Tuesday, March 8, 2011

Aziz Satar Di Padang Piol


Peminat temui Aziz Sattar di Felda Padang Piol


Aziz Sattar (tengah) beramah mesra dengan seorang warga emas di Felda Padang Piol, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 7 Mac - Seramai 300 peminat filem Melayu klasik memenuhi dewan orang ramai Felda Padang Piol di sini untuk menemui pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar sempena program Ikon 1Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, mereka beramah mesra dan bertanya khabar dengan seniman tersohor itu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Hamizan Wan Abd. Razak.

Pada program itu juga, Aziz menceritakan pengalamannya sebagai pelakon dan mengharungi detik pahit manis bersama seniman agung, Tan Sri P. Ramlee sewaktu bekerja di syarikat perfileman Show Brothers, Jalan Ampas, Singapura pada 1947.

Menurut Aziz, P. Ramlee merupakan seorang pemikir yang mendahului zamannya apabila tema dan kisah filem arahan dan lakonannya benar-benar berlaku pada hari ini.

''Tema yang berkaitan bahasa, budaya, sosial dan nilai patriotisme yang digarap menerusi lakonan P. Ramlee dalam filem terbitannya sekitar 1950-an dan 1960-an jika diperhalusi memang wujud pada hari ini," katanya.

Sepanjang ingatannya kata Aziz, P. Ramlee menghasilkan 66 filem dan menulis lirik serta menggubah sebanyak 360 lagu yang memaparkan kehidupan realiti semasa.

Aziz berkata, kewajaran kisah yang dipaparkan menerusi lakonan dan arahan P. Ramlee perlu dijadikan ikon teladan di kalangan generasi hari ini terutama daripada aspek patriotisme, pendidikan dan mengabdikan diri kepada agama, bangsa dan negara.

''Justeru, P. Ramlee merupakan seniman agung yang mempunyai banyak idea dan kreatif menghasilkan karya seni, malahan sahabat yang cukup disenangi kerana sentiasa mengambil berat kebajikan orang lain," katanya.

Pada majlis pengisahan itu juga, Aziz juga menceritakan bagaimana P. Ramlee berjuang mempertahankan negara semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu menerusi filem Sarjan Hassan keluaran 1955.

''Jika diperhalusi betul-betul mengenai arahan dan lakon layar P. Ramlee, banyak sindiran tajam yang perlu dianalisis sekali gus boleh menjana pemikiran rakyat pelbagai kaum di negara ini," tambah beliau.

Sementara itu, Wan Hamizan yang juga Ketua Pemuda UMNO Jerantut berkata, beliau terharu dengan kehadiran Aziz yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat mengisahkan kehidupannya bersama P. Ramlee.

''P. Ramlee antara insan berpandangan jauh mengenai agama, bangsa dan negara. Ia dizahirkan menerusi gubahan muzik dan filem yang menterjemahkan perkara yang akan berlaku pada masa akan datang termasuk ungkapan sindiran yang beralas dengan bahasa yang menarik," katanya

Beliau menambah, walaupun P. Ramlee telah lama meninggal dunia tetapi jasa dan hasil karya seninya merupakan antara khazanah yang amat bernilai.

''Legitimasi perjuangan seniman agung itu wajar dijadikan panduan dalam usaha kerajaan merealisasikan konsep 1Malaysia," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment