Monday, March 7, 2011

Murid Makin Samseng


Dibelasah rakan sekolah

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
pengarang@utusan.com.my

ANOAR Ahmad (kiri) menunjukkan kesan cedera pada anaknya, Muhammad Shahfaly yang patah tangan kiri selepas dipukul rakan sekelasnya ketika ditemui di kampung Syed Kassim, Simpang Empat, Perlis, semalam.

KANGAR 6 Mac - Seorang pelajar berusia 15 tahun cedera teruk akibat dibelasah sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah menengah dekat sini, Jumaat lalu.

Muhammad Shahfaly Anoar terkehel tulang bahu, patah lengan kiri dan luka di bahagian kening selepas dibelasah tiga pelajar di tingkat bawah kelasnya di sekolah tersebut kira-kira pukul 11 pagi.

Dipercayai, sebelum kejadian berlaku, seramai 10 pelajar menunggu Muhammad Shahfaly di tingkat bawah kelasnya sebelum dia dibawa keluar ke situ.

Bapa mangsa, Anoar Ahmad, 38, berkata, dia menyedari tentang kejadian menimpa anak sulung daripada empat beradik itu sewaktu mengambil Muhammad Shahfaly pulang dari sekolah.

Katanya, dia melihat pelajar itu terpaksa dipapah oleh rakan sekolahnya kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Lebih malang, kata Anoar, kejadian yang berlaku di luar waktu pembelajaran tersebut tidak disedari oleh guru-guru sekolah berkenaan, malah anaknya itu tidak menerima sebarang rawatan kecemasan.

Berikutan itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat kira-kira pukul 7.30 malam pada hari kejadian.

Menurut Anoar, dia sendiri membawa anaknya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mendapatkan rawatan dan disahkan doktor terkehel tulang bahu, patah lengan kiri dan terpaksa menerima jahitan di kening kiri akibat kejadian itu.

Katanya, akibat kecederaan dialaminya, Muhammad Shahfaly diberi cuti sakit selama 11 hari dan dibenarkan keluar dari HTF petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, polis telah menahan empat pelajar sekolah berkenaan di rumah masing-masing semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

"Semua empat pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun ditahan selepas menerima aduan bapa mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, empat pelajar tersebut kini ditahan di lokap Balai Polis Kangar untuk menunggu perintah reman ke atas mereka.

No comments:

Post a Comment