Thursday, March 10, 2011

Kes Masturah

Kes Masturah diserah kepada Jabatan Siasatan Jenayah

KUALA LUMPUR 9 Mac - Kes kehilangan calon promahasiswa dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM), Masturah Abu Bakar baru-baru ini diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kes membabitkan Masturah yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai orang hilang ditemui semula, diserahkan kepada JSJ untuk siasatan bagi mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah memperoleh maklumat berdasarkan percakapan Masturah tetapi masih lagi menunggu hasil laporan pemeriksaan kesihatan pelajar terbabit dari Pusat perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Kita serahkan siasatan kes Masturah ini kepada JSJ kerana mahu mengenal pasti ia mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

"Buat masa ini, siasatan masih dijalankan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran kad penilaian khidmat pelanggan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Zulkifli ditanya mengenai perkembangan siasatan kes Masturah, 22, yang dilaporkan hilang semasa berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam yang menjadi tempat penginapan luar pelajar universiti itu pada 19 Februari lalu.

Kes kehilangan pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam itu menimbulkan 'misteri' kerana dia ditemui dalam keadaan lemah dan mendakwa langsung tidak dapat mengingati apa yang terjadi ke atasnya dalam tempoh 30 jam dilaporkan hilang.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof baru-baru ini memberitahu, pihak universiti itu mungkin tidak dapat mengenakan tindakan tatatertib ke atas Masturah kerana masih terdapat banyak perkara berhubung misteri kehilangan pelajar itu yang tidak dapat diselesaikan.

Rohana berkata, pihak universiti menjangkakan keputusan tersebut berikutan Masturah tidak menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh di PPUM.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment