Sindiket curi pasir lumpuh
KUALA LANGAT 3 Mei - Pejabat Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan sindiket mencuri pasir di Kampung Bukit Changgang di sini hari ini hasil intipan sejak sebulan lalu.Dalam Operasi Bersepadu tersebut, pelbagai peralatan dan kemudahan mencuri pasir turut dimusnahkan dan ada yang disita dengan anggaran nilainya mencecah RM100,000.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamed Yasid Bidin berkata, dalam operasi itu sebanyak tiga pondok tempat pekerja berehat turut dirobohkan selain tempat mencuci pasir dan sebuah mesin mengepam pasir dimusnahkan.
"Sebuah mesin timbang pasir juga dimusnahkan selain menyita sebuah mesin jentolak. Namun tiada tangkapan dibuat kerana tiada orang di lokasi berkenaan ketika serbuan dibuat," katanya kepada pemberita pada operasi yang bermula pukul 8 pagi di sini hari ini.
Menurutnya, sebanyak 44 pegawai terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan dua buah lori Jabatan Kerja Raya Kuala Langat selain sebuah jentolak dan jengkaut.
Tambah beliau, pihaknya mengalami kesukaran untuk menjejak dalang sindiket kerana kebiasaan nya kegiatan mencuri pasir dilakukan pada awal pagi.
Mohamed Yasid berkata, pihaknya terpaksa bekerja pada waktu malam bagi menjejak mereka yang melakukan kesalahan itu.
"Bagaimanapun, kami akan terus membuat pemantauan bagi mengesan kegiatan seumpama itu," katanya.
No comments:
Post a Comment