Thursday, March 31, 2011

Nenek Edar dadah


Nenek dijatuhi hukuman gantung

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my


MARIAH Hamad menutup muka ketika keluar dari Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 30 Mac - Seorang nenek yang mempunyai tujuh cucu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas beliau berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah atas tuduhan dihadapinya.

Mariah disabitkan dengan tuduhan mengedar dadah tersebut kira-kira pukul 3.45 petang, 3 Ogos 2009 di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot dekat sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dengan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Mohd. Yazid dalam penghakimannya menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa tidak mengetahui kandungan bungkusan yang diambilnya daripada seorang wanita di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang pada hari kejadian.

Menurutnya, keterangan tertuduh bahawa dia hanya mahu membantu wanita itu menyerahkan bungkusan kepada seorang lelaki kerana dia bersama suami hendak pergi ke rumah waris suaminya pada hari tersebut juga boleh disangkal.

‘‘Ketika disoal pendakwa raya, tertuduh tidak kenal waris suami yang hendak ditemui di Kuala Berang itu dan tidak tahu kenapa mahu jumpa waris itu.

‘‘Mahkamah juga mendapati tidak munasabah guna jalan pantai untuk ke Kuala Berang tetapi jika hendak ke Masjid Padang Nenas memang perlu guna jalan pantai. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh tidak bercakap benar,’’ katanya.

Mariah yang memakai baju kurung dan bertudung kelihatan tenang ketika hakim membacakan hukuman namun dia beberapa kali memandang ke galeri awam seperti mencari-cari ahli keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang @ Mamat manakala tertuduh diwakili peguam, Tara Singh Delip.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa seorang wanita bersama seorang anak dan ditemani suaminya cuba melakukan transaksi dadah bernilai kira-kira RM150,000.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment