Thursday, March 24, 2011

Minyak Dagu

Gadis lari dicalit minyak dagu


GOMBAK: “Saya percaya, Ain terkena ilmu minyak dagu...jika tidak mustahil dia menghilangkan diri dan meninggalkan keluarga sehingga kini tanpa khabar berita,” kata Jawahir Ramli, 48, ibu Noor Ain Zakaria, 23, yang menghilangkan diri sejak Khamis lalu.

Jawahir berkata, anaknya yang bertugas sebagai pembantu klinik mengenali seorang lelaki dikenali sebagai Khairul ketika menjalani latihan praktikal di Hospital Bentong, Pahang pada Oktober lalu.


Menurutnya, perkenalan anaknya dengan lelaki itu selepas bapa saudara Khairul dimasukkan ke hospital dan sejak itu hubungan mereka semakin akrab.

“Malah, dia pernah datang ke rumah kami berjumpa Ain dan ketika itu saya sudah tidak berkenan kerana sikapnya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan suka melepak.


“Sejak perkenalan mereka, sikap anak saya juga berubah apabila selalu keluar malam dan balik lewat. Apabila ditanya dia memberitahu keluar bersama kawan-kawan,” katanya.


Jawahir berkata, bagaimanapun hubungan mereka terputus pada Disember lalu selepas bapa Noor Ain memberi air penawar yang diberikan seorang pensyarah dan sikapnya kembali berubah.


“Saya sangka segalanya selesai, namun tidak menyangka dia melarikan diri dan gagal dikesan sehingga kini.


“Pada hari kejadian anak saya keluar rumah untuk pergi ke tempat kerja seperti biasa kira-kira jam 8.30 pagi dengan membawa Proton Wira milik suami dan tiada apa yang mencurigakan,” katanya.


Orang ramai yang menjumpai Ain atau mengetahui tempat dia berada boleh menghubungi rumah keluarganya di talian 03- 6272984 atau telefon bimbit 017-3744347.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment