Tuesday, October 26, 2010

Bawa Pisau Bawa Padah

Nelayan bawa pisau ke stadium dijel, sebatan

KOTA BHARU 25 Okt. – Seorang nelayan dihukum penjara tiga bulan dan sekali sebatan sekali oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membawa pisau ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia antara Kelantan dan Kedah, semalam.

Majistret Nor Haslinda Che Seman turut mengenakan denda RM350 terhadap tertuduh, Mohd. Shahril Hussin, 25, atau penjara 10 hari jika gagal membayarnya atas kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan polis.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dari Kampung Pantai Suri, Palekbang, Tumpat didakwa memiliki pisau berhulu dan bersarung hitam, panjang lebih 19 sentimeter ketika badannya diperiksa di pintu masuk A Stadium Sultan Muhammad IV pada pukul 7 petang, semalam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Shahril tidak terkecuali daripada Peraturan 27 Akta Pendaftaran Negara 1959 apabila gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh pegawai polis yang menjalankan pemeriksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000

Monday, October 25, 2010


Lelaki 'pupus' di Latvia
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/24


Ketidakseimbangan jantina sukar buat wanita Latvia cari pasangan.
Kadar kematian tinggi punca ramai wanita solo

DUA dekad selepas kejatuhan pemerintahan komunis Soviet di Latvia, wanita negara itu mencapai kedudukan jauh lebih baik berbanding lelaki - mereka lebih berpendidikan dan kadar kematian pada usia muda juga semakin rendah.

Sayangnya, ia belum cukup melengkapkan kehidupan mereka sebagai wanita kerana kadar kematian tinggi di kalangan lelaki Latvia bermakna sukar mencari pasangan hidup.

Kesukaran itu dikongsi oleh Dania dan Zane yang masih bersendiri dan bertemu di sebuah kafe di Riga untuk berbual mengenai topik kegemaran mereka - kekurangan lelaki baik.

Berusia 29 tahun, kedua-duanya cantik, bergaya dan berpendidikan tinggi tetapi di Latvia, bukan mudah mencari lelaki yang layak menjadi calon pasangan mereka.

Dania bekerja di syarikat yang mana 98 peratus rakan sekerjanya ialah wanita.

“Tiada masalahnya sebenarnya tetapi sesekali anda mahukan rakan lelaki untuk berfoya-foya atau berbual. Ia lebih menarik,” katanya sambil ketawa.
Zane pula menambah: “Sebab itulah rakan saya ke luar negara dan menemui teman lelaki di sana.”

Ketika lebih ramai lelaki dilahirkan di Latvia berbanding perempuan, keseimbangan di kalangan penduduk dewasa bertukar mendadak.

Kadar kematian yang tinggi di kalangan lelaki bermakna bilangan wanita di negara itu lapan peratus lebih daripada lelaki. Malah ketidakseimbangan jantina itu jelas dapat dilihat di dewan kemasukan Universiti Latvia di Riga.

Menurut pakar sosiologi dan pensyarah Baiba Bela, lebih 50 peratus penuntut yang diterima masuk ke situ adalah wanita. Katanya, itu bermakna wanita sukar menemui pasangan yang mempunyai tahap pendidikan sama tinggi.

Lebih malang, apabila lelaki cenderung untuk mati muda dan empat kali lebih berkemungkinan membunuh diri.

“Kali pertama ketidakseimbangan jantina ini nampak ialah antara 30 dan 40 tahun. Dalam kumpulan umur itu, kadar kematian lelaki ialah tiga kali lebih tinggi berbanding wanita umur saya.

“Memandu, ketagihan alkohol dan kemalangan di tempat kerja lebih berisiko kepada lelaki berbanding wanita,” katanya.

Wanita Latvia juga secara puratanya, hidup 11 tahun lebih lama berbanding lelaki - perbezaan jangka hayat paling tinggi antara jantina di Kesatuan Eropah.

Agris Rieksts, jurutera perisian berusia 28 tahun, berkata wujudnya budaya gagah di Latvia, yang menggalakkan tindak tanduk berisiko seperti memandu laju, merokok dan mabuk.

“Ia dikaitkan dengan kelelakian, lebih banyak ambil alkohol, anda lebih nampak jantan. Semua orang tahu itu mengarut tetapi ia masih berlaku,” katanya.

Penganalisis psikologi, Ansis Stabingis, yang merawat lelaki kemurungan dan kecenderungan membunuh diri, berkata peralihan Latvia kepada negara kapitalis 20 tahun lalu tiba-tiba meletakkan tekanan berat ke atas lelaki untuk berjaya daripada segi kewangan.

Krisis ekonomi, yang menjadikan kadar pengangguran meningkat 20 peratus, menjadikan usaha untuk selesa dalam kewangan semakin sukar dicapai.

Akibatnya, menurut kerajaan Latvia, apabila krisis memuncak pada tahun 2008, kes bunuh diri yang sudah pun tercatat antara yang tertinggi di Kesatuan Eropah, meningkat kepada 16 peratus.

“Ada tuntutan mengenai bagaimana lelaki sepatutnya hidup dan jika tidak memenuhi piawaian itu, mereka berdepan masalah kemurungan. Mereka juga mula mengambil alkohol atau berjudi kerana tidak dapat menyelesaikan masalah itu,” kata Ansis.

Buat masa ini, lebih 80 peratus kematian disebabkan bunuh diri adalah lelaki. Ansis percaya wanita Latvia lebih tabah berdepan dengan masalah kemurungan dan lebih berkemungkinan meminta bantuan profesional berbanding lelaki.

Ketika Latvia mencatatkan bilangan ibu tunggal paling tinggi di Kesatuan Eropah, Ansis, berkata wanita cenderung untuk meneruskan hidup demi anak-anak.

Info
Wanita Latvia

Latvia memiliki lapan peratus lebih ramai wanita berbanding lelaki.

Dalam lingkungan usia 30 hingga 39 tahun, wanita 3,000 lebih ramai berbanding lelaki.

Jangka hayat wanita secara purata 11 tahun lebih panjang, perbezaan paling tinggi di Kesatuan Eropah.

X Makan Nasi


Budak 11 tahun tidak pernah makan nasi
Oleh KAMARUDIN HAMZAH
berita@kosmo.com.my

ROHANA memberi Muhamad Helmi biskut kerana dia didakwa enggan makan nasi sejak 10 tahun lalu ketika ditemui di Jerteh, Besut semalam.

BESUT – Seorang budak lelaki berusia 11 tahun mendakwa tidak pernah makan walau sesuap nasi dan hanya menjadikan kuih dan makanan berasaskan gandum sebagai makanan rujinya.

Muhamad Helmi Ghazali dari Kampung Seberang, Jerteh juga dikatakan begitu takut untuk menyentuh makanan asasi itu sejak dilahirkan 11 tahun lalu.

Ibu Muhamad Helmi, Rohana Jusoh, 47, berkata, keganjilan anak keempat daripada enam adik-beradik itu mula diketahui ketika dia menjangkau usia enam bulan.

Pada masa itu, katanya, dia cuba memberi makanan bubur daripada bijiran beras kepada Muhamad Helmi, tetapi anaknya itu enggan makan walau sesuap.

“Dia tidak menghadapi apa-apa masalah ketika dilahirkan dan tumbesarannya juga normal, malah dia tetap aktif dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Ghairah Punya Pasal

Ghairah lihat isteri tuan rumah


AMPANG: Padah kerana menunjukkan kemaluannya, seorang lelaki kemaruk seks ditahan suami pemilik rumah yang disewanya sebelum diserahkan kepada polis di Pandan Jaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Jumaat lalu itu, lelaki warga Pakistan terbabit menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita berusia 20-an yang juga pemilik rumah disewanya ketika berada di tandas rumah berkenaan.


Menurut sumber polis, lelaki terbabit yang berusia 30-an dan bekerja sebagai tukang sapu pada mulanya menggunakan bilik air di rumah itu.


“Mungkin disebabkan ghairah melihat pemilik rumah sewanya, dia membuka kainnya dan menunjukkan kemaluan kepada wanita itu.


“Melihatkan tindakan lelaki terbabit, wanita itu takut, namun mendiamkan diri sebelum menceritakan kepada suaminya,” katanya.


Menurutnya, suami mangsa yang berang dengan tindakan lelaki terbabit memaklumkan kejadian kepada polis.


“Siasatan mendapati lelaki terbabit menyewa bilik di tingkat dua rumah kedai yang didiami pasangan berkenaan dan dia sudah menetap di situ sejak beberapa bulan lalu.


“Ketika kejadian, mangsa dan suspek hanya tinggal berdua dan suami wanita berkenaan tiada di rumah kerana keluar bekerja,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan wanita terbabit dan penahanan lelaki itu.

Bawah Jambatan




'Dah lama tak jamah nasi'
Oleh Siti Zarinah Sahib dan Asmah Rusman


DAIF...(dari kiri), Chan dan Mohd Hafiz turut tinggal bersama Siti Faizah dan Hazmain di bawah jambatan.

SEBAK...Khairun menenangkan Hazmain yang sedih ketika dilawati Pemuda Umno di bawah jambatan, semalam.
KUALA LUMPUR: “Saya pun tak ingat bila kali terakhir menjamah nasi. Syukur hari ini kami berpeluang menikmati nasi lemak berlauk sambal sotong,” kata Hazmain Abdul Jalil, 28, yang tinggal di bawah jambatan Lebuh Raya Timur Barat (Metramac) bersama isteri dan anaknya berusia setahun lima bulan kerana kedaifan.

Tiga beranak berkenaan tinggal di bawah binaan konkrit itu bersama dua rakan Hazmain, Mohd Hafiz Abdul Aziz, 30 dan Chan Che Wah, 44 sejak lima bulan lalu.

Menurut Hazmain, mereka tiada pilihan lain, selain daripada tinggal di bawah jambatan selepas dihalau pemilik rumah yang disewanya dengan harga RM200 di Sungai Besi, di sini lima bulan lalu.



“Sebelum ini, isteri saya (Siti Faizah Abu Bakar, 27) bekerja di restoran makanan segera, namun dia berhenti selepas melahirkan anak. Jadi perbelanjaan hanya di atas tanggungan saya. Masalahnya saya tiada pekerjaan tetap,” katanya.



Katanya, bagi mencari rezeki halal, dia pernah melakukan pelbagai kerja termasuk kerja kontrak dan pekerja kilang kopi dan yang terakhir sebagai pencuci bangunan di pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur.

“Saya hanya pekerja kontrak, apabila tiada kerja maka saya tidak mempunyai sumber kewangan. Kami juga mencatu makanan iaitu sekali sehari manakala anak pula makan apa saja seperti yang kami makan atau minum susu,” katanya yang berasal dari Sandakan manakala isterinya dari Segamat, Johor.

Nasib malang keluarga Hazmain dan dua rakannya itu mendapat perhatian Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh bersama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Seputeh dan Exco Pemuda Umno Sabah, Mohd Gasing Saling ‘turun padang’ menghulurkan bantuan.

Muhd Khairun kesal kerana tiada pihak tampil memberi sumbangan dan mengambil tindakan terhadap masalah tiga beranak itu termasuk dua rakan mereka.

“Hari ini (semalam), kami pindahkan ke asrama belia di Wisma Belia Jalan Syed Putra untuk sementara waktu sebelum mendapat rumah yang lebih selesa. Yang penting, kami tidak mahu mereka kembali ke bawah jambatan lagi,” katanya.

Katanya, Hazmain, isterinya dan anak mereka, Siti Norafidah bersama Mohd Hafiz dan Chan akan dibantu supaya diberi tempat tinggal di mana projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), selain bantuan mendapatkan pekerjaan tetap.

“Saya meminta bantuan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Umno bagi mencarikan pekerjaan yang sesuai kepada Hazmain, Mohd Hafiz dan Chan mengikut kelayakan mereka manakala urusan rumah dan bantuan lain di bawah pengawasan Pemuda Umno Seputeh,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hafiz, berkata, dia simpati melihat nasib pasangan suami isteri itu dan mengajak mereka tinggal bersama walau pun hanya di bawah jambatan.

“Saya yang ajak mereka tinggal bersama kerana bimbangkan keselamatan dan kesihatan Siti Norafidah yang masih kecil. Walau pun, saya berteduh di bawah jambatan ini tapi sekurang-kurangnya kami dapat berlindung daripada hujan dan panas,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah terfikir menjalani kehidupan sebegini dan tinggal di bawah jambatan sedangkan dia mempunyai latar belakang keluarga dan pendidikan yang baik.

Lupa Sejarah Diri

Dua pengawal keselamatan ditahan disyaki bunuh suspek kes curi


KUALA LUMPUR: Dua pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Bukit Jalil, dekat sini ditahan polis kerana disyaki menyebabkan kematian seorang suspek kes curi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, dua pengawal keselamatan warga tempatan berumur 42 dan 51 tahun itu ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan kerana menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba mencuri batang besi di sebuah rumah di Mutiara Bukit Jalil.


"Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila seorang pengawal keselamatan berumur 42 tahun terdengar bunyi bising dari arah sebuah rumah yang sedang diubah suai sebelum terlihat dua lelaki sedang mencuri batang besi dan besi paip di dalam rumah terbabit.


"Apabila menyedari tindakan mereka (suspek) dilihat oleh pengawal keselamatan itu, salah seorang suspek terus memukul kepala mangsa menggunakan sebilah parang sebelum melarikan diri," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Katanya, mangsa yang sedang dalam kesakitan itu sempat memanggil rakannya, seorang pengawal keselamatan berumur 51 tahun, untuk menangkap seorang lagi pencuri berumur 24 tahun, yang masih bersembunyi di dalam rumah berkenaan.


"Sebaik tiba di rumah itu, pengawal keselamatan berumur 51 tahun itu terus memukul suspek sehingga menyebabkan kecederaan serius di bahagian kepala, tangan dan kakinya," kata beliau.


Katanya, polis yang tiba di tempat kejadian mengepung rumah terbabit sebelum membawa suspek yang mengalami kecederaan serius itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.


"Suspek kemudian dibawa ke lokap. Dalam perjalanan itu, suspek mengadu sesak nafas dan minta polis menghantarnya ke HKL semula untuk pemeriksaan.


"Namun apabila tiba di HKL, suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia. Kedua-dua pengawal keselamatan itu kemudiannya ditahan polis pada hari yang sama kerana menyebabkan kematian suspek," katanya.


Beliau berkata, pengawal keselamatan berumur 42 tahun yang ditahan di Jalan Pudu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu berkaitan rusuhan dan dadah, manakala seorang lagi berumur 51 tahun itu ditahan di tapak perumahan itu serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.


"Setelah disiasat, suspek yang mati itu turut mempunyai tiga rekod lampau antaranya berkaitan dadah dan satu ugutan jenayah. Kedua-dua pengawal keselamatan itu kini disiasat di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.-Bernama

Kencingkan Isteri


Kencing muka lafaz talak tiga
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KUALA LUMPUR: Hanya kerana masakannya tidak menepati selera, seorang isteri menerima deraan kejam dan tidak masuk akal apabila dibelasah, dicukur kepala hingga botak dan lebih mengaibkan, mukanya turut dikencing suaminya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Khamis lalu itu, suami terbabit yang berusia lewat 30-an turut menceraikan isterinya dengan lafaz talak tiga ketika kencing ke atas mangsa.

Isterinya yang tidak tahan dengan kekejaman lelaki itu selain berasa diri amat terhina membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, pada hari kejadian, menyebabkan suaminya ditahan keesokan harinya.



Sumber polis berkata, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu dan pernikahan mereka dilakukan di negara jiran tanpa mendaftarkan semula perkahwinan di sini.



Menurutnya, dalam laporan wanita terbabit yang juga berusia 30-an, kejadian itu bukan pertama kali menimpanya kerana dia mendakwa sering dipukul sejak setahun lalu walaupun melakukan kesalahan kecil.

“Menurut mangsa, dia selalu dibelasah sekiranya lewat membuka pintu ketika suaminya pulang bekerja. Malah, pada Jun lalu, mangsa melarikan diri ke selatan tanah air kerana tidak tahan dengan kekejaman suaminya.

“Namun, selepas seminggu di sana, suaminya datang memujuknya serta berpura-pura insaf,” katanya.

Bagaimanapun, kata sumber itu, ketenangan yang dikecapi mangsa hanya sementara kerana selepas dua minggu berada di rumahnya, dia kembali dijadikan tempat melepaskan geram oleh suaminya.

“Dia terus dipukul atas kesalahan kecil, malah ada kalanya mangsa tidak tahu-menahu kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima laporan mangsa, polis melakukan gerakan memburu suami mangsa sebelum menahannya kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu ketika dia berehat di rumahnya. Lelaki itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan lelaki terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.