Friday, March 4, 2011

Gerai Ghaib

Gerai 'ghaib' peniaga Komtar dakwa rugi RM50,000

PULAU PINANG 3 Mac - Peniaga barangan kulit di tingkat tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang tidak mengendahkan arahan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) supaya berpindah ke lokasi baru semalam terkejut apabila mendapati gerainya 'ghaib' ketika mahu memulakan perniagaan hari ini.

Mohamed Ghani Abd. Jiman, 46, memberitahu, gerai tersebut dibelinya daripada pengurusan lama Komtar, PG Karisma Events & Services Sdn. Bhd. sebelum PDC mengambil alih tempat itu.

Beliau mendakwa kehilangan gerai tersebut menyebabkannya rugi kira-kira RM50,000 kerana terdapat banyak barang jualan termasuk milik pelanggan disimpan di dalamnya.

"Pekerja saya yang datang untuk membuka gerai kira-kira pukul 10 pagi tadi mendapati gerai tersebut tiada lagi di tempat biasa kami berniaga.

"Jika semalam gerai saya dipecahkan, hari ini gerai saya hilang pula.

"Saya anggarkan barangan yang ada di ruang simpanan gerai itu tidak kurang RM50,000.

"Barangan ini termasuk milik pelanggan yang menghantar kepada saya untuk dibaik pulih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Ghani 'mengamuk' apabila diarah berpindah ke lokasi baru yang disediakan oleh PDC.

Sambil menjerit-jerit melahirkan rasa tidak puas hati, beliau yang juga Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA) terus berdegil membuka gerainya walaupun 17 gerai peniaga lain sudah dialihkan ke lokasi baru oleh kakitangan PDC dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sejak awal pagi.

Mohamed Ghani mendakwa tidak menerima sebarang notis daripada pihak pengurusan bangunan itu untuk berpindah.

Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis mengenai kehilangan gerai dan barangan jualan termasuk milik para pelanggannya.

Beliau turut menunjukkan notis arahan berpindah daripada PDC yang dihantar kepada semua peniaga di tingkat tiga Komtar pada 25 Februari lalu tanpa menyenaraikan namanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati Mohamed Ghani meneruskan perniagaan di satu sudut di tingkat tiga Komtar, terasing daripada gerai-gerai lain.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment