Monday, May 21, 2012

kahwin bajet

ARKIB : 19/05/2012

Festival GSPRS perkenal pakej kahwin bajet RM8,888.88

JOHOR BAHRU 18 Mei - Festival Gala Seri Pesona dan Ratu Sehari (GSPRS) yang akan diadakan di Plaza Angsana, Skudai, di sini memperkenalkan pakej kahwin bajet bagi membantu bakal pengantin menempuhi hari bahagia mereka.
Festival kali ke-16 itu akan berlangsung selama 10 hari bermula 31 Ogos hingga 9 September ini dengan Bertemakan Cinta Abadi Taj Mahal - Bollywood dan menggamit penyertaan 35 buah butik pengantin tempatan.
Penganjurnya yang juga Pengurus Besar Juz Zarith Innovation, Zuraidah Ahmad berkata, idea untuk mengetengahkan promosi sedemikian timbul apabila baru-baru ini beliau membaca statistik yang menunjukkan penduduk negara ini berhadapan masalah kewangan untuk berkahwin.
"Disebabkan itu, saya tampil dengan konsep perkahwinan yang memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah mendirikan rumah tangga. Bukan sekadar murah, tetapi pakej ini turut boleh mengikut tema perkahwinan yang memenuhi cita rasa masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Turut sama menganjurkan festival berkenaan ialah De Casa Impiana.
Tambah Zuraidah, dengan harga bermula RM8,888.88, pakej itu merangkumi kos membuat pelamin, baju pengantin lelaki dan perempuan, kerusi dan meja makan, solekan, dua unit khemah serta katering untuk 200 orang.
"Tawaran tersebut hanya boleh diperoleh ketika Festival GSPRS itu diadakan melalui butik pengantin yang mengambil bahagian. Pada masa sama, acara ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pengusaha produk perkahwinan yang terdapat di negeri ini.
"Selain itu, terdapat juga aktiviti sampingan bagi memeriahkan festival ini dengan konsep 'kunjung dan menang'," jelas beliau.
Di samping menyediakan pelbagai pilihan pakej perkahwinan, Zuraidah menjelaskan, ia turut memberi platform kepada pengusaha butik perkahwinan baru dan lama untuk mengukuhkan lagi perniagaan mereka.

No comments:

Post a Comment