Sunday, May 13, 2012

tanah runtuh

ARKIB : 11/05/2012

Suami isteri nyaris ditimbus tanah runtuh

KEADAAN rumah pasangan suami isteri warga emas yang ditimpa tanah runtuh di Kampung Kiau Taburi, Kota Belud, Sabah, kelmarin.
KOTA KINABALU 10 Mei - Sepasang suami isteri warga emas nyaris maut setelah kenderaan dan rumah mereka di Kampung Kiau Taburi, Kota Belud dekat sini, ditimbus tanah runtuh awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Deputi Supritendan Mohan Nadesan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pasangan berusia 70-an tersebut berjaya menyelamatkan diri.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini dilaporkan menginap di rumah anak mereka di Kota Kinabalu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, kejadian tanah runtuh tersebut turut menyebabkan laluan sejauh 500 meter yang menghubungkan tiga buah kampung ke laluan utama, Kota Kinabalu-Ranau terjejas teruk.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Mohd. Affendy K. Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.42 pagi dan sebuah jentera dari Kota Belud bersama lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Ir. Abd. Razak Sallim dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu turut mengakibatkan lebih 30 buah rumah terputus bekalan elektrik sejak pukul 5.44 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati 10 batang tiang elektrik voltan tinggi milik SESB di kawasan itu rosak dan menyebabkan bekalan elektrik terputus.
"Kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik tidak dapat dijalankan kerana jalan di kawasan tersebut tidak boleh dimasuki oleh kenderaan berat seperti lori dan set janakuasa bergerak," katanya sambil memberitahu, SESB terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan lebih RM30,000 ekoran kejadian itu.

No comments:

Post a Comment