Sunday, March 27, 2011

Ninja Merompak

Merompak ‘ala ninja’
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Empat perompak termasuk tiga daripadanya bertopeng ‘ala ninja’ bukan saja mengikat mangsa yang dirompak menggunakan wayar, malah bertindak ganas memecahkan pintu bilik rumah mangsa menggunakan tong gas dalam satu kejadian rompak di Melur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, mangsa, seorang peguam berusia 40 tahun, kerugian lebih RM100,000 selepas perompak berkenaan melarikan barang kemas dan wang tunai yang disimpan di peti besi milik peguam itu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata perompak itu menceroboh rumah mangsa dengan mengumpil pintu hadapan sebelum bertindak mengikat mangsa menggunakan wayar.

Katanya, salah seorang perompak bergegas ke dapur untuk mengambil tong gas bagi memecahkan sebuah bilik di rumah mangsa yang menempatkan peti besi mengandungi barangan berharga.


“Mangsa diugut supaya membuka peti besi itu dan bimbang diapa-apakan, mangsa terpaksa membukanya. “Sejumlah barang kemas bernilai RM80,000 dan wang tunai RM25,000 yang disimpan di dalam peti besi itu dilarikan perompak terbabit,” katanya.


Menurut Idris, perompak itu berada di dalam rumah mangsa kira-kira 30 minit, sebelum melarikan diri.


Katanya, berdasarkan maklumat daripada mangsa, ada antara perompak terbabit disyaki warga Indonesia kerana mangsa mendengar perbualan dalam loghat Indonesia.


“Mangsa membuat laporan polis sejurus selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.


Dalam pada itu, hasil kecekapan polis memburu perompak berkenaan, seorang daripada perompak itu berjaya ditahan di Tok Bali, Pasir Puteh, kira-kira jam 7 pagi, semalam.


Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangkapan itu.


Katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang menaiki Toyota Hilux dan menemui sebuah telefon bimbit, dipercayai milik mangsa rompakan.


“Kita turut menemui peralatan digunakan untuk kegiatan pecah rumah, seperti pembuka skru dan pemotong besi.


“Kes ini masih dalam siasatan polis, kita masih memburu suspek lain yang bersekongkol melakukan rompakan berkenaan“ katanya.

No comments:

Post a Comment