Friday, March 4, 2011

Padah Simpan Wang Bawah Bantal

Simpan wang bawah bantal, rugi RM15,000

PASIR MAS 3 Mac – Tabiat menyimpan wang di beberapa tempat di rumah termasuk di bawah bantal dan tilam mengakibatkan sepasang warga emas berputih mata apabila wang tunai RM15,000 musnah dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Kolam Gelang Emas di sini hari ini.

Selain wang tunai, pasangan terbabit, Pak Tam Awang Hamat, 82, dan isterinya, Bunga Ali, 90, turut kehilangan barang kemas yang dianggarkan kesemuanya bernilai lebih RM50,000 dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari.

Bunga yang mengalami masalah penglihatan berkata, ketika kejadian, beliau berada di rumah bersama anaknya, Rafeah, 50, dan dua cucu berusia tiga dan empat tahun.

Katanya, kebakaran dikatakan bermula dari sebuah bilik kosong yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu rumah separuh kayu itu.

“Masa kejadian saya sedang berehat, tiba-tiba terhidu asap tebal yang memenuhi ruang tamu. Saya terus keluar menyelamatkan diri.

“Sebaik keluar, saya teringat cucu di bilik bersebelahan. Saya masuk semula namun dihalang oleh Rafeah,” katanya di tempat kejadian.

Tambahnya, Rafeah kemudian masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan kedua-dua anaknya itu.

Menurut Bunga, beliau biasa menyimpan wang di rumah seperti di bawah bantal, tilam serta katil dan tidak menduga kejadian tersebut berlaku.

Katanya, sungguhpun terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan wang terbabit, namun dia tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

Sementara itu, Pak Tam berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menjaga lembu di kebunnya yang terletak kira-kira 300 meter.

“Sebaik sahaja tiba di rumah, saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat. Mujurlah ketika kejadian, isteri, anak dan dua cucu terselamat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Ab. Kadari Che Ya berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 1.09 petang dan enam anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sejurus sampai, api sudah merebak hampir 80 peratus. Kami mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran,’’ katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment