Wednesday, March 2, 2011

Hero India


5 pengikut Hindraf didakwa menyertai pertubuhan haram


Dua dari lima pengikut Hindraf, S Jayathas (kanan) dan T. Periasamy di Mahkamah Sesyen Selayang, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Mac - Lima pengikut Hindu Rights Action Force (Hindraf) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini mengikut Akta Pertubuhan 1966 kerana didakwa menyertai pertubuhan haram tersebut dua minggu lalu.

S. Jayathas, 44, bersama K. Tamil Selvan, 46, K. Navakrishna, 38, T. Periasamy, 34. dan V. Loshna Rau, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.

Selain itu, Loshna Rau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghalang seorang pegawai polis daripada menjalankan tugas, empat minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima lelaki tersebut didakwa menjadi anggota satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Hindraf di Kilometer 13, Bukit Kanching, Jalan Ipoh, Rawang dekat sini pada pukul 12.15 tengah hari, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan menghalang seorang pegawai polis, Loshna Rau didakwa menolak Inspektor Mohd. Aster Mohamad dengan mengunakan tangan sehingga jatuh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Pejabat Pengurusan Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Jalan Batu Arang, Gombak dekat sini pada pukul 10.45 pagi, 3 Februari lalu.

Dakwaan terhadap lelaki tersebut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ridha Abdah Subri yang mengetuai pasukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh terhadap kesalahan menyertai pertubuhan haram.

Beliau juga menawarkan jaminan jumlah yang sama terhadap Loshna Rau yang didakwa menghalang tugas polis.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela, P. Uthayakumar merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya bersifat politik.

Menurutnya lagi, dia memohon agar pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, rayuan itu dibantah oleh Ridha kerana hujah itu bersifat politik dan sepatutnya peguam memohon jaminan dikurangkan berdasarkan pertuduhan.

‘‘Tiada sebab untuk pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut kerana elemen yang digunakan untuk mendakwa kesemua tertuduh adalah wajar mengikut nas undang-undang,’’ jelas Ridha.

No comments:

Post a Comment