Tuesday, October 26, 2010

Bawa Pisau Bawa Padah

Nelayan bawa pisau ke stadium dijel, sebatan

KOTA BHARU 25 Okt. – Seorang nelayan dihukum penjara tiga bulan dan sekali sebatan sekali oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membawa pisau ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia antara Kelantan dan Kedah, semalam.

Majistret Nor Haslinda Che Seman turut mengenakan denda RM350 terhadap tertuduh, Mohd. Shahril Hussin, 25, atau penjara 10 hari jika gagal membayarnya atas kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan polis.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dari Kampung Pantai Suri, Palekbang, Tumpat didakwa memiliki pisau berhulu dan bersarung hitam, panjang lebih 19 sentimeter ketika badannya diperiksa di pintu masuk A Stadium Sultan Muhammad IV pada pukul 7 petang, semalam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Shahril tidak terkecuali daripada Peraturan 27 Akta Pendaftaran Negara 1959 apabila gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh pegawai polis yang menjalankan pemeriksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000

No comments:

Post a Comment