Friday, May 18, 2012

tv meletup rumah terbakar

ARKIB : 17/05/2012

Tv meletup, 6 sekeluarga hilang tempat tinggal

Nik Som Che Omar mencari barangan berharga yang terselamat di kawasan rumahnya yang terbakar di Kampung Rahmat, Jeli, kelmarin.
JELI 16 Mei - Enam sekeluarga di Kampung Rahmat Ayer Lanas dekat sini, hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran petang semalam.
Kebakaran pukul 2.30 petang tersebut dipercayai berpunca akibat televisyen di rumah kayu itu tiba-tiba meletup.
Menurut pemilik rumah berkenaan, Zainudin Abdul Rahman, 68, semasa kejadian dia berehat di ruang dapur manakala isterinya, Nik Som Nik Omar, 64, memberi cucu mereka yang berusia lima tahun makan di ruang tamu.
Katanya, dia bagaimanapun tiba-tiba terkejut apabila terdengar bunyi letupan dan segera ke bilik tidur sebelum melihat api yang sudah marak.
"Dalam keadaan panik, saya memberitahu isteri supaya keluar kerana api sudah semakin marak. Kejadian itu berlaku amat pantas.
"Ketika saya keluar meminta pertolongan jiran untuk menelefon bomba, api semakin sukar dikawal," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Sementara itu, anaknya, Zamri, 30, yang bekerja tidak jauh dari rumah berkenaan terkejut apabila didatangi seorang jiran dan memaklumkan kebakaran tersebut.
"Sejurus sampai, saya dapati 80 peratus rumah itu telah hangus. Saya meluru mendapatkan anak serta ibu bapa tetapi mujurlah mereka selamat," katanya.
Sementara itu, Pegawai Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Che Engku Chik Engku Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.30 petang.
Tambah beliau, sejurus itu seramai sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima bantuan daripada lima anggota bomba sukarela Jeli.
"Sebaik sahaja tiba, keseluruhan rumah telah hangus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
''Kerugian dianggarkan RM60,000 manakala punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment