Miri: Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis selepas tidak
tahan dengan tindakan sepasang suami isteri warga emas lingkungan 80-an
yang menguatkan suara aksi dalam video lucah yang ditonton di televisyen
sejak beberapa bulan lalu.
Lelaki berusia 61 tahun dari sebuah taman perumahan, di sini,
mendakwa gangguan bunyi bising daripada video lucah itu muncul antara
jam 8 malam hingga tengah malam.
Menurut sumber, pasangan
suami isteri terbabit dikatakan mempunyai hobi pelik dengan menonton
video lucah hampir setiap malam dan menguatkan suara aksi dalam video
itu sehingga mengganggu jiran berhampiran.
Katanya, tindakan melampau pasangan terbabit menyebabkan lelaki itu membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.
“Beberapa jiran lain turut mengadu perkara sama serta pernah bertemu
dengan pasangan itu supaya menghentikan tabiat mereka atau
memperlahankan suara video lucah, namun tidak diendahkan.
“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu mempunyai
masalah mental atau sebaliknya, namun pengadu turut mendakwa pernah
dimarahi lelaki berkenaan sebelum ini tanpa sebarang sebab,” katanya.
Dalam kes berasingan, seorang guru wanita terkejut selepas menerima
panggilan daripada seorang kakitangan sebuah bank untuk pengesahan
transaksi membeli barang kemas melalui kad kreditnya oleh individu tidak
dikenali, semalam.
Lebih mengejutkan, apabila mangsa berusia
32 tahun itu dimaklumkan turut mempunyai tunggakan kad kredit lebih
RM6,000 walaupun tidak pernah menggunakan kemudahan itu.
Sumber berkata, hasil perbualan dengan kakitangan bank terbabit, mangsa
turut diberitahu kad kredit miliknya mula aktif awal Januari lalu dengan
kadar had mencecah lebih RM10,000.
“Pemeriksaan awal
mendapati, ada kemungkinan identiti wanita itu digunakan individu tidak
dikenali atau sindiket tertentu untuk memohon kad kredit tanpa disedari
mangsa sendiri.
“Mengesyaki sesuatu tidak kena berlaku mangsa
kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan
lanjut,” katanya.
Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan daripada ahli perniagaan itu.