Saturday, March 12, 2011

Sifu Pun Tewas

Sifu Jujutsu maut selepas bertempur

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com,my

Anggota polis mengangkat mayat lelaki sifu seni pertahanan diri yang mati dibunuh di Puncak Jalil, kelmarin.

KUALA LUMPUR 11 Mac - Seorang sifu seni mempertahankan diri yang berasal dari Jepun, Jujutsu ditemui mati dipercayai selepas bertempur dengan lebih tiga suspek menggunakan teknik seni tersebut di sebuah salun rambut di Jalan PUJ3/11, Puncak Jalil dekat sini semalam.

Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 5 petang hingga 8 malam kerana mayat mangsa ditemui isterinya yang tiba di rumah kedai dua tingkat itu kira-kira pukul 8.30 malam.

Sebelum itu, mangsa tinggal bersendirian selepas isterinya menghantar anak lelaki mereka ke sebuah pusat tuisyen.

Mangsa yang berbadan tegap dan berusia 42 tahun ditemui mati dalam keadaan mulut, tangan dan kakinya diikat dengan kain terbaring di atas lantai tingkat dua premis itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias, pemeriksaan awal mendapati, pemegang tali pinggang hitam itu mati akibat masalah pernafasan kesan keadaan hidung dan mulut yang cedera.

Katanya, mangsa yang merupakan pengurus sebuah kilang dan salun tersebut turut memiliki pelbagai perniagaan lain termasuk pinjaman wang.

"Di salun tersebut, mangsa turut menyediakan tempat untuk melatih pelajarnya seni mempertahankan diri Jujutsu dipercayai baru beberapa bulan beroperasi.

"Siasatan awal mendapati, mangsa diserang lebih tiga suspek tanpa senjata menggunakan teknik seni mempertahankan diri berdasarkan kesan lokasi kejadian tidak mempunyai banyak kesan berselerak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Abd. Razak memberitahu, motif kejadian masih disiasat namun dipercayai, suspek sudah membuat perancangan awal untuk melakukan pembunuhan tersebut.

Dalam kejadian itu, telefon bimbit dan sedikit wang tunai mangsa turut dilarikan.

"Pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil kira semua aspek termasuk perniagaan yang dilakukan mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Difahamkan, seni mempertahankan diri Jujutsu atau lebih dikenali sebagai Ju-Jitsu merupakan teknik mematahkan serangan menggunakan senjata atau tanpa senjata yang digunakan kumpulan samurai di Jepun.

No comments:

Post a Comment