Saturday, March 12, 2011

Penumpang Penyamun

Tumpangkan perompak, pemuda rugi RM2,000

KOTA KINABALU 11 Mac - Akibat menumpangkan orang yang tidak dikenali, seorang lelaki kerugian RM2,000 dan sebuah telefon bimbit selepas dia dirompak di Tanjung Aru dekat sini baru-baru ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 21 tahun menumpangkan seorang lelaki yang tidak dikenali menaiki kenderaannya di Lintas selepas dia meminta dihantarkan ke Sekolah Menengah (SM) La Salle di Tanjung Aru.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, sebaik sahaja menghampiri sekolah itu, suspek tiba--tiba menggunakan senjata tajam dan mengugut mangsa supaya menyerahkan semua wang tunai miliknya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa ketika itu hanya membawa wang tunai RM70 dalam dompetnya, menyebabkan suspek yang tidak berpuas hati memaksa dia mengeluarkan wang menggunakan mesin pengeluaran automatik (ATM).

Menurutnya, selepas mengeluarkan wang sebanyak RM1,300 di sebuah bank, suspek mengambil kesemua wang itu sebelum melarikan diri.

"Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas kira-kira pukul 1 petang pada 9 Mac lalu di sebuah pusat penginapan di Bandaran Berjaya dekat sini.

"Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Sofi berkata, hasil siasatan yang dijalankan terhadap suspek, polis pada hari yang sama turut menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu di sebuah rumah di Taman Che Meh, Lido dekat sini.

Menurut beliau, suspek kedua juga merupakan lelaki tempatan berusia 25 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Tambahnya, berikutan tangkapan dua suspek itu, polis kemudian menahan seorang lagi individu berusia 18 tahun yang dipercayai membeli barang curi daripada kedua-dua suspek.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment