Thursday, May 17, 2012

ikan kelah mati

ARKIB : 15/05/2012

Ikan kelah mati: Penternak rugi RM9,000

WAN Shahrul Azman Wan Jamaluddin menunjukkan ikan kelah yang mati akibat kekurangan oksigen selepas hujan lebat di kolam miliknya di Kampung Bukit Betong, Hulu Jelai, Cameron Highlands, semalam.
CAMERON HIGHLANDS 14 Mei - Seorang penternak ikan kolam di Kampung Bukit Betong, Hulu Jelai, dekat sini mengalami kerugian RM9,000 apabila ikan kelah yang diternaknya mati akibat hujan lebat semalam.
Wan Shahrul Azman Wan Jamaluddin, 40, berkata, sebanyak 90 ekor ikan kelah bermutu tinggi yang dipelihara sejak empat tahun lalu mati berkemungkinan akibat kekurangan oksigen.
"Air kolam yang melimpah akibat hujan lebat pada pukul 2 pagi menyebabkan pam yang membekalkan oksigen tidak berfungsi atau rosak.
"Saya tidak menyangka ikan itu boleh mati. Selepas solat subuh semalam, saya turun menyuluh ke dalam kolam dan mendapati ikan berkenaan timbul di permukaan air," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, ikan kelah masing-masing seberat 2.5 kilogram bernilai RM140 sekilogram itu sebenarnya bukan untuk dijual tetapi hanya menjadi hiasan kolam rumahnya.
"Kejadian itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus memelihara ikan kelah liar Sungai Jelai yang menjadi minat sejak usia remaja lagi," katanya.
Katanya, ikan tersebut antara spesies ikan liar yang sensitif pada sebarang perubahan persekitaran dan penjagaan bertambah rumit apabila habitatnya di kolam.

No comments:

Post a Comment