Tuesday, March 15, 2011

Insuran Lagi

Keterlaluan tuduh syarikat insurans ‘penipu’

SAYA terpanggil untuk memberi pandangan terhadap suara-suara yang menuduh syarikat-syarikat insurans terutamanya yang terlibat di dalam insurans kenderaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagaimana dilaporkan olen Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu.

Pertama sekali, menuduh premium yang dikenakan oleh syarikat-syarikat insurans itu tidak masuk akal adalah keterlaluan dan tidak berasas.

Apakah syarikat-syarikat insurans mengenakan premium secara sesuka hati? Untuk pengetahuan, premium dikira berasaskan pengalaman tuntutan (claim experience) daripada pemegang-pemegang polisi yang membuat tuntutan ke atas kemalangan dan kerosakan yang mereka alami.

Pihak syarikat insurans juga terpaksa menanggung kos-kos lain berkaitan dengan pengurusan tuntutan seperti membayar fee guaman, bengkel kereta, trak tunda dan adjuster selain daripada kos pengurusan syarikat itu sendiri.

Sekiranya kos keseluruhan (combined cost) tuntutan motor pihak ketiga melebihi 200% (ini adalah statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara) yakni setiap RM1 yang dikutip oleh syarikat insurans, syarikat ini terpaksa membayar RM2, adakah ini masuk akal?

Tidak ada peniaga di Malaysia, malah di dunia ini yang ingin menjalankan perniagaan seperti ini. Sila ambil ingatan bahawa syarikat-syarikat insurans bukanlah organisasi kebajikan!

Perkara kedua ialah, kadar premium ditentukan oleh pengalaman tuntutan (claims experience) seseorang pemegang polisi. Di negara-negara Barat yang maju, terdapat lebih daripada 10 faktor penentu kadar premium yang harus dibayar oleh seseorang pemegang polisi, termasuk gender pemandu, usia kenderaan, lokasi penyimpanan, usia pemandu selain daripada kuasa kuda kenderaan dan jumlah diinsuranskan.

Asas pengiraan seperti in dianggap lebih adil kerana ia ‘menghukum’ pemandu yang berisiko tinggi misalnya selalu terlibat dalam kemalangan, kenderaan berkuasa kuda tinggi, pemandu yang muda, kenderaan yang sudah berusia kerana kemungkinan terlibat di dalam kemalangan disebabkan keuzuran mekanikal adalah tinggi atau kenderaan diletak di tepi jalan sahaja. Namun di Malaysia, kita masih beruntung kerana asas pengiraan premium insurans masih berdasarkan kuasa kuda, jumlah diinsuranskan dan sama ada polisi pihak ketiga atau komprehensif, sebagaimana yang diamalkan 30 tahun dahulu.

Sekira Malaysia mengikuti cara pengiraan sepertimana di negara-negara Barat, kadar premium mungkin tidak langsung termampu dibayar oleh pemegang-pemegang polisi di negara ini yang telah sebati dengan mentaliti subsidi!

Saya ingin huraikan lebih lanjut mengenai pengalaman tuntutan di negara ini. Unsur-unsur tuntutan termasuklah kemalangan, kerosakan dan kecurian kenderaan. Statistik yang dikeluarkan oleh PIAM (Persatuan Insurans Am Malaysia) jelas menunjukkan peningkatan di dalam kes-kes kemalangan yang melibatkan nyawa dan kenderaan serta kes-kes kecurian kenderaan.

Semua perbelanjaan membaiki, ganti rugi kepada mereka yang terlibat termasuk bayaran rawatan dan fee guaman ditanggung oleh syarikat-syarikat insurans. Cuba bandingkan kos alat ganti kenderaan, kos perubatan dan kos guaman pada hari ini dengan kos 30 tahun dahulu. Sudah tentu seorang pun tidak dapat menafikan bahawa kos-kos tersebut telah meningkat dengan ketaranya. Di manakah syarikat-syarikat insurans mendapatkan dana untuk membiayai kos-kos ini?

Tentu sekali daripada bayaran premium yang diterima. Bayangkanlah sekiranya syarikat-syarikat insurans ini menerima jumlah premium yang sama dengan yang diterima 30 tahun dahulu, tapi terpaksa membayar kos tuntutan dengan harga hari ini. Bolehkah syarikat-syarikat ini hidup?

Tuduhan bahawa syarikat-syarikat insurans adalah ‘penipu paling besar di negara ini’ adalah keterlaluan dan tidak berhemah. Tuduhan ini juga meliputi pengendali-pengendali takaful yang menjalankan operasi mereka berlandaskan prinsip-prinsip syariah.

Juga, tuduhan Bank Negara Malaysia, pihak berkuasa yang menyelia industri insurans sebagai buta dan tidak tahu langsung adalah liar dan tidak bertanggungjawab. Rangka kawalan dan seliaan industri-industri kewangan termasuk urusan perbankan oleh BNM adalah antara yang terbaik di dunia.

BNM mengumumkan baru-baru ini langkah pengstrukturan semula kadar premium pihak ketiga yang sedia ada dan menjangkakan peningkatan berperingkat selama empat tahun bermula daripada tahun 2012.

Perlu diingat bahawa, untuk mencapai tahap kadar premium yang ‘berpatutan’, faktor-faktor yang mempengaruhi pengalaman kadar tuntutan seperti yang saya nyatakan di perenggan di atas perlu diambil kira.

BNM mempunyai tanggungjawab menjaga kepentingan pengguna namun pada masa sama BNM haruslah menentukan syarikat-syarikat insurans kukuh di segi kewangannya supaya apa yang berlaku di sesebuah syarikat insurans tidak memberi kesan jangkitan (contagion)yang akan melumpuhkan keseluruhan industri insurans termasuk pengendali takaful.

ISKANDAR MAJID

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment