Tuesday, March 8, 2011

Berebut Mayat

Isu rebut mayat wanita terminum racun selesai

IPOH 7 Mac – Isu perebutan mayat seorang wanita yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kelmarin, berjaya diselesai secara baik selepas suami dan ibunya mencapai kata sepakat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, selepas dinasihatkan oleh polis, P. Poovathy, 45, yang merupakan ibu kepada Thamilvaani, 23, bersetuju menyerahkan mayat anaknya itu kepada si suami, D. Pratap, 22.

“Keluarga mendiang setuju untuk serahkan mayat wanita itu kepada suaminya kerana si suami mempunyai bukti sijil perkahwinan yang sah dan dia lebih berhak.

“Mayat mendiang dijangka dibakar petang ini di Buntong, di sini dan polis tidak menjangkakan masalah akan timbul kerana kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Thamilvaani meninggal dunia di HRPB, kelmarin selepas terminum racun di rumahnya di Tasek pada 28 Februari lalu.

Kekecohan timbul apabila suami dan ibunya masing-masing mendakwa mereka lebih berhak dan mahu menuntut mayat wanita itu di rumah mayat HRPB, semalam.

Namun, pihak berkuasa bilik mayat enggan mengeluarkan mayat wanita itu kerana tidak ada kompromi dicapai oleh kedua-dua pihak.

Pratap mendakwa, dia lebih berhak ke atas mayat isterinya kerana mereka sudah berkahwin secara sah dan telah mendaftar perkahwinan mereka pada 12 Julai tahun lepas.

Bagaimanapun, keluarga mendiang tidak mengiktiraf suaminya dengan alasan perkahwinan tersebut tidak dilangsungkan mengikut upacara agama Hindu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN

No comments:

Post a Comment