Thursday, September 6, 2012

hentam bini kerana bisnes

Perniagaan punca isteri muda dibelasah suami


AMANDA ditemani Amarjit menunjukkan kesan lebam di lengannya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur, Ipoh semalam.


IPOH – Rakaman litar kamera tertutup (CCTV) yang menunjukkan aksi-aksi pertelingkahan dan pukul-memukul antara sepasang suami isteri yang boleh disaksikan melalui YouTube tercetus kerana masalah perniagaan.
Mengimbas kejadian tersebut, mangsa wanita, Amanda Fong Kim Yen, 19, mendakwa pertikaman lidah dengan suaminya bermula selepas dia tidak setuju dengan keputusan lelaki itu yang mahu mempamerkan koleksi minyak wangi milik seorang rakan suaminya di butik mereka di Taman Ipoh Selatan di sini.
“Saya khuatir koleksi minyak wangi tersebut tidak tulen dan jika perkara tersebut berlaku ia menjejaskan perniagaan butik pakaian dan aksesori wanita yang kami baru buka Julai lalu,” kata Amanda pada sidang akhbar di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur di sini.
Menurut mangsa yang hamil dua bulan, selepas berperang mulut beberapa minit, dia mengambil keputusan untuk keluar dari butik.
Bagaimanapun, dakwa Amanda, suami menyekat dia meninggalkan butik sebelum suaminya bertindak ganas memukul, menggigit dan menekan perutnya seperti yang dipaparkan di dalam YouTube.
Amanda hadir di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur dengan ditemani ibunya, Lily Yeoh, 49.
Dia bersetuju menerima khidmat guaman yang ditawarkan Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur. Peguam yang mewakili ialah Datuk G. Amarjit Singh Gill.

korban kereta demi murid

Samsor sanggup ‘korban’ kereta demi selamatkan murid


SAMSOR menunjukkan keretanya yang rosak teruk akibat banjir di Serdang semalam.


SERDANG – Seorang guru Sekolah Kebangsaan Seri Serdang (SKSS) di sini sanggup ‘mengorbankan’ kenderaannya demi menyelamatkan nyawa 30 pelajar dalam kejadian banjir kilat di sini kelmarin.
Menceritakan detik-detik cemas itu, Samsor Asrul Saad, 34, berkata, ia bermula apabila hujan lebat selama dua jam yang bermula sejak pukul 4.30 petang.
“Pada mulanya saya berniat hendak bawa kereta saya ke tempat selamat apabila melihat air mulai naik tetapi selepas melihat anak-anak murid saya dalam ketakutan saya membatalkan niat itu,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Samsor kemudiannya bertindak memindahkan semua murid ke tingkat atas bangunan tiga tingkat itu ekoran bimbang keselamatan mereka.
Bagaimanapun, tindakannya menyebabkan kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora yang dibelinya dua tahun lepas rosak teruk akibat banjir.

diganggu lembaga hitam

Gadis diganggu lembaga hitam
Wartawan Sinar Harian
5 September 2012
Sopiah
Sopiah menunjukkan ruang di mana dia terlihat lembaga hitam. Gambar kecil: Siti Intan Shafinaz Abdul Aziz.
TOKAI, PENDANG – Sepasang suami isteri di Jalan Tokai di sini bimbang melihat keadaan anak kedua mereka yang menjadi tidak bermaya selepas dipercayai diganggu lembaga hitam di rumah mereka, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu,  Siti Intan Shafinaz Abdul Aziz, 26, bertindak menjerit dan menangis sambil menepis bahagian perutnya kerana mendakwa perutnya begitu panas selepas ternampak lembaga hitam dalam bilik tidurnya.

Ibu mangsa, Sopiah Mat,47, berkata, dia dan suaminya tidak menyangka anaknya itu diganggu lembaga hitam memandangkan setengah jam sebelum itu dia sedang bermain dengan dua cucunya dalam bilik.

“Saya mendengar dia (Intan) menjerit, namun menyangka mereka sedang bergurau, namun tiba-tiba dua cucu saya keluar daripada bilik memberitahu mak mereka menangis menyebabkan saya bergegas masuk di dalam bilik melihat anak saya sedang menjerit.

“Saya tidak dapat melakukan apa-apa sehingga lebih dua jam keadaan anak saya begitu dan selepas itu dia tertidur sendiri. Namun selepas itu, anak saya nampak tidak bermaya seperti sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sopiah berkata, anaknya pernah diganggu lembaga hitam tiga tahun yang lalu namun, tidak menyangka perkara sama berulang lagi.

Sopiah turut berkongsi cerita pada malam sehari sebelum kejadian itu berlaku kepada anaknya.

Menurutnya, dia sendiri ternampak sepasang mata lembaga hitam dari arah dapur rumah ketika sedang tidur bersama suami dan anak di ruang tamu.

“Ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi saya terkejut dari tidur  selepas bermimpi ada lembaga hitam mengganggu saya, namun selepas saya membuka sahaja mata saya ternampak lembaga hitam berjalan-jalan di bahagian tempat kami tidur.

“Saya tidak melakukan apa-apa, hanya melihat sahaja. Saya kemudiannya ternampak sepasang mata dari arah dapur rumah dan jelmaan itu hilang secara tiba-tiba selepas saya mendengar suara seperti anak saya (Intan) menangis tetapi keesokan pagi dia memaklumkan dia tidak menangis,” katanya.

Wednesday, September 5, 2012

glamer kena belasah suami

Suami lanyak sampai lembik

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
IPOH: Seorang wanita muda nekad merakam aksi dia dibelasah suaminya selama hampir setengah jam sebelum rakaman itu dimuat naik ke Internet menerusi laman YouTube sehingga menarik perhatian lebih 35,878 pelayar.
Klip video bertajuk ‘Suami Belasah Isteri’ itu memaparkan mangsa, Amanda Fong Kim Yen, 19, yang mengandung dua bulan ditumbuk, disepak, ditampar dan dicekik suaminya yang berusia 20-an hingga cedera teruk.

Kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang 23 Ogos lalu di sebuah butik menjual aksesori dan pakaian yang diusahakan pasangan terbabit di Ipoh Garden South, di sini.

Rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu dimuat naik sendiri oleh Amanda ke akaun facebook (fb) miliknya pada 30 dan 31 Ogos lalu sebelum ia turut dimuat naik ke laman YouTube kelmarin.

Lebih mengejutkan, Amanda turut berkongsi pengalaman pahit itu menerusi catatan di laman facebook termasuk menyiarkan gambar kesan lebam dan luka akibat dibelasah suaminya.

akibat suka baling objek dari atas

Budak maut kepala tertusuk buluh penyidai
SITI NOOR SEPEE
4 September 2012
Budak maut kepala tertusuk buluh penyinai
Che Samad menunjukkan laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan.
JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah di kepala kerana tertusuk buluh penyidai pakaian yang terjatuh dari tingkat 12, Blok C, Flat Sri Tanjung, Taman Kempas Permai dalam kejadian 10.30 malam, Ahad lalu.
Mangsa, Muhammad Alias Che Samad, 4, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Menurut bapa mangsa, Che Samad Che Omar, 51, ketika kejadian, dia bersama anak bongsunya itu sedang berjalan ke kawasan tempat letak motosikal yang berada di tingkat bawah bangunan 17 tingkat berkenaan sebelum sebatang buluh terjatuh terkena kepala anaknya.
“Alias berjalan di hadapan manakala saya berada satu meter di belakangnya. Tiba-tiba sebatang buluh sepanjang 1.7 meter terjatuh lalu tertusuk di kepalanya sedalam kira-kira dua inci menyebabkan anak saya terus pengsan dalam keadaan berlumuran darah.
“Dalam keadaan panik, saya terus mendakap Alias yang rebah. Tanpa berfikir panjang saya terus menghantarnya ke HSA menaiki motosikal dengan bantuan jiran,” katanya ketika ditemui di wad PICU HSA, di sini, semalam.
Che Samad berkata, Alias dibedah pada hari yang sama, namun hasil pemeriksaan doktor mendapati harapan untuk anak lelakinya itu hidup adalah tipis.
“Saya reda apabila doktor memaklumkan harapan untuk satu-satunya anak lelaki saya itu selamat hanya 50-50. Namun saya dan isteri tidak berhenti-henti berdoa agar Alias mampu pulih seperti sediakala,” katanya yang turut mempunyai tiga anak perempuan berumur 10, 8, dan 6 tahun.
Menurutnya, sebelum Alias menghembuskan nafas terakhir, doktor juga memaklumkan bahawa bahagian otak anaknya gagal berfungsi akibat kecederaan itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Halimah Zakaria, 32, yang masih terkejut dengan kematian anaknya enggan mengulas lanjut.
Che Samad yang menyewa di flat berkenaan sejak enam tahun lalu mengesyaki ada individu yang bertindak membaling objek berkenaan hingga menyebabkan kematian anaknya berdasarkan jarak objek itu terjatuh dengan kawasan parkir motosikal.
Berikutan kejadian itu, Che Samad membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Central, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut.
Jenazah Muhammad Alias dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif, di sini, malam semalam.

mati minum arak campur

ARKIB : 02/09/2012

Tiga sahabat maut selepas teguk campuran tiga minuman keras

KLANG 1 Sept. - Tiga sahabat maut selepas dipercayai keracunan minuman keras dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong, Rantau Panjang, Kapar dekat sini awal pagi ini.
Kematian ketiga-tiga mangsa, M. Yogarajah, 32, G. Vijayakumar, 31, dan G. Suman, 30, disedari oleh keluarga Suman yang merupakan pemilik rumah kira-kira pukul 6 pagi ini.
Difahamkan, sebelum kejadian, kesemua lelaki itu telah mencampur tiga jenis minuman keras dan minum sehingga mabuk di hadapan rumah keluarga Suman kira-kira pukul 10 malam.
Oleh kerana terlalu mabuk dan tidak sedarkan diri, kesemua mangsa telah dipapah masuk ke dalam rumah dan dibiarkan untuk tidur.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa masih tidak sedarkan diri apabila dikejutkan kira-kira pukul 6 pagi ini hingga memaksa keluarga Suman memanggil ambulans.
Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan disahkan telah meninggal dunia.
Terdapat seorang lagi rakan mangsa dikatakan minum bersama mereka semasa kejadian dan masih hidup.
Mangsa dipercayai sedang dirawat di salah sebuah hospital di Shah Alam dekat sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Deputi Supritendan Mohd. Shukur Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan masih menunggu laporan bedah siasat.
Ketika ditanya mengenai mangsa yang masih hidup, Mohd. Shukur memberitahu, pihaknya masih belum mendapat maklumat mengenainya.

Tuesday, September 4, 2012

pukau cara pakistan

Pukau ala Pakistan
ASWANY OMAR & ERMA YUSNIDA JUSOH
4 September 2012
Muhammad Yan
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki terbabit cuba mengambil wang dari mesin juruwang di sebuah kedai buku.
KUANTAN  - Taktik licik dua lelaki warga Pakistan memperdaya mangsa untuk mendapat wang akhirnya terbongkar selepas mereka ditangkap sekumpulan pengawal keselamatan sebuah pusat membeli –belah dekat sini kelmarin.
Mereka dikatakan menggunakan beberapa keping wang yang dipegang selain bertanyakan beberapa soalan dalam bahasa Inggeris sehingga menyebabkan mangsa tidak menyedari kejadian yang berlaku dan menyerahkan wang yang ada.
Detektif Dalaman pusat beli belah terbabit, Muhammad Yan Abdullah berkata, dia menerima aduan daripada seorang pemilik butik yang menyedari kehadiran dua lelaki berkenaan di kedainya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di butik pakaian miliknya.
Curiga dengan perbuatan lelaki berkenaan yang cuba menarik wang daripada pekerjanya, Muhammad Yan berkata, pemilik butik itu terus menghubunginya selepas memberi arahan kepada seorang pekerjanya yang lain untuk mendekati lelaki itu.
“Sebaik menerima aduan, saya terus mendapatkan rakaman wajah lelaki itu daripada pemilik butik sebelum bertindak mengarahkan semua pengawal keselamatan mencari lelaki itu di semua kedai dalam pusat beli belah ini,” katanya.
Katanya, tindakan pantas semua anggota akhirnya berjaya menahan dua lelaki itu di sebuah kedai buku tidak jauh dari butik terbabit.
“Ketika itu, salah seorang lelaki berkenaan sedang memperdaya mangsa yang juga jurujual di kedai buku itu dan cuba mengambil wang dari mesin juru wang,” katanya.
Menurutnya,  dua lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan dan di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut manakala semua mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Muhammad Yan berkata, walaupun kejadian itu adalah kes pertama di pusat beli belah berkenaan tetapi mereka tetap membuat pemantauan kerana sudah mendengar banyak kes sama sebelum ini.
“Banyak kes pukau yang pernah kita dengar sebelum ini dan kebanyakan mangsa adalah peniaga. Justeru, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya tidak berulang,” katanya.
Pengakuan Mangsa
Beberapa mangsa mengakui mereka seolah-olah tidak sedarkan diri selepas didatangi dan ditegur lelaki yang berlagak sebagai pelanggan.
Seorang pekerja kedai roti yang dikenali sebagai Abi, 22, berkata, pada malam kelmarin iaitu kira-kira jam 9 malam, lelaki terbabit membeli roti dan membayar RM2.20 sebelum bertanya mengenai sama ada negara ini mempunyai not RM20.
Menurutnya, selepas ditanya demikian, dia menunjukkan not RM20 kepada lelaki itu sebelum dia sekali lagi bertanya mengenai not RM50.
“Selepas menyoalkan saya mengenai not tersebut, dia memaklumkan mahu menukar not RM100 kepada mata wang Arab Saudi.
“Bagaimanapun, saya memberitahu padanya bahawa tiada duit dalam mata wang itu, namun dia tidak berpuas hati dan cuba mengambil wang dalam mesin juruwang,” katanya ketika ditemui di sini.
Abi berkata, ketika itu dia seperti tidak sedar dengan tindakannya sebelum disergah oleh pengurus yang curiga dengan tindakannya mengeluarkan wang dan membiarkan lelaki berkenaan cuba mengambilnya.
Katanya, selepas disergah, dia terkejut dan sedar namun kelibat lelaki berkenaan sudah hilang.
Kena pukau
Bagi pekerja butik pakaian, Noraini Johari, 21, kejadian tersebut berlaku tanpa disedari seolah-olah di pukau.
Katanya,  dia tidak menyangka lelaki yang bertanyakan harga telekung di butik itu sebenarnya cuba mencari ruang untuk menipu.
“Ketika itu kira-kira jam 1.30 tengah hari lelaki itu masuk ke butik dan memberi salam sebelum bertanya sama ada saya seorang Muslim atau tidak.
“Selepas itu dia bertanya mengenai mata wang Arab Saudi dan mahu menukarnya, namun saya menjawab tiada, tetapi dia tidak percaya malah berkeras mahu melihat sendiri mesin juruwang,” katanya.
Katanya, berlaku sedikit adegan tarik menarik duit di dalam mesin sebelum dia tersedar apabila telefon miliknya berbunyi.
“Sekelip mata saya tersedar sebelum lelaki itu melarikan diri dari butik,” katanya.
Situasi sama turut dialami pekerja kedai buku, Nurul Fadilah Mohd Robin, 22, apabila lelaki berkenaan masuk ke kedai dan mahu menukar duit.
“Kejadian itu berlaku dengan pantas iaitu kira-kira lima minit, sebelum pihak pengawal menahan lelaki terbabit,” katanya.
Nurul Fadilah berkata, itu kejadian pertama yang dialaminya selepas tiga tahun bekerja di kedai itu dan ia pengalaman yang menakutkan.