Monday, October 18, 2010

Pusat Rekrut Gangster

Kongsi gelap rekrut pelajar melalui kelab remaja

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Ibu bapa pelajar-pelajar sekolah di sekitar Puchong dekat sini diingatkan supaya mengawasi pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka.

Ini berikutan berlakunya kegiatan merekrut ahli oleh kongsi gelap yang dipercayai berselindung di sebalik nama sebuah kelab remaja baru-baru ini.

Pengasas laman web Kepolisan Komuniti Selangor, Kwan Chee Heng berkata, tiga aduan diterima pihaknya daripada ibu bapa yang bimbang kemungkinan anak-anak mereka dipengaruhi anasir kongsi gelap.

"Petang kelmarin, tiga ibu bapa menghubungi saya memberitahu anak-anak mereka didatangi sekumpulan lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah sekolah menengah di Puchong dan diedarkan risalah dan borang keahlian sebuah kelab bernama 'New Generation Club'.

"Salah seorang anak pengadu yang merupakan pelajar perempuan tingkatan dua lalu berjumpa dengan penganjur namun terkejut mendapati ia berbeza dengan apa dibacanya dalam risalah, dipercayai mempunyai unsur-unsur kongsi gelap," katanya.

Chee Heng ditemui selepas membuat laporan polis berhubung aduan itu di Balai Polis Puchong Jaya hari ini.

Menurutnya, laporan itu dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat niat sekumpulan lelaki terbabit yang diyakini ahli kongsi gelap berdasarkan watak luaran mereka yang bertatu cacah, rambut berwarna dan memakai subang.

Chee Heng yang juga pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Datuk Satim Diman, memberitahu, risalah yang diedarkan menggambarkan kelab itu seolah-olah sebuah kelab remaja yang menawarkan pelbagai aktiviti riadah menyeronokkan.

Katanya, kelab itu juga mengenakan syarat kelayakan seperti yuran tahunan RM50, umur 13 tahun ke atas, aktif, peramah, rajin dan suka membantu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan berkenaan.

No comments:

Post a Comment