Monday, March 28, 2011

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia

Benarkah TTPM ada kuasa?

SETIAP kali menatap ruangan Fail TTPM (Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia) kendalian Rosalinda Md. Said dalam S2 Utusan Malaysia, saya tertanya-tanya akan keberkesanan TTPM dalam memberi award kepada sesuatu pihak yang membuat tuntutan atau pembelaan. Apakah TTPM punya kuasa untuk bertindak jika sesuatu pihak tidak mematuhi award yang telah diberikan?

Saya bertanya sedemikian kerana apa yang menimpa ke atas diri saya menunjukkan award yang diberi oleh Presiden TTPM semasa pendengaran kes tuntutan kepada saya, masih belum diselesaikan oleh pihak yang dituntut.

Tuntutan saya yang didengar oleh Presiden TTPM, Datuk Abu Bakar Awang pada 27 April 2007 terhadap sebuah kedai kereta yang menjual kereta saya dan tidak membayar wang jualan kepada pihak bank bagi menyelesaikan hutang bank.

Akibatnya, saya terpaksa menanggung dan menjelaskan baki hutang bank dengan bunganya sekali. Kereta saya dijual oleh pihak ketiga pada 17 Mei 2006 dengan harga RM17,500 sedangkan baki hutang yang harus dibayar kepada pihak bank hanyalah sebanyak RM11,200.

Kerana tertipu, saya membuat aduan polis pada 3 Januari 2007 dan aduan TTPM pada 26 Februari 2007. Pendengaran telah dibuat oleh Presiden TTPM seperti dinyatakan di atas.

Kesemua tindakan susulan yang digariskan oleh pihak TTPM jika pihak yang dituntut (Penentang) gagal mematuhi award telah diambil. Beberapa perjumpaan juga telah dibuat dengan pegawai di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Namun sehingga kini, saya masih menanti hasilnya.

Untuk maklumat, saya telah disaman oleh pihak bank kerana gagal membayar hutang bank tersebut. Pendengaran pertama di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 26 Mac 2007 dan disusuli dengan beberapa pendengaran lain (beberapa kali tertangguh), saya diarahkan untuk membayar baki hutang bank tersebut sehingga selesai. Oleh kerana ketika itu saya sudah bersara dan tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan, saya tidak mampu membayar baki hutang bank tersebut.

Akhirnya saya terpaksa menjual rumah saya bagi menjelaskan hutang bank dan berpindah. Namun sehingga kini, tuntutan saya masih tiada bayangnya dan pihak KPDNHEP dengan alasan tersendiri tidak mampu untuk membuat apa-apa terhadap pihak yang dituntut.

Kini rumah sudah dijual, tidak punya kerja kerana lanjut usia, anak-anak masih menuntut, sakit-sakit dan tidak berwang, sampai bila harus saya berharap? Masihkah ada yang ingin membantu?

Membawa kepada pertanyaan saya, benarkah TTPM ada kuasa?

MEZA

Pengguna Tanpa Kuasa


Gagal patuhi award TTPM kesalahan jenayah

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ingin merujuk kepada tulisan daripada Meza yang disiarkan dalam ruangan ini pada 28 Mac 2011 dengan tajuk Benarkah TTPM ada kuasa?

Kementerian ini mengucapkan berbanyak terima kasih atas perkara yang dibangkitkan oleh pengadu dan berikut adalah penjelasan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berhubung perkara yang dibangkitkan.

Pada dasarnya, sebarang aduan berhubung ketidakpatuhan award hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDNKK. Secara alternatif, mana-mana pihak kepada prosiding di TTPM juga boleh memilih untuk menguatkuasakan award dengan tangan sendiri di bawah Seksyen 116(1)(b) APP di Mahkamah Majistret berkenaan.

Bidang kuasa TTPM diperuntukkan secara jelas di dalam Akta Pelindungan Pengguna 1999 (APP). Tertakluk kepada had kuasa yang digariskan, sebagai sebuah badan kehakiman bebas, TTPM hanya boleh mendengar dan memutuskan sesuatu tuntutan apabila ia difailkan di TTPM.

Menurut Seksyen 116(1) APP: "Tiap-tiap penyelesaian yang dipersetujui yang direkodkan oleh Tribunal di bawah subseksyen 107(3) dan tiap-tiap award yang dibuat oleh Tribunal di bawah seksyen 112:-

(a) hendaklah muktamad dan mengikat semua pihak kepada prosiding itu; dan

(b) hendaklah disifatkan sebagai perintah Mahkamah Majistret dan dikuatkuasakan sewajarnya oleh mana-mana pihak kepada prosiding itu.

Adalah ditekankan bahawa TTPM tidak mempunyai bidang kuasa mutlak atau tidak terbatas apabila menyelesaikan apa-apa pertikaian di antara pengguna dan peniaga atau pembekal perkhidmatan dan apa-apa award yang dibuat oleh TTPM di bawah Seksyen 122 APP. Disebabkan wujudnya kekangan perundangan tertentu, TTPM sama sekali tidak mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan apa-apa award yang dikeluarkan.

Namun demikian, kegagalan mematuhi award TTPM adalah suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 117 APP yang menyatakan:-

(1) Mana-mana orang yang gagal selepas 14 hari untuk mematuhi suatu award yang dibuat oleh Tribunal adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Dalam hal kesalahan yang berterusan, pesalah boleh, sebagai tambahan kepada penalti di bawah subseksyen (1), didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Untuk makluman pengadu, bahawa Pihak Penentang telah pun didakwa di bawah Seksyen 117, Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan kes disebut pada 12 April 2011 di Mahkamah Majistret 8, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Bagi mendapatkan klasifikasi lebih lanjut dan seterusnya membantu pengadu mendapat gambaran sebenar berhubung masalah yang dihadapi, pihak pengadu boleh menghubungi terus Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur di alamat berikut:

Ketua Pegawai Penguat Kuasa

Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur,

d/a Pejabat Pengarah

Perdagangan Dalam Negeri

Koperasi dan Kepenggunaan

Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur,

Tingkat 24-26, Putra Place,

100, Jalan Putra,

50622 Kuala Lumpur.

No. Telefon: 03-40454555

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri

Koperasi dan Kepenggunaan

No comments:

Post a Comment