Friday, March 4, 2011

Nak Kaya Cepat Terus Rugi

Ghairah mahu banyak wang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 3 Mac – Akibat terlalu ghairah mengejar kekayaan dengan cara mudah, seorang suri rumah kerugian lebih RM40,000 akibat ditipu seorang lelaki kononnya boleh memberi nombor ekor yang memenangi hadiah wang tunai RM1.5 juta.

Segala-galanya bermula apabila mangsa dikenali sebagai Liu berusia 50 tahun menemui kertas iklan yang menawarkan nombor ekor di cermin keretanya, baru-baru ini.

Menurut Liu, dia lalu menghubungi nombor telefon di kertas itu bagi mendapatkan kepastian tentang tawaran tersebut.

Katanya, lelaki itu mendakwa boleh memberi nombor ekor sekiranya dia memberikan wang yang akan digunakan untuk upacara sembahyang.

“Selepas percaya kata-kata lelaki itu, saya diminta memasukkan wang pendahuluan RM130 dalam akaun atas nama Khor Peng Soon pada 13 Januari lalu.

“Saya kemudian memasukkan wang ke dalam akaun sama sebanyak 10 kali dengan amaun berbeza.

“Lelaki itu beritahu wang dimasukkan untuk membawa masuk seorang sami dari Thailand ke rumah saya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Rumah Kelab Akhbar Cina Selatan di sini hari ini.

Katanya, terbaru pada Jumaat lalu, dia memasukkan RM5,000 kononnya untuk mengeluarkan wang daripada pihak bank.

“Lelaki itu meminta saya masukkan RM15,000 tetapi saya tidak cukup wang dan hanya beri RM5,000,” jelasnya.

Liu berkata, dia turut menghabiskan RM5,400 untuk membeli peralatan sembahyang tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang wang.

Katanya, sebaliknya dia hanya menerima dua keping surat dari Pendang, Kedah, berisi slip pembelian nombor ekor dan sekeping gambar wang kertas.

Selepas merasakan dirinya tertipu, Liu ke Balai Polis Taman Ungku Aminah di sini kelmarin untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Semalam, lelaki terbabit masih menghubungi saya untuk meminta wang RM13,000 dengan alasan untuk menyegerakan proses pengeluaran wang,” katanya.

Dia yang kesal dengan kejadian menimpa dirinya mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara seumpama itu.

“Sepanjang proses penipuan itu, saya telah menghabiskan sejumlah besar wang simpanan selain meminjam dari keluarga dan kawan-kawan. Saya bernasib baik kerana tidak pinjam daripada ah long,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment