Thursday, March 3, 2011

hindraf

Enam didakwa sokong Hindraf

IPOH 2 Mac - Pengerusi Parti Hak Asasi Manusia negeri, P. Ramesh dan timbalannya, N. Subramaniam serta empat anggota parti itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menjadi penyokong pertubuhan haram Hindraf.

Ramesh, 40, dan Subramaniam, 42, serta S. Sivakumar, 38; R. Mogan, 43; J. Vijayalingam, 49, dan S. Jeyakumar, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Hindraf di Jalan Besar, Jelapang, dekat sini pada 13 Februari lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Intan Nurul Farena membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 April ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ariff Firman Mohd. Sidek mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh tetapi dibantah oleh peguam Amani William Hunt yang mewakili tertuduh.

Menurut Amani, jumlah tersebut tidak munasabah kerana tidak berlaku sebarang kerosakan infrastruktur dan harta benda disebabkan tindakan anak guamnya selain mereka juga memberi kerjasama kepada pihak polis.

Sebelum itu, Amani berhujah bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya, cacat dengan alasan Perlembagaan Persekutuan menjamin hak menubuhkan persatuan dan Hindraf bukan pertubuhan rahsia yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Kesemua tertuduh ditahan berhampiran Balai Polis Jelapang di sini pada hari kejadian selepas dikatakan bertindak agresif dan mencabar polis semasa mengadakan perhimpunan membantah penggunaan novel Interlok sebagai teks komponen sastera di sekolah.

Pada hari sama, parti itu yang merupakan serpihan pertubuhan haram Hindraf mengadakan perhimpunan sama di beberapa buah negeri lain.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment