Monday, January 28, 2013

terbeli telefon ap boleh tuntut

ARKIB : 26/01/2013

Beli telefon AP, wang dikembali

SETIAP peniaga perlu jujur dalam menjalankan urusan jual beli dengan memberi maklumat yang betul kepada pembeli. - GAMBAR HIASAN
MENGAPA perlu memiliki komputer riba sekiranya semua aplikasi yang diingini pengguna komputer riba boleh dinikmati melalui telefon pintar yang lebih kecil dan ringan?
Apatah lagi kewujudan variasi telefon pintar menyaksikan peralatan tersebut menjadi kegilaan masyarakat masa kini, tidak kira usia dari peringkat kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa.
Jadi, tidak hairanlah dalam keadaan pasaran yang sungguh besar, syarikat penjual telefon bimbit begitu ghairah menjual telefon pintar sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap permintaan tinggi pengguna.
Antara tarikan hebat yang digunakan peniaga adalah menjual telefon pintar pada harga yang jauh lebih rendah berbanding di kedai-kedai lain.
Telefon yang dijual boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu yang asli dan Authorized Product (AP).
Tidak salah untuk pengguna membeli tetapi yang menjadi kesalahan adalah peniaga tidak jujur dengan menjual telefon yang tidak tulen tetapi didakwa sebagai asli.
Ini yang terjadi kepada seorang pengguna, Aiman Nasir, 21, ketika membeli sebuah telefon pintar jenama Sony Ericsson jenis Xperia di sebuah kedai telekomunikasi di Jalan Bukit Bintang di ibu negara.
Sebelum pembelian dibuat, penjual telefon itu beberapa kali memberikan jaminan bahawa telefon itu adalah asli dan bukannya jenis AP.
Aiman bersetuju membelinya secara tunai pada harga RM850.
Bagaimanapun, selepas menggunakannya selama beberapa hari, dia membuat semakan di sebuah syarikat menjual telefon bimbit lain dan mendapati telefon yang baharu dibelinya itu adalah set AP.
Dia yang berasa tertipu, pergi semula ke kedai tersebut dan meminta jurujual terbabit menukarkan semula set telefon bimbit itu kepada set asli daripada jenis sama, namun syarikat itu enggan memenuhi permintaannya.
Tidak berpuas hati, pelajar itu memfailkan aduan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kuala Lumpur untuk menuntut ganti rugi daripada syarikat yang menjual telefon tersebut.
Presiden TTPM, Maznah Haron yang mendengar kes itu memerintahkan syarikat Excel Star Telecommunication Enterprise membayar semula RM850 kepada Aiman dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu dikeluarkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20130126/me_02/Beli-telefon-AP-wang-dikembali#ixzz2JEssUTys
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, January 27, 2013

bini siram air panas atas kemaluan laki

Lelaki mangsa amukan isteri
Wartawan Sinar Harian
27 Januari 2013
Lelaki mangsa amukan isteri
Sanusi (bukan nama sebenar) kini masih terlantar di hospital dan berkemungkinan keupayaannya untuk bekerja selepas ini mungkin terganggu.
KLANG  – “Sambil menahan sakit, saya menggagahkan diri memandu sendirian ke hospital kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian. Tanpa henti berdoa, saya gagahkan tangan memulas stereng kereta sambil air mata menemani sepanjang perjalanan.”

Demikian luahan seorang suami yang juga bapa kepada lapan anak ketika menceritakan saat dia berusaha mendapatkan rawatan di sebuah hospital sebaik badannya melecur terkena simbahan air panas dilakukan isterinya sendiri.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sanusi, 50-an, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam beberapa hari lalu, sejam sebelum dia ke tempat kerja.

“Ketika itu saya berehat di ruang tamu bersama seorang saudara dan anak lelaki. Manakala isteri pula solat Isyak di sebuah bilik. Sedang leka menonton televisyen, tiba-tiba saya disimbah isteri dengan air panas.

"Dalam kesakitan saya cuba mengelak, bagaimanapun isteri terus-terusan menyimbah air panas tanpa simpati. Kemudian, dia berlari keluar dari rumah dan saya mengejarnya kerana terkejut dengan tindakannya itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia berpatah balik kerana terlalu sakit lalu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, sebaik tiba, dia dipapah kakitangan hospital untuk keluar daripada kenderaan dan hanya sedarkan diri tatkala terbaring dalam keadaan separuh badan berbalut kain putih.

“Anak dan saudara saya turut terkejut. Namun berkat bantuan ALLAH SWT, saya akhirnya sampai di hospital beberapa minit kemudian dan sebaik dimasukkan ke unit kecemasan, saya pengsan,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sanusi melecur dari paras dada hingga lutut, lebih menyayat hati apabila kemaluannya turut cedera dan peratusan untuk berfungsi adalah rendah.

Bercerita lanjut mengenai punca kejadian, Sanusi berkata, dia dan isteri kerap bertengkar berikutan masalah peribadi serta rumah tangga.

Namun, dia tidak menyangka isterinya sanggup mengambil tindakan sebegitu hingga nyaris meragut nyawanya.

“Walaupun perbuatannya itu dianggap menderhaka, namun demi anak-anak, saya tidak berhasrat untuk membuat laporan polis. Sebaliknya akan terus berdoa supaya dia kembali ke jalan yang benar.

“Saya masih sayangkan dia, namun sukar menerima perbuatannya itu walaupun kami hidup bersama hampir 40 tahun. Saya yakin ini ujian ALLAH SWT dan berharap ALLAH SWT memudahkan jalan hidup saya sekeluarga selepas ini,” katanya.

aku mau kahwin

‘Saya pun nak kahwin’

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
Kuang: “Meskipun tidak memiliki kecantikan sempurna seperti insan lain, naluri kewanitaan saya tetap terdetik dan mahu berkahwin seperti wanita lain,” kata Mariam Abdul Rahman, 60.
Mariam yang tidak pernah bercinta dan berkahwin, berhasrat mencari lelaki bergelar duda yang sudi menerima dirinya seadanya. Tidak mementingkan paras rupa semata-mata, paling penting bakal suami bertanggungjawab dan boleh menerima diri seadanya.
“Saya tiada pengalaman bercinta seperti insan lain. Pada usia sebegini, cukuplah lelaki itu boleh menemani saya dan menjadi pembimbing. Lagipun, saya tak mahu menyusahkan adik-beradik lain kerana mereka sudah berkeluarga.

“Meskipun seronok duduk di sini ditemani kawan, saya tetap menginginkan kehidupan berumah tangga,” katanya ketika ditemui di Rumah Penjagaan Warga Tua Sri Tanjung Kampung Damai, di sini, sempena lawatan Persatuan Pesara Kerajaan Daerah Gombak, semalam.
FotoMAHMOOD (kiri) bersama Azizah (kanan) bertanya khabar warga tua di Rumah Penjagaan Warga Tua Sri Tanjung Kampung Damai, semalam.

Sebelum dihantar ke pusat jagaan itu, Mariam bekerja sebagai pekerja kilang di Johor Bahru. Ketika itu, tidak pernah terdetik di hatinya untuk bercinta seperti rakan lain.

cari kambing sampai tergantung

pix_topright

12 jam tergantung cari kambing

Oleh MUHAMMAD APENDY ISSAHAK
Selayang: Seorang gembala kambing nyaris maut selepas tergelincir ketika mencari ternakannya di kawasan bukit berhampiran kuil Batu Caves, di sini, dan tergantung pada akar kayu lebih 12 jam pada waktu malam sebelum ditemui orang ramai, pagi semalam.
Lelaki berusia 40-an itu dikatakan mendaki bukit berkenaan lewat petang kelmarin untuk mencari kambingnya tetapi terjatuh dari tebing bukit setinggi 25 meter, namun bernasib baik apabila kaki kirinya tersangkut pada akar kayu sebelum ditemui jam 8 pagi semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Selayang menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam dan menghantar pasukan bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sepasukan tujuh pegawai dan anggota bomba tiba ke lokasi kejadian 13 minit selepas mendapat maklumat. Sebaik tiba, lelaki terbabit didapati tersangkut serta tergantung di akar pokok dengan kepalanya ke bawah.

“Bomba mengambil masa hampir sejam bagi menyelamat dan menurunkan mangsa sebelum ambulans membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan awal, lelaki terbabit dipercayai tergelincir dari bukit berkenaan ketika mencari kambingnya, lewat petang kelmarin.
FotoGembala kambing yang tergantung pada akar kayu di tebing bukit.
“Kejadian tak disedari sesiapa dan mangsa dipercayai tergantung di tebing bukit itu lebih 12 jam sebelum ditemui orang ramai yang berada di kuil,” katanya.

Saturday, January 26, 2013

100 punya pasal 10 tahun dalam duduk

Gara-gara RM100, juruteknik dihukum penjara 10 tahun, 5 sebatan

2 November 2012
KUALA LUMPUR - Gara-gara merompak RM100 milik seorang lelaki warga Nepal tahun lepas, seorang juruteknik dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim K.M.Nithiyanantham membuat keputusan itu selepas mendapati E.Kularajah Kumar, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah sebagai benteng terakhir mesti melindungi orang awam melalui hukuman setimpal untuk mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan sama," katanya.

Nithiyanantham mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula hari ini.  

Kularajah Kumar bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai RM100 dan kad rekod kedatangan kerja sehingga mencederakan Surya Bahadur Jogi, 26, seorang pekerja kilang, di hadapan rumahnya di Jalan 8/62B, Bandar Manjalara, Sentul  di sini pada 7.30 pagi 29 Okt 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Sebaik keputusan hakim, tertuduh dilihat terpinga-pinga dan berulang kali berkata dia tidak melakukan kesalahan tersebut dan ibunya yang berada di galeri awam menangis dan seterusnya secara lantang berkata kepada hakim bahawa hukuman itu terlalu berat.

"Dia akan "mati" di dalam sana (penjara), tolonglah, saya merayu kepada anda," kata wanita itu lalu keluar dari mahkamah.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 30 Julai lepas, seramai empat saksi pendakwaan  dan dua saksi pembelaan memberi keterangan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Izuddin Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

"Walaupun hanya melibatkan RM100, mungkin ia satu nilai yang sedikit tetapi bagi mangsa yang hanya memperoleh gaji RM900 sebulan, ini adalah nilai yang besar," katanya.

Mangsa yang turut hadir ke mahkamah hari ini untuk memberi keterangan mengenai impak kejadian rompakan itu terhadap dirinya, memberitahu mahkamah bahawa dia kehilangan RM100 dan kad rekod kedatangan kerja serta berdarah di bibir akibat dicederakan tertuduh. - Bernama

Monday, January 21, 2013

murid hendak bertunang

ARKIB : 18/01/2013

Polis cari murid tahun lima

Zulkepli Bedin dan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Yusnita Samsudin memegang gambar Teratai Kamilia Mohd. Hafiza dan Muhamad Shahril Imran Muhd. Mudrika di IPD Kuala Kubu, Hulu Selangor, semalam. - UTUSAN/WAHIDAH ZAINAL
HULU SELANGOR 17 Jan. - Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang murid tahun lima yang dipercayai dilarikan teman lelakinya berusia 17 tahun ketika mangsa keluar bersama neneknya di sebuah pasar raya di Bukit Sentosa, Sabtu lalu.
Teratai Kamilia Mohd. Hafiza, 11, yang juga murid Sekolah Kebangsaan Taman Permata, Kuala Lumpur itu dipercayai dilarikan remaja terbabit, Muhamad Shahril Imran Muhd. Mudrika, kira-kira pukul 2.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Zulkepli Bedin berkata, kedua-duanya mengenali satu sama lain ketika bermain permainan dalam talian, kira-kira tiga bulan lalu.
Katanya, namun apabila perhubungan itu diketahui, keluarga mangsa melarang mereka berjumpa.
"Berdasarkan laporan keluarga mangsa, suspek dikatakan pernah cuba menghantar cincin tunang dengan hasrat mahu meneruskan perhubungan itu.
"Mangsa yang tinggal di Taman Permata, Hulu Kelang kemudian dihantar untuk tinggal di rumah datuk dan neneknya di Taman Bukit Sentosa di sini baru-baru ini.
"Tetapi Sabtu lalu, ketika mangsa dibawa keluar oleh neneknya di sebuah pasar raya, dia berpura-pura hendak ke tandas tetapi kemudian melarikan diri bersama suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor di sini hari ini.
Menurut Zulkepli, pemeriksaan CCTV turut mendapati Teratai Kamilia tidak dipaksa mengikut suspek sebaliknya melakukannya secara sukarela.
Katanya, Teratai Kamilia sebelum ini pernah menghilangkan diri selama sehari pada 8 Januari lalu tetapi pulang semula ke rumah selepas dipujuk oleh keluarganya.
"Sehingga kini, kita masih tidak mendapat sebarang maklumat untuk mengesan mangsa dan kali terakhir dia dilihat adalah di Tampoi, Johor.
"Polis meminta orang ramai yang melihatnya segera melaporkan kepada pihak berkuasa di balai-balai terdekat," katanya dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130118/je_01/Polis-cari-murid-tahun-lima#ixzz2IYkwaHnR
© Utusan Melayu (M) Bhd

bersalin dalam mahkamah la pulak

ARKIB : 17/01/2013

Gempar wanita tiba-tiba bersalin di mahkamah Kangar

SEORANG pegawai perubatan yang bergegas ke Kompleks Mahkamah Kangar, memberi bantuan memotong tali pusat bayi yang dilahirkan oleh ibunya di kompleks itu sebelum mengejarkan wanita itu dan bayinya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, pagi ini. - FOTO IHSAN MAHKAMAH KANGAR
KANGAR 17 Jan. - Tempat menunggu orang awam di Kompleks Mahkamah di sini hari ini menjadi gempar apabila dikejutkan dengan peristiwa seorang ibu tiba-tiba bersalin di kawasan itu pada kira-kira pukul 11 pagi ini.
Difahamkan, wanita berkenaan berada di mahkamah kerana menunggu suaminya seorang orang kena tuduh (OKT) yang didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan).

Shahidawati Shabudin, 37, dikatakan sudah mula menunjukkan tanda untuk bersalin ketika sedang menunggu suaminya itu. Dia sebenarnya baru sahaja keluar dari mahkamah di mana dia dilihat seperti menahan sakit tetapi digagah juga melangkah untuk mencari tempat duduk.
Salah seorang tukang cuci di mahkamah berkenaan mula perasan wanita itu telah mula mengalami pendarahan.
"Tukang cuci itu kemudian membantu wanita tersebut termasuk memeriksa kandungannya dan mendapati kepala bayi sudahpun kelihatan pada waktu itu. Dia kemudian membantu sehingga wanita itu selamat melahirkan bayinya.,'' cerita seorang peguam, Suhaila Ahmad.
Bagaimanapun Shahidawati terpaksa mengerang kesakitan selama 20 minit yang turut disaksikan suaminya, Narizam Saad, 39, yang berada bersamanya sebelum sebuah ambulans tiba untuk membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Kejadian itu mengejutkan banyak pihak termasuk masjistret, peguam, polis dan orang ramai yang berada di mahkamah pada ketika itu. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130117/je_07/Gempar-wanita-tiba-tiba-bersalin-di-mahkamah-Kangar#ixzz2IYkSfrZJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

murid tahun 5 sudah pandai ehem2

ARKIB : 20/01/2013

Remaja lelaki larikan murid tahun lima direman

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Polis menahan seorang remaja lelaki yang dipercayai melarikan seorang murid tahun lima ketika mangsa keluar bersama neneknya di sebuah pasar raya di Bukit Sentosa, Rawang di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi (gambar) berkata, remaja itu ditahan semalam dan direman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Beliau berkata, selain itu, polis turut menyiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol ekoran pemeriksaan perubatan mendapati kedua-duanya pernah melakukan hubungan seks.
"Hasil pemeriksaan doktor menunjukkan terdapat kesan koyakan lama di kemaluan mangsa. Soal siasat terhadap suspek dan mangsa, mereka mengakui pernah melakukan hubungan seks sebelum ini.
"Mangsa kini mendapatkan rawatan doktor dan psikologi di Hospital Selayang manakala remaja lelaki itu dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Baru untuk menjalani ujian air kencing dan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Teratai Kamilia Mohd. Hafiza, 11, yang dipercayai dilarikan teman lelakinya berusia 17 tahun ketika mangsa keluar bersama neneknya di sebuah pasar raya.
Bagaimanapun, setelah hampir seminggu kehilangannya, mangsa dan teman lelakinya itu ditemui selamat oleh bapa saudara murid tersebut di sebuah pusat beli-belah di Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam, sebelum dibawa ke balai polis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130120/je_01/Remaja-lelaki-larikan-murid-tahun-lima-direman#ixzz2IYk3u46B
© Utusan Melayu (M) Bhd