Tuesday, March 22, 2011

Datuk Palsu

Datuk palsu: SPRM tahan dua lelaki

KUALA LUMPUR 21 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu dari Persatuan Kerabat Diraja Duli Yang Maha Mulia Long Yunus yang dipercayai terlibat mengurniakan darjah kebesaran termasuk gelaran ‘Datuk’ kepada lebih 150 orang sejak tahun lalu.

Kedua-dua lelaki yang ditahan pada Disember tahun lalu itu telah dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

Bagaimanapun, difahamkan, kedua-dua lelaki itu dipercayai masih melakukan aktiviti haram itu dengan menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut pada minggu lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan penahanan dua lelaki terbabit. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V dukacita dengan tindakan NGO itu yang diketuai seorang lelaki yang mendakwa berketurunan Long Yunus kerana mengurniakan darjah kebesaran sejak tahun lalu.

Kekecewaan baginda itu diumumkan oleh Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed yang mengesahkan pihaknya telah membuat tiga laporan polis terhadap NGO terbabit sejak tahun lalu kerana tindakan tersebut menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, menurut satu surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang diedarkan pihak Istana Kelantan pada sidang akhbar semalam, NGO yang ditubuhkan pada tahun 2009 itu telah dibatalkan pendaftarannya.

Pembatalan tersebut berkuatkuasa pada 10 Januari lalu setelah ia didapati melanggar syarat pertubuhan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

No comments:

Post a Comment