Sunday, March 13, 2011

Lelaki Paling Kerdil



Lelaki paling kerdil



JUNREY... sama besar dengan botol air.
MUNGKIN dia hanya lebih tinggi sedikit daripada botol kaca. Namun Junrey Balawing sudah bersiap sedia untuk memecahkan rekod dunia.

Remaja belasan tahun itu dengan ketinggian hanya 55.88 sentimeter (22 inci) akan dimahkotakan dengan gelaran ‘lelaki paling kerdil di dunia’ tidak lama lagi.



KECIL... Junrey bersama adik beradiknya.


TUMPUAN... Junrey bersama keluarga di rumah mereka.

Junrey yang berasal dari Zamboanga del Norte di Filipina berusia 17 tahun, tetapi saiznya sama dengan kanak-kanak berumur satu tahun.

Dan apabila dia meraikan ulang tahun kelahirannya ke-18 Jun depan, dia dijangka kurang 12.7 sentimeter daripada pemegang Rekod Dunia Guinness.



Meskipun sukar berjalan dan tidak boleh berdiri lama, Junrey tidak sabar-sabar menanti hari dia akan memakai mahkota.



“Jika saya orang paling kecil di dunia, saya akan seronok,” katanya.

Ibunya, Concepcion, 35, berkata dia menyedari sesuatu yang tidak kena apabila Junrey mencapai usia dua tahun tetapi tidak ada doktor yang boleh membantu.

“Dia selalu sakit, kerana itu kami membawanya berjumpa doktor tetapi mereka juga hairan,” katanya.

Apabila Junrey berusia 12 tahun, keluarganya membawanya semula ke hospital tetapi hanya dinasihatkan supaya dia diberi lebih banyak vitamin, sesuatu yang di luar kemampuan keluarga itu.

Mereka tinggal di satu daripada kawasan paling pedalaman di Filipina. Bandar paling dekat terletak kira-kira sejam perjalanan sementara Manila, ibu negara Filipina terletak kira-kira 912 kilometer dari tempat mereka.

Bapa Junrey, Reynaldo, 37, adalah tukang besi di bandar dan hanya kembali ke rumah pada hujung minggu kerana kesukaran berulang-alik.

Ketika adik-adiknya, Jaycel, 13, Jay-art, 11, dan Jeanritch, enam, ke sekolah, Junrey hanya tinggal di rumah bersama ibunya.

“Saya gembira jika dapat bekerja ketika anak saya ke sekolah. Namun saya tidak boleh meninggalkan Junrey bersendirian. Dia memerlukan tumpuan saya setiap minit.

“Dia hanya boleh berjalan dengan bantuan orang dan tidak boleh berdiri begitu lama. Setiap kali saya memberitahunya bahawa dia lelaki paling kecil di dunia, dia akan tersenyum bangga,” kata Concepcion.

Berdasarkan buku Rekod Guinness, lelaki paling kecil di dunia ketika ini ialah Niqo Hernandez dari Colombia yang setinggi 268.8 sentimeter.

No comments:

Post a Comment