Friday, October 22, 2010

Dok Lam Jel Pun Kena Blajar


Budi jeriji besi
Oleh Mohd Azis Ngah

2010/09/05


Tempoh hukuman beri peluang penghuni Penjara Wanita Kajang tingkat kemahiran , mulakan hidup baru

BEBERAPA hari lagi, umat Islam akan beraya selepas menunaikan ibadat berpuasa. Sudah pasti, bahang menyambut Aidilfitri terasa di sini sana - yang bujang dan berkeluarga bertemu keluarga dan sanak saudara meraikan hari bermakna.

Itu senario bagi kita, tetapi bagaimana dengan mereka yang terkurung di penjara dengan pergerakan penuh sekatan? Sedar atau tidak, penghuni di sebalik jeriji besi ini juga sebenarnya menikmati kemeriahan sambutan Ramadan dan Syawal tetapi dalam konteks yang berbeza. Biarpun di sebalik tembok tebal, mereka juga ada sumbangan bagi memeriahkan kehadiran Syawal bagi mereka di luar penjara.

Sumbangan dalam erti kata menerima upah menyediakan baju raya, kuih raya serta pelbagai keperluan lain termasuk bekas kuih untuk dijual dengan harga berpatutan. Mungkinkah baju yang anda pakai, biskut raya yang sudah dibeli serta kraftangan sebagai buah tangan pulang ke kampung - semuanya hasil keringat insan bergelar penghuni jeriji besi ini.

Apa yang pasti, pembabitan mereka ini sekurang-kurangnya memberi kesempatan supaya mereka tidak terlepas daripada kemeriahan sambutan, walaupun hanya bertindak sebagai tukang jahit dan tukang masak.

Andai anda yang bertanya, apakah mereka dibayar, jawapannya insan ini turut menerima upah setimpal dengan kerja mereka. Inilah dikatakan rezeki Ramadan dan Syawal dari penjara kerana setiap kali menjelang musim perayaan, jumlah tempahan yang diterima meningkat berkali ganda.

Kesempatan Berita Minggu di Penjara Wanita Kajang, Selangor, baru-baru ini mendapati bengkel jahitan beroperasi seperti biasa, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dengan setiap sesi dipenuhi 42 banduan yang tekun menyiapkan kerja masing-masing. Ada yang ditugaskan memotong kain, ada yang kerjanya cuma menjahit kain tulang leher dan manik.

Apa-apa tugasan diberikan, mereka bergerak dalam satu kumpulan dengan satu matlamat iaitu menyiapkan tempahan serta pakaian yang akan dijual di mana-mana pameran dan bazar Ramadan kerana itu jugalah antara sumber pendapatan atau gaji mereka.
Uniknya, bukan sembarangan banduan boleh bekerja di bahagian jahitan dan ia biasanya dikhaskan kepada banduan yang menjalani hukuman tempoh lama. Ini disebabkan kemahiran ini mengambil masa yang agak lama untuk mencapai tahap mahir. Bagi banduan baru, mereka akan mempelajari teknik jahit lurus menggunakan sisa kain.

Jika lulus ujian pertama, mereka akan diberikan tugasan lain di bahagian jahitan dengan kerja menjahit mata lalat (leher baju), menyulam manik dan mengikuti teknik memotong kain mengikut sukatan tepat. Pada masa sama mereka juga menjalani latihan praktikal menyiapkan baju khas banduan dalam pelbagai warna.

Bagi banduan yang pandai membaca dan menulis, mereka mempunyai kelebihan untuk mengikut kelas memotong kain kerana lebih cepat dan cekap mengira ukuran dengan tepat. Kebiasaannya, semua kemahiran itu akan dipelajari dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan.

Banduan ‘senior’ dan mahir akan membantu rakan yang baru dengan dipantau anggota penjara wanita bagi menjamin kualiti pakaian yang dijual atau ditempah mengikut standard ditetapkan. Mungkin ada yang tidak percaya, ada antara tempahan baju raya wanita itu milik orang kenamaan.

Semua itu membuktikan kualiti pakaian raya yang dihasilkan banduan tidak kurang hebatnya berbanding butik dan kedai pakaian lain hingga mendapat kepercayaan ramai. Malah, sewaktu kunjungan penulis, bilik jahitan utama dipenuhi pakaian wanita yang siap untuk dihantar kepada pelanggan dengan harganya antara RM100 hingga RM500.

Di bilik bersebelahan pula menempatkan tempat latihan khas untuk banduan mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Mereka berpeluang mempelajari dan menyediakan alas kaki daripada kain sisa, alas meja, selimut tampal yang semua akan dijual kepada orang ramai.

Kemahiran disediakan tidak berakhir di situ, banduan juga boleh mengikuti kelas kraftangan dan hasilnya memang menakjubkan. Bukan setakat untuk persiapan raya seperti bekas kuih tetapi lengkap untuk persiapan hantaran kahwin. Mereka mampu menyediakan pelbagai jenis bunga telur pelbagai warna dan saiz, bakul berhias, bunga hantaran jenis bunga deep, organza, stoking dan kain satin. Selain itu, ada juga kraftangan lain dalam bentuk potpuri gelas dan mangkuk serta kotak hantaran.

Sudah pasti persiapan kuih raya juga menjadi tumpuan ramai. Di tingkat bawah bangunan kemahiran, ada bengkel khas untuk membuat pelbagai jenis kuih raya.

Kakitangan Penjara Wanita merangkap petugas di bahagian catering, Faridah Abdullah berkata, perkhidmatan tempahan kuih raya itu sebenarnya sudah lama dijalankan sejak 1998 tetapi ia cuma diedarkan kepada kakitangan, jabatan kerajaan serta institusi berdekatan penjara.

“Kami memulakan persiapan awal sebelum puasa mengikut tempahan pelbagai jenis kuih. Semua kerja ini dijalankan 11 banduan dengan dipantau dua guru khas yang mahir dan mereka juga menggunakan teknologi sama seperti di luar penjara. Kebanyakan kuih dihantar terus kepada pembeli dengan kebanyakan ditempah awal,” katanya.

Orang ramai yang berminat membuat tempahan boleh berhubung terus dengan Aizan Ibrahim dan Rafikunnisa Abd Salam di talian 03-8732800 (8387) atau melayari laman web www.prison.gov.my.

‘Bukan tempoh hukuman, tapi kemahiran yang diutama’

KETIKA orang lain sibuk menjahit langsir di rumah sempena menyambut kedatangan Aidilfitri, Kak Zah , 49, (nama samaran) juga sibuk menjahit langsir tetapi untuk orang lain dan di dalam penjara. Hati mana yang tidak tersentuh bila kerana sudah tiga tahun dia melakukan benda yang sama dan paling menyayat hati setiap kali munculnya bulan Ramadan.

Namun, bagi wanita yang ditahan kerana bersubahat kes dadah pada 2007, semua itu mematangkan dirinya dan menggunakan sepenuhnya peluang untuk membaiki diri dengan menimba sebanyak mungkin ilmu jahitan. Matlamatnya cuma satu, apabila dibebaskan daripada tahanan menjelang 2012, beliau akan membuka kedai menjahit langsir sendiri.

Beliau yang dianggap antara senior di bengkel jahitan berkata, seboleh-bolehnya beliau langsung tidak mahu menyebut atau mengingati tempoh hukuman ke atasnya kerana ia dianggap mengganggu mental serta tumpuan untuk bekerja sambil belajar di penjara.

“Tak usahlah tanya bila saya nak dibebaskan....yang penting saya akan cukup bersedia mulakan hidup baru. Sebelum ini, saya langsung tak tahu menjahit, tetapi sekarang semua saya boleh buat. Cuma saya lebih minat menjahit langsir kerana ia mencerminkan cita rasa pelanggan.

“Kalau boleh saya pun nak jahit langsir sendiri, tetapi sekarang tak bolehlah, cuma jahit untuk pelanggan saja. Musim raya macam ni memang banyak tempahan, berkali ganda. Masa inilah kerja bertambah, sama macam tukang jahit lain kat luar sana,” katanya ketika ditemui.

Katanya, beliau mengambil masa seminggu untuk mempelajari teknik asas menjahit kerana minatnya yang mendalam dalam bidang jahitan bahkan mampu menyiapkan sepasang baju kurung sendiri dalam tempoh dua hari.

Apa yang terbayang di kepalanya ketika ini cumalah mengumpul sebanyak mungkin upah menjahit pakaian di penjara untuk dijadikan modal membeli mesin jahit sendiri sambil berdoa agar ada mana-mana pihak sudi membantu meringankan beban merealisasikan hasratnya membuka kedai menjahit langsir.

Rakannya Melly, 25 (nama samaran), juga disabitkan kes dadah adalah antara banduan wanita senior yang dianggap mahir dalam menyediakan pakaian wanita terutama baju kurung moden mengikut tempahan.

Gadis berketurunan Cina ini berkata, sebelum ini beliau langsung tidak mempedulikan soal fesyen apatah lagi pakaian tradisional wanita Melayu tetapi kini mengakui ‘jatuh cinta’ dengan keunikan serta keindahan rekaannya.

“Dua tahun saya belajar potong kain, jahit dan sulam. Sekarang semua boleh buat dan memang puas hati bila lihat pakaian siap digantung, dibalut plastik untuk diserahkan kepada pelanggan. Bila bebas nanti, saya pun akan pakai baju kurung moden,” katanya yang dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan akan dibebaskan menjelang 2013.

No comments:

Post a Comment