Wednesday, March 2, 2011

Along Wanita Ganas


Ah long wanita sama ganas


Tindakan menyimbah cat merah amat sinonim dengan kekejaman ah long. - Gambar hiasan

AH LONG selalunya sinonim dengan lelaki. Sebabnya, tugas yang perlu dilakukan mereka menuntut kekasaran dan keberanian diikuti tindakan tidak berperikemanusiaan seperti menggertak, mengugut, menyerang, memukul dan kemungkinan membunuh mangsa.

Tetapi jangan terkejut kerana golongan wanita juga terlibat dengan kerja-kerja ah long termasuk yang berketurunan Melayu.

Ah long wanita juga bersifat ‘hati kering’ sehingga sanggup melakukan kekasaran ke atas peminjam yang gagal membayar mengikut jumlah serta tempoh dijanjikan.

Perkara ini didedahkan oleh Pegawai Unit Tindakan Khas Gores dan Menang & Ah Long, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Saharudin Bakar baru-baru ini.

Malah PPIM turut mempelawa Mega menyertai satu proses rundingan dengan ah long tersebut bagi melangsaikan hutang mangsa.

Ketika wartawan Mega berkunjung ke pejabat PPIM yang terletak di Keramat, Sharudin atau lebih mesra dengan panggilan Abang Dino memberitahu bahawa dia akan bertemu seorang ah long wanita Melayu untuk berbincang dan menyelesaikan satu kes.

Penulis memohon supaya diberikan peluang untuk turut serta dalam perjumpaan itu dan Abang Dino bersetuju.

Pada hari dijanjikan, penulis dan jurugambar mengikut Abang Dino bersama isterinya yang mesra disapa Kak Yati menuju ke sebuah restoran di Klang - lokasi pertemuan yang ditentukan ah long itu.

Namun, kata Abang Dino, perjumpaan kali ini sedikit berbeza kerana ah long itu mahu mangsa turut serta.

Tiba di tempat dijanjikan pada waktu yang ditetapkan, kami berempat bertemu mangsa bersama suaminya dan seorang saudara di luar restoran itu sebelum memasukinya.

Menuju ke sudut di tingkat bawah seperti yang diminta ah long itu, Abang Dino memperkenalkan dirinya dan ia disambut kurang mesra.

Kemudian, ah long itu mengarahkan Abang Dino supaya tidak membenarkan Kak Yati, penulis, jurugambar, suami mangsa dan saudaranya duduk di meja sama untuk mengikuti perbincangan itu. Dia hanya ingin bercakap dengan Abang Dino dan mangsa.

Selepas Abang Dino bersetuju, penulis dan suami mangsa duduk di meja bersebelahan untuk mendengar perbincangan itu.

Melihatkan susuk tubuhnya yang tidak terlalu tinggi dan mengalami masalah kesihatan sehingga membataskan pergerakannya tentu orang tidak menyangka dia seorang ah long. Wanita itu ditemani seorang anak saudaranya yang bertindak sebagai pemandu kereta.

Siapa sangka wanita berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an berwajah mirip Cina itu adalah ah long.

Sepanjang lebih setengah jam berbincang, ah long itu ternyata tidak berpuas hati dengan tujuan PPIM ingin membantu mangsa.

Bukan hanya bercakap banyak dan cuba memotong apa yang diperkatakan Abang Dino, wanita itu juga bercakap dalam nada kuat.

Antara kandungan perbincangan antara Abang Dino dan ah long menunjukkan ah long itu menganiaya mangsa dan bersikap kejam namun tidak mahu mengaku kalah.

Abang Dino: Kakak mengenakan faedah sebanyak 10 peratus kan?Betul kan?

Ah long: Ya.

Abang Dino: Bukankah itu terlalu tinggi dan bank pun hanya mengenakan beberapa peratus setahun?

Ah long: Ya memang lah tapi saya peduli apa. Dia bersetuju...Berlagak masa pinjam, kata semuanya boleh bayar, sekarang kenapa tak mahu bayar?

Abang Dino: Dia bukan tak mahu tapi dia sudah bayar sampai lebih RM23,000 (dalam catatan mangsa) walaupun pinjaman pokok dia hanya sekitar RM9,200. Mana boleh kakak kata dia tak mahu bayar?Dia sudah bayar. Kalau dalam Islam ini dipanggil riba.

Ah long: Saya tahu. Jangan cakap dengan saya pasal agama. Saya tak mahu dengar. Dia bukan sudah bayar RM23,000 tapi hanya RM19,970 (dalam catatan ah long). Semua jumlah yang dia bayar ini hanya untuk faedah, bukan pokok.

Abang Dino: Kalau dia bayar cuma RM19,970 pun, itu dah terlalu banyak untuk hutang dia yang hanya dalam anggaran RM9,200. Jumlah ini sudah melebihi hampir RM10,000. Sekarang mangsa tak patut bayar apa-apa dan hutang dia dengan kakak sepatutnya dah lama selesai.

Ah long: Saya malas nak ambil tahu dan saya tak nak peduli apa yang dia dah bayar. Sekarang kalau mahu tutup kes, dia kena bayar dengan saya RM22,000 dan jumlah ini termasuk pokok, tambah faedah bulanan yang dia tak bayar selama setahun.

Abang Dino: Mana boleh kakak kata tak nak peduli apa yang dia sudah bayar sebab itu duit juga. Kakak kena peduli. Sekarang saya mahu kakak tutup kes ini.

Ah Long: Kalau macam ini saya mahu mangsa bayar RM11, 408 (kononnya jumlah hutang pokok ditambah dengan faedah bulanan selama setahun yang didarab 1.5 peratus).

Abang Dino: Macam mana sekejap macam ini, sekejap macam itu. Sekejap 10 peratus, lepas tu turun 1.5 peratus. Sekarang saya mahu balik pejabat, bincang dengan bos dan akan telefon kakak balik untuk bagi tahu keputusan kami.

Kemudian, Abang Dino mengemas fail dokumen mangsa yang dipegangnya dan bingkas keluar dari restoran itu walaupun ah long berkenaan terus bercakap sebelum dia turut keluar.

Begitulah sikap kebanyakan ah long yang tidak mahu mengaku kalah walaupun secara terang-terang menganiaya mangsa.

Bagaimanapun, hasil budi bicara serta bukti yang dikumpul mangsa dan PPIM, ah long kebiasaannya terpaksa akur menutup kes atau bersetuju dengan sedikit pembayaran penyelesaian.

Menurut Abang Dino, proses peminjaman dilakukan ah long wanita adalah sama dengan kegiatan ceti haram lelaki yang mana mereka mengenakan faedah pembayaran bulanan membebankan peminjam.

Bezanya antara ah long wanita dan lelaki, ah long wanita akan mengupah samseng untuk bertemu mangsa bagi mengutip hutang.

Samseng tersebut yang akan menggunakan kekerasan seperti menggertak, mengugut dan memukul.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, March 1, 2011

Tempoyak Patin

Tempoyak patin jadi pilihan utama

TEMERLOH 28 Feb. - Masakan asam tempoyak ikan patin menjadi lebih 'panas' berbanding calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini.

Ia berikutan pelbagai pihak khususnya pemimpin dan ahli parti yang datang dari luar Pahang berkumpul di kawasan itu, mencari masakan popular di negeri ini.

Keghairahan penyokong parti-parti bertanding menarik sokongan pengundi memilih calon mereka tidak sehebat mencari masakan tersebut yang didapati dijual di sekitar Kerdau dan bandar ini.

Apa tidaknya, masakan berkenaan yang panas, sedap dimakan pada waktu tengah hari selepas berkempen dari rumah ke rumah serta menghadiri majlis tertentu.

Sesuai dengan jolokan Bandar Ikan Patin, bandar ini menjadi tumpuan orang-orang luar terutama pelbagai pemimpin parti singgah menikmati masakan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar ini mendapati masakan tersebut dijual di warung di tepi jalan sepanjang laluan ke kawasan DUN Kerdau, iaitu di Pekan Kerdau, Kuala Krau dan Bandar Tun Razak.

Kebiasaannya, harga masakan ikan patin yang diperoleh dari Sungai Pahang antara RM15 hingga RM20 seketul atau lebih mengikut pasaran semasa.

Seorang ahli UMNO dari Kedah, Hashim Man, 45, berkata, dalam membantu kempen partinya di sini, dia mengambil kesempatan menikmati kelazatan masakan asam tempoyak ikan patin.

''Sudah banyak kali dengar daripada rakan dan menerusi akhbar Utusan Malaysia mengenai kelazatan masakan ikan patin itu. Hari ini, saya mencuba, ternyata sungguh enak dan berselera," katanya selepas menikmati hidangan di Pekan Kuala Krau di sini.

Katanya, kunjungan ke kawasan Kerdau cukup bermakna kerana dapat menikmati masakan tersebut. malah, nostalgia itu akan terpahat sampai bila-bila masa apabila dapat membantu kemenangan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad pada pilihan raya kecil 6 Mac ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tukar Bini Da



Pakej tukar suami isteri
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


BUKTI...SMS yang dihantar pasangan dari negara jiran terbabit.
JOHOR BAHRU: Pakej pelancongan sambil bertukar-tukar suami dan isteri. Begitu aktiviti seks bebas hujung minggu dikenali sebagai ‘swinger’ anjuran segelintir pelancong dari negara jiran yang kini cuba menjerat pasangan di bandar raya ini untuk menyertainya.

Pelancong terbabit yang dinaungi lebih 10 kelab maksiat di negara itu serta kelab antarabangsa cuba mempengaruhi pasangan suami isteri berpendapatan sederhana di bandar raya ini dengan apa yang dianggap gaya hidup moden itu, kononnya boleh meningkatkan keseronokan masing-masing. Malah, pelancong terbabit sanggup mengumpan ganjaran tertentu termasuk membiayai percutian selain menyediakan kemewahan jika pasangan suami isteri tempatan sanggup memenuhi permintaan mereka.


Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan seorang ejen insurans di Taman Indahpura, dekat Kulaijaya, Arshad Mohd Ali, 27, yang mendakwa hampir terjebak selepas dipelawa sepasang suami isteri golongan profesional dari negara jiran berusia 30-an.

Arshad berkata, dia mengenali pasangan terbabit ketika membeli-belah bersama isterinya yang sebaya di sebuah pasar raya di bandar raya ini, akhir Oktober tahun lalu selepas tertarik sikap mesra mereka sebelum bertukar nombor telefon.


Katanya, dia tidak sangka hasrat murninya menjalin persahabatan dengan pasangan terbabit mendatangkan masalah apabila pasangan itu sendiri mendedahkan niat buruk mereka.


“Pasangan suami isteri dikenali sebagai Nin dan Sue yang masing-masing bekerja sebagai jurutera itu beria-ia berkunjung ke rumah kami pada pertengahan November tahun lalu hampir setiap hujung minggu selain tidak ketinggalan menghubungi dan mengajak kami beriadah.


“Mulanya, tindakan itu menyebabkan hubungan kami suami isteri dengan pasangan terbabit semakin akrab dan bagi menghargai persahabatan, kami memenuhi permintaan mereka dengan berkunjung ke rumah mereka di negara itu,” katanya.


Arshad berkata, tembelang pasangan yang belum mempunyai anak itu mula terdedah selepas mereka menghantar SMS menghasut yang memintanya dan isteri mencuba aktiviti songsang itu.


Menurutnya, lebih mengejutkan, pasangan itu tanpa segan-silu mendedahkan identiti sebenar mereka yang turut menjadi ahli sebuah kelab seks di negara asal yang mahu menarik keanggotaan baru dalam kalangan penduduk negeri ini.


“Saya terkejut apabila menerima SMS daripada Nin dan pasangannya yang memberitahu mahu mengajak saya dan isteri ke Melaka untuk berseronok bersama-sama pada 6 Disember lalu.


“Mereka memberitahu mahu membiayai kos penginapan kami di hotel selain makan minum sepanjang percutian itu.


“Mereka yang mendakwa sudah bosan melayan nafsu pasangan masing-masing juga meminta kami mendaftar sebagai ahli kelab maksiat di negara mereka secepat mungkin bagi memulakan kehidupan baru yang konon menjanjikan keseronokan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.


Arshad berkata, Nin memberitahunya pakej pelancongan yang mempromosi seks bebas itu bergerak melalui kelab maksiat konon bertujuan menyemarakkan semula hubungan seks yang suram dalam kalangan pasangan suami isteri dan setiap peserta akan bertukar pasangan masing-masing suka sama suka.


Katanya, ketika dia menghubungi lelaki itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai SMS berkenaan, jurutera itu cuba meracuni pemikirannya dengan menyatakan amalan itu sudah menjadi trend masyarakat moden seluruh dunia.


“Saya dan isteri bimbang dengan perlakuan sumbang pasangan itu dan dan lebih rela memutuskan persahabatan songsang yang terjalin daripada terus hanyut dalam dunia maksiat.


“Kami berharap dengan pendedahan ini pasangan suami isteri lain lebih berhati-hati dengan taktik pasangan warga asing itu kerana boleh menghancurkan kebahagiaan rumah tangga selain merosakkan akidah,” katanya.

Beli semua sy bas

Beli semua syarikat bas

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
TAWARAN Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) kepada kerajaan agar membeli semua syarikat pengusaha bas yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara perlu dilihat dari pelbagai sudut.

Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, tawaran berkenaan itu dibuat selepas perkhidmatan pengangkutan awam itu dilihat tidak berdaya untuk menanggung kerugian sepanjang tempoh 15 tahun mereka beroperasi.

Para pengusaha bas berhenti-henti mendakwa mereka berada dalam keadaan yang tenat dan sedang nazak ekoran terpaksa menanggung kerugian dan kemungkinan terpaksa gulung tikar pada bila-bila masa sahaja.

Mereka mendakwa tidak ada usaha serius daripada pihak kerajaan untuk menyelamatkan industri yang semakin merudum itu sehingga menyebabkan ramai pengusaha terpaksa menanggung kos operasi yang semakin meningkat saban tahun.

Sehubungan itu, PMBOA mengesyorkan beberapa cadangan agar pihak kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan industri ini sebelum keadaan kelam kabut berlaku.

PMBOA mahu dasar kerajaan yang lebih jelas kerana umum mengetahui sehingga kini kerajaan masih belum mewujudkan satu Dasar Pengangkutan Negara sebagai gagasan memacu kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu.

''Belum wujud satu sistem pengangkutan awam dalam industri ini walaupun negara sudah merdeka 54 tahun. Ketiadaan Dasar Pengangkutan sebagai landasan mewujudkan suatu sistem pengangkutan awam yang murah, mudah dan efisien menjadikan industri ini di dalam keadaan kacau bilau serta kalut.

''Kemelut ini akan berterusan sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan segera melalui rancangan jangka pendek dan panjang, perlu diingat bahawa industri pengangkutan sangat signifikan kepada penjanaan ekonomi negara.

''Sebagai langkah pertama, kerajaan perlu wujudkan sebuah 'transport master plan' untuk Lembah Kelang dan di negeri-negeri lain," katanya kepada Utusan Malaysia mengenai intipati surat cadangan yang telah dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Mohamad Ashfar berkata, walaupun SPAD telah mengeluarkan kenyataan bahawa Dasar Pengangkutan Negara akan siap pada September depan, para pengusaha merasakan mereka tidak mungkin dapat bertahan sebegitu lama.

Ini kerana mereka tidak tahu bentuk serta kerangka dasar yang sedang digubal itu sama ada memberi cahaya kepada mereka ataupun sebaliknya. Justeru, mereka amat berharap agar kerajaan mengambil perhatian terhadap syor-syor yang dikemukakan oleh PMBOA.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci penyelesaian untuk mengatasi kemelut membabitkan pengusaha bas berhenti-henti kerana penglibatan kerajaan pusat dan negeri dalam industri bas berhenti-henti melalui anak-anak syarikatnya semakin meningkat.

''Ini menggusarkan para pengusaha bas yang merasakan bahawa kerajaan secara langsung terlibat dalam industri tersebut dan bukan lagi sebagai pendukung tetapi telah menjadi pesaing mereka di seluruh negara.

Sejak tahun 2000 beberapa perkara telah berlaku sehingga menyulitkan syarikat bas berhenti-henti beroperasi dengan keuntungan dan secara efisien.

Antaranya kutipan tambang bas menurun tahun demi tahun dan faktor-faktor utama yang mengakibatkan kemerosotan ini adalah terlampau banyak permit dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) tanpa mengkaji dengan teliti keperluannya menyebabkan wujudnya laluan berlapis.

Penumpang bas semakin berkurangan kerana ramai yang memiliki kereta dan motosikal sendiri dan pengusaha bas terpaksa juga bersaing dengan kereta sapu, van sapu, bas sewa khas dan bas kilang yang beroperasi secara terbuka walaupun aduan sudah banyak dibuat kepada LPKP, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Hakikatnya, kata Mohamad Ashfar, industri bas memerlukan modal yang tinggi untuk membeli bas dan menggantikannya, lebih memberi tekanan apabila LPKP menetapkan jangka hayat bas selama 15 tahun bagi bas berhenti-henti. Para pengusaha terpaksa menjual bas mereka pada harga nilai lupus walaupun bas mereka masih dalam keadaan baik

''Bayangkan, pengusaha terpaksa membeli bas baru yang mana kebanyakannya tidak mampu membiayai kos baru, membayar gaji pekerja termasuk KWSP, Socso, insurans dan perubatan yang menguasai 40 peratus daripada jumlah kos operasi.

''Jika dibandingkan dengan industri lain, kadar gaji pekerja industri bas adalah amat rendah, ini menyebabkan bilangan pekerja berkurangan setiap tahun, akibatnya perkhidmatan tidak dapat dikendalikan dengan cekap dan disiplin tidak dapat dikawal

''Majikan memang berhasrat menaikkan gaji untuk membantu meningkatkan taraf hidup serta mendapat pekerja yang lebih berkualiti, tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana mengalami kesulitan dari segi kewangan yang kian merosot.

''Ini adalah disebabkan pendapatan kami terkawal tetapi perbelanjaan tetap meningkat hari demi hari, gaji pekerja secara automatik akan meningkat 10 peratus setiap tahun mengikut perjanjian bersama dengan kesatuan pekerja," katanya.

Beliau turut menyenaraikan peningkatan kos membaiki kenderaan yang meningkat sehingga 60 peratus, kos tayar meningkat 100 peratus dalam jangka masa lima tahun, kos bateri meningkat sebanyak 172 peratus, juga dalam jangka masa lima tahun.

Lebih memberi tekanan terminal bas di kebanyakan bandar sudah diswastakan, pengusaha yang dulunya dikenakan bayaran RM200 ke RM1,000 sebulan telah diarah membayar antara RM1,500 hingga RM10,000 sebulan iaitu antara lapan hingga 10 kali ganda.

Sehubungan itu, PMBOA mencadangkan agar kerajaan wujudkan tabung pengangkutan awam bagi memudahkan pengusaha bas henti-henti membuat pinjaman dengan kadar faedah yang rendah dalam tempoh bayaran balik yang panjang.

''Atau kerajaan membeli bas-bas baru dan kemudiannya ditender semula kepada pengusaha untuk menjalankan perkhidmatannya mengikut terma dan syarat yang dipersetujui bersama. Kerajaan kemudiannya menggantikan bas baru setiap 10 atau 15 tahun sekali kerana itulah PMBOA mengharapkan ada sinar baru untuk para pengusaha," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Melayu PP

Melayu Pulau Pinang hilang daya hujah?

Oleh DR. A MURAD MERICAN
Perkembangan-perkembangan tersebut, serta beberapa kegiatan penyelidikan dan perundingan lain menjurus kepada dokumentasi yang menjadi asas kepada permohonan Georgetown untuk mendapatkan status sebagai Bandar Warisan ke UNESCO (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan). Kita tidak boleh nafikan usaha yang dilakukan oleh Persatuan Warisan Pulau Pinang (Penang Heritage Trust -PHT), dan jaringan- jaringannya dalam memulihara dan mengekalkan warisan di Pulau tersebut.

Umumnya pengkaji, sejarahwan, masyarakat dan pertubuhan antarabangsa seperti UNESCO merujuk kepada PHT dalam hal-hal berkaitan dengan warisan Pulau Pinang. Apa yang dikhuatirkan ialah orang-orang Melayu amat ketinggalan dalam hal ini dari segi inisiatif, sumber, kemahiran dan jaringan. Banyak peluang yang telah dilepaskan. Saya tidak mengatakan bahawa jika ada orang Melayu yang sama pernah memimpin atau sedang menganggotai badan-badan tersebut maka sejarah dan warisan Pulau Pinang dapat dilihat dari perspektif Melayu.

Sebenarnya, ini adalah masalah yang paling utama. Keprihatinan dan kesedaran sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang tidak diusahakan dengan sempurna; dan ada orang Melayu yang berfikiran kolonial dalam melihat sejarah dan warisan Pulau Pinang. Siapa yang buta sejarah?

Keprihatinan terhadap dimensi Melayu ialah tanggungjawab masyarakat dan NGO Melayu sendiri. Dalam banyak usaha seperti yang kita telah menyelusuri, bagaimana orang Melayu melihat sejarah dirinya dan sejarah Pulau Pinang boleh dipersoalkan. Ramai di kalangan masyarakat Melayu yang tidak mempunyai kesedaran dan pengetahuan tentang sejarah Pulau Pinang yang luas dan mendalam. Malah, Kedah tidak disebut dan tersingkir dalam wacana sejarah Melayu Pulau Pinang. Perspektif yang mencabar persejarahan tersedia ada tidak ditonjolkan.

Dari dulu lagi, penganjuran seminar dan persidangan berkaitan dengan warisan Pulau Pinang dianjurkan oleh badan-badan yang tidak mempunyai kepentingan Melayu.

Walaupun landskap bandar di Georgetown dan kawasan sekitarnya tidak dilihat sebagai kawasan-kawasan Melayu, di sebalik banyak bangunan, struktur dan jalan di Tanjung dan sekitarnya itu terdapat naratif Melayu yang terselindung. Ia tidak menyerlah, tidak ditonjolkan, tidak dipaparkan.

Jika ia dipaparkan juga, ia dilakukan dalam kerangka kolonial. Identiti Pulau Pinang ditonjolkan sebagai mewarisi masyarakat Cina dan Melayu Selat. Itu hanya satu lapisan sejarah dari yang lebih luas. Saya percaya hujah-hujah makalah ini akan dianggap sebagai rasis. Apakah Melayu Pulau Pinang tidak boleh prihatin tentang sejarah mereka sendiri? Tanggungjawabnya terletak kepada Melayu sendiri.

Walaupun cerita-cerita kewujudan peneroka Melayu awal di Pulau Pinang telah tersiar dan diterbitkan dalam buku-buku, suratkhabar laman sawang dan blog, masalahnya tidak akan selesai - terutama sekali apabila kita lihat sejarah negara dan orang Melayu kian dicabar dan diputarbelitkan. Melayu Pulau Pinang perlu mewujudkan badan-badan warisan dan jaringan serta dengan serius memasyarakatkan sejarah. Itulah yang dilakukan oleh Arts- Ed. Saya bukan mempertahankan My Balik Pulau atau terlibat dalam perbalahan itu; tetapi ia adalah usaha merakamkan sejarah lisan satu-satu tempat. Dan apabila sesuatu itu didokumentasikan, ia akan dianggap betul jika tidak ada naratif yang mencabar apa yang tersedia ada.

Saya tidak nampak kegiatan sebegitu oleh kumpulan-kumpulan Melayu. Apakah tidak ada kemahiran dan daya usaha melakar sejarah lisan di setiap kampung di pulau itu? Mengapa ia tidak dilakukan? Tulisan tentang sejarah Melayu Pulau Pinang yang diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia hanya terjual di universiti itu. Mengapa ia tidak terdapat di kedai-kedai buku di seluruh negara?

Mengapa ia tidak diuar-uarkan seperti mana sesetengah kegiatan warisan Pulau Pinang itu lakukan? Mengapa buku itu belum/tidak diterjemahkan ke bahasa Inggeris untuk bacaan luar negara? Mengapa tidak ada pengedaran risalah, dan majalah yang menonjol sejarah Melayu Pulau Pinang? Jika ini penting bagi orang-orang Pulau Pinang, mengapa tidak ada pihak di sana yang mempunyai inisiatif menonjol dan memaparkan warisan dan identiti Melayu Pulau Pinang? Mengapa tidak ada NGO Melayu Pulau Pinang yang dapat menyahut cabaran menggunakan landasan ilmiah dan intelektual - tanpa membuat laporan polis, membakar dan sebagainya?

Apakah orang Melayu Pulau Pinang hilang daya hujah dan intelek? Memang apa yang ditonjolkan dalam My Balik Pulau tentang kewujudan orang Melayu di Balik Pulau itu tidak tepat. Sehingga kini, saya masih menunggu cerita yang tepat bila orang Melayu mendarat dan membuka, serta membangun Balik Pulau. Asal usul Balik Pulau perlu diceritakan semula. Jika ia telah diterbitkan dalam mana- mana buku, risalah atau laman sawang, terbitkannya sekali lagi dan edarkan seluas-luasnya. Jika ia dalam bahasa Melayu, terjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Dalam mendekati masalah ini, saya cadangkan mereka yang berusaha mengambil jalan inklusif dan bukan eksklusif. Kita tidak menafikan warisan dan budaya majmuk di Tanjung dan lain-lain tempat di pulau itu. Apa yang penting ialah Melayu melihat budaya majmuk itu dari perspektif Melayu juga.

Cerita Melayu Pulau Pinang tidak sampai ke UNESCO. Salah satu langkah kecil dalam hal ini ialah pihak-pihak berwajib dan berkepentingan Melayu di Pulau Pinang menganjurkan satu persidangan antarabangsa sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang dalam konteks rantau kesultanan Kedah dan Sumatera. Libatkan UNESCO dan badan-badan antarabangsa yang lain.

Kemudian terbit dan uar-uarkan hasil seminar itu sebagai warisan sejarah definif Melayu Pulau Pinang. Adalah kritikal untuk melihat Pulau Pinang sebagai pusat budaya dan warisan Melayu dari perspektif Kedah dan perhubungannya dengan sejarah Sumatera.

Ini juga melibatkan beberapa tokoh peneroka awal Melayu yang membuka banyak tempat sama ada di Tanjong sendiri, Batu Uban, Tanjong Tokong, Bayan Lepas, Balik Pulau, dan Telok Bahang lalu memberi nama (nama-nama Melayu) kepada tempat-tempat yang diterokai. Ini terpampang pada peta-peta lama pulau tersebut yang dicetak sekitar 1780-an hingga 1830-an.

Peta dan proses pemetaan adalah hasil daripada penjanaan memori kolektif yang menunjukkan perspektif mereka yang melakarkannya. Dalam konteks politik identiti sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang, memori kolektif itu tidak/belum? dipetakan sehingga kini.

Penulis Dr. A Murad Merican, anak kelahiran Pulau Pinang dan kini bermastautin di Bandar Seri Iskandar, Perak.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Xsempat buat mykad

Meninggal dunia ketika tunggu daftar MyKad

BANDAR BAHARU 28 Feb. - Hasrat seorang warga emas untuk mendapatkan MyKad tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia semasa menunggu untuk mendaftar diri sempena Program My Daftar Nasional anjuran Pergerakan Pemuda Parti Progresif Rakyat Malaysia (PPP) Kedah di Serdang, dekat sini, semalam.

M. Munusamy, 90, dari Ladang Batu Lintang, dekat sini, dikatakan rebah secara tiba-tiba semasa menunggu giliran untuk berjumpa kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pemuda PPP negeri, A. Manivil berkata, Munusamy merupakan seorang bekas buruh dari ladang tersebut yang tidak mempunyai sebarang dokumen kelahiran.

"Mendiang dibawa oleh anggota keluarga ke sini. Selepas selesai mengambil gambar dan menunggu proses pengumpulan maklumat, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

"Para petugas di situ kemudian mengejarkannya ke Pusat Kesihatan Serdang. Namun, pegawai perubatan memaklumkan Munusamy sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Manivil, pihaknya berasa sedih kerana hajat mendiang mendapatkan status kewarganegaraan dan MyKad tidak tercapai.

"Dia datang ke sini hendak dapatkan MyKad, namun yang dapat ialah sijil kematian," ujarnya.

Beliau memberitahu, Pergerakan Pemuda PPP negeri akan menghulurkan bantuan dan menguruskan mayat mendiang dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pendaftaran Daerah Bandar Baharu, Nooraizam Azmi ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut.

Dalam perkembangan lain, Manivil berkata, program pendaftaran kerakyatan tersebut merupakan acara di bawah Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India, Jabatan Perdana Menteri.

"Program ini berlangsung mulai 19 Februari lalu dan berakhir semalam. Di Kedah, kita mengadakan program tersebut di dua lokasi iaitu di Sungai Petani dan Serdang.

"Seramai 200 masyarakat India hadir untuk proses mendapatkan MyKad dan sijil kelahiran mereka," katanya.

Kita Dihina

Video hina Islam disiasat

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my
BUTTERWORTH 28 Feb. – Polis sedang menyiasat isi kandungan sebuah klip video lagu yang dimuat turun dalam laman YouTube selepas didakwa menggunakan lirik memaki dan menghina orang Melayu dan Islam.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya ada menerima beberapa maklumat awal mengenai penerbitan lagu berkenaan berdasarkan satu laporan polis mengenai kewujudan klip video tersebut semalam.

“Berdasarkan laporan itu, kita mendapat beberapa maklumat awal termasuk sumber laman web lagu dimuat naik tetapi kita belum buat sebarang justifikasi.

“Pada masa ini, kita akan meneliti terlebih dahulu sumbernya (klip video itu) dan lihat sama ada ia mempunyai unsur-unsur yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang semalam membuat laporan polis berhubung klip video bertajuk Interlok Song for UMNO and Malay Government kerana didakwa menghina dan mempersendakan agama Islam yang dimuat naik dalam laman YouTube.

Selain menggunakan kata-kata kesat dan lucah, klip video selama lima minit 18 saat itu turut memaparkan lagu khusus untuk novel Interlok dan UMNO selain memaparkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Perkasa turut meminta polis menyiasat penglibatan pertubuhan Hindraf yang dipercayai menjadi dalang di sebalik penerbitan dan penyebaran klip video berkenaan.

Setiausaha Perkasa negeri, Saedin Kadir yang ditemui selepas membuat laporan itu semalam memberitahu, penerbitan klip video lagu berkenaan jelas bersifat rasis kerana menghina serta memaki orang Melayu dan Islam semata-mata tidak berpuas hati dengan novel Interlok.

Ayub bagaimanapun menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan membiarkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung klip video berkenaan yang dikaitkan dengan desakan pengharaman novel Interlok.

“Isu novel Interlok ini tidak patut ditimbulkan lagi kerana sudah ada jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelesaikannya, jadi kita harap semua pihak tidak sengaja mengeruhkan keadaan,” ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: