Friday, October 15, 2010

Kubur Pun Kena Ceroboh


Tanah perkuburan diceroboh

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my

Orang ramai melihat kesan dan saki baki kayu serta kerosakan pusara di Tanah Perkuburan Islam Batu 14 Air Hitam, Muar, baru-baru ini.

MUAR 14 Okt. - Sifat rakus untuk mencari untung telah menyebabkan tanah perkuburan Islam di Batu 14 Air Hitam di sini diceroboh sehingga beratus-ratus batu nisan dan binaan kubur di kawasan itu rosak dan ada yang musnah sama sekali.

Amat menyedihkan kerana nisan kayu dan binaan di sekeliling kubur di tanah perkuburan itu ada antaranya berusia hampir 100 tahun dan merupakan perkuburan nenek moyang sebahagian besar penduduk kawasan itu.

Pencerobohan itu mengakibatkan beratus-ratus kubur lama di kawasan itu 'hilang' akibat dilanggar dan dilanyak jentera berantai yang membawa keluar kayu balak dari tanah perkuburan tersebut.

Menurut seorang penduduk Batu 14 Air Hitam, Shukor Atan, 37, pencerobohan tanah perkuburan tersebut berlaku sekitar awal September lalu dan hanya berhenti selepas sambutan Aidilfitri.

"Penjaga kubur di sini memberitahu, dia sedar pokok itu dipotong tetapi dia fikir mereka hanya mahu membersihkan kawasan itu dan bukannya menjual kayu tersebut.

"Lagipun, saya kenal orang melakukan perkara itu yang merupakan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, penduduk kampung mendapati kira-kira 21 pokok besar yang terdiri daripada jenis leban, tembusu dan pulai ditebang di kawasan perkuburan itu.

"Memang pokok itu berharga dengan tingginya melebihi 18 meter dan lebar lebih dua pemeluk orang, setiap batang mungkin boleh dijual tidak kurang RM8,000.

"Bagaimanapun, apa yang kami kesalkan ialah mereka mengambil pokok balak ini dengan langsung tiada rasa tanggungjawab sehingga hampir semua kubur lama, nisan dan binaan di sini rosak dan hilang," katanya.

Menurutnya, dia ajukan masalah itu kepada salah seorang pemimpin setempat di kampung itu namun hingga kini masih tiada tindakan diambil.

"Pentadbiran dan pengurusan tanah perkuburan ini tidak terletak di bawah Majlis Agama Islam Johor, sebaliknya ditadbir di bawah Pejabat Penghulu Mukim Air Hitam.

"Saya berharap kes pencerobohan tanah perkuburan ini dapat disiasat dengan teliti dan pihak bersalah dibawa ke pengadilan kerana terlalu banyak pihak kecewa terhadap apa yang terjadi," katanya.

Katanya, tanah perkuburan itu wujud sejak 1920-an lagi dan sekiranya turut merangkumi tanah wakaf, ia berkeluasan 3.5 hektar.

No comments:

Post a Comment