Pasar jual anak dara
GADIS-GADIS ini akan memakai pakaian yang cantik untuk memikat hati bakal suami.
MENCARI jodoh merupakan salah satu proses asas sebelum perkahwinan.
Pelbagai medium digunakan untuk si uda dan dara mengenali hati budi
masing-masing. Ada yang selesa diperkenalkan saudara-mara, laman sosial
ataupun agensi mencari jodoh.
Namun, di sebuah kampung terpencil Prohorovo, Bulgaria, penduduk
kampung tersebut yang terdiri daripada kaum Gipsi mempunyai cara unik
untuk menemui jodoh sejak ratusan tahun lagi.
Wanita atau gadis yang masih bujang akan berkumpul di sebuah pasar
'Bridal Market' di kampung berkenaan dengan memakai pakaian yang seksi
serta menggiurkan bakal suami.
Cuma individu berumur 15 hingga 30 tahun yang ditemani ibu bapa
dibenarkan menyertai acara itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini
berlaku.
Sesi tawar-menawar berlaku seperti pasar awam tetapi syarat utama
gadis atau wanita itu mestilah masih bujang selain paling utama masih,
dara.
Sekiranya terbukti anak perempuan tidak lagi perawan, ibu bapa gadis perlu memulangkan semula wang tawaran yang diberikan.
Selain itu, ibu bapa tidak dibenarkan menyertai acara sama pada masa hadapan.
Kebiasaannya, ibu bapa yang membawa anak gadis masing-masing datang
daripada keluarga miskin yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka.
Semakin cantik gadis yang dilelong semakin tinggi harga bidaan yang akan diperoleh.
Beli dara
Situasi itu dialami Hristos Georgiev, 18, yang bersandar di bahagian
hadapan but kereta sambil menikmati pemandangan sekelilingnya.
Dia berdiri bersebelahan ayahnya sambil berbincang dengan Donka Dimitrova yang akan dikahwininya tidak lama lagi.
BRIDAL MARKET telah diadakan sejak ratusan tahun lagi oleh penduduk Kampung Prohorovo, Bulgaria.
Proses rundingan selama hampir empat jam itu selesai hingga
melibatkan bayaran RM20,000. Hristos harus rasa bangga kerana bakal
suaminya sanggup meletakkan harga tinggi memandangkan pendapatan purata
rakyat Bulgaria hanyalah sekitar RM8,000 setahun.
Menurut Dimitrova, dia menyimpan wang tersebut hasil pekerjaan sebagai buruh binaan di Cyprus.
Bagi seorang ahli etnografi Akademi Sains Bulgaria, Velcho Krustev,
setiap lelaki yang memilih pasangan di 'Bridal Market' bukannya membeli
isteri tetapi 'dara' mereka.
"Pembayaran itu lebih bersifat situasi menang-menang kerana kedua-dua
belah pihak mendapat manfaatnya. Lelaki juga tidak berasa tertipu
kerana bakal isteri masih dara.
"Jika tidak, wang itu akan dikembalikan dan keluarga terbabit akan
disenarai hitam daripada memasuki pasar itu pada masa hadapan," katanya.
Perceraian selepas perkahwinan jarang berlaku.
Terang Krustev, kecantikan juga menjadi salah satu elemen utama kerana harga bagi bakal isteri boleh mencecah RM50,000.
Pendidikan bukanlah satu keutamaan bagi mereka kerana kajian pada
2004 mendapati 25 peratus wanita kampung tersebut buta huruf dan hanya
10 peratus yang menamatkan pendidikan peringkat menengah.
SUASANA Bridal Market cukup meriah seperti pesta hiburan.
|
Namun, Krustev memberitahu, tradisi 'Bridal Market' semakin pupus dan
wanita di perkampungan itu tidak seperti dahulu dan sama seperti wanita
moden lain.
"Ramai yang sudah berhijrah ke bandar besar dan menjalani kehidupan moden sebelum berkahwin.
"Walaupun dahulu dianggap satu larangan berkahwin dengan orang luar tetapi kini tidak lagi," katanya.
Kahwin menara
Lain pula ceritanya di Menara Eiffel di Perancis. Seorang wanita,
Erika La Tour Eiffel, 42, membuat keputusan untuk 'berkahwin' dengan
menara telekomunikasi itu pada 2007.
Dia yang merupakan seorang bekas tentera yang berasal dari San
Francisco, Amerika Syarikat juga menukar namanya kepada menara itu
sebagai tanda cintanya kepada menara itu.
Erika turut mendakwa, dia mempunyai hubungan fizikal dengan kipas yang wajib diletakkan bersebelahannya setiap kali ingin tidur.
Tetapi, Menara Eiffel merupakan satu-satunya objek yang dia cintai
sehingga mengambil keputusan untuk 'berkahwin' dengan bangunan ikonik
itu.
"Saya hairan mengapa manusia tidak boleh mencintai sesuatu benda atau bangunan.
"Menyayangi benda serta bangunan seperti manusia kerana 'mereka' juga ingin dibelai dan mendapat perhatian sewajarnya,' ujarnya.
Wanita ini mendakwa, sifat peliknya itu bermula kerana diabaikan sejak kecil oleh keluarga.