Tuesday, March 15, 2011

Insuran dan Untung

Insurans untung atas angin

BAGI rakyat biasa seperti saya, pihak insurans memang dikenali sebagi pihak ‘untung atas angin’ seperti juga syarikat yang menyediakan perkhidmatan talian telefon bimbit.

Mereka cuma ada untung sepanjang masa kerana kos cuma timbul apabila ada bayaran pampasan dituntut sahaja.

Kecuali ada tuntutan, duit yang mereka terima digunakan untuk melabur dan berniaga menggunakan ‘duit pembeli’ sementara untung dan dividennya ditelan syarikat itu sahaja. Itulah sumber duit mereka yang banyak untuk membayar pampasan.

Disebabkan kos atas angin itu, penjual insurans (nyawa, kenderaan, perubatan dan sebagainya) yang kebanyakannya menjual secara freelance mampu hidup mewah disebabkan komisen besar diberikan syarikat berkenaan.

Maaf jika kasar, tetapi bagi rakyat biasa kumpulan syarikat insurans ini bagaikan pencuri secara terang-terangan yang memaksa kita membayar untuk perkhidmatan yang kita semua cuba elakkan.

Manakan tidak, kita sentiasa cuba mengelakkan kemalangan, kematian ataupun penyakit tetapi itulah yang mereka jual dengan janji memberi perlindungan ‘penuh’.

Sebelum kita membayar, bermacam manfaat diceritakan tetapi selepas mula bayar bermacam terma dan syarat (T&C) timbul. Mereka dengan mudah mendakwa T&C ini ada dalam perjanjian dan kita yang tidak membacanya sedangkan cetakan sehalus zarah yang memerlukan kanta pembesar untuk membacanya. Perbuatan ini sahaja sudah menunjukkan mereka berniat untuk menipu kerana cuba menyorokkan fakta sebenar daripada pembeli.

Namun, hakikatnya kita tetap memerlukan perlindungan insurans dalam situasi tertentu tetapi sepatutnya dihentikan jenis insurans ‘hangus’ sedia ada.

Kerajaan perlu mengkaji penggunaan insurans simpanan di mana jika tiada tuntutan, jumlah yang dibayar itu dikembalikan kepada pembeli bersama faedah dan dividennya sekali dalam tempoh tertentu.

Jenis insurans ini telah banyak dijual untuk insurans nyawa dan kesihatan di mana pembeli boleh mendapat semula jumlah penuh yang dibayar selepas beberapa tahun jika tiada tuntutan pampasan.

Ia patut dikembangkan kepada insurans kereta kerana kebanyakan pemandu tidak mengalami kemalangan dan duit mereka ‘hangus’ begitu sahaja jika tiada tuntutan pampasan kepada syarikat yang memberi perlindungan.

Apa salahnya jika pembeli dipulangkan jumlah bayaran bersama dividen hasil bayaran tersebut pada hujung tahun perlindungan jika tiada kemalangan dan tuntutan pampasan?

Dengan cara itu, jumlah duit yang sama boleh dijadikan modal pusingan untuk membayar insurans kenderaan seumur hidup selagi tiada tuntutan.

Melalui kaedah ini, syarikat tersebut juga boleh mengenakan bayaran yang lebih tinggi kerana banyaran cuma akan dibuat sekali sahaja dan dalam bentuk simpanan yang akan dikembalikan jika tiada tuntutan pampasan.

Wang yang dikembalikan itu boleh digunakan kembali untuk bayaran insurans tahun berikutnya kerana potongan harga tahunan menjadikan jumlah tahun itu murah dari tahun sebelumnya.

Jika pembeli berhenti menggunakan kenderaan, duit itu mereka dapat kembali sepenuhnya bersama dividen dan boleh digunakan untuk perkara lain.

Demi membela rakyat, Perdana Menteri dan Kabinet perlu bertindak segera sebelum isu ini dibakar pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

ANSAI

Gombak

No comments:

Post a Comment