghimpunkan para peserta terdiri daripada bekas juara dan finalis program RLA dari musim pertama sehingga ke musim ke lima.

Bagaimanapun, RL musim kelima masih belum diputuskan siapakah peserta yang akan bergelar juara kerana Gelanggang Raja Lawak akhir itu akan diadakan bulan depan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, juara MRL bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300,000.

“Bagi naib juara pula, pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 dan pemenang tempat ketiga, RM100,000,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran MRL di Bora Asmara, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara peserta yang bakal bertanding bagi merebut hadiah lumayan itu ialah Kumpulan Yus dan Tauke.

Katanya, Kumpulan Johan dan Zizan daripada musim pertama, Nabil dan Kumpulan XN3 (musim kedua) dan Kumpulan Sepah, Jihan dan Amir (musim ketiga) juga akan berentap mencuba nasib di MRL.

Selain itu, katanya, Kumpulan Kecik dan Idlan serta Alex dari musim keempat serta juara dan finalis RL musim kelima yang sedang bertanding sekarang, akan turut serta dalam MRL.

Jelasnya, para peserta diberi pilihan sama ada bertanding secara berkumpulan atau solo seperti Jihan, Amir, Alex dan Nabil.

“Pemilihan pemenang bukan terletak di tangan pengundi yang menghantar undian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Untuk MRL, 50 peratus markah peserta datangnya daripada panel juri, selebihnya barulah daripada undian SMS.

“Seperti biasa, peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan,” katanya.

Sementara itu, Johan dan Zizan yang merupakan peserta solo RL musim pertama berkata, mereka bergabung untuk menyertai MRL kerana lebih selesa untuk muncul berdua.

Kata Zizan, selama bekerjasama dengan Johan, beliau tidak menghadapi masalah malahan ada keserasian.

“Jadi, kami mengambil keputusan, biarlah bergabung untuk bertanding di MRL. Kami lebih berkeyakinan apabila tampil berdua di pentas,” katanya.

ATM Diperlekeh

niat sebenar Tony Pua terhadap ATM didedah

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong hari ini mendedahkan niat sebenar Tony Pua melemparkan fitnah berhubung pembelian enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) adalah bagi memburukkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mata dunia.

Katanya, tindakan wakil rakyat DAP itu yang berselindung di sebalik perjuangan rakyat, adalah untuk memastikan ATM selaku angkatan bersenjata yang begitu berjasa dalam mempertahankan keamanan, tidak lagi dipercayai oleh semua pihak khususnya rakyat negara ini.

Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa perbuatan jahat Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu adalah bertujuan memaksa Kementerian Pertahanan dan ATM mendedahkan butir-butir kekuatan pertahanan negara, demi keuntungan politik pihak asing.

Sehubungan itu, Lum Yong yang juga salah seorang pengasas PKR menggesa kerajaan bertindak segera dengan memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara tersebut, agar ia menjadi pengajaran kepada semua ahli politik supaya jangan mempolitikkan isu pertahanan negara.

"Saya sudah berpuluh tahun dalam pembangkang. Pembangkang melalui Tony Pua mahu memburukkan imej ATM supaya semua pihak tidak lagi menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada organisasi ini biarpun jasa ATM dalam menjaga keamanan tidak ternilai. Dia mahu jadi hero dengan merosakkan imej ATM.

"Dia juga ada niat lain meskipun sedar bahawa banyak maklumat berkait dengan ATM adalah sulit. Semuanya kerana kepentingan politik sempit pembangkang walaupun tuduhan yang mereka lempar langsung tidak disokong dengan bukti," katanya kepada pemberita di Bukit Antarabangsa, di sini hari ini.

Beliau mengulas tuduhan Tony Pua kononnya keputusan kerajaan meluluskan peruntukan RM6 bilion bagi membeli enam buah kapal LCS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah 870 peratus lebih mahal berbanding harga yang dibayar negara lain termasuk oleh Amerika Syarikat.

Tuduhan wakil rakyat DAP itu kemudiannya menjadi senjata makan tuan apabila pelbagai pihak tampil menafikan dan mengkritik beliau sebagai cetek pengetahuan berhubung ilmu ketenteraan termasuk Panglima TLDM sendiri, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Menyedari dirinya sudah terjerat dalam perangkap ciptaan sendiri, Tony Pua secara tiba-tiba 'bersembunyi', termasuk tidak menyahut cabaran supaya melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar pembelian kapal itu diselubungi rasuah.

Mengulas lanjut isu itu, Lum Yong memberi tempoh seminggu kepada Tony Pua untuk mendedahkan bukti tuduhannya kepada SPRM atau satu laporan polis akan dibuat terhadapnya bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

Kata Lum Yong, sebagai seorang wakil rakyat, Tony Pua mesti bertanggungjawab terhadap segala tuduhan dan kenyataan yang dibuatnya.

"Jangan jadi penakut dan bertindak seperti 'baling batu sembunyi tangan'. Jika benar dia berjuang atas nama rakyat, Tony Pua perlu dedahkan segala bukti kepada SPRM kerana agensi ini sedang menunggu bukti.

"Lagi pun ini bukan kali pertama Tony Pua menunjukkan standard yang cukup rendah bagi seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Dia membuat kenyataan dan tuduhan berulang kali tanpa sebarang bukti. Budaya mempolitikkan semua perkara tidak patut wujud di negara ini," tegas Lum Yong lagi.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Buku RM10 Ribu


Tiada campur tangan Mahathir - Tom Plate


Tom Plate bersama buku Conversation With Mahathir Mohamad di Putrajaya, semalam. - Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 22 Feb. - Penulis buku Conversation With Mahathir Mohamad hari ini menegaskan buku tersebut adalah hasil tulisannya sendiri tanpa ada campur tangan daripada bekas Perdana Menteri keempat itu.

Tom Plate berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahkan menolak tawaran beliau untuk membaca dan mengubah apa-apa fakta dalam buku itu sebelum dijual di pasaran.

''Saya ada memberitahu Dr. Mahathir bahawa beliau mungkin tidak bersetuju dengan beberapa fakta dalam buku itu.

''Beliau mengakui perkara tersebut tetapi tidak kisah mengenainya dan mahu saya menulis dengan jujur," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku itu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar dan Penerbit Marshall Cavendish International, Chris Newson.

Buku tersebut merupakan jilid kedua dalam siri Giants of Asia selepas Conversation With Lee Kuan Yew yang diterbitkan oleh Marshall Cavendish.

Sementara itu, Marshall Cavendish dalam kenyataan akhbar yang diedarkan pada majlis itu menyatakan, empat badan amal di negara ini akan menerima RM200,000 hasil jualan sebanyak 20 buah buku tersebut yang mempunyai tandatangan penulis dan Dr. Mahathir.

''Sehingga kini, sebanyak RM40,000 telah dipungut hasil derma daripada empat buah syarikat swasta iaitu Deloitte Consulting Ltd, Rahmat Lim & Partner, Malayan Sugar Manufacturing Co dan Central Sugar Refinery SB.

Buku itu berharga RM10,000 senaskhah.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Muka Lawa Tipu Gurl

Kasanova perdaya wanita, kaut RM60,000

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Hanya berbekalkan rupa paras yang menarik dan ayat-ayat cinta seorang kasanova berjaya menipu ramai gadis sehingga mengakibatkan mereka kerugian lebih RM60,000 sejak dua tahun lalu.

Lelaki dikenali sebagai Ken Isaac berusia 31 tahun itu menyasarkan gadis-gadis berusia lewat 20-an sebagai mangsa.

Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, empat wanita menjadi mangsa lelaki itu sepanjang tahun ini sahaja.

Katanya, selain mendapatkan wang, suspek turut menuntut habuan seks bersama mangsa.

Tambahnya, modus operandi digunakan suspek adalah menggunakan laman sosial dan kenalan lain untuk mendekati mangsa-mangsa.

"Dia kemudian menabur janji-janji manis dan meluahkan cinta. Selepas berkenalan selama dua hingga tiga bulan, dia mula meminta bantuan kewangan.

"Suspek yang mendakwa ahli perniagaan syarikat pengiklanan, menjadikan masalah syarikatnya sebagai alasan untuk mendapatkan wang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Micheal, selepas mendapatkan wang, suspek bertindak menghilangkan diri selain enggan menjawab panggilan telefon daripada mangsa.

Menurutnya, setiap mangsa kerugian sekurang-kurangnya RM1,000, malah ada yang lebih tinggi sehingga mencecah RM26,000.

"Lebih menyedihkan, ada mangsa itu menggunakan wang untuk pembedahan ibunya," katanya.

Beliau percaya suspek masih memperdayakan wanita-wanita bagi mendapatkan wang selain nafsu seks.

"Kita juga percaya suspek berada di sekitar Damansara, Petaling Jaya dan mana-mana wanita yang pernah menjadi mangsa agar tampil membuat aduan," katanya.

Selain itu, Micheal berkata, 22 kes membabitkan kerugian RM1.6 juta dicatatkan membabitkan kes kasanova bagi empat tahun lalu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Bini Tetak Laki


Tetak suami guna pisau potong daging

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

AHMAD Khusairi Abdul Rahim ketika menceritakan pengalaman dikurung isteri kepada wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! di Ipoh, semalam.

IPOH 22 Feb. - Sikap cemburu memang perlu dalam hubungan suami isteri namun cemburu yang melampau seorang wanita di sini, menyebabkan suaminya cedera di lengan akibat ditetak dengan pisau pemotong daging.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam, mangsa turut dikurung isterinya hampir setengah jam di dalam rumah mereka di Taman Pinji Ria, Pengkalan di sini Jumaat lalu.

Mangsa, Ahmad Khusairi Abdul Rahim, 31, namun meloloskan diri dengan kunci pendua dan menghubungi polis untuk meminta bantuan dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, dua kereta peronda polis tiba di rumahnya kira-kira setengah jam kemudian dan membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan.

"Berikutan itu, saya terpaksa menerima 15 jahitan di lengan kiri dan disahkan tiga urat lengan saya terputus," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menceritakan detik-detik itu, Ahmad Khusairi memberitahu, kejadian berlaku semasa dia dan isteri sedang berehat di rumah selepas mereka baru pulang dari solat berjemaah di masjid berdekatan.

Menurutnya, mereka berbual- bual sebelum tiba-tiba isterinya menuduh dia mempunyai hubungan dengan ramai wanita sebelum berkahwin.

"Dia menuduh saya macam-macam termasuk pernah membawa perempuan ke rumah untuk bermalam. Saya terangkan ia tidak benar tetapi dia tidak percaya.

"Inilah akibat mendengar cakap orang lain dan terlalu percaya membuta tuli tanpa menyiasat kesahihannya," katanya.

Ahmad Khusairi memberitahu, sepanjang tempoh dirawat, isterinya yang merupakan jururawat di hospital sama hanya datang sekali melawat dirinya.

Katanya, nasibnya bertambah malang, apabila dikejutkan dengan permohonan cerai isterinya sejurus dia dibenarkan keluar dari hospital itu.

"Dia (isteri) ada datang keesokkan harinya untuk menghantar baju serta memohon maaf dan saya telah memaafkannya.

"Selepas keluar, saya ingin mencarinya namun dia telah menunggu dan menyerahkan permohonan cerai," ujarnya.

Katanya, isterinya juga masih tidak menyesal apabila kembali kepada perangai lama dengan menuduh dirinya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ditanya perancangannya selepas ini, Ahmad Khusairi yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia masih mahu mempertahankan rumah tangga mereka kerana masih menyayangi isterinya.

Katanya, tindakan isterinya itu mungkin disebabkan rasa sayang dan didorong perasaan cemburu yang keterlaluan.

"Buat masa sekarang, saya masih tidak boleh berfikir lagi. Saya mahu pulang ke kampung di Kuala Kangsar untuk menenangkan fikiran terlebih dahulu," katanya.

Ahmad Khusairi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira pukul 6 petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi Bernama malam ini mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis yang dibuat oleh mangsa dan isterinya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: