Tuesday, March 22, 2011

Serang Laki Di Rumah Madu

Cedera diserang isteri

KOTA BHARU 21 Mac – Akibat tidak pernah melawat isteri pertama dan lima anak mereka selepas berkahwin sekali lagi pada Januari lalu, seorang pekerja kilang cedera ringan akibat diserang dengan sebilah golok oleh isterinya itu ketika berada di rumah keluarga isteri keduanya.

Dalam kejadian di Kampung Pasir Tok Kambing di sini pukul 8 pagi ini, mangsa bernasib baik apabila hanya mengalami calar di dahi selepas berjaya menepis serangan wanita itu yang berusia 31 tahun dan bekerja sebagai guru kelas Fardu Ain.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang enggan namanya disiarkan membuat laporan di Balai Polis Binjai pukul 9 pagi ini sebelum memfailkan cerai terhadap isteri pertamanya di Mahkamah Syariah.

“Isteri pertama saya muncul di rumah keluarga isteri kedua dan cuba menetak saya dengan sebilah golok. Saya sempat memegang tangannya dan merampas parang tersebut.

“Pergelutan berlaku hampir 15 minit sebelum dileraikan oleh ahli keluarga isteri kedua saya yang bergegas naik ke rumah selepas terdengar bunyi bising,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah di sini.

Menurut lelaki itu, dia yang bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur tinggal bersama isteri keduanya yang berusia 19 tahun selepas mengahwininya Januari lalu.

Dia mendakwa, isteri pertamanya juga seorang yang sangat cemburu dan panas baran. Dia terpaksa meninggalkan isteri pertamanya itu selepas berkahwin kali kedua kerana tidak tahan dengan sikapnya.

Malah, katanya, dia juga sudah jauh hati untuk pulang ke pangkuan isteri pertama selain nekad untuk memfailkan penceraian.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment