Tuesday, March 1, 2011

Xsempat buat mykad

Meninggal dunia ketika tunggu daftar MyKad

BANDAR BAHARU 28 Feb. - Hasrat seorang warga emas untuk mendapatkan MyKad tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia semasa menunggu untuk mendaftar diri sempena Program My Daftar Nasional anjuran Pergerakan Pemuda Parti Progresif Rakyat Malaysia (PPP) Kedah di Serdang, dekat sini, semalam.

M. Munusamy, 90, dari Ladang Batu Lintang, dekat sini, dikatakan rebah secara tiba-tiba semasa menunggu giliran untuk berjumpa kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pemuda PPP negeri, A. Manivil berkata, Munusamy merupakan seorang bekas buruh dari ladang tersebut yang tidak mempunyai sebarang dokumen kelahiran.

"Mendiang dibawa oleh anggota keluarga ke sini. Selepas selesai mengambil gambar dan menunggu proses pengumpulan maklumat, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

"Para petugas di situ kemudian mengejarkannya ke Pusat Kesihatan Serdang. Namun, pegawai perubatan memaklumkan Munusamy sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Manivil, pihaknya berasa sedih kerana hajat mendiang mendapatkan status kewarganegaraan dan MyKad tidak tercapai.

"Dia datang ke sini hendak dapatkan MyKad, namun yang dapat ialah sijil kematian," ujarnya.

Beliau memberitahu, Pergerakan Pemuda PPP negeri akan menghulurkan bantuan dan menguruskan mayat mendiang dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pendaftaran Daerah Bandar Baharu, Nooraizam Azmi ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut.

Dalam perkembangan lain, Manivil berkata, program pendaftaran kerakyatan tersebut merupakan acara di bawah Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India, Jabatan Perdana Menteri.

"Program ini berlangsung mulai 19 Februari lalu dan berakhir semalam. Di Kedah, kita mengadakan program tersebut di dua lokasi iaitu di Sungai Petani dan Serdang.

"Seramai 200 masyarakat India hadir untuk proses mendapatkan MyKad dan sijil kelahiran mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment