Friday, May 11, 2012

lempar nota

Lempar nota cemas

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah  suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.
PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.
KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menulis nota “tolong selamatkan ibu, kami di W1310” dan melontarnya dari tingkat 13 sebuah kondominium di Batu Kawa, di sini, bagi mendapatkan pertolongan selepas ibunya dibelasah bapanya sehingga tidak sedarkan diri, malam kelmarin.
Nyata usaha itu tidak sia-sia, apabila nota berkenaan ditemui seorang penghuni kondominium sama yang kebetulan melalui blok pangsapuri itu, biarpun agak lewat iaitu kira-kira jam 1 tengah hari semalam, selepas 14 jam ia ditulis.

Wanita mahu dikenali sebagai Mei, 40, berkata, dia menemui nota berkenaan di kaki lima berhampiran pintu utama blok itu dan membuang kertas itu ke dalam tong sampah berhampiran selepas membacanya.
“Saya sempat membaca nota di atas kertas itu, tetapi agak ragu dengan kesahihannya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah dan pulang ke rumah.

“Namun, saya berasa tidak sedap hati sebelum kembali semula ke tong sampah tadi untuk mengambil kertas itu dan pergi ke rumah yang dinyatakan.

“Saya menekan loceng beberapa kali sebelum seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan trauma sedang menangis membuka pintu, saya lihat seorang wanita terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu dengan kesan lebam di muka dan kepala,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mei berkata, terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa seorang warga Indonesia dikenali sebagai Juliani, berusia 26 tahun, seorang suri rumah dipukul suaminya menggunakan kayu golf dan tali pinggang sehingga tidak sedarkan diri.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 malam kelmarin, apabila suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain ketika dia keluar bekerja.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia kerap dipukul suaminya, tetapi kejadian kelmarin paling teruk sehingga mangsa tidak sedarkan diri kerana mendakwa suaminya memukul dan menendangnya tanpa belas kasihan.

“Suspek seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Mangsa yang sudah sedar masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Roslan berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Konsul Indonesia dan kes disiasat mengikut bawah Seksyen 324, Kanun Keseksaan.

Sunday, May 6, 2012

dibaham harimau

Warga emas selamat gadis dibaham harimau nyaris maut
Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2012
Warga selamatkan gadis dibaham harimau nyaris maut
Violet D’Mello diheret salah satu daripada dua ekor harimau bintang di Taman Krangga Kamma, Port Elizabeth, Afrika Selatan minggu lalu. – Foto ihsan Herald Online
PORT ELIZABETH – Percutian bagi seorang pelancong British di Afrika Selatan bertukar ngeri minggu lalu apabila dia, yang cuba menyelamatkan seorang gadis dari dibaham, nyaris maut diserang haiwan itu.

Violet D’Mello, 60, dari Aberdeen berkata, dia berdepan dengan ambang maut di Taman Krangga Kamma,  Port Elizabeth, ketika mengunjungi taman itu bersama keluarganya.

Ketika menceritakan pengalamannya kepada Herald Online, D’Mello berkata, dia bersama satu lagi keluarga berhasrat untuk mengambil gambar secara dekat bersama haiwan tersebut, dari ruang sangkar.
Tiba-tiba, salah seekor harimau bintang melarikan seorang budak perempuan daripada keluarganya.

D’Mello berkata, selepas kanak-kanak perempuan dibebaskan, adik lelakinya berusia tujuh tahun pula berlari ke arah harimau bintang.

“Ketika saya cuba menghalang dia, sesuatu menerkam saya dari belakang,” katanya dipetik BBC.

Ketika seorang kakitangan taman itu cuba menarik harimau bintang, seekor lagi cuba menyerang wanita emas itu.

“Peristiwa tersebut bagaikan mimpi ngeri bagi saya, keluarga yang lain teruja untuk mengambil gambar pada awalnya, namun kejadian menjadi bertambah serius dalam masa yang singkat,” katanya lagi.

D’Mello cedera di bahagian kepala, perut dan kaki dalam kejadian itu, yang dialami ketika bercuti bersama suaminya.

Suami D’Mello, Archibald memberitahu, isterinya terpaksa menerima banyak jahitan di paha dan percaya ia akan meninggalkan parut teruk.

Dia juga berkata, ketika kejadian isterinya tidak mempunyai sebarang senjata hingga ada orang dari luar menghulurkan kayu untuk menghalang harimau bintang itu dari terus menyerangnya.

Isterinya kehilangan banyak darah kerana cedera di kepala dan terpaksa  menghabiskan masa 48 jam di katil akibat kejadian ngeri tersebut.

Taman tersebut kini ditutup kepada kunjungan orang ramai bagi memudahkan proses siasatan dikendalikan.

Saturday, May 5, 2012

wang tunai menunggu

ARKIB : 04/05/2012

Wang tunai RM44,550 menanti pemancing di Cyberjaya

BORHAN Aman Shah (empat dari kiri) menunjukkan ikan patin yang dilepaskan ke Tasik Cyberjaya pada majlis di Cyberjaya baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 3 Mei - Habuan wang tunai RM25,000 menanti untuk dibawa pulang oleh juara Pertandingan Memancing GP Selangor 2012 pusingan keempat yang akan berlangsung di Taman Tasik Cyberjaya pada Ahad ini.
Pertandingan anjuran kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) itu dikendalikan oleh Wakjali Event Management selaku pengurus acara.
Ia menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM44,550. Hadiah untuk naib juara ialah RM9,000 dan ketiga RM4,000.
Peserta di tempat keempat menerima RM1,200, kelima RM600 manakala pemenang keenam hingga 10 menerima RM200, ke-11 hingga 25 RM150 dan ke-26 hingga 40 (RM100).
Sebagai simbolik pertandingan, penganjur melepaskan satu tan ikan patin yang ke Tasik Cyberjaya yang disempurnakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri Dengkil, Borhan Aman Shah.
Turut hadir Pengarah Korporat dan Pembangunan Komuniti MPSepang, Noriqram Mohd. Nor; Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Khairul Nizam Mohd. Misnan dan Pengarah Urusan Wakjali Event, Md. Zali Kasran.
"Ini kali kedua Tasik Cyberjaya menjadi venue GP Selangor. Tahun lepas penganjur turut melepaskan satu tan ikan ke tasik berkenaan.
"Bagaimanapun, tidak banyak ikan dinaikkan pada ketika itu. Saya harap dengan tambahan satu tan ikan kali ini akan dapat memuaskan hati semua peserta yang mengambil bahagian," katanya.
Kaunter pendaftaran 24 jam akan mula dibuka di lokasi pertandingan bermula pukul 10 pagi, Sabtu ini manakala pancang pula hanya dibenar dipasang pada pukul 5 petang.
Penganjur turut menawarkan tiga hadiah cabutan bonanza berupa televisyen LCD 32 inci dan 500 kemeja T untuk peserta yang mendaftar awal.
Yuran penyertaan ialah RM70 untuk satu joran dan setiap peserta dibenar mendaftar dua joran sahaja serta layak menang satu hadiah bagi setiap pusingan.
GP Selangor tahun ini menawarkan hadiah Grand Slam sebuah kereta Proton Persona bernilai RM55,000, kedua RM10,000, ketiga RM5,000 manakala keempat hingga sepuluh masing-masing menerima RM1,000.
Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi 016-293 7741 dan 013-383 8655.

pancing dapat 45 ribu

ARKIB : 02/05/2012

Umpan roti bolehkan Faizul bawa pulang RM45,000

Mohamad Faizul Syarif (dua dari kanan) bersama Romzy Sadry (kanan), Mohamad Zabri Razali (dua dari kiri) dan pemenang tempat keempat, Razali Bakar menunjukkan hadiah kemenangan mereka pada pertandingan memancing sempena ulang tahun Joran Rimba Tekala di Semenyih, Ahad lalu.
KUALA LUMPUR 1 Mei - Dengan hanya berbekalkan umpan roti, seorang kaki pancing berjaya menggondol hadiah RM45,000 sebagai juara pertandingan memancing sempena ulang tahun Joran Rimba Tekala di Kolam Seri Bayu Tekala, Semenyih, Ahad lalu.
Pada pertandingan anjuran Seri Bayu Tekala itu, Mohamad Faizul Syarif Abdullah hanya memerlukan kira-kira 10 minit untuk menaikkan ikan patin seberat 9.4 kilogram (kg) bagi mengenepikan cabaran lebih 1,000 peserta lain.
Ikan patin seberat 8.6kg pula berjaya dijinakkan oleh Romzy Sadry untuk memastikan hadiah tempat kedua berjumlah RM15,000 menjadi miliknya.
Tempat ketiga pula menyaksikan Mohamad Zabri Razali berjaya menaikkan spesis ikan sama seberat 8.5kg sekaligus membawa pulang RM6,000.
Dengan hanya mengenakan yuran sebanyak RM100, 650 peserta yang mendaftar awal turut menerima baju-T percuma selain dapat beriadah bersama keluarga masing-masing.
Turut diadakan pada cabaran memancing itu adalah pertandingan kategori khas iaitu bagi ikan tongsan dan keli serta acara cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal Modenas Kriss dan 35 buah hamper.

pasir punkena curi da..

ARKIB : 04/05/2012

Sindiket curi pasir lumpuh

KUALA LANGAT 3 Mei - Pejabat Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan sindiket mencuri pasir di Kampung Bukit Changgang di sini hari ini hasil intipan sejak sebulan lalu.
Dalam Operasi Bersepadu tersebut, pelbagai peralatan dan kemudahan mencuri pasir turut dimusnahkan dan ada yang disita dengan anggaran nilainya mencecah RM100,000.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamed Yasid Bidin berkata, dalam operasi itu sebanyak tiga pondok tempat pekerja berehat turut dirobohkan selain tempat mencuci pasir dan sebuah mesin mengepam pasir dimusnahkan.
"Sebuah mesin timbang pasir juga dimusnahkan selain menyita sebuah mesin jentolak. Namun tiada tangkapan dibuat kerana tiada orang di lokasi berkenaan ketika serbuan dibuat," katanya kepada pemberita pada operasi yang bermula pukul 8 pagi di sini hari ini.
Menurutnya, sebanyak 44 pegawai terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan dua buah lori Jabatan Kerja Raya Kuala Langat selain sebuah jentolak dan jengkaut.
Tambah beliau, pihaknya mengalami kesukaran untuk menjejak dalang sindiket kerana kebiasaan nya kegiatan mencuri pasir dilakukan pada awal pagi.
Mohamed Yasid berkata, pihaknya terpaksa bekerja pada waktu malam bagi menjejak mereka yang melakukan kesalahan itu.
"Bagaimanapun, kami akan terus membuat pemantauan bagi mengesan kegiatan seumpama itu," katanya.

Thursday, May 3, 2012

14 tahun isap susu botol

Remaja ketagih susu botol
HAMIZAH BASIR
3 Mei 2012
Farah Sauffiah menyusu botol walaupun ketika menyiapkan kerja sekolahnya.
Farah Sauffiah menyusu botol walaupun ketika menyiapkan kerja sekolahnya.
SEREMBAN – Seorang pelajar ketagih menghisap susu botol meskipun usianya kini mencecah 14 tahun.

Farah Sauffiah Rahmat yang bersekolah di Sekolah Menengah (SM) Tuanku Ampuan Durah di sini, harus menyusu lebih 15 botol sehari.

Ketagihan Farah Sauffiah bermula sejak kecil menyebabkan dia perlu menyusu hampir setiap jam termasuk ketika melakukan kerja rumah dan sekolah.

Farah Sauffiah yang ditemui di rumahnya di Taman Desa Kiara, Sikamat, di sini, berkata, dia kurang minat makan nasi dan minuman lain.

“Rasa susu yang sedap membuatkan saya kurang berminat dengan minuman lain dan kadangkala saya tidak makan nasi seharian, sebaliknya hanya menyusu sahaja.

“Menghisap susu botol sudah menjadi rutin seharian. Meskipun tidak kena pada usia, saya tetap akan menyusu sampai bila-bila,” katanya.

Menurutnya, tabiat menghisap susu botol diketahui rakan sekolahnya namun dia tidak pernah diejek rakan meskipun ia nampak pelik dan janggal.

“Kawan sekolah tahu saya hisap susu botol tetapi mereka tidak pernah ejek dan perli saya.

“Saya juga tak rasa malu dan tidak kisah diejek rakan. Saya bersyukur kerana ibu bapa memahami keinginan saya dan masih membeli susu untuk saya sehingga sekarang,” katanya.

Sementara itu, ibu Farah Sauffiah, Latifah Ariffin, 47, berkata, dia memperuntukkan RM80 sebulan membeli susu tepung untuk anaknya itu.

“Anak saya akan menghabiskan susu tepung sebanyak dua kilogram setiap bulan. Kos ini tidak termasuk botol susu yang perlu diganti baru.

“Pernah sekali saya tidak membeli susunya dengan harapan dia berhenti menyusu tetapi dia sanggup ke kedai membeli susu dengan duitnya sendiri,” katanya.

Menurutnya, Farah Sauffiah menghisap susu botol sejak berhenti menyusu badan ketika berusia 5 tahun.

“Sebaik berhenti susu badan, dia menghisap susu botol sehinggalah ke hari ini walaupun telah dinasihatkan supaya berhenti menyusu.

“Anak saya menyusu hampir setiap jam dan setiap kali mahu tidur, dia akan pastikan menghisap susu botol sehingga tertidur,” katanya.

Latifah berkata, suaminya pernah membaling botol susu anaknya itu di jalan depan rumah mereka.

“Suami saya bertindak begitu kerana mahu melihat Farah Sauffiah berhenti menghisap susu botol tetapi malangnya, anak saya sanggup mengutipnya semula.

“Kami sudah tidak ada cara untuk memberhentikan tabiat Farah Sauffiah kerana dia masih juga menghisap susu botol sehingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, pernah sekali mereka berjumpa dengan bomoh tetapi masih menemui jalan buntu.

Tuesday, May 1, 2012

berlawan dgn jin

ARKIB : 27/04/2012

Diserang jin ketika seminar

SUASANA tenang dan hening walau sejuk dek pendingin hawa di Dewan Dewan Experimental, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, lokasi berlangsung Seminar Motivasi Spiritual dan Perawatan Islam pada Ahad lalu membolehkan peserta memberi tumpuan penuh kepada topik yang dibicarakan.
Para peserta hampir 50 orang begitu menumpukan perhatian terhadap perkongsian pengalaman dan ilmu yang disampaikan oleh seorang pakar yang tidak asing lagi dalam menangani 'jenayah' ilmu hitam, iaitu Datuk Engku Ansaruddin Agus yang lebih dikenali sebagai Pak Engku.
Sebelum Pak Engku menyampaikan ceramah, pakar motivasi terkenal Dr. Robiah Kulop berjaya menghidupkan suasana tanpa sebarang 'gangguan' dengan pelbagai celoteh membinanya ketika mengupas tajuk Kehancuran Rumah Tangga Kerana Ancaman Sihir.
Tetapi apabila tiba giliran Pak Engku yang ceria menyampaikan ceramah, tiba-tiba raut wajahnya berubah.
Wajah Pak Engku bertukar serius dan dengan pandangan mata yang tajam menuju kepada salah seorang peserta kursus yang duduk betul-betul bertentangan dengannya yang ketika itu berdiri menyampaikan ceramah di hadapan pentas dewan tersebut.
Suasana menjadi gempar apabila peserta tersebut, seorang wanita yang memakai tudung merah jambu mula 'mengamuk'.
Dia menjerit-jerit mengeluarkan perkataan-perkataan kasar sambil mengacu-acukan tangan dan melepaskan kemarahan yang meluap-luap terhadap Pak Engku.
Daripada seorang yang kelihatan begitu lemah-lembut, wanita itu bertukar ganas yang menyebabkan Pak Engku terpaksa membuat perhitungan.
Ceramah tergendala dek ada yang mula kerasukan jin.
Pak Engku menggunakan segala kepakaran yang ada bagi berhadapan dengan jin yang dipercayai telah lama berada dalam tubuh wanita yang berstatus ustazah itu.
Pak Engku langsung tidak memberi peluang kepada jin tersebut. Lalu memberi amaran supaya tidak menganggu 'anak Adam' sambil berjaya 'menangkap' jin tersebut apabila ditekan di bahagian leher dan kepala wanita itu.
Sambil menekan pada bahagian-bahagian tersebut makhluk halus tersebut mula melolong-lolong kesakitan.
Namun, bukan sahaja ustazah itu yang diganggu jin semasa seminar tersebut berlangsung, tidak lama kemudian sekali lagi Pak Engku terpaksa bertarung dengan jin yang menganggu seorang lagi peserta perempuan yang masih muda remaja.
Remaja tersebut tidak berhenti-henti mengalami batuk yang teruk dan kemudiannya tidak sedarkan diri.
Ini diikuti seorang lagi peserta wanita, Engku Wan Zakira juga dirasuk jin yang dipercayai buatan orang yang busuk hati terhadapnya.
Ini apabila terdengar antara lain yang keluar daripada wanita ini ketika dalam keadaan kerasukan: "Aku benci perempuan nih! Aku benci!!! Dia perempuan baik! Aku tak suka dia baca kitab hijau (al-Quran)! Aku tak suka anak aku jadi baik bila kahwin dengan perempuan ini!"
Mungkin 'adegan-adegan' seperti itu biasa dilihat atau pernah dialami oleh kita setiap kali berlakunya pertembungan makhluk halus dan manusia.
Begitupun bagi mereka yang tidak pernah melihat dan alami, tentu menganggap bahawa semua itu adalah lakonan dan sukar untuk diterima akal walaupun kita percaya mengenai kewujudan jin dan syaitan.
Tetapi dengan berkongsi kisah mereka yang pernah dan sedang mengalami gangguan jin dan syaitan mungkin banyak pengajaran yang boleh diambil iktibar.